Bab 14

Romance Completed 24458

“ALISA tolong masukkan semua kek dalam talam yang dah potong tu ke dalam kotak ye? Masukkan ikut talam tau, bukan jenis.”

Aku pandang talam yang dimaksudkan pengurus di sini. Ada lebih sepuluh talam bersusun atas meja. Agaknya inilah pesanan yang dihantar Qairul semalam. Memang banyak. Agaknya satu talam itu mewakili satu pesanan untuk setiap nama yang terletak di kotak pembungkusan. Patutlah panjang senarai yang ditulis Qairul semalam.

“Baik, kak.” Aku cepat-cepat capai kotak pembungkusan yang sudah disediakan. Siap letak di sisi talam tuannya supaya aku tak salah isi.

Oh ye! Hari pertama di sini, aku hanya perlu bekerja di belakang. Tak perlu jaga kaunter melainkan untuk susun makanan dalam kotak display. Pekerja di sini baik. Pengurusnya pun baik. Suasana di sini tenang memandangkan ada peraturan tak boleh bercakap kuat itu. Dan ia turut teraplikasi untuk pekerja.

Aku pakai sarung tangan. Setiap kali uruskan makanan, kami perlu pakai sarung tangan. Dan sekiranya kami tersentuh benda lain selain makanan semasa proses pengendalian, kami perlu buang sarung tangan yang dipakai dan tukar baru. Mouth sheild juga wajib dipakai sentiasa. Kebersihan di sini memang tip top kerana sop yang ketat. Siap ada CCTV di setiap sudut.

Potongan bermacam jenis pencuci mulut aku pindah masuk hanya dengan memindahkan papan berbentuk petak ke dalam kotak. Dibungkus elok sebelum disusun supaya mudah untuk Qairul ambil nanti.

“Alisa dengan Encik Qairul ada apa-apa ke?”

Tangan terhenti sesaat. Aku pandang pengurus yang aku bahasakan Kak Munirah itu. Terkelip-kelip mata pandang dia yang tenang menunggu jawapan aku. Tapi dah kenapa pula tanya soalan macam itu? Aku dengan Qairul?

“Tak ada apa-apalah, kak.”

“Ye ke ini? Staff beritahu semalam bukan main mesra Alisa dengan dia. Takkan tak ada apa...” Kak Munirah jungkit-jungkit kening. Buat provokasi lembut supaya aku jujur saja.

Tapi nak jujur macam mana lagi? Aku dengan Qairul memang tak ada apa-apa. Kalau setakat aku teman dia ke sini dan minta kerja pun sudah dilabel mesra semacam, susahlah nak hidup. Mesra sikit saja dilabel ada hubungan. Pening!

Tapi belum sempat aku nak menjawab, tiba-tiba pintu dapur terbuka. Qairul muncul menjengah ke dapur. Bila mata bertentangan, dia terus kuntum senyum lebar buat kami. Aku hanya membalas nipis sebelum sambung buat kerja yang tergendala. Aku biarkan Kak Munirah berbalas kata dengan Qairul. Setakat tanya khabar saja.

Aku lajukan tangan bila Kak Munirah keluar meninggalkan aku dan Qairul berdua di sini. Ada lagi empat kotak belum selesai. Aku kena siapkan cepat-cepat supaya tak lama berdua dengan Qairul.

“Macam mana first day? Okey?” soal Qairul. Qairul tarik kerusi. Duduk di situ sambil berpeluk tubuh dan mendongak pandang aku yang sedang berdiri buat kerja.

“Alhamdulillah, okey. Tak adalah susah sangat kerja dekat sini. Mungkin sebab saya urus dapur je.”

“Saya boleh cakap dengan Munirah untuk biarkan awak jaga dapur saja, kalau awak nak.”

“Eh, ada pula macam itu. Jaga kaunter pun skop kerja kan? Takkanlah saya nak duduk dapur je. Dapur operasi sekali dua je sehari. Makan gaji buta, tak berkat.” Apa merengnya Qairul ini. Kalau aku duduk di dapur saja, gamaknya tak ada bezalah aku kerja dengan duduk di rumah. Lepas masak, membuta!

Qairul mengangguk setuju. Diam seketika di antara kami bila aku rasa dia seakan sedang merenung aku. Nak kata aku terlebih perasan, macam tidak. Aku memang rasa seperti diperhatikan.

Aku pandang Qairul. Dan tepat sangkaan aku. Mata yang terus bertentangan bukti dia memang sedang perhatikan aku.

“Ada baiknya awak pandang tempat lain kalau tak nak saya rejam mata awak dengan garpu.” Dengan tak bertapis, aku sembur dia.

Tapi Qairul rilek je. Siap tergelak bila dengar ugutan hot aku. Agaknya dia rasa aku tak berani nak buat macam itu kut. Mentang-mentanglah aku ayu dengan kemeja putih sesuci hatiku dan slack biru ini. Huh, anta tidak kenal siapa ana. Sekali ana hayun, mahu gugur semua misai anta walaupun anta tak ada misai.

Selesai dengan bungkusan terakhir, aku terus tolak kotak terakhir bersama kotak yang lainnya. Ditindih sesama sendiri supaya senang Qairul nak bawa masuk ke dalam kereta nanti.

“Dah siap. Awak letak kereta dekat mana? Biar saya tolong angkat sama.”

“Ada dekat depan kedai. Dan memandangkan tak lama lagi waktu kerja awak habis, apa kata awak teman saya hantar sampai ke ofis. Selesai hantar, saya hantar awak ke sini semula untuk ambil kereta dan balik rumah.” Qairul berdiri. Kotak yang ditindih lima terus dia angkat sambil berdiri menunggu jawapan aku.

Tapi kenapa pula aku nak kena teman dia sampai ke ofis?

“Tapi sekarang waktu kerja lagilah,” kataku. Lagi sejam kut baru kerjaku habis.

“Saya dah beritahu Munirah yang awak ikut saya. Lagipun rileklah, mommy tak kesah kalau saya yang minta. Temankan saya ye?” Qairul terus meminta lagi. Siap ada nada merayu di hujung kata.

Alahai, kalau dapat tiga anak macam dia ini, habis muflis Auntie Lyn angkara kena bayar gaji pekerja yang tak buat kerja sebab diculik oleh anaknya. Tapi sebab malas nak banyak cakap, maka aku angguk sajalah. Lagipun bukannya jauh KN Properties itu. Setakat hantar dan balik, aku okey saja.

“Cantik! Saya masukkan yang ini dalam kereta dulu, nanti saya ambil bakinya. Awak pergilah tanggal apron itu semua. Jangan clock out lagi. Balik nak ambil kereta nanti baru clock out.” Sambil beri arahan itu ini, sambil itu jugalah Qairul melangkah keluar bersama kotak-kotak itu. Tak sempat aku nak balas apa-apa, dia dah ghaib di sebalik pintu.

Layan sajalah!

AKU susun kesemua kotak di atas meja panjang sebaik saja diarahkan oleh Qairul. Belum habis susun lagi dah macam zombie pekerja di sini berebut ambil kotak masing-masing. Tahu-tahu saja, tinggal satu kotak tersisa yang rasanya macam tak ada sesiapa berura untuk ambil.

Kotak ini pula tak ada nama. Yang lain semua ada nama. Terlebih buat ke ini?

“Harga macam biasa ye, Qairul?” Tak sempat aku nak tanya Qairul tentang kotak tersisa, salah seorang daripada mereka mula menyoal Qairul.

“Sebab hari ini aku bahagia, korang semua dapat diskaun sepuluh peratus kalau bayar hari ini juga. Kalau bayar esok walau terlebih sesaat selepas jam 12 malam, harga biasa,” balas Qairul yang berdiri di sebelah aku. Tenang dia tersenyum dan bersuara ramah.

Dengar saja kata-kata Qairul, terus semua kelam-kabut keluarkan telefon masing-masing. Nak buat online banking agaknya.

Soalan tentang kotak terakhir itu sekali lagi tergendala bila pundi kencing mula buat hal. Hai, pundi kencing ini pun satu. Asal ada dekat sini je, terus agresif semacam. Dekat kedai tadi tak nak pula membuang. Punding kencing yang select tahap dewa. Mentang-mentanglah tandas di sini mewah dan seribu kali ganda lebih cantik berbanding tandas kedai, pandai pula dia nak membuang di sini.

“Qairul...” Aku panggil Qairul yang masih sibuk pandang pekerja-pekerja yang masih sibuk dengan telefon. Ada yang sudah angkat tangan sambil tunjuk telefon yang sedang paparkan resit transaksi.

Qairul pandang aku. “Ye, saya?”

“Saya nak pergi toilet.”

“Nak saya teman?”

Mataku membuntang bila dengar soalan Qairul. Teman? Kepala hotak dia! Tapi tak jadi nak marah bila Qairul mula gelak berdekah. Nampak sangat dia memang sengaja nak mengusik aku. Sabar jelah!

“Pergilah. Tandas yang paling dekat ada di bahagian lif.”

Aku angguk faham sebelum terus berlari anak keluar daripada ruangan ini. Kaki diatur mencari lif. Jumpa lif, barulah aku cari tandasnya. Jumpa! Ada di hujung sekali. Aku lekas berlari masuk ke dalam tandas. Selesaikan panggilan alam sebelum keluar semula.

Melalui lif, tiba-tiba mataku terpandangkan tubuh seorang lelaki berkot kelabu yang sedang berjalan bersama kotak bungkusan bakeri Auntie Lyn di tangan. Semakin dekat, susuknya semakin jelas. Dan aku yakin yang dia juga sedar akan kehadiran aku yang sudah berhenti melangkah bila lihat kerutan di dahinya.

Fareez!

“Alisa?” Namaku terbit di bibirnya. Fareez mendekat lagi.

“Kau buat apa dekat sini?” soalnya. Aku dipandang atas bawah dengan dahi yang tak habis berkerut.

Soalan Fareez tak terjawab bila aku baru sedar yang kotak tak bernama tadi ada di tangan Fareez. Fareez bawa kotak itu bersamanya. Kiranya pesanan tak bernama itu dia yang punyalah ye? Hai, lelaki macam dia ini makan manis ke? Sudahlah banyak jenis pula itu. Ke beli untuk mamanya? Atau girlfriend?

“Alisa?” Namaku diseru lagi yang automatik buatkan aku angkat kepala pandang Fareez semula.

“Saya ada kerja sikit.”

“Kerja apa?” Makin berkerut!

Mungkin Fareez fikir ada orang lain yang tak laku macam dia dekat syarikat ini! Sorry, tapi kali ini saya datang bukan sebagai calon isteri upahan. Saya datang sebagai gadis bakeri yang cantik lagikan ayu.

“Saya tolong Qairul hantar semua tempahan dekat ofis. Rupanya encik pun ada order sekali erk? Encik order untuk siapa? Saya tak rasa encik suka benda manis memandangkan badan encik lawa dan encik tak makan pun dessert masa event malam itu.” Semua dia sumbat masuk dalam mulut aku! Tapi tak apa, aku suka! Sedap!

Bila Fareez seakan teragak-agak nak balas, aku terus jungkit-jungkit kening sambil tayang muka nakal mengusik. Macam boleh bau saja jawapan Fareez ini. Kalau sudah teragak-agak itu, tak lain tak bukan mesti nak bagi dekat perempuan. Kalau perempuan, mungkin mama atau teman wanitanya.

“Alisa!”

Aku rasa seharian ini namaku dah berpuluh kali diratib. Qairul yang sedang berjalan laju menuju ke arah kami terus melambai bagai perjumpaan hampir sejam antara kami tak pernah berlaku.

Bila Qairul sudah berdiri bersama kami, dia terus angkat tangan kepada Fareez sebelum kembali pandang aku.

“Siap. Jom balik?” kata Qairul.

Tak sempat nak mengangguk...

“Aku hantar.” Fareez mencelah.

Aku dan Qairul bagai berjanji, serentak kami toleh pandang Fareez yang penuh tiba-tibanya tawarkan diri untuk hantar aku. Fareez hanya tayang riak tenang. Tiada kerutan lagi. Siap dah seluk poket seluar dan keluarkan kunci BMW dia.

Aku dan Qairul berpandangan sesama sendiri. Qairul yang nampaknya seakan tunggu pendapat aku, dan aku yang tak tahu nak pilih siapa. Tapi kalau diikutkan, baik aku balik dengan Qairul saja. Bukan ke dia yang seret aku ke sini dan janji untuk hantar aku ke bakeri semula supaya aku boleh clock out dan ambil kereta? Fareez yang tak ada mengena memang tak sepatutnya aku susahkan.

Tapi dah kenapa dia tawarkan diri? Pelik betul!

“Saya balik dengan Qairul jelah. Lagipun saya datang dengan dia juga.” Akhirnya itu keputusan aku.

Tak tunggu lama, Qairul terus kuntum senyum dan buka langkah ke arah lif. Aku pula serba salah nak berlalu sama bila mata seakan dapat mengesan riak tak puas hati di wajah Fareez. Jangan dia fikir aku nak menjatuhkan dia sebagai ‘bakal suami’ dengan pilih untuk balik bersama Qairul sudahlah.

“Minta diri dulu...” Aku berundur sambil minta diri. Takut-takut kaki dibuka menuju ke arah lif bila lihat mata Fareez yang seakan mengekori gerak tubuhku. Bila pintu lif terbuka, terus aku berdesup masuk ke dalam lif.

Seramnya! Dia marah aku ke? Tapi apa salah aku?!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience