BAB 2

Romance Completed 8272

TROLI ditolak memasuki department makanan basah. Akieff pandang isterinya, mahu Adra memilih lauk untuk sahur mereka nanti.

“Abang nak makan apa? Ayam?” Akieff melihat di sekitar makanan laut. Teringin pula mahu makan udang masak kari. Telan air liur sendiri, gulp.

“Emmm… abang rasa nak makan udanglah. Sayang buat masak kari. Boleh?”

“Boleh aje. Abang nak udang kecil ke besar? Selalu mama masak kari udang yang kecik-kecik campur kacang buncis…”

“Bolehlah. Ambil sekali udang besar pun okey jugak. Boleh goreng,” Adra pantas mencapai plastik dan memasukkan udang-udang segar ke situ.

Mudah sedikit kerja mereka. Anaqi ditinggalkan dengan Puan Najihah, senang mahu bergerak ke sana sini. Anaqi pula jenis yang tidak kisah, asalkan dia tidak mendengar suara baba dan umminya ketika ditinggalkan… semuanya akan baik. Tidak meragam.

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumsalam,” Akieff menjawab tanpa memandang gerangan si pemberi salam. Spontan bibirnya membalas salam. “Eh, Hajar. Ingatkan siapa. Datang seorang ke?” Sebaik mendongak, raut Hajar yang sedang senyum mencuri pandangannya.

“Ha’ah. Biasalah. Beli barang-barang untuk sahur. Bos pun seorang aje ke?”

“Eh, taklah. Saya datang dengan isteri. Ada tu.”

Hajar menghalakan pandangan di kaunter penimbang. Bibirnya mengulas senyum. Tahulah dia bosnya itu tidak keseorangan.

“Oh…”

“Sayang, ini Hajar. Staf abang,” Adra senyum manis kepada Hajar.

“Maaflah, Hajar. Tangan saya kotor nak salam,” Hajar hanya tersenyum. Kerjanya tidak habis-habis senyum.

Pelik juga Akieff. Jarang sekali dia melihat Hajar tidak senyum. Tidak kiralah tekanan bagaimanapun yang datang, gadis itu tetap akan memaniskan wajahnya dengan senyuman. Memang patutlah Hajar kelihatan manis dan berseri-seri. Petuanya, senyum.

“Tak apa. Eh, dah lewat ni. Saya minta diri dululah ya. Jumpa lagi,” Akieff dan Adra angguk kecil serentak. Hajar terus sahaja bergerak ke department lain, tidak mahu mengganggu pasangan itu.

“Abang, dia staf abang yang mana? Tak pernah kenal pun,” Mereka beriringan ke bahagian minuman pula.

“Hajar ni staf abang paling komited sekali, sayang. Dia jaranglah nak join majlis staf-staf lain. Abang pun tak tahu kenapa. Tapi, kebanyakan staf-staf lelaki yang masih bujang kat ofis abang tu dok pikat Hajar. Semuanya tak berjaya,” jelas Akieff.

“Oh, dia jual mahal kot. Orang pun comel. Aurat pun terjaga, semuanya labuh-labuh belaka. Tinggal nak kenakan niqab aje. Cukup pakej. Abang tak terpikat pulak,” Adra kerling Akieff yang sedang mengambil yogurt di rak.

“Ish, sayang ni. Adra pun apa kurangnya. Cuma, sayang ni fesyen muslimah moden sikit. Asalkan abang sayang, kan dah cukup,” Pandai Akieff membalas. Soalan maut tu.

“Iyalah tu. Entah-entah, dulu pun abang dok cuba pikat dia jugak. Kan kan kan?” Akieff berdecit.

Instinct seorang isteri memang tepat dan padat ya. Tepat mengena di batang hidung mancung dia ni. Tsk.

“Kalau ya?”

Adra menjeling Akieff.

“Lupakan ajelah. Adra tak suka bermadu,” tegas Adra. Akieff gelak.

Nasib baik mereka di tempat awam. Hendak mengusik pun tidak jadi, malu dek orang nampak nanti.

“Tahu. Itu benda lamalah, sayang. Nak beli apa lagi ni?”

“Kita pergi department baby, abang. Adra nak beli stoking dengan kasut Anaqi. Yang ada tu dah kecik,” Tangannya dilingkarkan ke lengan sasa Akieff.

Orang kata, lelaki ni apabila sudah berkahwin… berat mesti naik punya. Tetapi, lain pula Akieff. Maintain. Tetap menjadi pengunjung gim.

Hajar memerhati Akieff dan Adra dari jauh. Bernanah hatinya melihat kemesraan suami isteri itu. Sudah dia kuatkan hati agar tidak sesekali melayan perasaannya terhadap Akieff. Namun, semakin dia menjauh semakin rasa itu kuat. Setiap malam dia bangkit, beristikharah. Dia mahukan jawapan untuk perasaannya itu. Kerap kali jawapannya menunjukkan Akieff adalah orang yang tepat. Dia mengeluh kecil. Masakan dia mahu merampas suami orang? Huhhh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience