Bab 17

Romance Series 21174

KOT Fareez aku periksa lagi. Tak mahu ada kotoran atau bau busuk walau aku yakin yang aku sudah basuh dengan baik. Siap basuh pakai tangan lagi! Tengok jenama kot yang mahal itu, aku takut nak campak dalam mesin basuh. Rosak baju orang, mahu menangis akaun bank aku. Valentino mak oii! Mati hidup semula pun aku tak sanggup beli walaupun untuk diri sendiri.

Baiklah aku beli makanan. Kenyang pun ye, gembira pun ye.

Aku berjalan menuju ke arah kaunter penyambut tetamu. Tapi belum sempat mulut nak menyapa, tiba-tiba aku dengar namaku dilaung. Aku berkalih. Mencari suara yang seakan familiar di halwa telinga di sekitar lobi. Bibir merekah senyum bila rupanya Qairul yang panggil aku. Dia yang formal dengan kot dan slack sedang melambai dari depan pintu lif.

“Alisa, terkejut saya bila nampak awak tadi. Awak buat apa dekat sini? Seminggu awak MC dan tiba-tiba ada dekat sini,” kata Qairul sebaik saja dia berdiri di depanku.

“Saya nak hantar kot Fareez je. Saya tak sihat, sebab tu MC.”

“Awak tak sihat? Awak sakit apa pula ini? Kenapa tak beritahu saya?” Qairul menyoal lagi. Kali ini bunyinya risau dan sedikit tak puas hati.

Tapi apasal pula aku kena beritahu dia kalau aku tak sihat? Lagipun kan aku dah beri MC aku dekat Kak Munirah. Kemudian aku ambil cuti tanpa gaji untuk dua hari memandangkan aku masih tak selesa untuk berada di luar rumah. Baru hari ini aku lega sikit dan beranikan diri untuk ke sini. Itu pun untuk hantar kot Fareez saja.

“Saya demam jelah. Buat apa nak beritahu awak?” Aku sengih.

Qairul diam saja. Nampak kurang suka dengan jawapanku, tapi dia pilih untuk menerima tanpa soalan lanjut. Aku lihat Qairul pandang tingkat atas sekejap sebelum kembali pandang aku.

“Fareez baru habis meeting. Dia ada dekat atas. Awak tahu mana bilik Fareez kan?”

Err, bilik yang mana satu? Hari itu katanya bilik dia yang sebenar tengah renovate. Dah siap ke? Atau masih di bilik yang sama? Aku sebenarnya tak bercadang pun nak naik atas. Aku ingat nak bagi je dekat pekerja di kaunter itu. Biar mereka yang serahkan kepada Fareez. Aku tak mahu menganggu waktu kerja lelaki itu. Fareez pula spesis manusia yang kalau dah tekan mood serius, dia terus nampak menakutkan.

Takut den!

“Ke awak nak saya teman?”

“Eh, tak payahlah! Saya naik sendiri.” Laju saja aku tolak.

“Okay then... Saya ada kerja. Meeting di Sepang. Saya pergi dulu ye?”

Aku angguk sambil tersenyum. Sempat tangan melambai Qairul sebaik saja dia berlalu pergi. Hilang saja bayang Qairul, aku terus masuk ke dalam lif bersama seorang wanita India. Sebaik saja pintu tertutup, aku terus pusing ke arah bertentangan. Pandang lif berdinding lut sinar ini. Sudah beberapa kali ke sini, tapi ia tak pernah gagal untuk buat aku kagum.

Aku boleh lihat setiap tingkat. Ada yang sedang bersembang, ada yang sedang berjalan tenang, ada yang sedang duduk berehat dan ada juga yang kelam-kabut berlari. Nampak sibuk betul dengan urusan masing-masing. Bibir tersenyum bila mata menangkap seorang lelaki yang sedang berdiri di tingkat tujuh. Di kawasan hallway yang membolehkan aku untuk melihatnya dan dia melihatku. Lebih jelasnya, itu Fareez dan sebaik saja aku nampak dia, mata kami terus bertentang bagai dia memang sudah sedia memandangku.

Fareez ikut tersenyum dan dia angkat sebelah tangan tanpa melambai.

Aku mula kelam-kabut bila lif tidak berhenti dan terus naik melepasi tingkat tujuh. Sempat aku tangkap Fareez tersengih melihat aku. Tombol pada lif aku tekan dengan harapan ia akan terbuka di tingkat lapan. Bolehlah turun dengan tangga. Tapi sudahnya aku tersesat terus ke tingkat 17. Rupanya aku tak pilih tingkat semasa naik tadi. Aku hanya ikut pekerja India di dalam lif ini yang memang nak pergi ke tingkat 17.

Sebaik saja pekerja India tadi keluar, aku terus tekan butang bernombor tujuh. Lif tertutup dan mula turun. Beberapa ketika kemudian, pintu terbuka dan aku tersenyum lebar bila lihat Fareez yang sudah sedia berdiri di depan lif. Dia juga sedang tersenyum. Nampak macam tengah tahan gelak.

“Sayang!”

Niat mahu menyapa terhenti sebaik saja seorang wanita berdiri di belakang Fareez. Tubuh Fareez dipeluk daripada belakang. Aku terkedu melihat adegan depan mata. Wanita cantik dan seksi itu peluk Fareez depan mataku. Adakah dia...

Pintu mula merapat dan aku tiada niat untuk menahannya. Pintu tertutup dan lif mula turun ke bawah.

AKU tutup telefon selepas baca mesej yang dihantar Kak Hanan sepuluh minit lepas. Katanya, Fareez datang rumah untuk cari aku. Disebabkan aku lambat balas mesej, maka Kak Hanan terus bagi tahu di mana aku berada sekarang supaya Fareez boleh cari sendiri.

Aku bukan sengaja balas lambat. Tadi ramai pelanggan dan aku sibuk dengan kerjaku. Bila aku buka saja telefon, Kak Hanan kata Fareez sudah dalam perjalanan ke bakeri.

Hai, kenapalah dia cari aku? Kalau teman wanita dia marah dan serang aku macam mana? Sudahlah aku ini baru cuba diperkosa. Takkanlah tak sampai dua minggu, aku nak kena smackdown dengan perempuan berambut perang dan skirt pendek itu pula? Tolonglah, aku wanita yang menyokong wanita. Tak ingin aku tikam wanita lain!

“Satu set besar brownikes, please.”

Aku angkat kepala bila telinga menangkap suara yang cukup aku kenali. Cepat-cepat aku bangun dan mengintai ke kaunter. Tepat sangkaan aku. Yang baru saja buat pesanan itu Fareez. Dia sedang berdiri di depan kaunter bersama plastik KFC di tangan. Brownikes, nama di bakeri ini untuk brownies. Beli untuk teman wanita lagi ke? Bukan datang nak cari aku?

Aku hampir melompat bila mata Fareez yang fokus pandang pekerja depan kaunter, tiba-tiba naik pandang aku. Kening dijungkit sebelah bila mata bertentangan seakan dia tahu yang aku memang mengintai dia. Sebab dah kantoi, maka aku terus keluar dan duduk di salah satu meja. Fareez tetap di sana. Selesai membayar dan dapat pesanannya, barulah dia labuhkan duduk di kerusi bertentangan.

Diam seketika sehinggalah Fareez letakkan kotak bungkusan brownies bersama KFC di atas meja lalu ditolak ke arahku. Giliran aku pula jungkit kening. Apa ini?

“Kau sukakan? Untuk kau.”

“Bukan untuk perempuan rambut perang tu?” Tak sempat tahan, laju je mulut aku menyoal dalam nada sinis. Sudah terlepas barulah rasa macam nak tampar mulut sendiri. Karang tak pasal-pasal dia fikir aku cemburu!

Fareez tak terus menjawab. Dengan sengih sengetnya, dia membalas, “cemburu?”

Aku luaskan mata dan tayang riak terkejut walaupun sebenarnya dah tahu pertuduhan itu akan dikenakan juga. “Cemburu? Untuk apa? Nonsense!”

“Kalau tak cemburu, kenapa kau terus pergi dan tinggalkan kot dekat staff aku?”

“Itu...” Alamak! Nak cakap apa ini? Kenapa aku sendiri tak ada jawapan untuk soalannya? Ah, kasi hantam sajalah!

“Itu sebab saya tak nak kacau awak dengan teman wanita awak.”

Fareez diam. Aku dipandang lama. Pandangan yang kosong seakan dia hanya mahu memandangku. Tak perlu penjelasan dan sebarang kata. Hanya sebuah pandangan. Beberapa ketika kemudian, barulah dia kuntum senyum nipis.

“Tapi itu bukan teman wanita aku.”

Eh? Bukan teman wanita, tapi berpeluk? Bersayang? Tipulah!

“Aku tahu kau akan kata yang aku menipu sebab dia peluk aku atau panggil aku sayang. Tapi sungguh, dia bukan teman wanita aku. Well, dulu. Sekarang tak lagi.”

Dulu? Gadis yang dikatakan Qairul pada malam itu ke? Yang buatkan Fareez tak bercinta lagi?

“Aku tak tahu nak terangkan macam mana, Alisa. Kalau aku bersuara, aib dia akan terbuka dan aku tak mahu buka aib orang. Dia masa lalu yang aku tak nak fikirkan lagi. “

Boleh percaya ke dia ini...

“KFC itu set 15 ketul ayam. Kongsilah dengan rakan sekerja kau. Bawa balik untuk Hanan juga sebagai tanda terima kasih sebab dia pilih untuk memahami selama emosi kau kucar-kacir. Brownies itu pula untuk kau. Jangan berani kongsi dengan orang lain. Hanya kau,” kata Fareez. Matanya turun pandang kotak-kotak atas meja sebelum mata kembali naik pandang muka aku.

Bawa balik untuk Kak Hanan sebagai tanda terima kasih? Kak Hanan buat baik dekat aku, tapi dia pula yang nak balas jasa. Brownies pula... Bukan main lagi ye? Sempat bagi ugutan pula itu.

“Yang aku pesan melalui Qairul hari itu pun untuk kau. Aku tak sangka pula yang kau kerja dekat bakeri ini...”

Dahiku berkerut seketika bila kepala seakan menangkap satu nada di hujung katanya. Tak suka. Dia tak suka aku kerja di sini ke? Dan Fareez beli aneka dessert saiz besar itu untuk aku? Tapi kenapa dia tak bagi pun...

“Aku ingat kau ada dekat situ sebab kau ada hubungan dengan Qairul. Jadi aku batalkan hasrat aku. Baru hari ini aku tahu yang kau kerja di bakeri mommy dia.”

“Kenapa? Cemburu?” Giliran aku pula untuk memerangkap. Perangkap yang memang terlebih perasan! Hahaha.

Fareez tersengih sebelum mengeluh pendek. Tapi dia tak jawab pun soalanku. Hanya begitu lalu diam sampai ke sudah. Tapi bila aku juga diam, Fareez terpaksa buka mulut.

“Tak apa ke kau duduk dengan aku? Ini kan waktu kerja?” Hm, soalan seorang majikan.

“Saya belum rehat lagi. Dekat sini kami boleh rehat sejam pada bila-bila masa ikut giliran. Jadi tak apalah kut.”

Fareez mengangguk faham.

“Kau selesa kerja dekat sini?” soal Fareez.

“Bolehlah.”

“Kau tahu yang kau boleh minta kerja dengan aku juga kan? Datang saja, Alisa. Anytime.”

“Apa yang ada pada saya? Kalau setakat encik nak membantu, saya tak sudi menerima. Saya mahu diri saya dinilai dengan telus. Saya benci cable dan orang yang pakai cable sebab saya pernah menjadi mangsanya.” Penemu duga overdue!

Fareez diam.

“Kau dah okey?” Topik lain pula.

“Dari segi?”

“Mental, masih trauma? Fizikal, dah sihat?”

“Alhamdulillah. Semakin baik walau saya masih takut nak keluar dari rumah. Saya sihat.”

Diam.

“Bibir dan tangan encik okey?” Aku pandang bibirnya. Tempoh hari bibir itu berdarah. Sekarang nampak macam dah okey. Tangannya juga sudah tidak merah lagi.

“Okey. Berdenyut jugalah sehari dua. Tapi sekarang dah okey.”

Aku mengangguk faham sebelum sambung tutup mulut semula. Hanya pandang satu sama lain sambil sesekali toleh pandang ke luar bakeri. Di luar ini hanya ada tempat letak kereta saja. Di depan lagi ada stesen LRT. Tak ada yang menarik pun untuk dilihat.

“Kau dah tak banyak bercakap.”

“Encik rindu saya yang banyak bercakap?”

“Mungkin.”

Aku hampir ternganga bila Fareez seakan mengiakan. Aku hanya tanya macam itu sebagai satu usikan. Tak sangka pula yang dia akan jawab. Aku ingat dia akan kata aku perasan atau guna skema ayatnya yang ‘jangan jatuh cinta dengan aku’ itu. Ah, jangan fikir sangat. Dia pun nak mengusik je itu.

Oh ye... Aku baru teringat.

“Malam ni datanglah rumah Kak Hanan. Bawa mama dan papa encik sekali. Saya ingat nak masak sikit.”

Dengar saja kata-kataku itu, mata Fareez sedikit meluas. Nampak teruja. Mata seakan bersinar. Apalah yang dia suka sangat dengan masakan aku? Aku rasa biasa je. Aku ini siang ikan pun tak lepas lagi. Memasak pandailah. Tapi nak siapkan bahan masakan, memang out dan terburuk.

“Boleh. Pukul berapa?” kata Fareez.

Betul sangkaan aku. Dia teruja!

“Lepas maghrib?”

Fareez terangguk-angguk. “Okey. Lepas maghrib aku datang.”

“Kena bawa mama dan papa encik tahu? Kak Hanan tak ada dekat rumah. Kalau encik datang sorang, kita akan tinggal berdua. Pilihannya pun ada dua je. Sama ada makan dekat tepi jalan, atau makan dekat dalam lalu ditangkap kering.”

Fareez toleh pandang ke arah lain. Bahunya terenjut-enjut bersama bibir yang dapat kulihat tersengih. Spesis ketawa yang paling aku geram sampai teringat pertemuan kali pertama kami. Begitulah cara dia gelak. Ketawa sambil control macho. Kalau terlebih ketawa, mungkin air liur atau hingus akan tersembur keluar. Imej yang tak baik untuk seorang Fareez.

Fareez kembali pandang aku. Mata bertentangan dan Fareez kuntum senyum nipis. Pandangannya lain. Tak seperti pandangan yang pernah aku lihat padanya. Pandangan ini mula aku kenal pasti selepas insiden itu terjadi. Pandangan yang lembut dan buatkan aku rasa begitu selamat. Aku masih tak senang berada dekat dengan lelaki. Qairul tidak terkecuali. Tapi dengan Fareez... Lain.

Mungkin kerana dia yang datang pada malam itu.

“Aku akan bawa,” balasnya sambil mengangguk tenang.

“Ada permintaan spesifik? Supaya saya senang nak cari bahan nanti.”

Fareez diam, berfikir. Beberapa ketika kemudian, dia ketuk meja dengan jari telunjuknya sebelum bersuara, “aku teringin nak makan tomyam hari itu. Tapi aku juga nak rasa masakan kau yang lain.”

Hm, nak makan tomyam tapi nak juga rasa masakan yang lain? Tomyam dan bihun. Tomyam dan nasi. Bihun dan sup. Sup dan nasi. Huh, aku sudah tahu apa yang nak dimasak nanti. Empat menu berbeza dengan dua jenis lauk sahaja. Lepas itu, buat bergedel sebagai tambahan untuk dimakan bersama sup dan ikan untuk dimakan bersama nasi.

“Okey.”

...

Cieeee, dah start dah jiwang dua orang ni?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience