Dihya Maelani, seorang wanita berusia 28 tahun, hidup dalam dunia yang penuh dengan cabaran dan pengorbanan. Di dalam usia yang muda, Dihya sudah pun mengharungi pelbagai dugaan hidup yang sukar.
Hidup orang lain biasanya dipenuhi dengan warna-warni. Namun tidak buat Dihya Maelani. Hidup Dihya hanya dipenuhi dengan satu bebanan berat yang datang daripada tindakan ayahnya yang menjerumuskan mereka ke dalam krisis kewangan. Hutang perjudian yang ditinggalkan oleh ayahnya menjadikan Dihya terpaksa mengambil langkah yang drastik untuk memastikan kelangsungan hidup mereka.
Dihya kini bekerja sebagai bartender di sebuah pub yang dikenali dengan nama "The Rusty Anchor." Pub ini terletak di sudut yang sibuk dalam kawasan bandar yang sentiasa hidup walaupun hari sudah lewat, di mana hiruk-pikuk pelanggan dan kehidupan malam yang tidak pernah berhenti menggantikan ketenangan yang pernah dia dambakan. Setiap syif yang dia jalani di "The Rusty Anchor" bukan hanya sekadar pekerjaan untuk Dihya, tetapi satu cara untuk membayar hutang-hutang yang menghantui keluarganya.
Dengan bayaran yang diperolehi daripada pekerjaannya, Dihya berusaha keras untuk mengumpul duit sebanyak mungkin bagi menyelesaikan hutang tersebut. Di sebalik penampilannya yang ceria dan penuh kecekapan sebagai bartender, dia menyembunyikan kesedihan dan keletihan yang mendalam. Setiap malam yang dilalui di "The Rusty Anchor" bukan hanya sekadar satu langkah menuju penyelesaian kewangan, tetapi juga satu ujian peribadi yang menguji kekuatan dan ketabahan hati Dihya dalam menghadapi cabaran hidup yang tiada kesudahan.
Sebab Dihya langsung tidak menyangka yang dia akan terlibat dengan seorang lelaki yang tidak pernah dia fikir akan menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Zane Hayes, seorang lelaki berusia 34 tahun, berdiri megah di puncak kejayaan perniagaan. Dengan kekayaan yang melimpah ruah, beliau adalah salah seorang ahli perniagaan paling berpengaruh di negaranya. Rupa paras Zane, yang kacak dan maskulin, sering menjadi perhatian dan kekaguman ramai.
Seiring dengan kehidupannya yang dipenuhi dengan kemewahan dan kesenangan, Zane telah berkahwin dengan seorang wanita dari sebuah keluarga kaya kenalan keluarga ayahnya. Pendek kisahnya, hidup Zane serba serbi lengkap kerana mempunyai seorang isteri yang cantik dan sebuah keluarga yang kelihatan sempurna, seolah-olah membentuk gambaran kehidupan yang ideal seperti yang diingini oleh orang lain.
Namun, di sebalik imej ideal yang sempurna dan kehidupan mewah tersebut, Zane menyembunyikan rahsia dan kisah silam yang tidak menyenangkan. Isterinya, yang dipilih bukan kerana cinta tetapi terpaksa. Ianya merupakan beban emosional yang besar bagi Zane. Hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar perjanjian sosial yang memanfaatkan status dan kekayaan Zane. Keluarganya pula, yang kelihatan sempurna di mata luar, sebenarnya adalah sekumpulan individu yang lebih mementingkan keuntungan material daripada hubungan sebenar sebagai ahli keluarga sedarah.
Keadaan ini membuatkan Zane hidup dalam keadaan penuh ketidakpuasan dan kebencian terhadap kehidupan yang dimilikinya. Perasaan ini perlahan-lahan bertumpuk menjadi titik hitam di dalam nuraninya. Mencipta karakter yang bukan Zane mahukan tetapi kelihatan jahat di mata orang sekeliling.
Untuk mengatasi rasa benci yang menyelubungi jiwanya, Zane memilih jalan yang merosakkan dirinya sendiri — berfoya-foya dengan ramai wanita, membuang masa dengan memabukkan diri, membazirkan wang pada perkara yang sia-sia dan tidak berguna. Aktiviti tersebut bukan sahaja sebagai escapism daripada realiti hidupnya yang pahit, tetapi juga cara Zane untuk mencari sesuatu yang boleh memberikan rasa kepuasan sementara dan mungkin, hanya mungkin, sedikit rasa kebebasan daripada cengkaman hidupnya yang tidak memuaskan.
Di tengah-tengah semua kemewahan dan kehidupan glamor, Zane Hayes adalah seorang lelaki yang terperangkap dalam jaring kesepian dan kekecewaan, mencuba mencari jalan keluar dari kekusutan emosi dan tekanan yang menghimpit hidupnya.
Dan berubah tiga ratus enam puluh darjah dalam sekelip mata setelah Zanes Hayes bertentang laluan dengan Dihya Maelani.
Share this novel