1

Other Series 3067

"hmm dah bertahun berlalu... Anak ummi bakal menamatkan zaman bujangnya beberapa jam sahaja lagi.. Sudah bersedia?" soal Puan Khadijah kepada puterinya, Haura..

Haura Al Maqsurah merupakan satu-satunya cahaya mata bagi pasangan Puan Khadijah dan Encik Muhammad.

Sebaik sahaja menamatkan tingkatan 6, Haura dijodohkan oleh kedua ibu bapanya dengan seorang lelaki yang langsung tidak dikenali.

Khabarnya, lelaki itu mempunyai didikan yang baik. Agamanya juga sungguh cantik. Dihiasi pula akhlak yang mulia.

Pada ramadhan yang lepas, lelaki itu dijemput ke rumah bagi mengimamkan solat maghrib dan juga solat isyak serta tarawih. Bacaannya sangat cantik. Makhraj dan tajwidnya cukup indah. Manakan tidak, cucu pengetua dari sebuah pondok yang terkemuka. Haruslah cantik bacaan al qurannya.

Masih segar di ingatan Haura, saat bakal ditunangkan. Haura agak terkejut. Tetapi dia hanya mampu meminta izin untuk beristikharah terlebih dahulu. Baginya, petunjuk Ilahi itu lebih tepat dan tak pernah hadir istilah 'khilaf' dan 'silap'.

Bersumberkan petunjuk Allah dan juga istisyarah bersama keluarganya, Haura akhirnya bersetuju untuk menerima lamaran lelaki itu.

Lelaki itulah yang bakal menjadi suaminya. Pendamping hidupnya. Seorang guru serta pembimbing bagi dirinya. Alhamdulillah, tidak sia-sialah Haura menunaikan solat hajat setiap hari bagi mendapatkan seorang jodoh yang baik dan sempurna seperti Zulfiqar.

Zulfiqar, indahnya nama. Diambil dari salah satu nama pedang Saidina Ali. Kepetahannya berhujah demi menegakkan syiar Islam juga cukup lantang dan mampu menggerunkan pihak lawan. Syukurlah, hebatnya Zulfiqar sehebat namanya.

"aih, Haura.. Kenapa diam sahaja?" soal puan Khadijah sebaik sahaja dilihat puterinya itu tidak membalas persoalannya.

"ya ummi?! Oh, maafkan Haura. Haura sudah bersedia ummi. Haura sudah beristikharah. Haura yakin bahawa Fiqar adalah jodoh Haura yang paling tepat" Haura tersenyum seraya membalas pertanyaan dari umminya, Puan Khadijah. Puan Khadijah juga ikut tersenyum.

Sedar tidak sedar, Haura sudah menginjak umur 20 tahun.

"Haura tidur dululah, supaya esok kelihatan cantik dan berseri. Tak elok bakal pengantin tidur lewat. Hilang pula serinya nanti" ujar Puan Khadijah, sekaligus mengusik puterinya itu.

'hmm, bolehkah aku menjadi isteri yang baik buat dirinya? Biasanya ustaz-ustaz beristerikan perempuan yang berniqab. Paling kurang pun, berpurdah. Tapi aku? Hanyalah bertudung labuh dan juga ber tshirt muslimah. Alah kalau dah jodoh, bertemu juga. Aku harap, Fiqar mampu menerima kekurangan aku yang sangat jauh berbeza dengan perempuan lain di luar sana. Yalah, sepanjang pertunangan ini, tak sekalipun aku dan dia bertemu dan berbual. Hanya akan berbual berkaitan majlis ini sahaja. Bersediakah aku menjadi isterinya? Walhal terlalu banyak kekurangan pada diri ini.. Aku baru sahaja menamatkan tingkatan 6. Sedangkan dia sudah pun bergelar ustaz. Umur pula agak berbeza. 20 dan 23. Hmm kurang matang rasanya diriku ini jika dibandingkan dengan Fiqar. Tapi, esok adalah hari bagiku menjadi isterinya. Mungkin, inilah dia salah satu takdir Allah buatku. Kehidupan selepas ini pasti jauh berbeza' Haura bermonolog sendirian sebelum dirinya terlena diulit mimpi-mimpi indah.

***

"hai abang, dah nak nikah esok pun duk hadap handphone lagi ke? Chat Kak Haura la tu. Eii payahlah orang yang dah nak nikah ni.. Senyum-senyum. Sabarlah, esok jumpa dan halal. Tidurlah, esok bangun lewat. Tak fasal-fasal kene reject pula dengan Kak Haura tu" Syakir menyakat abangnya yang dilihat tersenyum sendirian.

"alaaa Kir, mana ada abang chat Kak Haura pun. Jangan nak panggil Kak Haura la. Kau dengan diakan sebaya sahaja. Kakak apa pula?" Zulfiqar membalas usikan adiknya.

"iyalah, sebaya. Tapi, bakal jadi kakak ipar aku kan? Kenalah biasakan diri panggil kakak. Nanti kalau panggil Haura, ada pula timbul perasaan lain, cia cia cia" Syakir membalas seraya berjalan masuk ke biliknya tanpa menghiraukan muka Zulfuqar yang merah padam menahan malu.

Zulfiqar tersenyum geli hati melihat gelagat adiknya yang gemar menyakat.

'Nasiblah dia tak sedar' Zulfiqar berkata di dalam hati. Risau juga sekiranya adiknya itu mengetahui tindak tanduknya yang melihat gambar Haura.

'Haura Al Maqsurah... Indahnya namamu. Esok akanku halalkan dirimu. Kau juga akan menjadi bidadari dalam hidupku buat selamanya. Adakah aku sudah bersedia untuk menjadi suami dan menanggung anak orang?' Zulfiqar berkata kepada dirinya sendiri.

Begitulah dia Zulfiqar dan Haura. Tidak pernah berkenalan antara satu sama lain. Zulfiqar melanjutkan pelajarannya ke Mesir dalam bidang Usuluddin sementara Haura pula hanya menyambung pelajarannya di peringkat diploma, STPM. Namun begitu, Haura pernah mendapat tawaran untuk menyambung pelajarannya ke luar negara, juga dalam bidang usuluddin. Tetapi ditolaknya kerana dia lebih berminat untuk menyambung di tingkatan 6. Di samping itu, kolej tingkatan 6 lebih dekat dengan rumahnya. Biasalah, anak tunggal. Haruslah bersikap manja.

Haura tidak pernah berkenalan langsung dengan Zulfiqar. Hanya mengetahui tentang lelaki itu sewaktu keluarga Zulfiqar menghantar lamaran kepadanya. Dan dia mengambil keputusan untuk istikharah terlebih dahulu. Petunjuk Allah kuat menyatakan bahawa Zulfiqar adalah jodohnya yang terbaik.

Sepanjang tempoh pertunangan, mereka tidak pernah bermesej. Apatah lagi untuk keluar berdua. Keduanya cukup menjaga batas dan juga ikhtilat. Hanya doa menjadi penghubung dan penguat hubungan mereka sehingga akhirnya mereka melangkah ke dalam alam pernikahan.

Sepanjang tempoh pertunangan itu juga, hanya beberapa kali mereka bersua muka. Itupun ketika proses lamaran dan juga ketika Zulfiqar dijemput untuk mengimamkan solat maghrib, isyak dan tarawih.

Beberapa kali itu jugalah, Haura mengawal dirinya agar tidak kelihatan terlalu kekok dan segan apabila berhadapan dengan Zulfiqar.

Bukan tiada kasih di hatinya, cuma perasaan malu itu mengatasi segalanya. Begitu juga halnya dengan Zulfiqar. Zikir dan istighfar sering membasahi lidah apabila terkenangkan Haura. Bibit-bibit cinta mula bersemi. Namun, tidaklah mereka mampu menzahirkannya melalui perbuatan melainkan doa sebagai alatannya.

Dalam untaian doanya, pasti diselitkan sekali nama Haura Al Maqsurah di dalamnya. Dengan harapan Allah memelihara bakal isterinya agar menjadi wanita yang mampu memelihara kehormatan diri dan maruah agar tidak mudah tergoda dek hawa nafsu.

Haura juga begitu. Seringkali nama Zulfiqar disebutkan di dalam doanya semoga Allah menetapkan Zulfiqar di atas jalan-NYA yang lurus. Haura juga berharap agar Zulfiqar mampu membimbing dirinya menjadi insan yang lebih baik buat agama, negara, bangsa dan masyarakat. Tiada lain di dalam hati Haura selain ingin dirinya dibimbing dengan baik oleh Zulfiqar.

Mungkin Zulfiqar merupakan jawapan Allah bagi solat hajat yang pernah dilakukan oleh Haura satu masa dahulu. Begitu juga Zulfiqar. Mungkin Haura adalah wanita yang paling tepat sebagai jawapan dalam istikharahnya setiap malam sejak kali pertama matanya memandang Haura di dalam satu majlis ilmu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience