MASUK saja ke dalam dewan, aku terus ternganga. Ini AJL ke apa?! Sekali tengok pun dah boleh iktiraf acara ini memang acara untuk orang-orang kaya. Aku tak nampak satu manusia pun yang pakai jenama pelik-pelik. Semuanya jenama mahal dan terkenal.
YSL, Chanel, Gucci, Dior dan banyak lagi.
Fareez ini pun satu. Kenapalah dia angkut aku ke acara yang seperti ini? Sudah tahu aku ini manusia paling cikai dalam dunia, tapi dia tetap angkut ke acara penuh orang kaya. Nasib baiklah aku tak angkut beg yang aku beli dekat Shopee itu. Kalau tidak, memang aku campak bawah meja je beg tangan itu nanti. Nasib baik jugalah dress dan kasut yang aku pakai ini dibeli olehnya. Kiranya aku boleh bersyukur yang Fareez sanggup datang ke rumah Kak Hanan bila aku tak balas mesejnya tempoh hari.
Sebab rupa-rupanya dia mesej untuk minta ukuran badanku dan saiz kasutku.
“Alisa.” Fareez seru nama aku.
Aku pusing pandang Fareez. Lelaki ini pun tak kalah hebatnya dalam berfesyen. Lengkap bertuxedo warna setona dengan dress yang dibelikannya untuk aku, khaki.
“Pergi dekat mama dulu. Aku nak jumpa kawan kejap,” arah Fareez sambil tunjukkan tempat duduk keluarganya.
“Tapi ada orang lainlah dekat meja tu. Tak apa ke saya kacau dia orang bersembang?” Memang ada orang lain yang sedang duduk sama dekat meja itu. Sepasang suami isteri baya mama dan papa Fareez juga. Rancak bersembang sesama sendiri.
“Kacau apa pula? Itu memang tempat duduk kau. Yang dua antara tiga kerusi kosong tu kita punya.”
Sudahnya, aku mengangguk sajalah. Baru nak melangkah pergi, Fareez panggil aku sekali lagi.
“Ingat, kalau mama dan papa tak kenalkan kau pada sesiapa. Kau jangan kenalkan diri. Diam je sampai mama dan papa yang kenalkan. Faham?”
Aku angguk lagi.
“Dah, pergilah. Kau jangan nak merayau pula. Tak ada kerja aku nak cari kau satu hall ni.” Habis je turunkan titah, terus Fareez blah macam itu je.
Sabar jelah Alisa! Demi duit!
Aku terus sambung dengan tujuan asal. Kembali buka langkah menuju ke arah meja yang diduduki dua pasangan separuh abad. Dari jauh lagi aku sudah nampak seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan juga turut sama menuju ke arah meja yang jadi tujuan aku sekarang. Mata kami bertentangan.
Kacak! Lelaki itu memang hensem! Tapi kalau nak tanya siapa lagi hensem, maka tanpa berat sebelahnya aku akan jawab Fareez. Aura Fareez lebih mengancam dan menggoda.
Aik, Alisa? Lain macam je bunyi?
“Eh, Alisa. Baru sampai?” Sedar akan kehadiran aku, terus papa Fareez menyapa ceria.
Senyuman yang paling manis aku lemparkan buat mereka semua yang sudah pusing pandang aku, termasuklah lelaki tadi yang memang tengah pandang aku tanpa berkalih walau sesaat sedari tadi.
“Baru sampai tadi, pa,” jawabku. Tangan mama Fareez aku salam kemudian bertukar pula dengan tangan wanita yang duduk bertentangan dengan mama Fareez. Tersenyum wanita lingkungan 50 an itu.
“Ini anak kau yang mana pula, Rita? Cantiknya! Tak tahu pula aku yang kau ada anak perempuan. Setahu aku Fareez je anak kau satu-satunya. Ke kau ambil anak angkat masa aku sekeluarga duduk dekat France?” Wanita itu bersuara sambil tangannya naik menyentuh lenganku lalu diusap lembut.
“Ini memang anak aku. Tapi anak menantulah, bukan anak kandung,” jawab mama Fareez sambil tersenyum. Mama Fareez tepuk kerusi kosong di sebelahnya, menyuruh aku duduk.
Aku menurut saja. Depan calon mama dan papa mentua jadian memang kena buka langkah paling ayu dan sopan. Salah step, mahu aku kena tendang keluar dari dewan.
“Menantu? Fareez dah kahwin ke? Kenapa tak beritahu kami? Mentang-mentanglah kami duduk jauh.” Kali ini, suami wanita itu pula bersuara, terkejut.
“Belum lagilah. Tak lama lagi langsunglah ni, insyaAllah.” Balasan papa Fareez buatkan aku jadi kekok gila. Tak lama lagi langsunglah?
Bunyinya itu macam sudah letak harapan tinggi menggunung untuk jadikan aku menantu. Janganlah! Aku ini calon jadian je. Lepas bulan mengambang, aku hilanglah.
“Lah, yeke? Pandai Fareez cari isteri. Cantik manis orangnya. Kata dengan Fareez, jangan tunggu lama-lama. Langsung cepat-cepat. Kena kebas nanti, menangis tepi jalan,” kata wanita itu lagi.
Terasa masih diperhatikan mata asing, aku mendongak pandang ke arah lelaki tadi. Dan bingo! Memang dia masih memandang aku. Jarak dia dan meja kami kurang lima langkah. Tapi kenapa dia pandang aku tak kalih-kalih ini? Takut pula aku jadinya. Manalah tahu kalau dia kenal aku di Fac dan sudah terbaca artikel aku ke? Memang menangislah aku dan Fareez dekat tengah-tengah dewan ini kalau sampai ada yang bocorkan projek kami.
“Itulah! Kami memang nak paksa Fareez langsung cepat-cepat. Aku dah berkenan sungguh dengan Alisa ni. Tak naklah aku kalau dia jadi menantu orang lain.” Mama pula bersuara.
Huish! Tak nak aku jadi menantu orang lain? Lain macam betul bunyinya. Aku memang sudah sah-sah akan jadi menantu orang lain sebab hubungan aku dan Fareez tak akan ke mana-mana. Jangan sampai mama mandrem mak mentua aku nanti sebab dengki tak dapat bermenantukan aku sudahlah!
Coi, perasan saja lebih. Tak adalah orang itu tergila nak jadikan aku menantu sampai sanggup mandrem orang. Kau itu bukannya anak raja!
“Eh! Qairul dah sampai?” Mama Fareez menegur lelaki tadi yang sudah berdiri di antara sepasang suami isteri bertentangan dengan kami ini.
Oh, Qairul nama dia…
“FAREEZ macam mana sekarang?” soal wanita 50 an tadi yang memperkenalkan diri sebagai Auntie Lyn.
“So far so good, auntie. Hidup dah makin stabil dan ada rentak sendiri. Alhamdulillah.” Ringkas saja Fareez punya jawapan. Sesekali Fareez akan sogok seketul cheese tart ke dalam mulut aku bila aku cuba nak bersuara dan bermesra dengan mereka.
Cis! Aku bukannya nak pergi buat pengumuman atas pentas yang aku ini bakal isteri kau pun. Aku nak bersembang je! Itu pun tak boleh. Kacau betul.
Mama dan papa Fareez pula entah macam mana boleh label kelakuan anak teruna mereka ini sebagai ‘so sweet’. Ini bitter okey! Bukan sweet. Aku ini sikit saja lagi nak hempuk kepala Fareez dengan pinggan atas meja.
“Ialah. Mana tak stabil dan ada rentaknya kalau dah ada bakal isteri sikit punya cantik dekat sebelah kan?” usik suami Auntie Lyn yang memperkenalkan diri pada aku sebagai Uncle Yusof.
Rupa-rupanya, Auntie Lyn dan mama Fareez ini saudara jauh. Cuma dulu Auntie Lyn dan suaminya duduk nun jauh di kota cinta sana. Baru balik ke sini sebulan yang lepas katanya. Anak lelaki Auntie Lyn yang bernama Qairul itu kiranya saudara Fareez. Dari perbualan mereka, aku dapat tahu yang Qairul juga bekerja di KN Properties.
Bila bercakap tentang Qairul, tiba-tiba mata kami bertentangan. Dia duduk di kerusi betul-betul di depan aku. Kalau aku julur kaki mahu tertendang kaki anak teruna orang itu.
Tapi kenapa aku rasa macam aku pernah tengok Qairul sebelum ini ye? Muka lelaki ini agak familiar bagiku. Tapi itulah, puas aku gali otak sendiri dari tadi tapi satu pun info tentang Qairul tak dapat aku keluarkan.
Qairul kuntum senyum.
Teragak-agak aku balas senyuman dia sebelum kembali tunduk dan menjamah pencuci mulut di dalam piring. Makanan malam ini memang sedap betul! First class, nyahhh! Dari main course, ke dessert, air dan side dishes semuanya kebabom! Kalau tak fikirkan imej ayu aku ini, confirm aku dah tapau masuk dalam plastik untuk bawa balik rumah.
Muehehehe.
“Alisa, kamu dengan Fareez dah ada bincang ke bila nak bertunang?” Tiba-tiba nama aku diseru Auntie Lyn. Nasib baik tak tersangkut kek red velvet yang baru nak mengelungsur turun dalam anak tekak.
Bertunang? Fuh… Jauhnya Auntie Lyn fikir!
Aku angkat kepala pandang Fareez yang duduk di sebelah. Fareez juga tengah pandang aku. Seakan sedang berkira-kira apa jawapan yang nak dilontarnya buat Auntie Lyn. Bila sudah dapat jawapan, Fareez terus pusing pandang Auntie Lyn semula.
“Kami ingat tak nak bertunang, auntie,” jawab Fareez.
“Tak nak bertunang? Lah… Auntie baru ingat nak sponsor majlis pertunangan kamu berdua.” Huk! Sampai nak sponsor lagi kau!
“Habis tu, kamu dan Alisa nak terus menikah ke?” soal Auntie Lyn lagi.
“Rancangannya macam tulah, auntie. Bila kedua pihak dah clear dan okey… Kami jalan je. Buat apa nak tangguh benda baik kan?” Sikit punya baik balasan dari Fareez. Tenang saja lelaki itu menjawab.
Ini mesti dah biasa menipu!
“Betul tu! Bila kamu plan nak nikahnya tu Fareez? Beritahu auntie. Bolehlah auntie sponsor dessert nanti. Tambah lagi satu… Apa ye? Pakej honeymoon pun okey kan?”
Honeymoon pula dah…
Aku dan Fareez berpandangan sekali lagi. Kali ini aku sudah seram sejuk dengan topik Auntie Lyn. Topik bahaya ini. Perangkap! Berbulan madu ini topik yang tak boleh nak dibuat main.
“Kamu nak pergi Maldives ke atau ada tempat lain yang berkenan di hati? Tapi France tak payahlah. Tak bagus! Auntie dan uncle dah jemu tengok. Indah khabar dari rupa je!” Auntie Lyn dah beria buat kira-kira dan beri cadangan kepada kami.
Aku nampak Fareez bagi aku satu signal. Signal kali ini terus menuju ke arah meja buffet di hujung sana. Maksudnya Fareez nak suruh aku lari sekejap sementara dia urus isu taja menaja ini.
“Err, mama, papa. Auntie, uncle. Saya nak pergi ambil dessert sekejap,” pamitku.
Semua mengangguk. Dan aku pun apa lagi, terus bangun dan angkat kaki menuju ke arah meja buffet. Teguk air liur bila tengok kepelbagaian pencuci mulut yang ada. Memang meja untuk dessert dan makanan biasa dibahagikan. Hampir sepuluh jenis dessert ada di sini.
Aku capai piring lalu cheese tart berinti coklat aku masukkan dalam lima biji ke dalam piring. Sedap gila cheese tart saiz 50 sen lama ini. Aku dah makan empat ketul. Dua ketul dari pinggan aku, dua ketul lagi dari sodokkan Fareez. Tapi aku masih belum puas! Hahaha.
Mataku beralih pula pada brownies. Cantik dihias dengan caramel drizzle dan coklat M&M sebiji. Saiznya kecil ketot je. Comel. Nak kena cuba ini! Baru tangan nak capai pengepit, tiba-tiba ada tangan lain yang sudah mencapai dulu. Terus aku angkat kepala.
“Eh? Awak?” Qairul!
“Sorry. Nak brownies ni ye? Saya ambilkan.” Qairul masukkan dua potong brownies ke dalam piringku.
“Cukup?” soalnya.
“Cukup.” Kalau boleh nak minta lagi dua ketul, tapi malulah pula!
Kalau dengan Fareez memang aku bantai je apa aku nak buat dan nak makan. Tapi bila depan Qairul, tiba-tiba jadi malu-malu kambing pula. Almaklumlah, mukanya sebiji macam hero Pera Palace yang bawa karakter Halit itu. Hensem! Rawrr!
Tapi itulah, Fareez pun hensem masalahnya. Lagi hensem daripada Qairul. Tapi kenapa aku langsung tak malu dan nak control ayu depan Fareez ye? Hm, rasanya mungkin sebab aku dah terbiasa dengan Fareez. Dan Fareez pula jenis tayang muka selamba dan seriusnya bila berdepan dengan aku. Dah selesa mungkin?
“Ada nak apa-apa lagi?” soal Qairul sambil tersenyum manis.
“Tak ada dah kut. Awak tak nak ambil apa-apa ke?”
“Kalau saya nak share dengan awak, boleh?”
Erk! Nak share dengan aku? Kalau aku cakap tak boleh, nampak macam pelahap sangat tak ye?
“Just kidding, Alisa. It’s all yours. Nak ambil berapa banyak lagipun boleh. Untuk pengetahuan awak, awak boleh angkut bawa balik kalau awak nak. Semua dessert ni datang dari bakeri mommy. Tajaan.”
Aku ternganga sesaat sebelum cepat-cepat kawal otot muka semula. Semua dessert yang sedap gila ini datang dari bakeri Auntie Lyn? Auntie Lyn itu pemilik bakeri?!
Wah! Agaknya Qairul perlukan khidmat calon isteri upahan tak ye? Free of charge aku tawarkan khidmat pada dia dengan syarat aku perlu dibekalkan dengan cheese tart ini selama tempoh bekerja aku dan dia setiap hari tanpa gagal. Muehehe.
“Saya boleh nampak betapa awak sukakan dessert. Tak mendongak awak makan tadi. You know what? Jemput datang ke bakeri mommy. Ada empat cawangan berdekatan. Saya akan beri harga yang paling baik untuk awak.”
Aku tergelak. Tak mendongak? Nampak sangat Qairul perhatikan aku di meja makan tadi. Biashee dia ini! Skodeng anak dara orang makan.
“Lama-lama bankrupt Auntie Lyn dikerjakan awak.”
Qairul tumpang gelak sekaki. Oh! Aku dah buat satu rumusan tentang lelaki ini. First impression yang dia beri adalah sangat baik. Orangnya mesra dan pandai bersembang. Aku rasa selesa dengan dia. Boleh ambil jadi kawan dan partner in crime. Eh, salah. Partner in crime aku sekarang ialah Fareez. Yang lain boleh ambil nombor giliran dulu. Muehehe.
“Mommy sukakan awak. Kalau dia tahu awak suka benda macam ni, confirm dia akan buat benda yang sama juga. Untung awak, Alisa. Susah orang luar nak dapat hati mommy. Awak orang pertama.” balas Qairul.
Uit! Lain macam je bunyi. Ke aku je yang terlebih perasan imi? Tapi kenapa bunyinya itu memang kedengaran agak aneh ye? Macam Qairul nak kata yang Auntie Lyn dah berkenan dekat aku pula.
Dan, pihak yang salah?
“By the way, awak ingat saya lagi?” soal Qairul.
“Ingat?” Aku tak faham.
“Kita pernah jumpa sebelum ni. Awak dah lupa saya? Dekat KN Properties?”
