Hari yang ditunggu-tunggu sudah pun tiba membuka tirai. Bertepatan dengan tarikh keramat ini, kaki Wardina membuka langkah menuju ke sebuah kedai bunga berhampiran kampus. Entah mengapa dia terdetik untuk menghadiahkan papanya sejambak bunga.
Mungkin sudah tiada idea yang bernas lagi yang bersisa.
Maklumlah, otak sudah penat memerah sejak kelmarin untuk persiapan peperiksaan akhir semesta. Sesekali otak dah tak berapa nak betul sejak dua menjak ini.
Masakan tidak jika dia tersalah hantar assignment lama kepada pensyarahnya, Dr. Faisal? Mahu naik angin orang tua itu. Namun segala memori semalam ditepis sebelum senyuman diukir manis dibibir. Kini, masa untuk mencari bunga yang bersesuaian dengan citarasa papanya.
Dengar cerita, kedai bunga ini baru dibuka beberapa hari yang lepas. Jadi, kalau baru buka mesti ada promosi kan?
Pantang ada promosi, mesti Wardina orang pertama yang menjejakkan kaki. Jangan pandang rendah dengan potongan harga! Jauh bezanya tahu?
Langkah diatur mendekati pintu kedai bunga tersebut. Agak gementar. Wardina berkerut kehairanan. Nervous? Dia sendiri tidak pasti mengapa. Mungkin kerana ini pertama kali dia menjejakkan kaki ke dalam kedai bunga.
Dia bukanlah peminat tegar bunga. Lebih baik dapat sejambak coklat. At least dapat makan, daripada bunga dapat apa? Layu je nanti. Bazir duit pun dapat. Ingat bunga murah?
Pintu dikuak sebelum kaki kanan melangkah masuk bersama bismillah dibibir.
Bauan bunga menerjah rongga hidung. Wangi!
Pandangan dibuang ke sekeliling. Cantik hiasan kedai ini! Semuanya nampak elegan dan menyejukkan mata. Barangkali ada bunga yang menabahkan nilai estetika dalam kedai ini. Moden namun simple. Tidak berlebihan.
Pandai tuan kedai hias! Agaknya, siapalah tuan kedai bunga ni ya? Mesti berkarisma orangnya.
Dengan hasil kerja sebegini, sudah tentu dia seorang yang berdisiplin dan berseni.
“May I help you, miss?”
Wardina berpaling ke arah suara tadi.
Oh. Jadi, inilah tuan kedainya.
Wardina tidak segera membalas. Sebaliknya, dia tidak lepas merenung lelaki yang kini berdiri tegak dihadapannya. Bersama kedua-dua tangan yang diseluk ke dalam poket seluar slack hitamnya. Penuh dengan gaya. Mysterious. Dark. And....
Cold.
“Miss?”
Lamunan Wardina terhenti dengan sergahan lelaki tadi. Wajahnya jelas menunjukkan bahawa dia tidak selesa dengan pandangan Wardina ke atas dirinya tadi. Rasa macam kena scan pula!
Wardina menundukkan wajah. Malu! Sudahlah dia tilik lelaki tadi bagai tak nak lepas. Apalah yang lelaki itu fikirkan agaknya?
Ya Allah.
Mata dia. Cantik!
“Ermm....saya nak beli bunga!”
Wajah yang berkerut tadi bertukar pucat. Pucat kerana menahan tawa daripada pecah. Lelaki tadi ingin mentertawakan dia! Wardina mendengus geram. Apa yang lawak?
Lelaki yang merupakan tuan kedai tadi membetulkan postur badannya sebelum berdehem sekali. Ingin mematikan rasa untuk tergelak tadi.
Mungkin sedar bahawa pandangan Wardina bertukar geram.
“Well, I know you want to buy flowers. Tapi bunga apa?”
Wardina jeda seketika. Iya tak iya juga kan? Bunga apa yang dia tahu dekat dunia ni selain dari ros? Mahukah papanya dengan bunga yang bersifat romantis itu? Tak kena langsung! Namun apa lagi pilihan yang Wardina ada sekarang selain daripada bertanya terus kepada pemilik kedai bunga itu?
Wardina yakin lelaki itu lebih arif mengenai bunga.
“Saya tak pasti apa yang sesuai untuk papa saya”
Jawapan Wardina mengundang tawa sinis dari lelaki tadi.
Dengan gerakan yang penuh gaya, lelaki tadi berjalan menjauhi Wardina lalu mendekati kaunter. Tangan yang berada di dalam poket, dibawa keluar. Jari runcingnya bermain-main dengan bunga yang berada elok di dalam pasu.
Bunga tulip.
“Kalau tulip, nak tak?”
Wardina kembali menghalakan pandangannya ke arah lelaki tadi. Bunga tulip yang berwarna kuning keemasan itu ditatap penuh minat.
Walaupun dia bukanlah seorang yang meminati bunga, bunga tulip yang berada di tangan lelaki itu sungguh memukaukan sesiapa sahaja yang melihatnya.
Cantik!
“Cantik” puji Wardina tanpa sedar.
Lelaki tadi tertawa halus.
“Of course. It’s one of the best we have here”
Wardina mengangguk faham. Kaki diaturkan ke arah kaunter. Pandangan tidak berperasaan lelaki itu dibalas Wardina.
Entah mengapa, seperti ada tali yang membawa dia kepada lelaki itu. Mungkin kerana mata dia? Mata yang memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
“I wasn’t talking about the flower”
“Apa?”
Sedar akan keterlanjuran diri, Wardina berdehem sekali. Berharap dapat menghilangkan rasa canggung di antara mereka. Malangnya, lelaki tadi seperti mengetahui isi hati Wardina. Dia menguak rambut hitamnya yang panjang melebihi cuping telinga ke belakang bersama satu keluhan dibibir.
Bagus, Wardina. Baru hari pertama jejak kaki dekat sini dah mula buat orang lain tak selesa!
“I’m sorry...Saya tak bermaksud...”
“It’s okay”
Wardina kembali mengetap bibir. Lelaki tadi terlihat tidak selesa dengan kehadirannya. Wardina sedar yang lelaki itu mencuba sedaya upaya untuk tidak bersikap kurang ajar dengan pelanggannya.
Seketika kemudian, lelaki tadi meminta izin untuk berlalu ke belakang kedai. Mungkin ingin mencari stock barang? Wardina pula hanya mengangguk.
Tidak mahu dia menghalang lelaki itu dari pekerjaannya.
Wardina melangkah ke arah satu bangku yang disediakan khas buat pelanggan. Setelah melabuhkan punggung, Wardina mengeluarkan iphonenya dan mendail nombor Zurin.
Dia perlukan bantuan sahabatnya!
“Assalamualaikum, Zurin”
Salam dibalas dengan suara yang serak. Tanda baru lepas bangun tidur. Al maklumlah member yang sorang ni ‘uzur’, jadi subuh pun dia masih bergolek atas katil sampai lah...
“Kau buat aku bangunlah, Dina”
Wardina tertawa kecil. Ada saja perangai Zurin ini.
“Habistu, kau nak membuta sampai bila?” perli Wardina.
Betul apa? Sebagai rakan yang baik, Wardina perlu membawa sahabatnya itu ke jalan yang benar. Exam tak lama lagi akan membuka tirai. Tiada masa untuk tidur lebih masa! Masih ada banyak benda nak diulang kaji.
Wardina yakin Zurin masih ada banyak bab yang perlu dibaca semula sebelum kelas pagi esok. Katanya ada briefing untuk skop yang bakal masuk dalam exam nanti. Rugi kalau tak datang. Daripada boleh dapat markah penuh, terus kecundang kalau tak ambil peluang.
Ingat, pensyarah sentiasa memerhati! Markah ada pada dakwat pen mereka.
“Aku nak tanya kau ni. Pasal bunga”
Zurin berdecit geram di sebalik corong telefon.
Ada saja si Wardina ni. Bila masa pulak budak ni berminat nak tahu pasal bunga?
“Apa yang kau nak tahu sangat sampai kena kejut aku ni? Baru pukul 8:30 weh!” teriak Zurin dengan perasaan sebal.
Dia bukannya morning person! So, jangan ganggu dia.
“Sorrylah. Aku nak tahu kalau tulip sesuai tak kalau aku nak bagi papa aku?”
“Tulip? Seriously, Dina? Kau nak bagi papa kau bunga?”
Bertalu-talu soalan yang ditujukan khas buat Wardina Zahra pagi ini. Nak buat macam mana lagi? Dia tiada idea lain lagi untuk list hadiah papanya. Logik apa kalau bagi bunga? Bolehlah papanya letak dalam pasu dekat pejabatnya. Boleh tatap hari-hari.
Letak sekali tag dekat situ. Pemberian anakanda tercintaku. Hah, kan nampak ikhlas tu!
“Aku dah tak ada idea. So, okay tak ni? Lawa je kan tulip?”
Belum sempat Wardina mendengar balasan daripada Zurin, perbualan mereka dicantas oleh tuan kedai bunga tadi. Kini, dia kembali bersama sejambak bunga tulip di tangan.
Cantik gubahannya!
“Dah siap”
Wardina lantas mematikan panggilan sebelum dia menghampiri lelaki tadi. Matanya tidak lepas dari merenung bunga tulip yang berada di tangan lelaki itu.
Dia yang tidak minat bunga pun boleh jatuh cinta di sebabkan ketelitian lelaki itu mengubahnya.
Sangat kreatif!
“Pandai encik buat”
Lelaki tadi hanya tersenyum nipis. Barangkali sudah terbiasa mendengar pujian yang tak seberapa itu. Orang berseni pasti sudah muak dengan pujian kan?
Kalau tengok fizikal lelaki itu, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa dia berbakat dalam gubahan. Sudahlah berbadan tegap, tangan kekar sehingga menampakkan urat, bermata hijau pula tu!
Sempurna sungguh ciptaan Allah.
Namun hanya satu yang menghalang mana-mana wanita dari mendekati lelaki tersebut.
Aura dinginnya.
Dingin mengalahkan kutub utara. Negatifnya sudah tiada tahap lagi! Agaknya waktu bayi dulu tertelan asam garam kut?
“Kalau tak reti, tentu kedai ni tak dibuka kan?”
Sarkastik sungguh mamat ni! Orang puji, dia perli pula. Buang tabiat ke apa dia ni?
Wardina hanya mampu memaniskan wajah. Tiada guna jika dia bertekak dengan lelaki yang dia sendiri tidak tahu asal mana. Yelah, orang asing kan? Kalau bukan disebabkan papa, sudah tentu dia tidak akan menjejakkan kaki di kedai ini.
Buang masa sahaja!
“Memandangkan encik dah siap gubah bunga saya, saya nak minta tolong satu benda boleh?”
Amboi, Wardina! Main minta tolong pula. Ingat dia nak layan kau ke? Bebel Wardina dalam hati.
Lelaki tadi tidak mengangguk, tidak juga membantah. Dia hanya merenung anak mata Wardina dengan pandangan tidak percaya. Barangkali terkejut dengan permintaan Wardina gamaknya.
“Boleh tak? Saya bagi extra tip sekali” pujuk Wardina separuh merayu. Segala rasa malu sudah terbang menghilang entah ke mana. Yang penting, lelaki di hadapannya saat itu sudi untuk membantu.
Permintaan dia tidaklah berat mana. Dengan bakat yang dimiliki lelaki itu, sudah tentu menjadi perkara kecil buat dia.
“Tolong apa?”
Wardina mengeluarkan dompet yang berada di dalam beg tangan jenama Polonya. Sesekali mulut terkumat-kamit mengira jumlah wang yang harus dibayar bagi servis lelaki tadi. Setelah beberapa not lima puluh berjaya dikeluarkan, Wardina menghulurkan wang tersebut kepada tuan kedai.
“Saya ada seratus. Lapan puluh ringgit untuk duit bunga, yang selebihnya untuk upah tolong tuliskan kad ucapan”
Lelaki tadi tidak teragak-agak menyambut huluran Wardina. Dia berlalu ke kaunter bersama jambangan bunga di tangan.
Duit yang bernilai seratus tadi di simpan sebelum satu kad ucapan diambil. Pen dakwat basah yang berwarna hitam dipilih sebagai medium penulisan. Salah satu pen kegemarannya.
“Cakaplah nak tulis apa”
Wardina berdecit geram. Taka ada perasaan ke apa lelaki ni? Cubalah cakap lemah-lembut sikit dengan dia. Ini tidak. Cakap macam nak cari gaduh! Nasib orang minta tolong, kalau tidak memang tak ingin dia berurusan dengan mamat kutub utara itu!
Dengan tangan yang tersedia untuk menulis, lelaki tadi memasang telinga bagi mendengarkan segala bait kata yang akan dikeluarkan Wardina.
“Ke hadapan papaku yang tercinta,
Dina tahu hadiah kali ini tidak semewah atau sebesar pengorbanan yang pernah papa curahkan pada Dina selama ini. Tapi, ketahuilah bahawa Dina sedikit pun tidak pernah melupakan segala jasa papa dalam membesarkan Dina selama mama pergi meninggalkan kita. Papalah bapa yang terbaik Dina harapkan. Semoga hari lahir kali ini akan memberikan makna yang terbaik dalam hidup papa. Semoga tuhan memanjangkan umur papa dan mengurniakan kesihatan yang baik terhadap papa.
Tan Sri Jeffri, you are the best man in the world.
Your daughter”
Sebaik sahaja Wardina selesai melontarkan tutur bicaranya, wajah lelaki tadi dipandang sekilas. Kening Wardina ternaik gara-gara pandangan tidak percaya yang lelaki itu berikan padanya saat itu.
Wajah dia pucat lesu. Seperti tiada darah yang mengalir.
“You are....Tan Sri Jeffri’s daughter?”
Share this novel