BAB 1

Romance Completed 34538

"Abah minta tolong sangat-sangat dengan kakak. Selamatkanlah nama dan maruah keluarga ini.Abah dah tak sanggup terima apa-apa lagi bantahan. Cukuplah adik kau seorang yang memalit tahi ke muka abah. Jangan kau juga mahu berbuat demikian," kata Haji Osman Jelani kepada anak sulungnya dengan nada merayu. Wajahnya resah dan garis kereput wajah tua itu semakin terserlah dalam situasi tegang ketika itu. Isterinya, Hajah Safiah Abidin hanya membatu dengan linangan air mata yang tak kering-kering dari tadi.

"Tapi abah... kenapa kakak yang perlu tanggung semua ni. Sedangkan adik yang buat hal. Lari entah ke mana. Bukankah dia juga yang beria-ia setuju menerima lamaran ini hari itu?" bentak Afifah tanda membantah.Dia tahu tidak sepatutnya nada tinggi itu keluar tatkala berhadapan dengan ayahnya. Namun dia geram.

Tambah pula, selama ini dirinya dirasakan sering menjadi korban acapkali adik kembarnya itu membuat kesilapan.

Sebelum ini mungkin dia boleh bersabar. Hal-hal sebelum ini juga mungkin dia boleh terima dan galas balasannya. Namun tidak untuk sekali ini. Tidak sama sekali!

"Cukuplah selama ini, kakak tanggung kesalahan yang dia lakukan. Takkan hal penting begini pun kakak juga kena tanggung? Ini melibatkan masa depan kakak, abah!"

"Kakak sedih sangat. Sanggup abah buat begini? Menyerahkan hidup dengan lelaki yang kakak sendiri tak kenal entah siapa-siapa. Sanggupkah abah tengok masa depan kakak hancur?"

Kali ini Afifah tidak dapat menahan lagi. Apa yang terlintas di fikirannya dihamburkan keluar. Air mata yang cuba dibendungnya dari tumpah kini mengalir juga. Deras.

"Wahai anakku Afifah Faizah. Abah memohon padamu. Ini akan jadi kesalahan terakhir dari adikmu sendiri yang perlu kau tanggung. Abah janji.

"Segala persiapan sudah siap. Undangan juga telah dibuat. Jika ditangguhkan, abah mau untuk berhadapan dengan dunia ini lagi.Abah harap kakak tidak akan mengecewakan abah. Cukuplah apa yang abah terima," balas Haji Osman sayu. Kata-katanya itu menyentak rasa si anak.

Afifah hanya membatu. Buntu untuk memberi respon. Entah apa lagi alasan yang mahu dia katakan agar dia tidak dijadikan korban.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience