Bab 19

Romance Series 21005

“SELAMAT DATANG...” Hujung kata sedikit meleret bila aku sedar yang baru masuk ke dalam bakeri bukanlan pelanggan, tetapi Kak Hanan. Ikutkan lidah, nak menyapa riang. Yelah, Kak Hanan melawat aku. Mungkin ada makanan!

Tapi bila lihat wajah Kak Hanan dan langkah yang kelam-kabut semacam, aku mula risau. Nampak seperti ada sesuatu yang buruk berlaku. Apa jadi?

“Alisa!” Kak Hanan merapati aku. Badan disandar pada kaunter sambil nafas ditarik dan dihembus laju. Lelah.

“Kenapa ni? Apa dah jadi?” Aku menyoal. Cepat-cepat aku keluar dari belakang kaunter dan berdiri di depan Kak Hanan.

“Fareez...”

Fareez? Kenapa dengan Fareez?

“Fareez accident,” tambah Kak Hanan. Satu lafas sebelum Kak Hanan terduduk kepenatan.

Inalillahi wainailaihi rajiun! Fareez accident?!

“Fareez ada dekat mana? Macam mana dia sekarang? Macam mana akak tahu yang dia kemalangan?” Bertubi-tubi soalan aku ajukan. Siap bercangkung depan Kak Hanan.

Tanpa sedar, tangan sudah mula berpeluh. Jantung berdegup kencang. Aku mula dilanda kerisauan yang amat sangat. Hati hanya mampu berdoa yang Fareez baik-baik saja.

“Dekat hospital. Dia hilang banyak darah dan tak sedarkan diri. Mama dia call melalui sim Fareez untuk minta akak sampaikan kepada kau. Dia cuba call kau, tapi tak dapat.”

Telefon aku!

Aku cepat-cepat berlalu masuk ke dalam dapur. Loker dibuka dan telefon dikeluarkan. Sakit kepala bila lihat hampir sepuluh missed call bersama dua mesej yang berbunyi...

Alisa, ini mama. Fareez kemalangan. Kena langgar. Alisa tolong datang hospital segera ye? Mama ada hantar lokasinya. Mama dan papa dah tak tahu nak buat apa.

 

Dan satu lagi...

Alisa... Fareez hilang banyak darah. Dia perlukan penderma darah O. Stok darah O di sini tak mencukupi. Mama dan papa tak sesuai. Apa mama nak buat ni...

 

Darah O? Aku darah O positif!

Beg tangan terus dicapai. Apron ditanggal lalu dicampak ke dalam loker. Kunci kereta dikeluarkan sebelum aku terus berlari keluar. Aku tinggalkan kerja, rakan sekerja dan Kak Hanan. Masuk ke dalam kereta, terus aku hidupkan enjin dan tekan minyak. Dalam kepala hanya ada hospital dan Fareez.

Fareez, tolonglah tunggu saya!

Setibanya di hospital, aku terus letak kereta dan berlari sepantas yang mungkin walau aku pun tak tahu di manakah mereka sekarang. Sambil berlari, sambil itu aku menghubungi nombor Fareez. Aku tak ada nombor telefon mama atau papa. Hanya Fareez. Tolonglah angkat!

Beberapa beep...

“Alisa!” Aku terus pusing badan bila namaku dilaung. Terpandangkan mama yang sedang berdiri berdekatan lif, aku terus berlari ke arahnya pula. Panggilan ditamatkan.

“Alisa... Fareez, Alisa. Macam mana ini, Alisa? Apa yang mama nak buat? Macam mana kalau Fareez tak selamat? Ya Allah, Alisa... Mama takut Alisa.” Aku peluk tubuh mama yang hampir melorot jatuh. Sudah meraung dan menangis ketakutan memikirkan segala kemungkinan.

Ya Allah, panjangkan umurnya. Tariklah sakitnya. Sihatkan tubuh badannya. Kuatkan dia. Encik... Tolong jangan takutkan kami. Tolong baik-baik saja!

“Alisa... Mama dengan papa...”

“Alisa darah O. Macam mana nak jadi penderma? Apa produser? Alisa nak derma darah untuk Fareez!” tekadku. Kata-kata mama yang aku potong saja.

Mama terdiam sesaat. Wajahnya mula bersinar. Bersyukur dan sedikit kelegaan dengan berita yang aku bawa. Tubuhku tiba-tiba dipeluk erat olehnya. Aku terkejut, tapi pelukan mama tetap aku balas seadanya. Tubuh mama sedikit menggigil. Pasti mama sangat ketakutan. Fareez itu satu-satunya anak mereka. Pasti takutnya jadi berlipat kali ganda.

KAPAS yang sudah tertanggal lebih belasan jam yang lalu itu aku usap. Ada darah kering di situ. Kapas ini bukti yang darah aku kini berkhidmat buat tubuh Fareez. Ada sebahagian daripada aku dalam tubuhnya. Dan aku bangga dengan diri sendiri yang sama sekali tak teragak untuk buat keputusan.

Fareez dah sedar. Baru je. Mama dan papa ada di dalam sana. Aku di luar saja. Tak mahu mengganggu anak beranak di dalam sana. Lagipun mama menangis teruk sangat. Aku tak suka tengok orang menangis sebab aku akan terikut menangis sama. Jadi aku duduk sajalah di luar. Biarlah mereka yang masuk. Lagipun doktor ada nasihatkan jangan berlama di dalam. Fareez perlu berehat.

Aku sudah semalaman di sini. Tak tidur. Hanya alas perut dengan roti sambil memastikan yang mama dan papa tidak terlalu susah hati. Pemakanan mereka aku jaga sebaiknya. Emosi mereka aku bimbing seutuhnya. Alhamdulillah, mama dan papa tenang. Dan ketenangan itu ditambah lagi dengan rasa gembira bila Fareez sedar.

Kak Hanan... Dia ada di rumah. Rupa-rupanya dia kepenatan sangat itu sebab Kak Hanan berlari untuk ke bakeri yang berjarak lima belas minit perjalanan daripada rumah itu. Aku bawa kereta. Memang kaki sajalah pilihan yang tinggal untuk dia.

Mama dan papa, mereka tak habis-habis berterima kasih kepada aku. Naik segan pula aku jadinya. Rasa macam nak saja beritahu yang pertolongan aku ini terlalu kecil nak dibandingkan dengan pertolongan Fareez sebelum ini. Mama siap kata yang Fareez begitu beruntung kerana ada aku yang tulus mencintai dia.

Cinta?

Kalaulah mama tahu yang sememangnya tak pernah ada cinta di antara kami...

Bunyi pintu terbuka buatkan aku automatik berdiri. Aku tersenyum melihat mama dan papa yang baru saja keluar daripada wad. Mereka nampak lega teramat. Jika nak dibandingkan dengan sebelum Fareez sedar, sekarang mereka nampak gembira betul. Tersenyum lebar.

“Macam mana dengan Fareez?” soalku.

Mama dan papa berpandangan. Senyuman dikongsi sebelum aku kembali dipandang.

“Kamu pergilah masuk. Tengok sendiri sama ada Fareez okey atau tak.” Papa tolong jawabkan. Siap bukakan pintu untuk aku.

Tapi... Aku tak nak ganggu Fareez.

“Fareez yang nak jumpa kamu, Alisa,” tambah papa.

Dan disebabkan itu, aku terus mengangguk lembut sebelum melangkah masuk ke dalam bilik. Salam diberi sebaik saja aku lihat Fareez tersenyum untukku. Pintu bilik ditutup oleh papa. Wad eksekutif ini memang cantik dan luas. Entah berapalah cajnya. Kalau aku, memang tak mampu. Ini hospital swasta. Kalau tak ada insurans, memang berangan sajalah nak ke sini.

Aku merapati Fareez. Berdiri di sisi katilnya sambil bibir mula merekah membalas senyuman lembut Fareez. Takut pula aku tengok dia senyum macam itu. Senyum tanpa sebab. Harapnya doktor dah periksa kepala dia.

“Encik okey?” soalku. Tubuh Fareez aku perhatikan. Kepalanya berbalut. Wajahnya bertampal di sekitar dahi. Tangan kanannya berbalut sama. Mungkin akan bersimen nanti. Bawah pinggang tak pula aku nampak memandangkan dia berselimut.

“Never been better.” Fareez menjawab tenang. Aku dipandang tak lepas yang serba sedikit buat aku kurang selesa.

Tapi sudah bertepek kiri kanan, atas bawah pun dia boleh cakap macam itu? Never been better? Bukan I have been better? Tapi malaslah nak mempersoalkan. Tak akanlah benda macam itu pun nak jadi masalah.

Aku labuhkan duduk di atas kerusi. Fareez yang masih tak lepas pandang aku itu, aku pandang semula. Kenapalah dia pandang aku macam itu? Sakit pula perut ini tiba-tiba. Gementar entah kenapa. Dan seakan faham yang aku tak selesa, Fareez terus tersengih dan tunduk pandang kakinya sendiri. Tak lagi tenung aku macam sudah satu abad tak jumpa.

“Kecederaan encik teruk juga. Tak sakit ke? Kenapa encik tenang sangat?” Aku bersuara lagi.

Fareez diam. Hanya tersenyum nipis tanpa ada ura seperti mahu menjawab soalanku. Okey, double pelik! Mungkin doktor memang lupa nak periksa kepala dia. Atau itulah sebab kepalanya berbalut? Fareez dah mereng ke? Atau dia hilang ingatan macam dalam novel? Oh, tidak! Janganlah sampai macam itu.

Aku mula mati kutu bila Fareez berterusan tutup mulut. Patut ke aku Google dialog yang bersesuaian untuk saat seperti ini? Aku rasa aku patut keluar sajalah. Mungkin Fareez sudah selesai dengan aku. Mungkin dia hanya nak tengok muka aku yang comel ini. Duduk di sini pun, Fareez senyap je.

Baru bangun...

“Kau nak ke mana?”

Keluar pun suara dia. Aku duduk semula.

“Keluar,” jawabku sambil tunding pintu.

“Ada aku izinkan kau keluar?”

“Kenapa pula kena ada izin? Encik owner hospital ini ke?”

“Menjawab!” Amaran!

Aku senyap. Tak sangka. Dalam keadaan macam ini pun dia masih boleh tunjuk garang. Coi betul. Kalau aku ini jahat, memang aku picit kepala dia yang berbalut itu. Baru dia tahu apa maksud tangan perempuan boleh menggoncang dunia. Confirm menggelupurlah dia!

“Kau dah ada teman lelaki?” soal Fareez. Penuh ketiba-tibaan yang automatik buatkan aku berkerut hairan.

Aku geleng. Aku memang tak ada teman lelaki. Zafran pertama dan terakhir dan aku langsung tak bercinta selepas putus dengan dia. Tapi apasal pula dia tanya soalan macam itu?

“Kau nak kahwin dengan aku?”

Jantung bagai berhenti berdegup tiga saat. Mata tak berkelip pandang Fareez. Mulut sedikit ternganga selepas mendengar soalan itu. Entah apa rupa muka aku sekarang, aku tak peduli. Tapi apa dia? Kahwin dengan dia? Fareez serius ke?

Ish, tak mungkin. Mesti dia nak gula-gulakan aku je ini.

“Encik bergurau ke? Tak lawaklah, encik.” Selepas muka dineutralkan, aku membalas.

Fareez diam buat beberapa ketika sebelum senyuman hambar dikuntum. Kepala diangguk perlahan sebelum dia kembali pandang kakinya. Dah kalau angguk itu, maksudnya betullah dia bergurau saja. Bergurau tahap nak minta penampar!

Tapi entah kenapalah aku rasa kecewa pula bila tahu yang itu sememangnya satu gurauan. Apalah yang aku harapkan?

Fareez kembali angkat muka dan pandang kau. Kali ini wajahnya tegas.

“Aku nak kau jagakan aku sampai aku sembuh. Mama dah tak larat. Dan aku tak nak orang entah mana jaga aku.”

Ha? Topik lain pula? Tapi sekejap, aku kena jaga dia? Aku tunding jari pada muka sendiri. Aku? Seriuslah? Aku ini jaga diri sendiri pun tak lepas, sampai hampir dirosakkan si durjana. Dia nak aku pula jaga dia?

“Anggap saja sebagai kerja. Beritahu berapa gajinya, aku akan bayar.”

Aku tunduk pandang lantai. Muka yang tiba-tiba tegang semacam aku kendurkan semula. Hampir saja aku cakar Fareez bila dia bercakap tentang duit. Dia ini tak habis dengan duit. Bab jaga itu aku okey je, tapi sampai bab duit, aku terus rasa nak tolak permintaan itu. Kenapa dia layan aku macam aku ini si mata duitan yang asal ada duit, semuanya boleh jadi?

“Kalau saya tak nak?”

Dahinya mula berkerut. Aku dipandang lama. “Kau tak nak?”

Aku jungkit kening tanda aku memang mungkin menolak tawaran itu. Nak tengok reaksi dia. Kalau dia nak tawarkan aku sejumlah duit yang lebih banyak, memang sumpah aku terbalikkan katil dia! Tapi kalau dia pujuk aku... Hm, akan dipertimbangkan. Hehe.

Tapi sangkaan aku yang Fareez mungkin tawar duit atau memujuk itu salah bila dia hanya mengangguk dan pandang ke arah pintu. Seakan tak peduli. Jadi permintaan itu bukanlah serius sangat kan? Mungkin dia ada senarai nama orang lain untuk menjaga dia dalam kepala. Aku hanyalah salah satu pilihan.

Hai, sakit pula hati ini tiba-tiba. Baik aku keluar sajalah.

Aku bangun. Sempat kepala ditunduk sedikit tanda minta diri sebelum kaki terus melangkah ke arah lintu. Saat tangan mahu memulas tombol pintu, Fareez bersuara, “terima kasih, Alisa.”

Aku terhenti. Statik di situ buat beberapa ketika sebelum tombol pintu terus dipulas dan aku melangkah keluar. Berdiri di sebalik pintu, tangan terus naik menyentuh dada yang lain macam rasanya. Rasa terharu dan gembira selepas mendengar ucapan terima kasih itu. Padahal ia hanya dua patah perkataan yang sering didengar. Kenapa sampai terharu? Ini kesan sampingan selepas derma darah ke? Emosi yang berganda?

...

Alamak, Fareez ajak kahwin pula dah?

Share this novel

Guest User
2024-09-04 20:42:12 

Author ni suka tgk kartun boboiboy ye sbb bnyk sgt dialognya seakan2 sama ... tpi memng best dn menghiburkn ... terbaeeeakkk....


NovelPlus Premium

The best ads free experience