CALON ISTERI UNTUK DIUPAH!
TERTEKAN MEMIKIRKAN SOAL JODOH? KELUARGA TAK HABIS MENEKAN UNTUK CEPAT-CEPAT CARI JODOH?
“Bila nak kahwin? Umur kamu dah lanjut!”
Tak pun…
“Bila nak kahwin. Mak pun nak merasa timang cucu sendiri. Kawan-kawan mak semua dah berderet cucu!”
ATAU MAK CIK PAK CIK, KAUM KERABAT DAN SAHABAT YANG TAK HABIS-HABIS TANYA BILA NAK KAHWIN SETIAP KALI RAYA?
“Dah tiga puluh kali raya. Kau tak kahwin-kahwin lagi ke? Janganlah memilih sangat, nanti jadi anak teruna tua.”
Tak pun…
“Baju raya dah tiga puluh kali tukar. Tapi kau single lagi. Bila nak kahwin?”
JANGAN RISAU! SAYA SUDI UNTUK MEMBANTU ANDA!
Bujang belia, solo, tak laku lagikan terlajak dijemput untuk mendapatkan khidmat calon isteri upahan. Hubungi saya di talian yang tertera.
- ALISA.
“ASTAGHFIRULLAH HAL ADZIM! Kau ni dah terencat ke apa Medina Alisa, oi? Calon isteri untuk diupah? Dah terdesak sangat ke nak pakai duit sampai buat benda bodoh macam ni?” Kak Hanan membebel. Hampir saja telefon cabukku di campak ke dinding.
Aku pun apa lagi, terus kuntum sengih tujuh cm panjang sambil kelip-kelip mata tanda minta kasihan. Buat muka comel!
“Tak adalah terdesak sangat. Saja nak cari side income!”
“Side income celah ketiak kau! Ni jual badan namanya!”
“Ish, akak ni, agak-agaklah kalau ye pun. Apa pula jual badan? Alisa tahulah mana boleh, mana tak boleh. Sekadar berlakon jadi calon isteri orang yang upah tu supaya keluarga dia berhenti tanya pasal kahwin tu je…” Aku jawab sambil pintal hujung bantal petak yang sepatutnya tengah sedap landing atas sofa ruang tamu rumah kakak aku.
Jual badan? Aku ini jual khidmat sahaja. Badan-badan ini jangan main, hokey! I bukan perempuan murahan sampai sanggup nak jual badan demi sesuap nasi! Kiranya, ini satu servislah kan? Servis jadi calon isteri upahan.
“Alisa oiii… Kenapalah kau kena buat benda-benda tak masuk akal macam ni? Kau pergilah keluar cari kerja. Ada juga faedahnya…”
Aku terus rampas semula telefonku bila Kak Hanan mula menunjal-nunjal skrin. Sudahlah telefon cabuk. Kalau rosak, mana aku nak cari duit beli baru?
“Bukan tak nak cari kerja, kak… Tak ada yang terima! Semua tolak sebab tak ada pengalaman. Sia-sia je berhutang dengan PTPTN tu untuk sambung belajar bila akhirnya semua company cari pekerja yang ada pengalaman! Macam mana kitaorang ni nak ada pengalaman kalau tak terima bekerja? Terimalah dulu! Nanti adalah pengalamannya tu. KN Properties yang baru ni Alisa minta pun, tolak mentah-mentah. Bila minta kerja yang biasa-biasa macam kerja dekat McDonald tu ke, dekat MarryBrown tu ke, mereka kata kelulusan tinggi pula dah! Tak ada tempat kosong untuk jawatan bersesuaian. Jadi apa lagi adik akak yang cantik ni boleh buat?” Aku mula karang cerita sedih hikayat kisah hidup seorang Alisa yang penuh dengan penolakan.
Dengan kakak aku yang satu ini memang payah sikit! Apa saja aku buat mesti ada je yang nak dikomennya. Ada ke Kak Hanan kata aku jual badan? Gila ke apa? Kalau dapat tahu dek ibu, memang mampuslah aku kena ikat dekat batang pokok lalu aku dipulu-pulu kan ibu dekat situ. Ibu itu bukannya kira! Mentang-mentanglah bekas cikgu disiplin, sampai dah bersara ini pun ibu angkat sekapal bakat mendisiplinkan orang dia itu.
Belum lagi aku cerita tentang saiz rotan-rotan dia yang tergantung cantik dalam bilik. Dari yang senipis-nipisnya, sampailah yang setebal-tebalnya. Bagi je tahu nak ukur lilit berapa, panjang atau pendek, berapa tahun rotan itu berkhidmat dengan ibu, bahagian mana yang selalu jadi mangsa, punggung ke tangan. Namakan sahaja. Boleh letak filter macam dekat dalam Shopee. Semuanya ada!
“Banyaklah kau punya dongeng ye, Alisa? Apa kata kau pergi je masuk ujibakat maharaja lawak mega? Untung-untung boleh jadi pelapis Jihan Musa tu. Daripada kau duduk rumah ni dan buat lawak dengan keluarkan iklan promote diri sendiri macam ni. Calon isteri upahan? Tahu dek ibu dengan ayah nanti memang pusing satu Puchong mereka berdua kejar kau tahu?” bebel Kak Hanan lagi. Masih lagi tak puas hati dengan kerja gila aku yang ideanya datang sebaik sahaja aku bangun untuk solat subuh itu.
Hidayah!
Tahu… Aku tahu! Tapi apa salahnya mencuba? Orang kata, belum cuba belum tahu! Dah cuba nanti barulah buat keputusan sama ada nak menyesal atau nak bersyukur sebab realisasikan idea gila macam ini. Bersuka-suka dahulu, menyesal kemudian. Hehe.
“Jangan bagi tahu ibu dengan ayah tau kak? Aku tak cukup tenaga lagi nak lari satu Puchong tu. Nanti aku pekena Kacip Fatimah banyak-banyak, lepas tu baru aku sedia untuk dipulu-pulu dengan ibu,” rayu aku. Paha Kak Hanan aku cuit-cuit manja. Memujuk walau dalam takut-takut. Takut kalau Kak Hanan hayun kuali yang dia baru beli dekat dalam Go Shop dua minggu lepas itu atas kepala aku.
Mahu aku kena admit ICU malam ini.
Kak Hanan ini pun bukan boleh dibuat main. Perangai cikgu disiplin ibu itu memang turun seratus peratus dekat dia. Cumanya, Kak Hanan ini terpesong sikit bidangnya dari ibu. Jika ibu cikgu disiplin, Kak Hanan ini cikgu kaunseling. Jadi jangan peliklah bila Kak Hanan berleter 1001 patah perkataan sehari pada aku. Cukup sifat untuk buat satu karangan lengkap subjek Bahasa Melayu budak tingkatan satu.
Tapi jika nak diceritakan serba sedikit tentang keluarga aku, aku boleh kata yang keluarga aku ini dimonopoli oleh para guru. Ayah, ibu, Kak Hanan dan abang long, semuanya cikgu. Ayah bekas guru Bahasa Melayu. Ibu pula bekas guru Sains merangkap guru disiplin. Kak Hanan pula memang guru kaunseling semata, ada masa kena jadi cikgu terjun a.k.a cikgu ganti. Along pula guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Aku? Fuh… Kirim salam awal-awal dengan apa-apa yang bergelar tenaga pengajar ni. Mahu mati kena cekik anak orang aku kerjakan kalau aku jadi cikgu. Tak sesuai! Aku ini baran dan tak reti sabar orangnya. Lagipun perangai aku ini dua kali lima dengan budak darjah satu. Masuk air tahap kronik. Macam mana nak jadi cikgu? Silap-silap nanti budak-budak itu bersembang dengan kawan-kawan tentang Doraemon, aku pun join sekali sambil puji Dekisugi yang bijak pandai itu.
Kak Hanan jeling aku sekilas. Jeling geram. Tapi lambat-lambat Kak Hanan anggukan juga kepalanya tanda bersetuju dengan rayuan manja aku tadi. Inilah kuasa anak bongsu! Sentiasa disayangi dan dituruti.
Huhu!
“Tapi ada syarat,” kata Kak Hanan.
Dengan dahi yang berkerut bagai sudah pasang aura untuk membangkang, aku menyoal. “Syarat apa?”
“Senang je. Syaratnya kau tak boleh balik lambat. Paling lambat pukul 12 malam. 12 malam dan satu saat pun tak boleh! Kena sebelum 12 malam juga. Lambat, aku report dekat ibu semua kerja gila kau ni. Faham?”
“Ha? Dah macam Cinderella! Kak… Alisa dah besar panjanglah. Bukan 17 tahun lagi.”
Kalau kuasa anak bongsu itu disayangi dan dituruti. Kelemahannya pula yang inilah… Tak pernah dianggap dewasa! Tak pernah dan takkan pernah. Balik sebelum jam 12? Aduhai.
“Ada aku kisah? Besar mana pun kau, kau tetap perempuan. Sekarang kau bujang, tugas aku dan Along untuk jaga kau. Nanti kau dah berlaki, tugas laki kau pulak untuk jaga kau. Hidup kau memang akan jadi macam Cinderella sampai bila-bila. Tak payah banyak bangkang. Kalau tak nak aku beritahu ibu dan ayah, baik kau ikut je.” Itu dia! Authority seorang kak ngah dah maiii! Ini belum lagi along! Kalau along punya kuasa, mahu menyorok bawah katil dah aku sekarang ini.
Aku mengeluh. Memang kena ikut jugalah sama ada aku nak atau tak. Atau sebenarnya sama ada aku nak atau nak! Kerana tak nak itu tak akan pernah ada dalam skema jawapan Kak Hanan. Take it or leave it!
“Okey, Fine. Asalkan jangan beritahu ibu dengan ayah. Ha! Kalau boleh along pun jangan beritahu. Takutlah kak… Nanti along mengamuk pula! Tahu jelah dia tu macam mana. Garang! Macam manalah kak long boleh tahan dengan dia? Sekali tengok dah macam Incredible Hulk bila dia marah. Nasib baik tak tukar warna je.”
Dan sekali lagi Kak Hanan sedekah sebuah jelingan geram. Tapi sama seperti tadi, lambat-lambat Kak Hanan anggukan kepala tanda bersetuju juga.
Yuhuu!
“Dah! Aku nak pergi masak sekejap. Layan kau ni memang sampai ke subuh pun tak habis.” Tengok… Nak minta diri untuk pergi masak pun Kak Hanan sempat berleter lagi.
Tak apalah Kak Hanan, oi! Nak membebel pun, membebellah! Asalkan aku dapat izin itu. Muehehe.
Bila bayangan Kak Hanan menghilang di sebalik dinding pemisah antara ruang tamu dan dapur. Terus aku hidupkan telefon yang sudah selamat ditunjal tadi. Aku semak semula semua ejaan dan pengunaan bahasa yang rasanya memang hancur berkecai itu terlebih dahulu sebelum dengan lafaz bismillah, aku terus ketik butang send pada kekunci di skrin telefon. Besar-besar artikel Calon Isteri Upahan muncul pada skrin telefon aku sebaik sahaja ia selesai dimuat naik.
Oh Allah! Harap-haraplah along, kak long, ibu atau ayah tak terjumpa artikel aku ini sekalipun kalau artikel ini akan viral kerana kegilaan melampau sang Alisa yang bukan main-main dia punya gila. Semoga kalau muncul artikel ini pada skrin telefon keempat orang manusia tersebut, artikel ini akan ghaib sendiri. Tak pun, semoga bateri mereka habis setiap kali lalu dekat artikel ini. Pokoknya, apa sajalah caranya asalkan keempat makhluk Allah ini tak terbaca artikel aku.
Sebab kalau sampai artikel ini dibaca oleh mana-mana dari orang yang aku senaraikan itu. Memang kirim salam jelah dengan taik telinga aku nanti. Confirm cair punyalah akibat kena bebel seminggu berturut-turut dengan mereka. Mahu dengan Kak Hanan sekali tumpang sekaki bebelkan aku!
Tapi itu tak apalah lagi. Setakat bebel membebel, masih dalam kawalan dan masih boleh dihadap. Bergelar anak bongsu yang terlalu banyak akal ini, aku sudah terbiasa dengan bebelan. Tapi kalau sampai ibu dan ayah buat kerja gila pergi kahwinkan aku dengan lelaki yang sudi untuk ambil aku jadi calon isteri upahan dia itu macam mana? Memang menangis tepi bucu katillah aku jawabnya.
Jangan fikir yang mustahil untuk ibu dan ayah buat benda-benda macam itu pula! Dan jangan pula kata yang ibu dan ayah macam itu hanya wujud dalam novel dan drama dalam slot akasia dan samarinda semata. Sebab ibu dan ayah aku ini memang sebiji macam mak bapa dalam novel itu! Copy paste! Macam beranak keluar dari novel itu pun ada juga!
Ting! Ting!
Nada pemberitahuan menyedarkan aku dari lamunan panjang. Tengok skrin telefon yang menyala itu, ada beberapa pemberitahuan dari platform yang aku gunakan untuk hantar iklan promote diri sendiri bak kata Kak Hanan tadi. Ada 21 sukaan dan enam kongsi. Ha… Kongsilah selagi boleh. Tapi jangan sampai kau share dekat ibu, ayah atau along sudahlah. Memang tamat riwayat aku nanti.
Lagi pemberitahuan masuk. Dan kali ini ada satu komen tertera pada skrin telefonku. Dengan penuh teliti komen itu aku baca.
Banyak sangat tengok drama kau ni. Tak pun ni salah satu dari cebisan manuskrip untuk hantar dekat penerbit! Nanti aku beli ye! -Mawar Berduri.
Fuh… Memang betul-betul berduri komen kau kak! Tertusuk jantung ana yang lemah ini. Tapi tak apalah! Novel tak novel asalkan duit masyukk.
Bak kata Awi Rafael, kalau aku kaya! Aku beli segalanya! Bil-bil jiran keluarga, aku belanja selamba!
Share this novel