Seindah Seyumanmu ii

Short Story Completed 48

Hari-hari berlalu, dan semakin lama Liyana mula menyedari ada sesuatu yang istimewa tentang Haikal. Di sebalik sikapnya yang dingin dan sering bersendirian, ada sisi lain pada Haikal yang hanya sesekali kelihatan. Sikapnya yang penuh misteri membuatkan Liyana semakin ingin mengenalinya dengan lebih dekat. Walaupun Haikal tidak banyak berbicara, Liyana mendapati dirinya semakin selesa berada di sekelilingnya.

Liyana kini menanti saat dia terserempak dengan Haikal di koridor. Biasanya, Haikal akan berjalan dengan langkah yang tenang, matanya lurus ke hadapan, seolah-olah tidak mempedulikan apa-apa di sekelilingnya. Namun, sejak beberapa hari ini, Liyana perasan ada sesuatu yang berbeza mereka sering bertukar senyuman kecil ketika berselisih di koridor. Walaupun hanya sekejap, senyuman Haikal yang seakan-akan malu itu sudah cukup untuk membuatkan hati Liyana berdebar.

-----------------------------------------------------

Pada suatu pagi, seperti biasa, Liyana melangkah menuju ke kelas sambil memegang beberapa buah buku di tangannya. Ketika dia berjalan melalui koridor, pandangannya terhenti apabila melihat Haikal yang sedang datang dari arah bertentangan. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang, tetapi dia cuba mengawal dirinya agar tidak kelihatan canggung. Ketika Haikal semakin hampir, mata mereka bertemu, dan seperti biasa, senyuman kecil terukir di wajah Haikal.

"Selamat pagi," ujar Liyana dengan suara lembut, cuba menyembunyikan debar di hatinya.

Haikal membalas senyumannya. "Selamat pagi," jawabnya ringkas, tetapi suaranya harini lembut dan mesra.

Pertukaran senyuman kecil itu membuatkan hari Liyana terasa lebih cerah daripada biasa. Seolah-olah ada cahaya yang menyinari jiwanya setiap kali Haikal tersenyum kepadanya. Walaupun perbualan mereka di koridor singkat dan sederhana, Liyana merasakan ada sesuatu yang lebih dalam terjalin antara mereka. Namun, perasaan itu masih samar-samar, tidak pasti apa yang sebenarnya sedang berlaku.

----------------------------------------------------------

Di kantin, Liyana sering melihat Haikal duduk bersendirian sambil makan atau membaca buku. Tidak ramai yang mendekatinya, dan dia juga tidak pernah kelihatan mahu menyertai kumpulan pelajar yang lain. Suatu petang, ketika waktu rehat tengah hari, Liyana memberanikan diri untuk mendekati Haikal yang sedang duduk di sebuah meja di hujung kantin. Cahaya matahari petang memancar masuk, memberikan suasana yang tenang di sekeliling mereka.

“Boleh aku duduk sini?” Liyana bertanya dengan senyum manis, cuba untuk tidak kelihatan gugup.

Haikal mengangkat kepala dari bukunya, dan memandang Liyana sejenak sebelum mengangguk perlahan. “Duduklah.”

Liyana menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Haikal. Seketika, suasana terasa sunyi, tetapi bukan sunyi yang tidak selesa. Malah, ada sesuatu yang menenangkan dalam kesunyian itu, seolah-olah mereka berdua berkongsi kehadiran tanpa perlu banyak berbicara.

“Kau selalu rehat seorang diri?” Liyana memulakan perbualan dengan suara lembut.

Haikal menutup bukunya perlahan, kemudian memandang Liyana. “Ya. Aku rasa lebih tenang begitu. Lagipun, aku tak pandai berbual seperti orang lain.”

Liyana tersenyum, cuba mencairkan suasana. “Kau tak perlu pun jadi pandai berbual. Kadang-kadang, kehadiran seseorang dah cukup untuk membuatkan sesuatu itu bermakna.”

Haikal sedikit terkejut dengan kata-kata Liyana. Wajahnya yang biasanya serius kini kelihatan lembut seketika, seolah-olah kata-kata itu menyentuh sesuatu di dalam hatinya.

“Kau... mungkin betul,” katanya dengan nada yang lebih lembut daripada biasa. “Tapi aku dah terbiasa sendirian. Susah untuk aku ubah.”

Liyana menggeleng perlahan. “Tak salah pun kalau sesekali kita cuba untuk berubah. Aku pun bukannya pandai bergaul masa mula-mula pindah sini. Tapi aku rasa, kalau kita cuba buka diri sedikit, kita mungkin akan jumpa sesuatu yang lebih baik.”

Haikal terdiam sejenak. Dia merenung wajah Liyana, seolah-olah sedang mempertimbangkan kata-kata gadis tersebut. Kemudian, dia tersenyum kecil senyuman yang jarang-jarang kelihatan.

“Mungkin,” ujarnya perlahan.

Perbualan mereka terus berlanjutan dengan topik-topik ringan, dan Haikal mula kelihatan lebih selesa berbual dengan Liyana. Mereka bercakap tentang pelajaran, hobi, dan beberapa perkara lain. Haikal bercerita sedikit tentang minatnya dan ia sesuatu yang Liyana tidak pernah tahu sebelum ini. Dia juga mendapati Haikal sebenarnya seorang yang sangat prihatin, walaupun dia tidak menunjukkannya secara terang-terangan. Liyana semakin kagum dengan peribadi Haikal yang terserlah apabila mereka mula berbicara dengan lebih kerap.

----------------------------------------------------

Namun, di sebalik semua itu, ada satu perasaan yang mula tumbuh di hati Liyana. Perasaan yang dia tidak berani akui kepada sesiapa, apatah lagi kepada Haikal. Setiap kali mereka berbual atau bertukar senyuman, Liyana merasakan ada sesuatu yang berputik di hatinya. Dia mula menyukai Haikal dan ianya bukan sekadar sebagai kawan, tetapi lebih daripada itu. Tetapi Liyana bimbang, Haikal tidak pernah menunjukkan sebarang petanda bahawa dia mempunyai perasaan yang sama. Sikapnya masih kekal tenang dan misteri, dan Liyana takut perasaannya hanya bertepuk sebelah tangan.

Ketika malam menjelma, Liyana sering termenung memikirkan Haikal. Wajahnya yang dingin tetapi penuh misteri, senyuman kecilnya yang jarang-jarang muncul, serta kata-katanya yang ringkas tetapi bermakna. Semua itu membuatkan Liyana semakin terikat dengan perasaannya. Dia tidak dapat menahan diri daripada memikirkan tentang Haikal setiap kali mereka tidak bersama.

Namun, Liyana sedar bahawa dia tidak boleh terburu-buru. Haikal jelas seorang yang memerlukan masa untuk membuka dirinya kepada orang lain. Jika benar Haikal menyimpan perasaan terhadapnya, dia pasti akan mengambil masa yang lama untuk mengakuinya. Liyana memutuskan untuk bersabar dan memberi Haikal ruang yang dia perlukan. Lagipun, mereka masih dalam proses mengenali satu sama lain.

Dan dalam hatinya, Liyana berharap bahawa satu hari nanti, Haikal akan melihatnya bukan hanya sebagai seorang rakan, tetapi sebagai seseorang yang lebih istimewa. Tetapi buat masa ini, dia hanya mampu menunggu, sambil menikmati setiap detik yang mereka luangkan bersama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience