Bab 15

Romance Completed 24458

BIBIR tersengih bila baca mesej Qairul yang sempat tangkap gambar pastri terbaru dan bakal dilancarkan beberapa hari lagi. Auntie Lyn pun ada dalam gambar, sedang berbungkus dengan apron sambil berkerut dahi. Agaknya dia tak bersedia lagi, tapi Qairul dah snap dulu.

Anak beranak ini nampak rapat. Rasanya kalau nak dibanding Qairul dan Fareez dalam kategori siapa lebih rapat dengan mak sendiri, aku yakin yang Qairul akan menang. Mama Fareez ada kata yang Fareez suka komplin masakan dia. Qairul pula nampak seperti jenis yang nganga saja asal boleh makan, mestilah mommy dia bertambah sayang!

Kalau akulah, orang komplin masakan aku, memang aku campak je senduk dan kuali ke muka dia. Kau masak sendiri!

Pin!

Bunyi hon mengejutkan aku. Kepala terus pandang depan. Senyuman diukir bila lihat sebuah kereta Nissan sudah elok terletak di depan stesen minyak ini. Projek kali ini untuk seorang lelaki Melayu yang berumur 35 tahun. Nizam. Katanya dia perlukan aku untuk ikut dia ke hotel. Bukan bilik hotel, tapi restoran dalam hotel itu. Perjumpaan bersama keluarga.

Peranan aku mudah, hanya jadi calon isterinya untuk diperkenalkan kepada semua keluarganya yang akan turut serta nanti. Dia sudah beri amaran awal yang keluarganya bermulut laser, jadi aku kena pandai-pandailah jawab tanpa tayang muka tak puas hati. Sebulan dua nanti dia akan kata yang kami tak sehaluan. Selesai!

Tawaran yang diberikan, RM 2,000! Pembayarna sudah dibuat awal-awal. Siap dapat makan buffet percuma sebab kos ditanggung oleh pihak lelaki. Haha, penuhlah perut aku hari ini!

Pintu kereta aku buka. Lelaki itu kuntum senyum lebar sambil mempersilakan aku untuk masuk. Sebaik saja punggung dilabuhkan atas kerusi, mataku menangkap kehadiran sebatang gincu di bahagian letak kaki. Malas nak tanya apa-apa, aku terus tutup pintu dan biarkan pemanduan bermula.

Agaknya lelaki ini sudah ada teman wanita. Tapi mungkin teman wanitanya tak mahu berkahwin lagi. Biasalah, sekarang banyak wanita bekerjaya yang punya segalanya. Kahwin? Biar lambat, asal jangan dapat lelaki tak guna atau biawak hidup yang hanya tahu mengikis harta.

“Rumah you dekat mana, Alisa? Kenapa suruh I ambil dekat Caltex je?” soalnya. Aku dikerling lelaki yang santai berkemeja biru itu. Nampak sebaya along. Kulitnya cerah dan wajahnya manis.

“Dekat-dekat situ juga. Saya minta encik ambil dekat situ sebab tak mahu jiran-jiran fikir yang bukan-bukan.” Lagi-lagi sekarang ini sudah malam. Baru lepas maghrib. Lagilah aku tak mahu jiran-jiran nampak.

Hari itu kereta lain, hari ini kereta lain. Tak pasal-pasal aku jadi buaya darat versi betina nanti. Kalau diikutkan, aku boleh je pergi ke hotel itu sendiri. Google Maps kan ada? Tapi itulah, kereta aku buat hal pula. Dia boleh rosak di tengah jalan masa aku dalam perjalanan nak pergi bakeri Auntie Lyn! Nasib baiklah kebetulan Qairul ada dekat-dekat situ. Dialah yang panggil tow truck, dialah yang hantar aku ke bakeri dan dia jugalah yang ambil aku masa balik.

Aku tak minta! Dia yang terpacak dekat depan bakeri sepuluh minit sebelum habis masa kerja aku.

Aku tunduk pandang telefon di tangan bila tiba-tiba nada deringku berbunyi. Encik Muhammad. Fareez? Kenapa dia call aku malam-malam ini? Jangan kata yang dia perlukan khidmat aku pula. Sudahlah upah dia mengiurkan.

Aku tak jawab panggilan. Biarkan sampai panggil tamat, lalu aku hantar mesej.

Sorry... Tak dpt angkat. Kenapa encik call?

 

Tak lama kemudian, mesej dibaca lalu Fareez menaip. Tak lama.

Kau dekat mana? Aku nak bawa kau dinner. Mama nak jumpa kau.

 

Alamak!

-Sekarang ke?

Lepas isyak. Boleh?

 

Double alamak! Mana sempat! Kenapa tak buat je dinner lepas subuh? Dia ini pun beritahu last minute. Kenapa tak sesaat sebelum nak dinner itu baru beritahu aku? Melepas RM 5,000!

“Siapa itu, Alisa?” Tiba-tiba Nizam menyoal. Telefonku sempat dikerling, tapi aku automatik teleng skrin ke arah lain.

“Kawan,” jawabku. Sepatah.

Dia angguk sebelum kembali fokus dengan pemanduan. Aku pun kembali pandang skrin telefon. Mesej balasan aku hantar.

Tak bolehlah, encik. Saya tgh otw ke hotel. Ada kerja dan org belanja buffet. Hari lain boleh?

 

Lama Fareez diam tak membalas walau mesejku sudah dibaca sebelum beberapa ketika kemudian, Fareez tidak lagi dalam talian. Last seen, 7:46 pm. Hmm.

....
Tajuk : Cinderlisa
Penerbitan :Karangkraf (Alaf 21)
Harga: RM 29
Platform Jualan : Shopee, Karangkraf Mall dan lain-lain.

Bab ini bukan clickbait. Saya nak iklan sekejap. Huhu.

Memperkenalkan, Cinderlisa (formerly known as Calon Isteri Upahan). Bakal diterbitkan oleh Karangkraf (Alaf 21) yang insyaAllah dalam bulan ini.

Manuskrip dengan genre romantic comedy ini saya tulis sebelum ayah saya kena strok, yang mengakibatkan saya tak lagi seceria dulu. (Ya, termasuklah untuk berlawak lagi.)

Di , saya akan hanya post sehingga bab 20 atas permintaan penerbit. Maka bab selebihnya, boleh bertemu dalam versi fizikal. ❤️

Pre-order telah dibuka oleh Karangkraf. Kalau berminat untuk mendapatkan novel Cinderlisa, boleh terus ke Shopee Karangkraf (paling mudah sebab majoriti mesti ada Shopee) atau di website Karangkraf Mall.

Pst, dekat Shopee boleh beli masa Karangkraf tengah live. Boleh guna voucher live Shopee. Pembaca saya yang dah beli, dapat harga serendah RM 19 daripada harga asal RM 29!
....

“RESTORANNYA dekat mana, encik?” soalku sebaik saja Nizam melangkah ke arah lif. Hairan, kenapa kena naik lif? Bukan selalunya restoran atau kafe hotel terletak sebaris dengan lobi ke? Inilah lobinya. Jadi kenapa nak ke tingkat atas?

“Oh, kita fine dining dekat atas. Tengok view KLCC.” Mudah Nizam menjawab sebelum kami masuk ke dalam lif. Butang nombor 17 ditekannya sebelum pintu lif tertutup rapat.

Dekat atas? Tapi bukan selalunya restoran yang tawarkan pemandangan sekian-sekian akan buat di tingkat paling atas ke? Dan tingkat paling atas dalam nombor yang ada di dinding ialah 23. Tapi kami nak ke tingkat 17 je. Lagipun nampak ke KLCC dari sini? Aku memanglah tak pernah pergi hotel mewah macam ini, tapi aku pandai jugalah nak agak yang KLCC itu tak akan boleh nampak dengan jelas dari sini. Lagipun ini bukan hotel mewah. Fine dining?

Biar betul?

Entah kenapa, aku mula rasa tak sedap hati. Cuma aku tetap fikir positif dan bawa bertenang. Mungkin betullah apa yang Nizam kata, ada di tingkat 17. Belum cuba, belum tahu kan?

Ting!

Pintu terbuka. Nizam keluar terlebih dahulu sebelum aku membuntutinya. Aku pandang ke kiri dan ke kanan. Dahi mula berkerut bila lihat aras yang penuh dengan pintu hingga ke hujung. Ini macam bilik je. Tak nampak pun restorannya?

“Kita tak salah level ke, encik?” soalku. Tak boleh ditahan, suara mula sedikit getar. Aku mula gelisah.

Nizam yang baru nak berjalan ke destinasinya terhenti bila dengar soalan aku, aku dipandang sebelum senyuman dikuntum manis.

“Inilah tempatnya. Family saya dah sampai dan tengah tunggu kita. Jom.”

Aku membuntutinya. Langkah diatur berhati-hati dengan hati yang sudah berdegup lain macam. Memang ada sesuatu yang tak kena, tapi rasa ingin tahu dan tak mahu tuduh melulu aku menghalang aku untuk cabut lari. Macam mana kalau memang restorannya ada di sini?

Tiba di salah satu pintu, Nizam terus tekan loceng. Dan di saat ini, aku yakin apa yang aku rasakan benar-benar belaka. Mana ada restoran yang pelanggannya perlu tekan loceng di dinding dan tunggu orang buka untuk masuk! Siap ada terminal untuk access card lagi. Ini bilik hotel!

Tak tunggu apa, aku terus berundur. Perlahan-lahan sebelum langkah dibuka untuk cabut lari, tapi tak sempat bila tiba-tiba pintu terbuka dan seorang lelaki muncul di muka pintu. Tidak berbaju. Nampak saja aku, lelaki yang tidak berbaju itu terus menjerkah Nizam.

“Dia nak lari!”

Nizam pandang aku. Tanpa sempat aku meronta, kedua lelaki itu tarik aku masuk ke dalam bilik. Aku Aku sempat berpaut pada bingkai pintu. Menjerit minta tolong sekuat hati sambil kaki ditendang-tendang cuba untuk melawan dan bertahan. Tapi apalah yang tenaga aku dapat buat bila berhadapan dengan dua orang lelaki dalam satu masa?

Aku ditarik masuk oleh lelaki tidak berbaju itu. Tudungku ditarik dan dilucutkannya. Aku tetap menjerit dan cuba berlari menuju pintu yang masih terbuka, tapi gagal. Tubuhku ditahan dan aku disauk ke dadanya.

“Tolong!!!”

“Tolong saya!!!”

“Tutuplah mulut dia itu! Nak aku cakap baru reti buat ke?” Nizam membentak keras.

“Diamlah perempuan!” Mulutku cuba ditekup lelaki tak berbaju. Tapi aku mengelak dengan terus meronta dan menggeleng laju.

“Tolong!!!”

Bum! Pintu yang hampir tertutup ditendang deras dari luar sehingga muka lelaki bernama Nizam itu hampir berlaga dengan pintu. Mataku meluas bila lihat tubuh yang pantas menerpa masuk sebelum Nizam ditumbuk sehingga jatuh terduduk.

Fareez!

Melihatkan kawannya yang awal-awal lagi sudah K.O, lelaki tidak berbaju ini terus melepaskan aku. Aku berundur dan menyorok di sebalik katil. Duduk dengan lutut yang dirapatkan ke dada. Kepala ditunduk lalu dilindung dengan tangan. Aku menangis ketakutan. Aku tak berani angkat muka dan tengok. Aku takut.

Bunyi dentuman dan makian kedengaran berselang-seli sementara aku hanya mampu menangis terketar-ketar. Kerusi terseret. Bunyi kaca pecah. Dan macam-macam lagi...

Ibu... ayah... Alisa takut.

Senyap...

Beberapa ketika kemudian, derap kasut kedengaran mendekat. Aku rasa ada yang sedang berdiri di depanku. Tapi aku tak mahu angkat kepala.

“Alisa...”

Tangisan makin mendayu bila suara itu kedengaran. Suara Fareez. Getaran pada tubuh berkurangan secara tiba-tiba. Jantung yang bukan main kencang tadi mula menemui nadanya semula. Aku rasa selamat sebaik saja mendengar suaranya.

Aku perlahan-lahan angkat kepala bila terasa diri diselubung. Selendangku. Fareez tutup rambut aku yang terdedah dengan selendang yang ditarik tadi. Fareez bawa hujung kedua bahagian membalut leher dan dada. Memastikan auratku tertutup semula. Aku hanya mampu diam memandang dia yang tidak langsung cuba untuk mengambil kesempatan ke atas aku.

Mata bertentangan sebaik saja Fareez selesai membalut auratku. Senyuman terukir nipis di bibirnya. Pandangan Fareez seakan sedang memberitahuku yang aku baik-baik saja. Protective. Mataku turun memandang tangan Fareez pula. Buku limanya merah. Bibirnya berdarah. Dan kedua lelaki tadi...

Nizam sudah hilang. Lelaki tidak berbaju itu tidak sedarkan diri.

Alhamdulillah. Aku masih dijaga. Terima kasih, Allah yang maha melindungi.

...

Ha, pula! Ada yang ambil kesempatan. Nasib baik hero sampai kan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience