Angin dingin yang menampar wajah menenangkan jiwa gelisah Wardina. Sudah dua hari dia bermalam dia rumah Zurin. Ibu dan bapa sahabatnya itu sudah dianggap dirinya seperti anak mereka sendiri.
Setelah apa yang menimpa nasib Wardina, mereka banyak menunjukkan sokongan dan kasih sayang. Jasa mereka tidak terbalas oleh Wardina. Begitu juga sahabatnya, Zurin.
Sepanjang Wardina menetap di rumah itu, dirinya jarang keluar bilik melainkan jika Puan Maisarah mengajak satu keluarga untuk menjamu hidangan yang dia sediakan. Zurin yang faham akan keadaan Wardina, hanya membiarkan wanita itu bersendirian menenangkan jiwa.
Punca kematian bapanya masih disiasat oleh pihak polis. Keputusan forensik menunjukkan bahawa luka yang berada di tubuh Tan Sri Jeffri adalah daripada kesan tembakan. Siapa pelakunya, mereka masih tidak pasti.
Segala bukti yang dirakam oleh CCTV yang berada di dalam kondo mewah itu telah digodam. Polis juga tidak dapat menemukan kesan cap jari pada semua objek yang terdapat dalam kondo milik bapanya.
Sesiapa sahaja yang melakukan perkara tersebut, pasti bukan calang-calang orangnya. Sungguh licik aturannya!
Berat badannya juga sudah menyusut. Selera makan tidak langsung dirasai. Kesihatan dia juga diabai. Jika bukan kerana Zurin dan keluarganya yang mendesak supaya Wardina turun menjamah sedikit makanan, sudah tentu wanita itu telah dikejarkan ke wad kecemasan akibat kekurangan nutrisi.
Balkoni luar direnung penuh minat. Apa yang akan jadi jika dia terjun dari tingkat dua rumah teres itu? Fikiran Wardina telah penuh dengan anasir-anasir jahat. Dia tidak dpaat berfikir dengan waras lagi.
Kematian papanya benar-benar mematikan jiwa perempuannya.
Namun apabila kaki ingin melangkah mendekati pagar yang menjadi penghadang tersebut, hatinya terdetik rasa bersalah.
Wardina cepat-cepat beristighfar. Apa yang dia fikir tadi? Niat untuk membunuh diri telah membutakan dia dengan dosa yang bakal ditanggung nanti. Cepat-cepat Wardina menjauhi penghadang tersebut.
Tidak guna jika bunuh diri dan akhirnya menanti azab dari Tuhan. Kesakitan yang dirasai tidak mampu mengalahkan kesakitan yang dirasai oleh Nabi Muhammad ketika menyebarkan dakwah Islam dahulu.
Apalah sangat sakit yang dirasainya itu? Setiap benda yang diuji Allah, pasti mampu dihadapi oleh hamba-Nya.
Wardina kembali memasuki biliknya sebelum pintu balkoni ditutup rapat. Hampir sahaja dia menurutkan kata hati. Dia bersyukur kerana masih diberikan hidayah oleh Allah untuk meneruskan kehidupan.
Tidak lama lagi, dia akan masuk bekerja. Akhirnya, cita-cita dia untuk menjadi seorang peguam yang bertauliah akan menjadi realiti. Sayangnya, papa tidak hadir bersama utnuk melihat kejayaannya.
Tiba-tiba, hati Wardina terdetik sesuatu.
Otaknya kembali ligat memikirkan sesuatu. Jika benar papanya mati dibunuh oleh manusia yang tidak bertanggungjawab, Wardina nekad untuk mencari pembunuh misteri tersebut hingga ke lubang cacing.
Biar dia sendiri yang membicarakan kes tersebut di mahkamah. Biar dia yang membela kematian ayahnya! Itu sudah yakin buat Wardina. Kematian ayahnya tidak akan menjadi kematian yang sia-sia.
--------------------------------------
Setelah pulang dari tanah perkuburan, Riyyadh langsung ke rumah untuk bersiap dan berjumpa dengan Qaiden. Sepupunya itu handal bab-bab merungkai kes jenayah. Hatinya ingin mengetahui susuk misteri yang membunuh Tan Sri Jeffri di kondo tempoh hari dengan bantuan Shafiyah.
Nasib baik adiknya itu masih mengingati wajah lelaki tersebut. Jadi, urusan mereka dapat diringankan.
Sepanjang perjalanan ke rumah Qaiden, fikiran Riyyadh kembali kepada anak perempuan Tan Sri Jeffri.
Wardina Zahra.
Apalah yang dilakukan wanita itu sekarang ini? Riyyadh senyum hambar. Jika wanita itu mengetahui kewujudannya sebagai salah seorang ahli keluarganya juga, adakah dia masih ingin mempercayai Riyyadh?
Sudah pasti Tan Sri Jeffri tidak pernah membuka mulut mengenai perkahwinannya yang kedua pada wanita itu, bukan?
Sekurang-kurangnya, pasti Rania akan gembira apabila dia mengetahui bahawa dia mempunyai seorang adik perempuan dan dijaga elok oleh Riyyadh. Wanita itu pasti muda lagi. Masakan tidak jika baru sahaja tamat pengajian ijazahnya?
Masalahnya, adakah Wardina akan memberi Riyyadh peluang itu? Riyyadh juga tidak pasti. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berjumpa dengan wanita tersebut. Biarlah beberapa bulan sebelum dia kembali kuat setelah apa yang menimpa dirinya.
Sesampai sahaja dia di hadapan pintu pagar rumah sepupunya, tubuh tegap Qaiden sudah terpacak di sebalik pagar rumahnya. Barangkali sudah menanti ketibaan Riyyadh.
Setelah mematikan enjin kereta, Riyyadh menapak keluar dari keretanya dan berjalan menghampiri pagar rumah.
“Assalamualaikum, Qai!”
Salam disambut sebelum pintu pagar dibuka. Tubuh Riyyadh dibawa ke dalam pelukan sebelum tubuh tersebut diheret masuk ke dalam rumah bujang Qaiden.
“Kau datang sini dah mandi belum? Karang tak pasal-pasal bawa badi mayat sekali!” seloroh Qaiden seraya melabuhkan punggung di atas sofa bujangnya.
Semua benda bujang. Tulah pasal. Siapa suruh tak nak kahwin? Kalau kahwin kan dapat merasa beli perabot baharu.
“Banyak cantik mulut kau. Kau ingat aku ni suka sangat ke benda paranormal ikut aku balik?” perli Riyyadh balik.
Geram pula rasa bila sepupunya itu bergurau tidak kira tempat. Orang baru je balik menziarahi mangsa yang matinya agak mengerikan. Tak ada sensitiviti langsung Zer Qaiden ini.
“Jadi, kenapa kau nak jumpa aku ni?” soal Qaiden kembali berwajah tidak beremosi.
Tubuh Riyyadh mengeras. Ya, dia ada tujuan ke sini. Dia perlukan khidmat sepupunya itu untuk menyiasat kes kematian Tan Sri Jeffri. Walaupun Qaiden mempunyai kes besar yang perlu dia laksanakan, kes ini lebih penting untuk diambil tindakan.
“Aku nak minta pertolongan kau. Kalau kau siasat kes Jeffri untuk aku, boleh tak?”
Qaiden seperti memikirkan sesuatu. Bukan dia tidak boleh tolong, namun maklumat mengenai anak perempuan Tan Sri Jeffri juga tidak dapat dicari lagi. Hanya menunggu masa untuk lengkap segalanya.
“Maklumat pasal adik ipar kau tu, kau nak tak?”
Kening Riyyadh bertaut kehairanan. Barangkali lupa bahawa dia juga pernah menyuruh Qaiden menyiasat maklumat tentang adik kepada arwah isterinya. Kemudian, wajah Riyyadh kembali bersinar. Memori lama sudah kembali menjelma.
“Oh. Aku hampir lupa pasal tu. Kau dah selesai belum?”
“Belum. Sikit lagi. Mungkin minggu depan settle kut semua. Jadi, kau memang nak tambah kes baru?”
Riyyadh hanya mengangguk.
Rasa serba salah mula timbul dalam jiwa. Rasa seperti macam dah menyusahkan Qaiden. Kes lama pon belum selesai disiasat, kes baru pula masuk menyusul. Bukannya Qaiden tidak mampu, sebaliknya dah memang hobi lelaki itu untuk menyiasat perkara jenayah ini.
“Kau jangan risaulah. Tak susahkan aku pun. Lagipun, kau kan sepupu aku? Takkanlah tak boleh tolong, kan?” seloroh Qaiden seraya menepuk kuat belakang Riyyadh.
Inilah best kalau ada member rapat. Kalau ada yang dalam kesusahan, pasti yang lain akan menghulur tangan.
Untung ada sepupu yang baik seperti Zer Qaiden ini. Cuma masalah lelaki itu adalah terlalu prejudis terhadap wanita. Lagi spesifik, terhadap cinta. Dah macam alergik sangat dengar perkataan cinta.
Bak kata sepupunya itu, biarlah dia fokus pada kerjaya dahulu. Bercinta hanya menyemakkan fikiran. Jika terluka, mulalah berlaku perkara yang tak diingini.
“Kau rasa Wardina tu akan berdiam diri tak?”
Soalan cepumas yang meluncur keluaar dari bibir Qaiden itu menyentakkan lamunan Riyyadh.
Jujur, dia sendiri tidak tahu akan jawapan untuk soalan itu. Riyyadh tidaklah mengenali wanita itu secara rapat. Daripada apa yang diceritakan Qaiden, menerusi maklumat yang disiasat, Wardina merupakan pemegang ijazah undang-undang. Sudah pasti wanita itu mahu menceburi kerjaya sebagai peguam.
“Kau cakap dia tu student law. Kalau dia dah jadi peguam sekarang, aku rasa perempuan macam dia takkan duduk diam dengan kes ni”
Itulah jawapan paling ikhlas dari Riyyadh. Andai sahaja dia lebih mengenali wanita itu, sudah pasti dia akan cuba memahami apa yang dirasai wanita itu. Bila hati terusik ingin membantu, ada sahaja suara yang melarang di sebalik sudut mindanya.
Mungkin bukan masanya lagi untuk menghulurkan bantuan.
“Apa-apa pun, bila tiba masanya nanti kau kena berterus-terang juga dengan dia, Yad”
Pesanan ataupun lebih kepada amaran itu mendatangkan rasa tidak senang dalam hati Riyyadh. Bukan dia tidak sedia, namun dia tidak yakin Wardina akan menerima berita itu dengan baik.
Siapa sahaja tidak sedih dengan berita yang memilukan seperti bapanya kahwin lain? Bahawa dia ada adik-beradik lain yang tidak pernah diketahui kewujudannya selama ini?
Walau apa pun yang terjadi, lambat-laun Riyyadh akan cari semula Wardina. Dia sendiri akan jaga dan lindungi adik kepada arwah Rania itu. Sekali lagi, dia harus relakan hidupnya demi seorang wanita yang sentiasa mengingatkan dia kepada Rania.
Mereka mungkin tidak serupa, namun kerana mereka saling berkongsi pertalian darah sudah cukup membuatkan Riyyadh terasa dekat dengan cinta pertamanya.
Share this novel