Berkerut sekejap dahiku sebelum aku ternganga bila ingatan berpusu masuk ke dalam kepala. Kami pernah terserempak di KN Properties semasa aku datang untuk sesi temu duga yang akhirnya aku gagal sebab tak ada pengalaman itu.
“Awaklah yang nampak saya mengamuk dekat depan tandas tu kan?” Memang baik betul setiap sesi perkenalan aku dengan anak teruna keluarga ini.
Dengan Fareez hari itu, kami berjumpa semasa aku tengah syiok bergaduh dengan bekas teman lelaki tak guna aku itu. Dengan Qairul pula, aku tengah mengamuk lepas temu duga aku ditolak on the spot dekat situ.
Pokoknya, kedua-dua pertemuan itu aku memang tengah hangin satu badan.
“Ingat lagi? Sayalah tu orangnya. Saya ingatkan awak dah lupa saya tadi. Sebab dekat meja awak langsung tak tegur saya.”
Macam mana aku nak tegur dia kalau setiap kali aku cuba nak buka mulut saja, Fareez terus sumbat masuk cheese tart ini ke dalam mulutku?
“Saya pun sebenarnya rasa macam pernah tengok muka awak tadi. Tapi tak ingat dekat mana. Bila awak mention pasal KN Properties baru saya teringat semula,” balasku.
Qairul tersengih padaku. Seakan sedang tahan gelak. Mungkin dalam kepala dia tengah terlayar adegan aku mengamuk sambil tumbuk dinding membayangkan yang aku tumbuk itu ialah si penemu duga itu, tapi sudahnya aku menjerit sebab sakit tangan.
Semua itu disaksikan oleh sepasang mata milik Qairul secara live!
“Saya nak tanya sesuatu boleh?” soal Qairul. Kalau ikut dari nada suaranya, macam serius je soalan ini.
“Tanyalah.”
“Awak dengan Fareez memang ada hubungan ke? Maksud saya, hubungan yang sebenar. Pasangan bercinta?”
Soalan Qairul automatik buatkan jantungku berdegup kencang. Kaki mula rasa lembik bersama tubuh yang sudah seram sejuk. Soalannya seakan dia tahu sesuatu. Tapi macam mana Qairul…
“Look, Alisa. Saya kenal Fareez. Kami berdua saudara. Dah berkawan lama. Fareez tak layan perempuan langsung lepas dia putus cinta masa zaman belajar dulu. Dah lapan tahun Fareez tak layan perempuan. Semua perempuan yang mama dan papa dia cadangkan, semua dia tak nak. Puas mama dia paksa dia kahwin, dia tetap tak nak. Tup-tup dia bawa awak malam ni. Saya musykil, korang memang betul-betul atau hanya…”
“Hanya apa?”
Bahuku terenjut bila tiba-tiba suara macho itu menyoal serius. Fareez! Sudah macam ninja. Tiba-tiba saja dia ada di sebelahku. Terkejut aku dibuatnya.
Qairul diam.
“Here’s my little piece of advice, Qairul. Tak payahlah masuk campur dalam urusan aku. Hidup aku dan Alisa bukan hak kau untuk masuk campur,” kata Fareez.
Fareez pandang aku pula sebelum matanya turun pada isi dalam piringku. Berkerut sekejap dahi Fareez. Macam nak kata ‘pelahap gila kau ni’. Niat nak kuntum sengih terbantut bila piring bertukar tangan. Fareez ambil piring itu lalu beri lirikan mata garang mengarah aku untuk ikut dia. Sebelum berlalu meninggalkan Qairul, sempat lagi Fareez bersuara.
“Nanti kad kahwin dah siap, kau orang pertama yang aku jemput. Jangan risau.”
Kad kahwin?! Eii! Suka hati dia je nak cakap macam itu. Kalau dibuatnya mamat itu pergi tuntut kad kahwin nanti macam mana? Ah! Macam mana apa? Pandai-pandailah dia jawab sendiri. Siapa suruh tabur janji yang sudah tentu tak akan berlaku?
...
Saya nak beritahu. Minggu depan saya tak update Querida Cinderlisa. Minggu seterusnya saya akan update macam biasa.??
Share this novel