TELEFON dimasukkan ke dalam poket seluar. Langkah kaki diatur lembut menuju ke arah sebuah restoran yang terletak elok di depanku. Myvi aku sudah parkir dekat depan sana. Jauh sikit dari sini.
Hari ini ada satu job baru. Melayu, 27 tahun, golongan pertengahan dan rupa yang biasa-biasa. Sebab aku diupah, untuk dibawa makan malam bersama keluarganya. Apa yang perlu aku lakukan pula hanyalah jadi gadis red flag sehinggalah kedua ibu dan bapanya berhenti memaksa dia cari jodoh selepas ini. RM 1000 untuk tugas yang berjaya. Kalau gagal, satu sen pun aku tak dapat!
Kali ini aku sudah temu ramah lelakinya siap-siap untuk elakkan babak ter err err sepuluh saat bila disoal oleh keluarganya.
Kali pertama bawa watak antagonis, aku rasa berdebar sikit. Yelah, depan keluarga Fareez, akulah puteri paling ayu yang sempurna semuanya untuk diambil sebagai calon menantu. Tapi yang ini, aku kena berubah 180 darjah jadi calon menantu hantu yang bakal diruqyahkan.
Caiyok!
Masuk saja ke dalam restoran, aku terus nampak keluarga sasaran. Kaki diatur ke arah mereka. Senyum dikuntum nipis sebelum tanpa salam, aku terus landing atas kerusi. Pertama, beri first impression yang terburuk!
“Hi, mak cik, pak cik.” Sudah sedap betulkan posisi barulah aku menyapa sepasang suami isteri yang sudah tak berkelip pandang aku. Terkejut.
Pura-pura tak hiraukan mereka, aku terus pandang anaknya yang duduk di sebelahku. Nampak sedikit gelisah. Mungkin risau jika rancangan ini gagal. Huh, jangan tak tahu yang aku ini pelapis Song Hye Kyo!
“Awak, panas gila tau! Kenapa tak ambil saya?” soalku. Sedikit merengek marah macam nak minta penyepak di muka. Aku sendiri geli dengar suara aku!
“Kereta rosaklah,” balasnya.
Hai, lelaki ini keras semacam. Lenggok tubuh pun sudah nampak betul yang dia tak selesa dan dalam keadaan cemas. Mata hanya pandang meja dan sesekali kerling pandang aku. Itu pun sesaat dua saja.
“Kan saya dah kata beli je kereta baru. Kereta tu campak je dekat besi buruk. Asyik rosak je!” Kedua, jadi kurang ajar.
Aku kembali pandang sepasang suami isteri itu. Riak wajah mereka aku analisis sekejap. Hm, nampak sedikit tegang. Sudah ada aura nak terbalikkan meja ini lalu seret anak lelakinya jauh-jauh. Tapi nanti dulu! Setakat ini saja tak akan bawa perubahan jangka masa panjang. Mari kita cucuk lagi sampai mereka betul-betul panas.
Aku kuntum senyum lebar. “Apa kata kita bincang terus tentang hantaran. Lagipun saya dengan Hilmi dah setuju nak kahwin cepat-cepat. Kan Mi?” Aku leret manja hujung kata sambil kerling lelaki di sebelah. Dia laju-laju mengangguk.
Keras teruk! Kau baru kena sumpah jadi batu ke?
“Betul ke kamu ini nak kahwin dengan Hilmi? Anak mak cik tak ada apa-apa. Kereta pun dah semput. Gaji cukup-cukup makan je. Nak beli kereta baru, memang lima tahun akan datang pun tak tentu lagi,” balas ibunya. Sempat menyindir lembut di hujung kata. Aku dipandang atas bawah.
“Mestilah betul, mak cik. Kami dah bincang pun. Hantaran RM 30,000.”
“Ha?!” Sepasang suami isteri itu terus ternganga. Aku dipandang dengan muka yang lebih tegang.
“Mahalnya! Apa saja yang kamu boleh buat? Pandai masak? Buat kerja rumah?” soal si ayah.
Aku geleng penuh yakin. “Tapi saya ada degree.” Ketiga, demand kena tinggi walaupun serba tak hado!
Mereka terkebil-kebil pandang aku. Pandangan sudah mula jengkel dan menyampah. Dalam hati mungkin sudah berbakul sumpah seranah untuk aku. Jangan diseranahnya aku dekat tengah-tengah restoran ini sudahlah. Mahu ada tangan yang laju saja tekan record. Buatnya lalu dekat fyp ibu, memang tujuh kaki ke dalamlah aku esok pagi.
“Saya dah bincang dengan keluarga saya dan Hilmi. Kami akan beli apartment depan jalan sana. RM 1200 je sebulan.”
“Kamu kerja ke?” soal ayahnya lagi.
Aku geleng. Yang ini memang terlebih yakin punya geleng sebab hakikatnya memang aku tak kerja. Bukan tak nak, tapi tak diterima!
“Jadi Hilmi yang kena bayar rumah tu?”
Aku angguk. “Lagipun itu memang tanggungjawab suami untuk sediakan rumah buat isteri.” Dan aku kuntum senyuman penuh gembira selepas melontarkan statement terakhir. Tanggungjawab!
“Banyaklah kau punya tanggungjawab! Dapat dekat anak aku perempuan macam kau ini, nerakalah hidup dia! Amboi, ada degree terus nak letak RM 30,000. Kalau pandai masuk dapur itu tak apalah juga, ini tidak! Kau nak bagi anak aku makan degree kau itu ke? Sudah Hilmi, mari balik! Panas hati aku!” Meletus juga si ibu akhirnya. Meja siap ditepuk geram sebelum mereka angkat punggung dengan Hilmi ditarik sama.
Hilmi pandang aku sekilas sebelum buka langkah mengikuti arah tarikan ibunya. Pandangan lega. Rancangan sudah berjaya.
“Kamu jangan nak memandai bawa perempuan macam itu jumpa aku lagi, Hilmi! Tak padan dengan bodoh, sombong pula itu! Bukan main lagi! Dia itu bukan nak kahwin dengan kamu, tapi duit kamu!”
Aku tersenyum saat telinga menangkap leteran si ayah. Kalau macam itu punya marah, rasanya setahun dua juga boleh lupa tentang anak yang sudah terlajak bujang. Rela tak bermenantu daripada dapat menantu tapi macam hantu! Haha!
Telefon berbunyi. Aku pantas menyeluk poket seluar dan periksa pemberitahuan.
Ada mana?
Fareez.
Restoran Bayu de mata. Kenapa?
-Baru lalu dpn rumah Hanan lps jumpa kawan. King tak ada. Nak aku jemput?
Aku tersengih. Mereng ke apa si Fareez ini? Dia sendiri yang kata Myvi aku itu tak ada di rumah, jadi dah semestinyalah aku keluar naik Myvi itu. Sudah itu buat apa nak dijemput lagi?
Aku blh pandu blkg King. Dah malam ni.
Tak sempat aku nak balas mesej tadi, dia sudah hantar satu lagi mesej. Hailah Fareez ini. Dia buat aku terharu sesaat. Siap nak escort aku lagi ye? Tapi bila diingatkan semula yang dia samakan aku dengan Ursula, terus cancel nak terharu.
No need. Sy nak balik dah.
Beberapa ketika menunggu, tiada balasan sama sekali. Tahu-tahu saja Fareez sudah offline. Tinggalkan hanya bluetick untuk aku.
Telefon terus dimasukkan ke dalam poket semula. Aku berjalan keluar. Waktu-waktu macam inilah baru rasa nak menyesal parking kereta jauh-jauh. Sudahlah dah nak masuk jam 11 malam. Keluar pula sendiri. Kenapalah aku tak heret je Kak Hanan untuk teman sekali tadi?
Beg tangan digenggam erat bila kaki mula melalui kawasan parkir yang sunyi semacam. Lampu pula hidup segan mati tak mahu. Kalau macam ini punya sunyi, bukan hantu je yang ada dalam kepala. Macam mana kalau ada orang jahat di sini? Bukan aku tak tahu sini lokasi panas mat gian.
Terasa diri diperhatikan, aku terus lajukan langkah. Myvi yang ada di depan sana aku pandang tak lepas. Rasa jauh semacam jarak aku dengan kereta bila dalam situasi seperti ini. Macam jauhnya jarak aku dengan Lee Jae Wook. Lah tiber.
Kunci kereta aku keluarkan bila jarak tinggal kurang lima langkah. Kunci ditekan sebelum tangan dihulur untuk membuka pintu.
“Alisa.”
“Ibu!!!” Serangan jutsu kirin! Beg tangan dilayang sebelum dihempuk-hempuk ke tubuh entah siapa yang ada di depanku. Nyahlah kau, mambang!
“Alisa! Ini akulah!” Namaku diseru lagi serentak tanganku ditangkap. Seraut wajah terlihat jelas di depan mata. Fareez!
“Encik!” Alamak! Yang aku kirinkan tadi Fareez ke?!
“Kau okey?” soal Fareez. Tanganku dilepaskan sebelum jarak ditambah. Aku dipandang atas bawah seakan nak periksa kalau aku cedera.
“Saya minta maaf, Encik Fareez! Saya ingatkan perompak tadi! Sakit tak? Ada luka ke?” Kelam-kabut aku minta maaf. Mata tak tentu arah periksa muka dia yang elok sangat itu. Kalau bercalar muka anak orang ini, mahu aku kena saman sejuta! Aset terbesar seorang Fareez.
“Aku okey. Yang kau ini kenapa menggelabah sangat?”
“Takutlah. Sunyi...” Aku pandang kiri kanan. Peliknya, tiba-tiba rasa takut tadi hilang sebaik saja aku nampak muka Fareez.
Tapi sekejap...
“Apa encik buat dekat sini?” Soalan sebenarnya, kau ini betul-betul Fareez ke? Dibuatnya dia bertukar jadi hantu bungkus nanti, mahu meninggal aku.
Fareez tak jawab soalan aku. Sebaliknya dia tolong bukakan pintu sebelum beri isyarat mata suruh aku masuk ke dalam kereta. Dalam rasa hairan, aku masuk saja. Enjin dihidupkan sebelum aku pandang Fareez semula.
“Tunggu aku dekat simpang keluar itu. Kereta aku ada dekat depan restoran.” Tak sempat nak balas apa-apa lagi, Fareez sudah angkat kaki dan berlari menuju ke arah restoran yang terletak jauh sikit dari sini.
Lah! Kiranya dia di sini sebab nak escort akulah ye? Walaupun aku kata tak perlu tadi? Mak aii! Dia yang bayar aku RM 5,000 sekali kerja itu ke, aku yang bayar dia?
Tak mahu berlama di tempat sunyi ini, aku terus mulakan pemanduan. Cari simpang keluar yang dimaksudkan Fareez sebelum aku tunggu seketika di situ. Beberapa minit kemudian, kereta Fareez muncul di belakang Myvi. Fareez bunyikan hon pendek tanda dia ada di belakang. Dan dia memang ada di belakang kereta aku sampailah kami tiba di depan rumah Kak Hanan. Nampak aku masuk rumah barulah dia berlalu pergi.
Aku cepat-cepat hantar satu mesej ringkas.
Terima kasih. Drive safe ?
Bibir tersengih saat mesej itu dibaca oleh dia. Tapi tak ada balasan pun. Tapi tak apa! Asal dia tahu yang aku sangat menghargai kebaikan dia pun cukuplah. Tak sangka... Lelaki macam dia pun boleh jadi gentleman ye? Itu yang dia kata benci perempuan? Huh! Pelik.
....
Amacam, boleh menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik tak?? Ini piala Alisa kalau letak sebelah almari buku pertama saya pun cantik kan??
Jangan lupa share dengan kawan-kawan kalau cerita ini best!
Share this novel