“Apa!”
Zurin terkedu mendengar apa yang disampaikan oleh Wardina tadi. Telinga dia tidak salah dengar, kan?
“Kau hampir kena langgar? Seriuslah!”
Wardina tergelak kecil. Bila teringatkan kembali peristiwa tadi, terasa meremang bulu romanya.
Seriau!
“Betul. Aku tak tipu” kata Wardina dengan mengangkat tangan gaya bersumpah.
Nasib baik umur panjang. Kalau tidak sudah semestinya dia jadi arwah ditempat kejadian. Wardina kembali murung.
“Asal pulak dengan kau ni?” soal Zurin yang hairan dengan perubahan mood sahabatnya itu.
Period ke?
Wardina menjongketkan bahu. Jauh di sudut hati, Wardina sangat terhutang budi dengan insan yang berjaya menyelamatkan dia tadi. Sungguh, tidak terkata dengan pengorbanan tersebut.
Namun apa yang membuatkan Wardina rasa terkilan adalah identiti penyelamat itu.
Lelaki sama yang pernah memalukan dia dahulu!
“Aku terfikir pasal orang yang selamatkan aku”
Kening Zurin terjongket ke atas tanda minta kepastian. Segala beg kertas yang ada di tangan dicampak ke tepi sofa. Sebaik sahaja dia mendapat panggilan dari Wardina tadi, Zurin kelam-kabut ke rumah sahabatnya itu.
Masakan tidak apabila dalam talian lagi Wardina telah umumkan bahawa dia hampir arwah beberapa minit yang lepas.
“Kau kenal ke siapa yang selamatkan kau tadi?”
Soalan Zurin tadi menyesakkan dada Wardina. Kes lama dulu pun memang Wardina ada ceritakan pada Zurin. Namun dia tidak yakin yang sahabatnya itu masih ingat apa yang jadi.
Sedangkan dia sendiri juga hampir melupakan hal tersebut.
“Kenal”
Mata sepet Zurin dikecilkan. Ada seribu tanda-tanya yang berlegar dalam mindanya saat itu. Cara Wardina jawab pun macam tidak bersungguh. Kenapa? Yang selamatkan dia tadi musuh ketat ke?
Atau...ex-boyfriend?
Setahu Zurin, Wardina tidak pernah menjalinkan apa-apa hubungan cinta. Katanya, biarlah kerjayanya stabil barulah cinta itu muncul.
“Kau macam tak suka je dia selamatkan kau?”
Terjegil mata bundar Wardina dengan tuduhan dari Zurin itu. Tak suka diselamatkan? Gila ke apa? Kalau tidak suka, mana mungkin dia akan terselamat. Lebih baik dia biarkan dirinya dilanggar daripada diselamatkan.
Apa punya fikiranlah Zurin ini.
“Kenapa pulak aku tak suka dia tolong aku? Kalau tak, dah lama aku arwah” bidas Wardina.
Zurin pula hanya tersengih seperti kerang busuk. Loyar buruk!
“Habistu, kenapa kau tiba-tiba murung ni?”
Wardina terdiam seketika. Bila difikirkan semula, Wardina sendiri tidak pasti apa yang membuatkan dia tidak suka berhadapan dengan jejaka itu. Sejujurnya, kejadian di kedai bunga milik lelaki tersebut sudah pun lama dilupakan.
Mungkin sebab tiada kata maaf dari dia? Tapi lelaki tadi sudah menyelamatkan nyawanya yang nyaris sahaja hampir dilanggar. Itu pun sudah memadai.
“Kau ingat tak aku pernah cerita dekat kau pasal mamat yang tengking aku dekat kedai bunga dulu?”
Zurin mengangguk laju.
Setahu Zurin, kisah itu telah lama berlalu. Dia juga ingat-ingat lupa sahaja. Yang menjadi tanda tanya, mengapa kisah lama mahu diungkit? Zurin menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ada-ada sahaja Wardina ini.
“Well, lelaki yang aku copkan dia sebagai lelaki tak beretika dulu rupanya penyelamat aku”
Mata bundar Zurin terbeliak luas dengan pengakuan yang dilakukan oleh sahabatnya tadi.
Apa? Biar betul?
“Kau serius ke ni?”
Wardina menjulingkan matanya ke atas dengan soalan tidak berapa cerdik Zurin. Takkanlah dia nak menipu pula, kan?
“Ya. Mamat yang sama, Rin”
Senyuman sinis mula menghiasi wajah Zurin. Idea nakal sudah mula menonjolkan diri dalam otak geliga miliknya. Ada sahaja idea untuk dia kenakan Wardina.
“Kecik betulkan dunia ni, Dina. Dalam banyak-banyak lelaki, dia jugak yang selamatkan nyawa kau”
Ketawa kecil terlepas jua dari bibir mugil milik Zurin. Rasa terhibur pula dengan kisah tragis Wardina. Macam dalam novel pun ada. Masakan tidak jika insan yang paling kau ingin jauhi, akhirnya menjadi insan yang paling kau terhutang budi.
Zurin pasti sahabatnya itu merasakan ada sesuatu yang belum selesai antara dia dan penyelamatnya itu. Tambah pula Wardina ini sejenis yang kuat terhutang budi sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja demi membalas jasa orang yang sudi menolongnya ketika susah.
“So, kau nak buat apa sekarang?”
Soalan cepumas dari Zurin mematikan lamunan Wardina. Jujur, dia sendiri tidak terfikir untuk lakukan apa selepas kejadian tadi. Hatinya meronta-ronta ingin berjumpa semula dengan lelaki tadi bagi mengucapkan kata terima kasih kerana sudi membantunya.
Kalau tak cakap terima kasih, kan dah lain bunyinya tu? Macam orang tak ada prinsip hidup pula.
“Aku serba salah sebab tak ucap terima kasih dekat dia, Rin. Aku terkejut sangat sampaikan bila dia blah pun aku tak tahu”
Zurin hanya setia mendengar luahan Wardina. Tepat pada sangkaannya. Memang Wardina akan rasa begini. Perasaan terhutang budi tidak lari dari seorang gadis yang bernama Wardina Zahra.
“Habistu, kau tahu ke nak cari dia dekat mana?”
Wardina tersenyum simpul mendengarkan soalan itu. Otaknya ligat bekerja bagi mengingati semula pertemuan pertama mereka dahulu.
Ya, dia sudah tahu dekat mana untuk menjejaki lelaki misteri yang menjadi penyelamatnya tadi. Kali ini, Wardina takkan ambil hati lagi jika lelaki itu berkeras tidak mahukan apa-apa balasan.
Yang penting, lelaki itu perlu tahu betapa berharganya pertolongannya pada dirinya.
“Kedai bunga dia”
------------------------------------
Gelas yang berada di tangan kembali diletakkan di atas meja makan. Makanan yang dijamah sudah pun habis hanya meninggalkan sisa di atas pinggan makannya. Kini, perut Riyyadh sudah kenyang dengan jamuan makan malam yang disediakan oleh sepupunya, Qaiden.
Malam ini sepupunya itu terlebih rajin mahu menyiapkan makan malam. Kalau tidak, hanya foodpanda sahaja yang menjadi pilihan hati. Maklumlah, lelaki bujang memang tidak berdaya untuk lakukan kerja-kerja wanita.
“Aku masak ni sebab kau kata malam ni malam terkahir kau nak bermalam di sini”
Suara garau Qaiden memecah hening suasana.
Riyyadh menjongketkan kening. Hairan dengan kenyataan sepupunya itu.
“Bukannya aku nak pindah overseas, Qai. Aku pindah negeri je”
Qaiden hanya menganggukkan kepala tanda mengerti. Berita itu telah pun diketahuinya beberapa hari lepas apabila Qaiden terjumpa surat rasmi pemindahan Riyyadh ke syarikat perhotelan di Kuantan.
Namun apa yang menjadi tanda tanya pada Qaiden ialah mengapa sepupunya itu menerima tawaran tersebut? Kenapa perlu ke Kuantan bagi pengurusan hotel di sana? Bukankah hotel yang berada di Damansara lebih memerlukan Riyyadh sebagai pengganti selepas Tan Sri Jeffri meninggal dunia?
“Kenapa kau terima tawaran tu?”
Riyyadh menghela nafas berat. Dia sudah mengetahui bahawa pasti perkara ini akan disoal oleh Qaiden. Kalau dah nama pun inspektor, tidak lari dengan soal menyoal.
“Panjang ceritanya, Qai”
“Pendekkan” sepatah arahan itu membuatkan Riyyadh tidak senang duduk. Boleh elak lagikah?
Wajah serius Qaiden mematikan niat Riyyadh untuk menukar topik perbualan mereka.
“Hotel yang ada di Kuantan telah pun diserahkan pada aku oleh arwah”
Qaiden yang sedang menghirup air sirap buatannya itu, tersedak gara-gara terkjeut dengan mendengarkan kenyataan yang keluar dari mulut Riyyadh. Dada ditepuk berkali-kali bagi menghilangkan rasa tercekik. Setelah kembali lega, Qaiden menumpukan sepenuh perhatiannya pada Riyyadh.
Kepala digeleng berkali-kali tanda tidak percaya dengan kebenaran itu.
“Aku tak faham. Kenapa Jeffri nak serahkan hotel tu pada kau?”
Riyyadh menjongketkan bahu.
Dia sendiri tiada idea untuk persoalan itu. Motif sebenar Tan Sri Jeffri menyerahkan hotelnya yang berada di Kuantan masih menjadi tanda tanya pada Riyyadh. Hanya beberapa hari yang lepas, peguam peribadi Tan Sri Jeffri datang berjumpa dengannya bagi sesi penyerahan wasiat.
Apa yang menjengkelkan fikiran Riyyadh, tiada satu pun wasiat mengenai syarikat arwah diserahkan pada anak perempuannya, Wardina.
Hanya kerana wanita itu tidak terlibat sama dalam urusan syarikat bapanya, takkanlah tiada satu pun bahagian untuk dia? Apa yang Tan Sri Jeffri telah rancangkan?
Riyyadh yakin. Dia sudah semak segala dokumen dan bukti penyerahan wasiat arwah. Tiada satu pun yang menyatakan nama Wardina Zahra. Keberadaan wanita itu juga tidak dia ketahui.
Peristiwa yang lepas di mana dia menyelamatkan nyawa wanita itu sudah pun seminggu berlalu.
Sepanjang seminggu tersebut, Riyyadh tidak lagi mendengar apa-apa khabar berita dan keberadaan wanita itu.
Tanpa sedar, hati lelakinya dipagut rasa risau. Ke mana wanita itu pergi? Bukankah dia tidak lagi mempunyai tempat bergantung? Rumah arwah juga kosong tidak berpenghuni.
“Peguam peribadi arwah jumpa aku. Dia yang serahkan dokumen wasiat kepada aku. Dalam tu ada nyatakan bahawa aku yang akan pegang syarikat hotel di Kuantan. Bukan di Damansara”
Qaiden hanya tekun mendengar.
“Kenapa aku tak dapat yang di Damansara itu? Aku pun tak pasti. Tapi, Encik Kamal ada cakap hotel yang berada di Damansara itu tidak lama lagi akan ditutup”
Menurut Encik Kamal yang merupakan peguam peribadi arwah, hotel yang berada di Damansara itu merupakan hotel pertama yang dibina oleh syarikat Tan Sri Jeffri. Hotel itulah yang menjadi tanda kebangkitan syarikat arwah.
Namun hanya kerana hotel tersebut pernah menjadi tempat kegiatan haram, hotel tersebut perlu ditutup dengan segera. Setelah arwah meninggal dunia, kegiatan haram yang pernah dilakukan arwah juga sudah tamat beroperasi.
“Jadi, bila kau akan ke sana?”
Riyyadh menyilangkan kedua-dua tangan di dada bidangnya. Dengan wajah yang penuh keyakinan, dia membalas
“Lusa”
Assalamualaikum semua! Author nk minta maaf sgt2 sbb cerita ni tergendala disebabkan author pun masih belajar lagi. Jadi akan ada masa author busy dengan assignment and so on. But author janji akan berikan yang terbaik dalam karya ni, okay? Teruskan membaca and terima kasih support my karya!
Share this novel