Sudah satu minggu dia tidak mendengar apa-apa khabar berita mengenai adiknya. Riyyadh enggan ke kampus jika tiada siapa yang akan menjaga kedai bunganya. Namun tiap kali teringatkan perihal adiknya, hatinya masih galau dengan kebisuan adiknya.
Jika Shafiyah ada exam sekalipun, dia akan membuat panggilan dan meminta restu atau bertanya khabar. Ini tidak.
Hati abang mana yang tidak risau?
Sudahlah kali terakhir mereka bertemu pun sudah terjadi drama air mata. Dia pun tempoh hari bukanlah setuju sangat dengan permintaan adiknya. Bagaimana dia boleh turuti jika hatinya masih tidak dapat menerima mana-mana perempuan lain selain arwah isterinya?
Riyyadh berkira-kira untuk ke kampus. Selama adiknya menuntut ilmu di situ, Riyyadh tidak pernah menjenguk adiknya atas permintaan Shafiyah sendiri. Namun jika keadaan sudah memaksa, tidak salah jika dia ingin ke sana.
Nampaknya, dia perlu menutup awal kedainya hari ini. Maklumlah, dia tidak mengupah sesiapa untuk menjadi pembantu. Bagi Riyyadh, biarlah kedai bunga ini menjadi tanggungjawabnya seorang. Lagi pun, memang kedai bunga ini adalah peninggalan arwah Rania kepadanya.
Sebelum kaki menapak keluar dari kedai, Riyyadh mencapai sekuntum bunga tulip yang berada di dalam pasu perhiasan. Riyyadh berkerut seribu. Mindanya tidak tahu mengapa dia perlu membawa bunga tersebut. Namun kerana hati terdetik sesuatu, dia bawakan sahaja bersama.
Mungkin boleh diberi kepada Shafiyah.
Sepanjang perjalanan ke kampus Shafiyah, Riyyadh dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Hatinya rasa tidak sedap. Barangkali anasir-anasir jahat mula menerjah minda.
Bagaimana jika adiknya tiada di kampus?
Riyyadh meraup kasar wajah kacaknya. Jambang nipis yang mula tumbuh menghiasi wajah, dibiar tidak bercukur. Jika dulu ada arwah Rania, isterinya itu rajin menolong dia mencukur kumis-kumis nipis di wajah.
Tiba-tiba rasa rindu mula memagut jiwa. Riyyadh beristighfar berkali-kali. Tiada masa untuk bermuram durja sedangkan hatinya tidak senang duduk memikirkan keadaan Shafiyah di kampus.
Tiga puluh minit berlalu, Riyyadh kini tiba di kawasan perkarangan kampus UIA. Tanpa berlengah masa, Riyyadh terus membuka tali pinggang keledar dan terus meloloskan diri daripada kereta BMW 7 seriesnya. Matanya melilau-lilau mencari kelibat si adik.
Namun hampa. Kaki terus menapak ke dalam kawasan bangunan. Para pelajar mula memenuhi kawasan tersebut. Kelihatan mereka berkejaran ke kuliah masing-masing. Jam di pergelangan tangan ditilik seketika.
Mungkin adiknya berada di dalam kelas?
Riyyadh menghela nafas berat. Berat hati juga ingin pulang semula ke kedai. Selagi matanya tidak menangkap wajah adiknya, selagi itulah Riyyadh tidak senang duduk.
Mungkin dia perlu menunggu seketika sehingga tengah hari. Waktu itu senanglah dia untuk mencari keberadaan Shafiyah. Lagipun tengah hari nanti semua pelajar akan keluar makan. Namun mana mungkin seorang Riyyadh mempunyai kesabaran sebesar itu untuk menunggu.
Sedang hati dalam dilema mahu menunggu atau tidak, kaki Riyyadh berjalan tanpa arah ke hadapan. Sejujurnya, dia sendiri tidak familiar dengan kawasan kampus ini. Maka, hanya kaki yang bergerak membawa diri ke sekeliling kampus.
Barangkali ingin mencari kafeteria. Senang untuk menunggu Shafiyah nanti.
Namun malang tidak berbau. Nasib malang menimpa Riyyadh lagi. Cumanya kali ini salah dia sendiri.
“Ouch!”
Terbeliak luas mata Riyyadh bila sedar dirinya telah merempuh seseorang tanpa sedar. Mata tertancap pada susuk tubuh wanita di atas tanah. Buku-buku bertaburan di kakinya. Tanpa membuang masa, Riyyadh pantas membantu wanita tadi menutip semula buku-bukunya sebelum kembali berdiri.
Saat tangan ingin menghulur buku-buku tadi kepada pemilik asal, mata Riyyadh dan wanita tadi bersabung. Alangkah terkejutnya Riyyadh bila mata hazel wanita itu yang menjadi tatapannnya. Mata hazel yang telah menghantui mimpinya sejak dari peristiwa di kedai bunganya tempoh hari.
“Apa tercegat lagi? Tepilah, aku dah lambat!”
-----------------------------------
Wardina berlari anak ke arah tangga.
Ya Allah.
Bertuah punya member! Zurin telah tinggalkan dia lena di atas katil pagi tadi. Sudahlah dia datang bulan, memang subuh tidak terlintas dalam fikirannyalah! Jam loceng pula buat hal. Bateri telefon pintarnya sudah nazak tidak dicas semalam.
Wardina kelam-kabut saat matanya terbuka luas dek kerana matahari sudak mencanak naik di sebalik tingkap biliknya. Dia apa lagi, terus bersiap menggunakan kuasa flashnya. Biarlah ala kadar sekali pun, jangan sesekali ketinggalan ilmu.
Nak ilmu berkat tak? Jangan kecikkan hati pensyarah!
Wardina tidak ambil peduli dengan keadaan sekeliling. Misinya hanya untuk sampai ke dewan kuliah tepat pada masanya. Walaupun hakikatnya dia memang lambat, asalkan ada effort untuk berlari datang ke kuliah. Kali ni first time tau! Wardina ni pelajar yang berdisiplin.
Tambah pula exam untuk kertas terakhir akan berlangsung esok hari. Jadi hari ni adalah hari penting untuk dia mengulang kaji mana-mana tajuk yang berpotensi untuk masuk nanti.
Namun nasib tidak menyebelahi Wardina saat dirinya dirempuh tanpa belas kasihan oleh seseorang yang dia yakin berjantina lelaki. Tubuh tegap pula kot! Mana dia tak terjelopok jatuh ke tanah.
Ikutkan hati, memang dia nak menyumpah seranah lelaki yang melanggarnya itu. Namun niatnya terbantut apabila lelaki tadi baik hati untuk menolong dia mengutip semula buku-buku yang bertaburan di atas lantai.
Apabila lelaki itu telah siap mengutip, dia lantas berdiri. Wardina kecewa dan dalam masa yang sama kagum kerana lelaki tadi tidak menolongnya namun mesti kerana ingin menjaga batas.
Tanpa berlengah, Wardina terus berdiri dan ingin menyambut huluran buku daripada lelaki tadi.
Wardina tiada masa ingin melayan momen terkejut lelaki itu. Hairan dengan sikap lelaki itu yang agak terkesima melihatnya. Ada apa dekat muka aku? Aku dah lambat ni!
Mengingatkan bahawa dia sememangnya telah lambat untuk masuk ke dewan kuliah, Wardina terus memecahkan momen lelaki itu dengan bersuara tegas. Dia perlu bergerak sekarang dan lelaki itu menghalang laluannya!
“Apa tercegat lagi? Tepilah, aku dah lambat!”
Segala santun dan keayuan Wardina Zahra telah hilang dek kerana rasa berdebar yang amat. Sudah pukul berapa ni? Boleh pula lelaki itu merenungnya bagai tidak mahu lepas. Muka dia ni macam Fazura ke nak tenung-tenung macam tu?
Namun lelaki tadi lantas tersedar dari lamunannya. Kepala digeleng-geleng beberapa kali. Malu agaknya apabila ditangkap merenung wajah anak dara orang tanpa segan. Tapi, Wardina dapat merasakan sesuatu pada lelaki itu.
Macam pernah jumpa dahulu. Tapi di mana ya?
“Miss Tulip”
Sah! Lelaki biadap hari tu!
Tapi Wardina tiada masa untuk itu. Tidak perlu berjejak kasih sekarang ini. Sekarang, dia ada kelas untuk dia munculkan diri dan pensyarah yang perlu dia memohon maaf.
“Excuse me, sir. If you please, I have a class to attend to”
Tanpa menunggu jawapan, Wardina bergegas melepasi lelaki tadi. Bila teringat sahaja peristiwa memalukan tempoh hari, rasa hati seperti disiat-siat tanpa belas kasihan. Apa yang dia buat di sini? Nak kata pelajar, umur macam dah masuk 30-an.
------------------------------
Riyyadh mengeluh nafas berat. Sudah 3 jam dia di kampus, kelibat Shafiyah langsung tiada. Bila bertanya dengan mana-mana rakan sekuliah Shafiyah, mereka pasti menjawab Shafiyah cuti kecemasan. Katanya perlu balik ke kampung.
Riyyadh menjadi resah dengan alasan tersebut. Sepanjang mereka membesar, mana pernah mereka menjejakkan kaki ke kampung halaman. Sejak atuk dan nenek mereka meninggal, papa enggan membawa mereka pulang menziarahi kampung.
Namun mengapa tiba-tiba Shafiyah ingin ke sana? Kalau tidak pun, mengapa tak inform dia dulu? Bukankah seorang abang perlu bertanggungjawab ke atas kepergian adiknya? Sudahlah dia pergi seorang diri. Kalau apa-apa jadi, bagaimana?
Pertemuan dia dan anak perempuan Tan Sri Jeffri tadi telah menyesakkan lagi kotak pemikirannya. Wanita itu benar-benar tidak mahu bertembung apatah lagi berjumpa dengannya. Kad ucapan tempoh hari pun tidak dipulangkan lagi.
Qaiden pula belum habis menyiasat latar belakang sebenar Tan Sei Jeffri serta wanita tadi. Jadi, Riyyadh perlu bersabar sebelum dia kembali menjejaki wanita tadi untuk memohon maaf.
Sekarang, dia harus fokus kepada kes adiknya yang menghilang tanpa jejak.
Telefon bimbit dikeluarkan dari kocek seluar. Enjin kereta BMWnya dihidupkan sebelum suhu aircond dilaraskan.
Icon whatsapp ditekan sebelum kontak kenalan tersayang dicari. Hari ini dia belum lagi menghantar pesanan kepada nombor arwah isterinya.
Pelik bukan? Riyyadh tiada pilihan lain. Bagi dia, itulah salah satu cara untuk dia kurangkan beban rindu yang mendalam terhadap arwah. Setiap hari, Riyyadh akan menghantar pesanan romantis kepada nombor arwah isterinya.
Meskipun mesej itu tidak berbalas, sekurang-kurangnya, Riyyadh berasa dekat dengan isterinya. Jika dahulu Rania masih hidup, pesanan ringkas seperti itu sudah menjadi kebiasaan di antara mereka. Sebab itulah Riyyadh susah untuk hilangkan habitnya yang satu itu.
Ke hadapan isteriku yang tercinta,
Abang minta maaf sebab dah 2 hari abang tak bagi sayang pesanan ni. Abang sayang sangat dekat Rania. Abang ada masalah sekarang. Adik abang hilang tanpa jejak. Abang tak tahulah kenapa dia tiba-tiba mahu pulang ke kampung tanpa bagi tahu abang dahulu. Abang harap nanti kita dapat bertemu kembali.
Suamimu
Telefon bimbit kembali dimatikan. Nafas dalam ditarik sebelum kaki menekan pedal minyak. Hanya satu tujuan dalam fikirannya. Riyyadh perlu ke Kuantan untuk mencari Shafiyah. Jika benar gadis itu pulang ke kampung, pasti dia akan menemukan adiknya di situ.
Jika tidak…
Riyyadh tiada pilihan lain selain daripada menunjukkan sisi gelapnya.
Sorry guys sebab bab kali ni pendek sikit....i pon tengah dalam proses menyiapkan manuskrip. Sekali lagi i nak mohon maaf untuk karya pertama terpaksa di hold kan dahulu atas sebab i nak fokuskan pada karya kedua ni<3 Enjoy!
Share this novel