17

Other Series 3067

Selesai menunaikan solat subuh berjemaah, Zulfiqar menatap wajah isterinya sebelum menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan isterinya.

Haura tersenyum melihat telatah suaminya. Sungguh, dia sangat bersyukur memiliki Zulfiqar sebagai pemimpin hidupnya. Makan pakainya dijaga, syariat Allah dipelihara. Akhlaknya dibentuk dengan sangat baik. Bangga rasanya memiliki pendamping hidup yang meletakkan Allah di tempat teratas.

Pagi itu, suasana seperti biasa. Namun, tidak bagi Zulfiqar. Fikirannya berkecamuk memikirkan petunjuk-petunjuk yang diberi Allah melalui mimpinya. Walaupun begitu, dia cukup yakin bahawa Allah memerintahkannya untuk keluar mempertahankan Baitulmaqdis dari tangan-tangan kafir laknatullah.

Dalam ralit memikirkan petunjuk Ilahi, Zulfiqar dikejutkan dengan satu panggilan telefon. "Assalamualaikum.. Haa Afiq.." Zulfiqar menyapa terlebih dahulu sebaik sahaja menjawab panggilan daripada rakannya, Afiq.

"Waalaikumsalam.. Fiqar. Aku dengan team aku nak ke Palestine, biasalah.. Misi kemanusiaan. Beri sumbangan dari segi makanan, pakaian, perubatan dan macam-macam lagi. Kau nak follow aku?" Afiq menjawab salam seraya menyatakan hasratnya menghubungi Zulfiqar.

"Boleh juga. Bila dan berapa lama?" Zulfiqar seakan-akan teruja mendengar berita yang disampaikan oleh Afiq.

"Esok.. Aku pun tak sure.. Tapi selalunya tiga bulan. Depends pada keadaanlah.. Boleh jadi sekejap, boleh jadi lama" ujar Afiq, selaku aktivis kemanusiaan.

"Oh, boleh.. Nanti aku inform kau semula" Zulfiqar memberi kata putusnya.

"Bereh boh, Assalamualaikum" Afiq segera menamatkan perbualannya dengan Zulfiqar.

"Waalaikumsalam" jawab Zulfiqar seraya mematikan panggilan.

"Haa kenapa tu abang? Nampak macam serious.. Takkan jadi ustaz pondok pun outstation bang? Sampai 3 bulan pula?" Haura yang secara tidak sengaja terdengar perbualan suaminya itu mula bertanya.

"Malam nanti abang cerita" ujar Zulfiqar sambil mengukir sebuah senyuman. Terpaksa. Senyuman yang sekadar menutup kegusaran yang mula bersarang.

"Abang nak pergi kerja dulu" Zulfiqar memeluk Haura dan mencium isterinya. "Duduk rumah, baik-baik" tidak pernah Haura diperlakukan sebegitu. Namun, dia cuba berlagak biasa. Dia menyangka bahawa suaminya cuba menjadi suami yang romantik seperti di dalam drama.

***

"Assalamualaikum, semua!" Zulfiqar memberi salam sebaik sahaja melangkah masuk ke kelas yang diamanahkan untuknya.

"Waalaikumsalam ustaz" secara serentak, salamnya berbalas.

"Ok, esok ustaz tak ada tau.. Ada ustazah yang ganti kelas ustaz. Awak semua jangan buli pula ustazah tu, ya!" Zulfiqar memaklumkan kepada pelajarnya tentang ketiadaannya pada hari esok.

"Alaaa ustaz nak pergi mana?" Aina bertanya.

"Ustaz nak pergi honeymoon. Kau apa tau?!" Huzaifah menjawab soalan Aina sambil mencebik.

Zulfiqar terhibur melihat telatah para pelajarnya.

"Apalah korang ni. Ustaz ada kerja nak buat, kan ustaz?" Amir selaku ketua kelas cuba meredakan keadaan.

"Ya, pandai Amir" Zulfiqar masih tersenyum. Lalu dia mengeluarkan buku sirah dan mula mengajar.

***

Selepas menunaikan solat isyak berjemaah di rumahnya, Zulfiqar mengumpul kekuatan untuk berterus terang dengan isterinya.

"Haura, abang ada benda nak bagitahu" Zulfiqar memegang tangan Haura. Cuba meminjam kekuatan dari isterinya untuk berterus terang.

"Ya? Kenapa, bagitahulah" Haura mengukir senyuman untuk suaminya dan tangannya mula mengusap-usap wajah suaminya.

Tanpa disedari, Zulfiqar menitiskan air mata.

"Abang, kenapa ni?" Haura menyeka air mata yang mula membasahi pipi suaminya. "Abang demam?" Haura mula meletakkan tangannya di dahi Zulfiqar.

"Tak, sayang.. Esok abang nak pergi Palestine" Zulfiqar berhenti sambil menatap anak mata isterinya. Haura kelihatan tenang.

"Kalau abang tak mampu teman Haura masa bersalin nanti, abang minta maaf ya" Zulfiqar menyambung kata.

"Abang nak Haura jaga anak kita baik-baik.. Jika jodoh ini panjang, maka kita akan bertemu semula di dunia.." Zulfiqar tidak dapat meneruskan kata.

"Kalau abang syahid, abang tunggu Haura dengan anak kita eh" Haura bersuara. Akhirnya air matanya menitis jua.

Malam itu, suasana hening menyelubungi mereka berdua. Tiada kata yang terlafaz. Keadaan menjadi sangat asing bagi keduanya.

Haura kuat melafazkan doa di dalam hati semoga Allah memelihara suaminya. Jauh di sudut hati, dia tidak rela sekiranya Zulfiqar menyertai misi kemanusiaan itu. Dia tahu tentang bahaya yang menanti.

Zulfiqar pula kuat melafazkan doa semoga Allah memberi kekuatan iman kepadanya semoga tidak gentar apabila berhadapan dengan musuh Islam. Dia juga menyimpan sepenuh pengharapan kepada Allah semoga dilimpahkan ketabahan buat isterinya yang sedang sarat.

***

"Sayang, bangun.. Subuh" pagi itu, Zulfiqar mengejutkan Haura untuk menyempurnakan solat subuh berjemaah.

"Ya.. Haura bangun ni" Haura menggosok-gosok matanya sebelum melangkah ke bilik air bagi membersihkan diri dan mengambil wudhuk.

'Mungkin ini subuh kita yang terakhir, mujahidku' Haura bermonolog ketika doa dipanjatkan oleh suaminya. Dikuatkan hatinya semoga tidak kelihatan lemah. Cuba membuktikan bahawa dia mampu walaupun tiada suami di sisi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience