“UISH! Siapa yang tengah tunggu kau dekat depan rumah tu? Putera raja mana pula yang sesat masuk Puchong ni?” soal Kak Hanan sambil terkocoh-kocoh masuk ke dalam bilik aku.
Kak Hanan selak langsir yang menutupi tingkap bilik lalu intai ke bawah. Aku juga turut sama mengintai ke bawah meski aku dah tahu gerangan orang yang dimaksudkan oleh Kak Hanan itu. Putera raja sesat itu ialah Fareez. Dari sini aku boleh nampak Fareez yang santai berbaju T belang biru dan putih yang dari jauh pun dah nampak logo Polo itu. Lelaki itu sedang bersandar pada BMW berwarna hitamnya sambil kadangkala mengerling jam di tangan, dan kadangkala pula mendongak pandang rumah Kak Hanan.
“Itulah orang yang sama-sama gila dengan kau tu ye? Yang ambil kau jadi calon isteri upahan tu?” soal Kak Hanan sambil mata tak lepas dari mengintai Fareez di bawah.
Aku angguk sajalah. Tak pasal-pasal Fareez kena cop gila sekali dengan aku oleh Kak Hanan.
Tudung di kepala aku rapikan sebelum beg tangan aku capai.
“Pergi dulu kak.” Tangan Kak Hanan aku salam.
“Ha, kau jaga-jaga sikit dekat rumah orang tu. Jangan nak buat perangai tiga suku kau dekat situ. Tak pasal-pasal kau kena halau dengan mak bapa mamat tu. Buat malu keturunan je.” Sempat Kak Hanan meleteri aku sambil membuntuti langkah aku ke pintu depan.
“Tahulah. Tak adalah orang ni nak mengila dua puluh empat jam, tujuh hari seminggu.” Pintu rumah aku buka sebelum aku melambai Kak Hanan.
Melangkah ke arah Fareez, tiba-tiba rasa kaki ini lembik semacam je. Mana taknya kalau Fareez dah serupa lelaki terhangat di pasaran dekat depan pagar rumah ini. Sedar akan kehadiran aku, Fareez terus berdiri tegap. Tidak lagi bersandar santai seperti tadi. Dengan kedua belah tangan diseluk ke dalam poket seluar, Fareez tenang berdiri sambil memerhati setiap satu langkah aku. Mana tak ketaq lutut kalau kena tenung dengan lelaki macam Fareez? Kira baiklah aku tak rebah ke lantai!
“Hi, querida.” Fareez menyapa terlebih dahulu bila aku sudah berdiri di depan dia.
“Hish, querida, querida. Suatu hari nanti saya mesti akan dapat tahu juga maksud perkataan tu. Encik tunggu jelah.”
Bibir Fareez menyenget tersenyum sebelum Fareez anggukan kepala beberapa kali. “Of course, querida. Suatu hari nanti aku sendiri yang akan beritahu kau apa maksud dia. Cuma sampai suatu hari tu datang, pandai-pandailah kau faham sendiri,” balas Fareez.
Fareez buka pintu penumpang sebelah tempat duduk pemandu lalu dia berdiri di tepi pintu yang dah terbuka itu bagi mempersilakan aku untuk masuk ke dalam. Senget kepala aku pandang Fareez yang bukan main gentleman lagi.
“Dipersilakan, Cinderlisa. Lagi lambat kita gerak, lagi lambat kita sampai. Dan lagi lambat kita sampai, lagi lambat kau dapat balik. Nanti pukul 12 tengah malam bila Cinderlisa bertukar jadi Sleeping beauty, siapa susah? Aku juga yang susah. Kalau kau tergolek jatuh dan tertidur atas lantai tak apalah. Tapi kalau tertidur atas riba aku? Tak pasal-pasal aku fikir kau dah terjatuh cinta dengan aku.” Dengan bibir yang sedang tersenyum senget, Fareez mengarang ayat panjang lebar.
Berasap telinga aku dengar kata-katanya yang juga merupakan kata-kata aku semalam. Menyindir kuat nampak!
Masuk saja ke dalam kereta, Fareez terus tutup pintu dengan penuh cermat. Lelaki itu bergerak ke tempat duduk pemandu sebelum dengan lafaz bismillah dan doa naik kenderaan yang kedengaran sayup-sayup digumamnya, kereta mula bergerak. Di dalam kereta, macam biasalah. Mulut aku mana reti nak diam walau seminit. Ada je benda yang aku nak pot pet kan.
“Monthly kereta ni berapa, encik?” soalku. Tengok! Punyalah kepoh sampai perkara macam itu pun aku nak tanya.
Fareez kerling aku sesaat sebelum kembali tumpukan perhatian pada pemanduannya.
“Kenapa tanya?”
