PART 4

Romance Completed 8268

Alyana datang ke pusat tuisyen, tempat dia mengajar. Masuk sahaja ke dalam pejabat, dia lihat semua orang berkerumun. Dia yang berasa pelik terus menyoal, “Kenapa korang semua berkumpul sini ni?”

Belum sempat Fitri, rakan sepejabatnya menjawab, kedengaran suara seorang gadis, “Cikgu Alyana! Hannah dapat straight A's SPM!!” Gadis itu meluru ke arah Alyana. Tubuh Alyana dirangkulnya.

Alyana terkejut. Tidak dinafikan, dia berasa sungguh gembira sebagai seorang pendidik meskipun bukan guru Hannah di sekolah. Dia membalas pelukan anak muridnya yang paling rapat dengannya.

“Terima kasih, cikgu! Cikgu banyak tolong ajarkan saya banyak subjek,” ucap Hannah.

Air mata Alyana mula menitis. Air mata kegembiraan. “Cikgu pun bangga ada pelajar macam Hannah.”

Semua orang di pejabat itu turut merasai apa yang Alyana rasa. Mereka tahu Alyana guru yang paling rapat dengan Hannah. Alyana meleraikan pelukan. Dia melihat Hannah turut mengalirkan air mata. “Saya harap saya dapat bertemu dengan semua cikgu kat sini lagi.”

Alyana mengukir senyuman. “Kamu boleh datang ke sini bila-bila masa yang kamu mahu.”

Hafizi, salah seorang cikgu di situ menyokong kata-kata Alyana. “Betul tu, Hannah. Awak boleh datang ke sini bila-bila masa saja. Tak pun contact kami ajak makan-makan kat luar ke.. tapi nak datang sini tu, jangan datang hari tempat ni tutup sudahlah...”

Semua orang ketawa mendengar jenaka Hafizi.

“Hannah kena janji dengan semua cikgu kat sini. Hannah akan belajar bersungguh-sungguh dan berusaha dapat kerja yang bagus-bagus. Jangan lawan cakap mak ayah, kasihi dan sayangi mereka selagi mereka masih hidup,” nasihat Alyana.

Hannah mengangguk. Tangan kanannya diangkat tanda berikrar. “Saya janji saya akan belajar bersungguh-sungguh dan berusaha dapat kerja yang bagus. Tak lawan cakap mak ayah, kasihi dan sayangi mereka selagi mereka masih hidup.”

Alyana menghadiahkan senyuman buat anak muridnya.

ALYANA pergi membeli-belah di Aeon. Dia ingin membeli baju baru. Setelah membeli beberapa helai baju dan menyinggah beberapa buah butik, dia berjalan menuju ke eskalator. Tiba-tiba ada dompet terjatuh ke atas lantai.

Alyana mengutip dompet itu. Dia segera menghampiri lelaki yang tercicir dompet itu. “Encik! Encik!”

Lelaki itu menoleh. Mata Alyana membulat. Dia teringat hari yang dia tak dapat KitKat. Lelaki itu! Lelaki yang merosakkan harinya.

Haikal mengerutkan dahi. Minah ni nak apa? Tadi beria panggil aku, sekarang pandang aku macam nampak hantu pulak. Ke memang ada hantu kat belakang aku? “Err... Cik?”

Alyana tersentak. Ternyata lelaki itu tidak mengecamnya. “Err... ini dompet encik ke? Tadi saya jumpa terjatuh atas lantai.”

Haikal memandang dompet itu. “Eh, haah! Terima kasih. Ermm... kita pernah jumpa ke? Saya rasa macam pernah nampak awak.”

Alyana mencebik. “Ceh, memang betul tekaan aku, dia tak ingat. Siapalah yang nak ingat kan? Selepas dapat apa yang diingini,” rungutnya dengan nada suara yang perlahan.

Meskipun nada suara Alyana perlahan, Haikal tetap dapat mendengar kata-kata Alyana dengan jelas. Barulah dia ingat, “Awak ke? Yang berebut dengan saya coklat tu!”

Alyana yang tidak puas hati memeluk tubuh. Dia berkata, “Ya, sayalah orangnya! Sudahlah tak mahu mengalah. Ugh!”

Haikal mengecilkan matanya memandang Alyana, “Hei, saya yang menangkan. Yang awak mengungkit tak puas hati tu kenapa? Perkara dah lepas kan?”

Alyana baru sahaja mahu membidas kata-kata jejaka itu, tiba-tiba matanya tertancap pada seseorang yang amat dikenalinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience