"INI bilik Encik Fareez ke?” soalku sambil melihat ke sekeliling bilik ofis ini. Besar, tapi tak nampak macam bilik orang berjawatan tinggi seperti yang ditunjukkan dalam drama TV sana. Aturan dalam bilik ini pun begitu minimalis.
“Bilik sementara. Bilik yang sebenar tengah renovate. Seminggu dua lagi siaplah tu.”
Oh, patutlah. Pelik juga bila tengok bilik yang agak biasa-biasa ini. Kurang kena dengan jawatan dan skala besarnya syarikat ini. Kiranya pandai jugalah aku ini kan? Baru tengok sekali sudah boleh teka yang ini bukan bilik Fareez. Hehe.
Aku perhatikan Fareez yang sedang bercakap dengan seorang lelaki. Pekerja di sini agaknya. Semua pekerja di sini nampak begitu kemas dan beretika. Semuanya mesra dan tak ada perangai tak semengah seperti yang selalu aku tonton di TV atau baca dalam novel. Bila Fareez lalu di depan mereka, kesemuanya berdiri dan mengucapkan selamat sebelum kembali duduk. Berdisiplin habis.
Atau mereka berdisplin habis kerana takutkan Fareez yang bukan main tegas mukanya? Yelah, keluar saja lif tadi, terus muka tenang itu berubah mendadak. Tegas macam guru besar sekolah lama aku dulu.
Aku tersenyum bila lihat bingkai gambar yang tergantung di dinding. Gambar Fareez dan kedua orang tuanya. Formal betul gambar. Siap berkot dan bertali leher. Mama pula siap berbaju kurung. Bila tengok gambar, baru aku perasan yang papa juga ada sedikit rambut perang seperti Fareez. Perang yang seakan garisan. Mula-mula aku jumpa Fareez, aku fikirkan rambut palsu. Tapi bila perangnya sentiasa ada, aku mula tukar pandangan. Rupanya itu memang rambut ori.
Tapi macam mana boleh jadi perang macam itu ye? Nak kata kacukan, muka mama dan papa keduanya nampak Melayu habis. Ah, senang cerita anggap sajalah kurniaan Allah supaya Fareez nampak lebih kacak. Hehe. Tapi kan, kalau Fareez kacak macam ini, macam mana pula dengan papa Fareez masa zaman muda dulu ye? Mama pula mesti cantik! Mama kulitnya cerah. Papa Fareez kulitnya sawo matang. Keduanya nampak kacak dan cantik walau di usia emas.
“Alisa.”
Aku pusing pandang Fareez bila namaku dipanggil.
Lelaki yang ada bersama Fareez tadi sudah keluar. Nampaknya aku sempat mengelamun sekejap tadi sambil pandang gambar di dinding.
“Ye?” sahutku.
“Aku ada meeting sekejap lagi. Kau boleh tunggu?”
Aku boleh tunggu? Aku angguk. Rasanya tak ada masalah untuk tunggu dia selesai dengan kerjanya. Bukannya kena tunggu di bawah terik matahari. Duduk dalam ruang berpendingin hawa dan bersofa selembut tilam di rumah. Silap haribulan mahu aku berdengkur terus di sini. Elok pula malam tadi aku sibuk marathon Alchemy of Souls sampai subuh baru reti nak tidur.
“Betul ini?” soal Fareez lagi. Seakan kurang yakin dengan aku.
“Betullah. Apa yang tak betul?” Lah, dia ini!
“Jangan sampai aku habis meeting, kau pun hilang ye?”
Aku mengeluh sambil mengangguk laju-laju. Aku tahulah!
Fareez diam. Kembali ke meja kerjanya sebelum sesuatu diambil dari dalam laci meja. Fareez kembali mendekati aku bersama dompetnya. Dompet dibuka sebelum dua keping not 50 dikeluarkan. Duit itu dihulurkan kepada aku.
Aku tak terus ambil. Pandang Fareez dulu. “Apa ini?”
“Kertas.” Loyar buruk pula dia.
“Nak buat apa dengan kertas ini? Lukis?” Tapi aku layan saja.
“Pergi kafeteria dekat bawah. Belilah apa-apa yang kau nak makan.”
Uuuu… “Guna duit ini?” soalku sambil tunding jari ke tangan Fareez.
Fareez hanya angguk sekali. Dan anggukan Fareez automatik buatkan aku tersengih lebar. Yuhuu! Dapat duit makan! Bolehlah beli spaghetti dekat bawah. Sekali dengan air di kafe yang mahal itu. Tapi kalau dapat simpan pun okey juga kan?
“Kalau ada baki?” soalku lagi. Kali ini tersengih kambing dengan harapan Fareez akan bermurah hati untuk beri bakinya kepada aku.
“Ambillah.”
Argh! Yuhuuuu!
Duit itu terus aku ambil. Bersama senyuman paling lebar sehingga terserlah semua gigiku, aku bersuara. “Terima kasih, encik. Semoga rezeki encik terus bertambah-tambah macam air terjun yang takkan kering.” Amin!
Fareez kerutkan dahi. Bibirnya menyenget sedikit sambil aku dipandang lama.
“Dapat seratus pun macam itu punya happy?”
“Eh, mestilah. Siapa nak bagi seratus ini? Tak payah buat kerja apa-apa pula itu. Duit raya pun saya last dapat masa umur 17 tau?”
Fareez tersenyum nipis sambil tunduk tengok jam di pergelangan tangan. “Apa-apa jelah. Aku pergi meeting dulu. Lebih kurang sejam lagi, siaplah kut.”
“Roger!”
“Jangan nak merayap.”
“Okey!”
“Jangan keluar dari bangunan ni.”
“Okey!” Kafe dalam bangunan saja.
“Jangan lama sangat dekat bawah sana. Siap makan minum, naik semula.”
“Okey!”
“Jangan main mata dengan staff lelaki. Aku cemburu.”
“Okey!” Kacang saja itu.
Eh, what? Aku cemburu? Dia cemburu?
Aku pandang Fareez dengan dahi yang berkerut. Sikit punya cuak dengar kata-kata terakhir itu sampai tak terkeluar soalan yang nak diajukan. Sudahnya mata hanya dapat menghantar Fareez yang terus berlalu keluar untuk ke bilik mesyuarat. Sehingga tubuhnya hilang dari pandangan pun, aku masih berkerut hairan.
Dia dah kenapa? Demam ke?
PINTU KACA di depan, aku pandang lama. Inilah pintu yang hampir berkecai kerana dendam aku dulu. Ini jugalah bilik di mana temu duga itu berlangsung. Seorang demi seorang dipanggil masuk untuk ditemu duga. Dan setiap orang keluar bersama muka kecewa ataupun marah. Yang marah itu antaranya akulah. Gila tak marah kalau dianiaya sebegitu rupa?
Siapa sangka yang rupa-rupanya mereka hanya panggil kami semua untuk ditemu duga semata demi formaliti. Padahal mereka sudah ada calon sendiri. Mereka itu merujuk kepada lelaki overdue yang temu duga aku itulah. Membazir dua minggu daripada keseluruhan tahun aku untuk siapkan diri demi temu duga penting ini. Aku geledah Google berhari-hari demi mencari sedikit informasi tentang KN Properties. Menghafal sampai tak cukup tidur.
Sudahnya mereka ‘lepaskan’ aku begitu saja. Padahal aku boleh gunakan dua minggu itu untuk kaji tentang syarikat yang lain lalu pergi temu duga syarikat lain yang mungkin lebih telus. Tapi disebabkan mereka, masa aku terbazir begitu saja. Sungguh aku tak akan maafkan perbuatan si lelaki overdue itu buat selama-lamanya. Dalam tak sedar, dia sudah menganiaya kami. Pandai-pandailah menjawab nanti. Merangkaklah kau cari aku di alam sana!
Done marah!
Aku melangkah meninggalkan bilik tadi. Terus berjalan melalui hall ini sambil mata memerhati sekeliling. Masih sama dengan yang dulu. Mungkin ada yang berubah, tapi aku tak ingat. Aku ini pelupa orangnya.
Kakiku terhenti sebaik saja kepala seakan memanggil satu memori di tempat kaki sedang berpijak ini. Sesuatu pernah berlaku di sini dan adegan itu seakan bermain dalam kepalaku semula. Kejadian yang sebolehnya aku tak nak ingat. Malu!
“Alisa!”
Terlompat aku dibuatnya bila tiba-tiba ada yang melaung namaku. Bukanlah menjerkah atau memang sengaja nak terkejutkan aku pun suaranya, tapi disebabkan bahagian ini agak sunyi dan memang sedari tadi hanya aku ada di sini, maka aku jadi cepat terkejut. Dengan tangan yang menyentuh dada, aku terus pusing pandang ke arah suara.
Mengeluh sekejap bila lihat Fareez yang sedang berdiri di seberang sana. Aku tak tahulah nak terangkan tempat ini macam mana. Tapi secara ringkasnya, kalau aku pandang bawah, aku sudah boleh nampak suku kawasan lobi. Kalau tengok depan, boleh nampak bangunan sebelah yang tidak jauh pun. Fareez sedang berdiri di bangunan sebelah sambil pandang ke arah sini.
Aku cepat-cepat berlari anak melalui penyambung antara dua bangunan kerana takut kalau Fareez marah bila aku merayap di sini. Tapi aku masih ada dalam bangunan kut!
“Kenapa? Dah sampai ke?” Berdiri saja di depan Fareez, aku terus menyoal. Termengah-mengah jugalah aku dibuatnya.
“Yang kau berlari ini kenapa?” Tak jawab soalanku, Fareez menyoal pula.
“Dah encik panggil saya, saya larilah. Mana tahu kalau orang yang encik kata itu dah sampai ke?”
“Mereka boleh tunggu.”
“Mana boleh. Tak baik buat orang tunggu lama-lama. Orang yang tak menepati masa adalah orang yang tak pandai menghormati.”
Fareez jungkit kening sekejap sebelum mengangguk setuju.
“Mereka ada dengan papa. Sekejap lagi papa akan lalu sini juga, jadi kita tunggu je sini. Yang kau ini pula, bukan main rajin merayap sampai ke sebelah ye?”
Aku sengih. Hehe!
“Saya dah habis makan. Tapi encik kata sejam, jadi saya jalan-jalanlah dulu. Bukan senang nak masuk tempat macam ini.”
“Kau buat apa dekat sana?” soal Fareez. Matanya terarah ke tempat yang aku berdiri tadi.
“Saja. Mengimbau kenangan pahit.” Sangat pahit dan memalukan.
“Pahit, hm?”
Aku angguk. Tapi kenapa nada Fareez seakan tak suka dengan kenyataanku tadi? Dia terasa agaknya. Ini kan syarikat keluarga dia.
Kehairanan dalam kepala tak dapat aku ajukan sebaik saja mata terpandangkan sekumpulan lelaki berpakaian formal keluar dari lif. Dan salah satunya ialah papa Fareez. Papa Fareez pun sedar yang aku ada di sini, terus saja dia tersenyum sebelum melambai. Aku membalas lambaian bersama senyuman lebar di bibir.
“Itu orangnya,” kata Fareez sebaik saja melihat apa yang aku lambai.
“Oh?” Alamak! Aku nak diperkenalkan depan orang-orang korporat itu ke? Eii, malunya aku! Semuanya sudah sebaya papa. Ada dua tiga orang yang nampak seperti sebaya dengan Fareez. Semuanya lelaki pula itu.
Aku mula ambil tempat di sisi Fareez bila sekumpulan lelaki itu datang merapati kami. Tangan sudah rasa berpeluh-peluh. Gementar entah kenapa.
“Fareez! Apa khabar?” Seorang lelaki sebaya papa Fareez menyapa sebaik saja mereka berdiri di depan kami. Tangan dihulurkan lalu disambut oleh Fareez. Bersalam.
“Khabar baik, uncle. Uncle dan yang lain macam mana? Bisnes okey?”
Lah, macam pertemuan tidak formal saja ini.
“Kadang-kadang okey, kadang-kadang tidak. Tapi alhamdulillah, bila kebergantungan kita letakkan pada Allah, semuanya akan okey saja,” jawab lelaki sebaya papa Fareez itu. Tenang dan ramah sekali.
“Alhamdulillah. Sebab itulah uncle idola saya dari dulu lagi. Sentiasa letak Allah di depan,” puji Fareez.
Kesemua mereka tergelak. Aku pun ikut gelak sekali supaya tak terlalu janggal walaupun aku tak jumpa mana lawaknya. Nampaklah function sikit bila aku gelak. Kalau diam saja, tak ada beza aku dengan dinding.
“Ini bakal isteri kamu ye, Fareez?”
Alamak! Aku sudah disebut! Cepat-cepat aku kuntum senyum manis sambil menundukkan sikit tubuh sebagai ganti salam. “Saya Alisa.”
“Alisa… Manis orangnya. Nampak macam baya Jasmine saja.”
“Lebih kuranglah itu. Jasmine baru masuk 22 kan tahun ini?” Papa mencelah.
“Ye. Minggu depan baliklah itu. Budak itu kalau selagi tak kita belikan tiket dan paksa balik, memang tak reti nak balik.”
Mereka tergelak lagi. Alahai, pak cik-pak cik ini begitu mudah terhibur. Sudahnya aku hanya menjadi pemerhati dan pendengar setia bila mereka mula buka cerita tentang perniagaan. Rupa-rupanya lelaki sebaya papa Fareez itu ada rangkaian jenama produk makanan seperti bahan masakan, makanan segera dan pelbagai lagi. Ala-ala jenama Nestle tapi versi tempatan. Bila diingatkan semula, memang jenamanya sangat aku kenali. Wajib ada di dapur. Terutamanya sos keluaran mereka. Sedap!
“Kami minta diri dulu ye. Fareez, majlisnya nanti jangan lupa jemput kami ye?”
“Mesti. Takkanlah Fareez nak lupakan uncle. Kami akan jemput uncle bila sampai harinya.”
Dan akhirnya mereka pergi meninggalkan kami. Papa Fareez pun ikut mereka sekali. Memang hanya aku dan Fareez tinggal di sini. Seketika aku dan Fareez senyap. Sekejap, ini saja ke kerjaku hari ini? Hanya untuk diperkenalkan dalam situasi yang begitu ringkas seperti tadi? Kurang sepuluh minit punya kerja? Patah perkataan pula hanya dua?
“Dah. Kau boleh balik. Malam nanti aku transfer bayarannya.”
Eh?! Biar kebenaran!
“Macam itu je?”
“Dah itu nak macam mana lagi? Nak aku buat pengumuman dalam berita yang kau bakal isteri aku?”
“Tapi sekejap betul…”
Fareez tersenyum nipis sebelum masukkan kedua belah tangan ke dalam poket seluar slack. Aku dipandangnya lama sampaikan aku naik segan.
“Aku ada site visit sekejap lagi. Kau pergi balik. Hati-hati bawa kereta,” kata Fareez sebelum lelaki itu terus buka langkah meninggalkan aku begitu saja.
....
Senang betul buat duit dengan Fareez ini kan.
Minggu depan Querida Cinderlisa cuti sekejap ye! Kita update Rayyan dulu.
Share this novel