“Tak adalah. Saya ni masih tak habis fikir lagi pasal RM 5,000 tu. Lepas tu, hari ni tiba-tiba encik angkut BMW sebiji untuk ambil saya dekat rumah. Mana encik dapat duit banyak-banyak? Encik kata, encik kerja biasa-biasa je. Takkanlah encik buat part time jual dadah pula?” Aku berleter meluahkan isi dalam kepala.
Aku dengar Fareez berdengus beberapa kali sebelum dia menggeleng kepala.
“Don’t be curious, querida. Let’s keep it this way.” Ringkas saja Fareez membalas.
Tapi kalau dah namanya Medina Alisa…
“Adakah ini bermakna yang encik memang ada buat part time jual dadah?” Aku buat spekulasi terhangat lagi. Kali ini suara aku sudah jadi seram. Kalau Fareez jual dadah, maksudnya duit dia duit haram.
Kalau duit dia duit haram… Maksudnya apa yang aku akan terima nanti pun hasil dari keuntungan haram!
“Tak makan saman betul kau ni kan?” Ada aura nak marah.
“Saya memang tak makan saman. Saya makan nasi je. Lagi sedap kalau lauk ayam.”
Terus Fareez pusing pandang aku lalu jegilkan matanya. Benggang bila aku meloyar buruk.
Aku tayang sengih. Kena sejukkan keadaan sebelum Fareez mengamuk dan tendang aku keluar dari kereta ini. Kalau dekat luar dan aku bawa king kesayangan itu, tak apalah juga. Tapi sekarang ini lain ceritanya. Kalau kena tendang keluar. Memang aku kena bertenggek tepi jalan untuk tunggu teksilah jawabnya. Sudahnya aku pilih untuk diam. Takut kalau mulut aku yang tak makan saman ini bakal menjadi penyebab kenapa aku kena balik naik teksi nanti.
Diam berlarutan untuk sepuluh minit seterusnya sehinggalah aku naik bosan dan buka mulut semula.
“Lambat lagi ke nak sampai rumah keluarga encik ni? Macam dah lama je kita duduk dalam kereta. Rumah keluarga encik tu duduk dekat Sarawak ke?”
Fareez mengerling aku sekali lagi sebelum menjawab tenang.
“Dah nak sampai…” Lalu keretanya membelok masuk ke dalam sebuah selekoh kawasan perumahan elit yang sekali tengok pun dah mampu bikin aku teguk air liur berkali-kali. Pagar sikit punya tinggi. Pengawal sikit punya ramai tengah melepak di pondok pengawal.
BMW yang dipandu Fareez berhenti di hadapan sebuah pagar rumah banglo yang tersergam indah di kawasan perumahan elit ini. Pintu pagar automatik terbuka. Kereta Fareez masuk ke dalam perkarangan rumah, sebelum dari jauh aku dah nampak sepasang suami isteri sedang tersenyum di muka pintu.
“Ini rumah encik ke?” soalku. Tak percaya.
Kereta BMW. Tawar pada aku gaji RM 5, 000 bagi setiap tugasan yang terlaksana dengan baik. Rumah banglo di perumahan elit ini pula…
Entah-entah Fareez memang tokan dadah tak?!
“KAMU tinggal dekat mana, Alisa?”
Aku yang tengah sedap melahap nasi berlaukkan tomyam, telur dadar dan ikan siakap tiga rasa terus terhenti. Angkat kepala dan pandang mama Fareez yang bukan main cantik lagi. Interview sudah bermula!
“Saya tinggal dekat Puchong, datin.”
Ia! Datin, guys! Bukan main-main keluarga Muhammad Fareez Syah ini! Papanya datuk. Isterinya datin. Datuk tau! Fareez bukan tokan dadah macam yang aku fikirkan. Dia anak kepada pemilik a.k.a Chairman KN Properties! Fareez pula duduk di salah satu kerusi Board Of Director yang aku pun tak tahu bahagian mana itu.
Nak pitam aku bila mama Fareez buka mulut dan ceritakan tentang Fareez padaku sebaik saja aku beritahu pada mamanya yang aku tak diberitahu langsung tentang kerja Fareez. Sudahlah aku sudah mengumpat HR, chairman dan sekali gus KN Properties itu di depan mata, kepala dan telinga anak pemiliknya sendiri!
Apa nak jadi? Kenapalah mulut aku ini sentiasa lepas laku? Macam mana aku nak menghadap Fareez lepas ini? Aku dah sedap hati kecam syarikat milik keluarganya di hari pertama kami bersua muka! Pinggan belah, pinggan bertangkup. Ambillah aku, makanlah aku. Mulut aku dah mendeharkai tuannya!
“Apa pula datin, datin ni, Alisa? Panggil mama. Papa pula, kamu panggil papa. Dah nak jadi menantu kami pun kan?” kata mama Fareez.
Ha… Sudah. Nak kena panggil mama pula dah!
Aku kuntum senyum paling awkward di abad ini, lalu aku menganggukan kepala. Setuju sajalah!
“Baik, mama…” Nak terbelit jadi reben lidah ini bila nak sebut perkataan mama itu.
“Kalau kamu duduk dekat Puchong. Nanti lepas kahwin kamu pindah KL ye?” Mama Fareez bersuara lagi.
Aku pusing pandang Fareez di sebelah yang hanya selesa senyap sambil menjamah makanan tanpa mempedulikan aku yang sedang di temu ramah ini. Papa Fareez pun sama. Ikut senyap dan biarkan isterinya yang buat kerja. Fareez angkat kepala pandang aku dengan sebelah kening yang dijungkit, macam nak kata ‘jawablah. Tunggu apa lagi?'.
Aku pandang mama Fareez semula.
“Kena pindah KL sebab apa, Da… Eh! Mama?”
“Lah! Kan Fareez duduk dekat KL. Mestilah kamu pun kena duduk dekat KL kalau dah kahwin kan? Takkan nak duduk asing-asing kut…”
Alahai! Inilah sebabnya kenapa aku rajin buka mulut menyoal siasat Fareez. Sebab inilah! Interview seperti ini akan buatkan aku tergagap-gagap bila satu pun tentang Fareez tak ada dalam tangan aku.
Disebabkan nak tutup semula lubang yang tercipta. Aku cepat-cepat anggukan kepala, mengiakan saja kata-kata mama Fareez itu. Duduk dekat KL pun, duduk dekat KL lah! Bukannya nak kena pindah masuk betul-betul. Habis tugas di antara kami. Habislah cerita calon isteri upahan ini. Entah-entah selesai je kerja aku pada hari ini, aku terus tamatkan kisah calon isteri upahan ini.
“Sedap kan, bang?” Tiba-tiba mama Fareez buka mulut menyoal suaminya yang sedari tadi leka menjamah tanpa angkat kepala.
Bila disoal, barulah papa Fareez angkat kepala pandang kami. Tersenyum buat isterinya.
“Sedap sangat. Tak angkat kepala saya jadinya. Cukup rempah, cukup rasa.”
“Itulah, bang! Pandai sungguh Fareez cari calon isteri. Saya kasi bahan-bahan je, Alisa yang fikir dan masak. Saya tolong potong-potong dan kacau-kacau je tadi, bang. Macam tukang masak handalan bakal menantu kita ni! Tak rugi kita dinner lambat malam ni.” Tinggi melangit mama Fareez memujiku. Sampai berbahang seluruh muka bila dengar pujian dari suami isteri itu.
“Ha, Alisa. Kamu tengok Fareez tu. Dari tadi tak angkat kepala. Tak pernah-pernah lagi tau mama tengok Fareez makan tanpa mengeluh atau kritik masakan orang.” Mama Fareez juih bibir pada Fareez yang sedari tadi tak angkat kepala sama seperti papanya.
Bila diseru, barulah Fareez angkat kepala dan pandang mamanya. Muka tenang ditayang sambil sambung makan semula.
“Biasa-biasa je, ma. Fareez tak kritik sebab hargai dia jadi tukang masak tak bergaji hari ni,” balas Fareez.
“Ialah tu. Selama ni mama pun jadi tukang masak tak bergaji kamu anak beranak. Tak adapun kamu nak hargai? Hari-hari asyik kritik masakan mama. Tak cukup gulalah, garamlah. Pedas sangatlah…”
Aku lihat Fareez hanya tayang muka tak peduli.
“Egolah tu! Tak nak mengaku dah jatuh cinta dengan masakan bakal isteri sendiri. Untunglah Fareez dapat bini macam ni! Mahu memboyot ke depan perut tu nanti. Alisa mengandungkan zuriat kamu. Kamu pula, mengandungkan lemak. Ye tak?” Papa Fareez mencelah.
Dan sejurus itu, terus Fareez terbatuk-batuk. Angkat tangan lalu ketuk dada sendiri berkali-kali. Aku pula kelam-kabut hulurkan air. Fareez ambil cawan yang aku hulur lalu air diteguk sehingga licin bersih. Merah padam muka Fareez.
“Pa… Apa ni?” Fareez menyoal dengan nada tak puas hati.
“Apa ni, apa? Salah ke apa yang papa kata? Dia memang bakal isteri kamu kan? Itu pun nak tersedak?” Selamba je papa Fareez membalas sebelum kembali tunduk lalu sambung makan.
Fareez pusing pandang aku di sebelah. Mata kami bertentangan sesaat sebelum Fareez beri isyarat mata menyuruh aku makan cepat-cepat.
Okey…
....
Nampak tak yang mama dengan papa Fareez dah suka dekat Alisa?? Tunggu dan tengok jelah betapa huru-haranya hidup si Alisa nanti?
Share this novel