Bab 18

Romance Series 21005

“ASSALAMMUALAIKUM!”

Aku cepat-cepat capai tudung. Tudung disarung ringkas sebelum aku melangkah ke arah pintu. Sempat aku intai melalui tingkap bagi memastikan yang di luar itu memang Fareez dan keluarganya. Suara yang memberi salam tadi perempuan. Mungkin mama Fareez.

Aku tersenyum bila lihat mama yang sedang berdiri di depan pagar. Aku cepat-cepat keluar. Tangan dilambai lalu salam dijawab. Pagar aku buka kuncinya lalu ditolak sehingga terbuka luas, cukup untuk Fareez bawa masuk keretanya ke dalam. Kak Hanan ada kursus dan bawa kereta aku memandangkan dia tak ada kereta sendiri. Jadi tempat letak kereta memang lapang.

Bila diingatkan betapa berat hatinya Kak Hanan nak tinggalkan aku sendiri, aku terus tersengih. Aku memang takut nak duduk sendiri di sini, tapi tidaklah sampai aku nak tahan Kak Hanan supaya tak pergi kursus. Aku hanya mampu pastikan keselamatan di sini dalam keadaan optimum. Semua pagar aku kunci termasuklah semua pintu dalam rumah ini. Kononnya kalau ada orang jahat masuk, dia akan konfius mana yang berpenghuni dan mana yang tidak.

Hahaha.

Aku bersalam dan berpelukan dengan mama. Bila nampak mama Fareez, tiba-tiba aku teringatkan ibu dan ayah. Kalau aku di rumah sekarang, pasti aku akan rasa selamat dan tak perlu bimbangkan apa-apa. Tempat yang paling selamat bagiku adalah tempat duduknya kedua ibu dan bapaku.

“Alisa sihat? Fareez beritahu mama yang Alisa demam berhari-hari.”

Aku kerling Fareez yang baru keluar daripada kereta. Tak sangka pula dia beritahu mama. Sekadar itu sajakah yang diberitahu Fareez? Sebab aku memang tak mahu ada yang tahu tentang insiden itu melainkan yang sudah sedia tahu ini. Aku tak mahu orang bersimpati atau melapor.

Fareez mengerdip lembut sambil menggeleng perlahan. Tanda yang mama tidak tahu sampai ke situ. Nasib baik!

“Alisa sihat, ma. Demam sekejap je. Mama jangan risau ye. Alisa masih mampu nak masak untuk mama sekeluarga.”

Mama tersengih suka. Cepat-cepat aku ditariknya masuk ke dalam rumah. Elok kaki masuk ke dalam rumah, mama mula bergosip. Bezanya, gosip ini dibuat depan tuan badan!

“Alisa tahu? Dari petang sampai ke malam Fareez tersengih macam kerang busuk. Sanggup dia tak makan petang sebab nak kosongkan perut untuk makan dekat sini. Suka betul Fareez dengan masakan kamu. Kena dengan tekak dia.”

Pula... Aku tengok Fareez okey je. Tak adapun tersengih macam kerang busuk. Tetap serius dalam tenangnya seperti biasa.

“Oh ye, papa tak ada ke?” soalku. Aku baru perasan yang hanya Fareez keluar daripada kereta. Tiada papa.

“Papa ada dekat rumah kawan dia. Ada jamuan makan-makan. Kebetulan bertembung tarikhnya. Dia suruh kami ke sini sebab tak ada kepentingan pun kami ke sana. Dia ke sana sebagai wakil kami untuk hormati jemputan tuan rumah. Kalau lekas siapnya, sempatlah papa ke sini.”

“Alamak, ini mesti sebab Alisa ajak last minute kan?” Aku mula rasa serba salah.

Kalau aku tahu tadi, memang aku tak akan ajak. Fareez ini pun bukannya nak beritahu aku awal-awal. Kalau tidak boleh saja aku aturkan hari lain untuk jemput mereka. Boleh pula dia dengan bersemangatnya angguk dan biarkan papa ke tempat lain sendiri tanpa keluarga.

Tampo karang!

“Eh, tak adalah! Kamu ajak bila-bila pun, confirm kami datang. Tambah-tambah lagi yang belakang itu...” Mama jeling Fareez yang hanya berjalan membuntuti kami terus ke ruang tamu.

Aku sudah hidangkan makanan di ruang tamu. Siap tarik meja dapur dan bawa ke sini demi memastikan keselesaan terulung buat mereka. Tinggal makan saja.

“Banyaknya kamu masak, Alisa!” Mama tunduk pandang makanan atas meja. Awal-awal lagi mama dah pegang perut. Laparlah itu!

“Mana ada banyak, mama. Sikit je ini.” Bukan nak poyo, tapi ini memang sikit. Biasanya lagi banyak kami masak. Kami jenis yang masak sekali harung. Masak pagi, kena makan sampai ke malam. Kadang-kadang makan sampai ke pagi esoknya. Kalau dekat rumah ibu, lagilah banyak!

Kalau aku sudah berkeluarga nanti, aku akan aplikasikan perkara yang sama. Cuma aku akan masak lebih sekali. Kiranya untuk pagi dan malam. Tak ada kerja aku nak masak tiga kali sehari.

Lebih kurang setengah jam berlalu, kami sudah selesai makan dan anak beranak itu sudah kekenyangan sambil terbongkang atas sofa. Fareez makan bihun dua mangkuk dan nasi sepinggan! Berselera betul dia. Alang-alang mereka sedang berehat di ruang tamu, aku ambil kesempatan untuk jemur kain baju. Bukan apa, bila aku bersendirian ini, nak jemur baju pun takut memandangkan ampaian ada dekat luar.

Ada teman ini kuranglah sikit takutnya.

Baju dalam mesin basuh aku pindahkan ke dalam bakul. Baru bakul nak diangkat, tiba-tiba Fareez datang dan terus angkat bakul itu terlebih dahulu. Tanpa sempat aku tahan, laju saja dia melangkah ke luar rumah. Tapi aku memang tak ada niat nak tahan pun. Biarlah dia angkat. Nampaklah function sikit otot-otot dia itu. Muahaha!

Di luar rumah, Fareez letak bakul atas lantai. Dia duduk di kerusi berdekatan sementara aku siapkan kerjaku. Beberapa ketika berdiam, Fareez menyoal.

“Dah lama kau kerja dekat bakeri itu?”

Aku pandang Fareez sekejap. Tanya soal kerja pula?

“Tak lama. Sebulan ada kut.”

Fareez diam seketika.

“Berhenti kerja. “

Eh? Jenis apakah ayat itu? Tegas dan seakan tiada ruang untuk membantah. Seakan sebuah perintah. Tapi berhenti kerja? Aku? Diarahkan dia untuk berhenti kerja? Biar betul ini?

“Maksud encik?” soalku. Bakul baju aku tinggalkan sebelum aku merapati Fareez. Berdiri di depan dia dengan dahi yang sudah berkerut hairan.

“Berhenti kerja. Jangan kerja di bakeri tu lagi.”

Baru aku nak membidas...

“Kau boleh kerja dengan aku, Alisa. Aku boleh bagi kau kerja. Kalau upah kau sekarang tak cukup aku boleh tambah. Double? Triple? Tak ada hal.” Fareez menambah lagi. Tegas, tapi kedengaran angkuh di telingaku.

Mentang-mentanglah dia berduit, suka hati saja dia nak mengarahkan aku itu ini.

“Encik...” Aku sudah mula berpeluk tubuh. Ikutkan hati memang mulut ini nak melaser. Tapi aku serba-salah kerana memikirkan dialah yang datang dan selamatkan aku pada malam itu. Terhutang budi. Budi yang sangat besar. Jadi aku senyap.

“Alisa... Kau tahu yang bekerja dekat bakeri itu takkan bawa bertahun pembelajaran dan hutang PTPTN kau itu ke mana kan?”

“Encik tengah merendahkan kerja saya ke?” Terus senget kepala aku pandang Fareez. Tak puas hati.

“Tak sama sekali, Alisa. Itu bakeri saudara kami, mestilah aku takkan rendahkan kerja itu. Aku hanya nak beri kau peluang yang bersesuaian dengan kau. Yang dapat jamin perkembangan karier kau semata.” Fareez tegakkan badan, tak lagi bersandar. Dia siap mendongak pandang aku. Wajahnya serius.

“Encik... Saya tahu yang encik baik sangat. Encik banyak tolong saya. Tak pernah berkira dengan saya. Upah yang encik bagi pun terlebih banyak walaupun kerja yang saya perlu buat tak makan setitik pun peluh. Tapi saya rasa, mengarah saya di luar skop kerja saya sangat tak patut memandangkan kita tak ada apa-apa hubungan. Lagipun saya tak mahu dapat kerja hanya sebab saya kenal encik. Nanti apa pula orang kata? Saya dapat kerja dekat KN sebab Encik Fareez? Lagipun ramai yang lebih layak. Saya mahu dinilai seadilnya. Tanpa campur tangan pihak berjawatan tinggi macam encik. Saya dah cakap di bakeri tadi, encik. Dan saya masih berpegang dengan pendirian yang sama.”

Aku diam. Fareez juga diam. Hanya mata bertentangan lama seakan Fareez sedang berkira sama ada dia mahu terus berhujah atau terima saja jawapanku itu. Tapi mungkin Fareez nampak betapa tekadnya aku, dia terus tersenyum nipis sebelum mengangguk lembut.

“Kau terlalu baik, Alisa...”

“Encik yang terlalu baik dengan saya sampai saya tak mampu nak buat jahat dengan encik.”

Fareez kelip mata. Lembut dan tenang. Dan ketenangan itu berjaya buat aku ikut tersenyum juga. Sungguh, walau kami terputus hubungan suatu hari nanti selepas dia tidak lagi memerlukan aku. Aku akan tetap mendoakan dia. Sebab Fareez sangat baik. Dia berhak dapat segala yang terindah dalam hidup.

Hai, kenapalah tiba-tiba sebak bila memikirkan yang suatu saat nanti dia takkan lagi perlukan aku?

“Kenapa mendung je muka? Kau terasa dengan aku?”

Aku kawal reaksi wajah yang entah bila mendungnya. Kepala digeleng laju sambil tersengih.

“Apa pula saya nak terasa? Macamlah saya tak faham mulut encik itu macam mana. Kalau tak menyakitkan hati orang, memang tak sah. Over confident dan poyo.” Aku sambung sidai baju.

Sempat jugalah jeling Fareez yang ikut tersengih bila dengar kutukan aku. Pelik, kena kutuk pun dia suka? Aku tak bergurau tau? Kau memang over confident dan poyo tahap dewa. Ini ikhlas dari hati yang murni dan bersih. Kau memang poyo

“Malam ini kau duduk sendiri?” Beberapa ketika berdiam, Fareez menyoal lagi. Sempat dia pandang kiri kanan sebelum menyoal. Suara pun diperlahankan, hampir berbisik. Langkah keselamatan.

Aku angguk.

“Tak ada ajak mana-mana kawan perempuan yang boleh dipercayai teman kau?”

“Kawan-kawan saya semua dah kahwin. Yang tak kahwin lagipun duduk jauh.” Lagipun aku ini tak ramai kawan. Memang tak banyak yang boleh aku cari. Lagipun aku tak nak menyusahkan mereka.

“Malam ini kami bermalam di sini.”  Tiba-tiba Fareez buat keputusan. Ye, keputusan. Bukan permintaan!

Eh?! Baru nak melawan...

“Pilih, kami tidur sini atau kau tidur di rumah kami. Pilihan kedua, kau kena berkemas. Pilihan pertama, kami dah siap berkemas.”

Eh lagi! Mereka dah siap berkemas untuk tidur rumah Kak Hanan? Biar betul dia ini! Ingatkan nak datang makan saja, sudahnya nak jadi penghuni semalaman juga?

“Tak boleh tolak, Alisa. Hanan yang suruh aku dan mama temankan kau di rumah. Dia risau nak tinggalkan kau sendiri malam-malam ini,” tambah Fareez lagi. Pengukuh segala keputusan.

Kak Hanan ini! Rupa-rupanya sekarang dia dah jadi rakan kamceng dengan Fareez ye? Boleh pula buat keputusan di belakang aku? Agaknya seberapa rapat Fareez dan Kak Hanan ye? Tak sangguplah aku kalau Fareez jadi abang ipar aku.

Tak sempat nak cakap apa-apa lagi, tiba-tiba sebuah Mercedes benz berhenti di depan rumah. Pintu belah penumpang terbuka dan papa muncul dengan lambaian tangan penuh ceria. Keluar saja papa, Mercedes itu terus berlalu pergi. Agaknya itu pemandu papa. Mungkin papa akan balik sekereta dengan Fareez.

“Assalammualaikum semua! Terharunya... Siap berkampung depan rumah tunggu papa ye?”

Aku berpandangan dengan Fareez sebelum kami tersengih. Papa ini apasal ceria semacam? Tak sampai hati nak beritahu yang kami di sini sebab aku tengah jemur kain. Haha.

Fareez buka pagar untuk papa dan suruh papa masuk ke dalam memandangkan mama ada di dalam dan dekat luar ini panas membahang.

“Mari aku tolong kau.” Fareez merapat dan tunduk. Baju dalam bakul diambil lalu dikibas dan disangkut. Aku diam memerhatikan dia.

Fareez, Fareez... Kenapalah sejak kebelakangan ini saya rasa lain betul bila berhadapan dengan awak? Adakah amaran awak yang saya hanya buat main itu akhirnya memakan diri sendiri?

....

Saya tak tahulah kenapa, tapi saya sentiasa rasa part papa Fareez datang dan cakap "terharunya..." Tu kelakar? Harapnya korang pun rasalah. Haha.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience