Pencinta Kelab Buku iii

Short Story Completed 48

Hari yang dinantikan tiba. Perjumpaan Kelab Buku diadakan di bilik kelab yang biasa, namun kali ini suasananya lebih meriah. Semua ahli kelab kelihatan ceria, berkumpul dengan buku-buku kegemaran mereka. Adrean duduk di sudut bilik, seperti biasa dengan sebuah buku di pangkuannya. Namun kali ini, bukannya tenggelam dalam cerita yang dibacanya, Adrean merasa jantungnya berdegup kencang.

Hari ini adalah hari di mana semua ahli kelab akan berkongsi tentang buku kegemaran masing-masing. Adrean telah menghabiskan cuti semesternya dengan persediaan rapi. Dia membaca buku itu berulang kali, menulis nota, dan menghafal petikan-petikan penting yang ingin dibentangkannya. Namun, di sebalik semua persiapan itu, dia masih dihantui oleh satu perkara iaitu kegugupannya berhadapan dengan Qaseh.

“Adrean, kau okay?” tanya Faris, salah seorang ahli kelab yang juga rakan sebilik Adrean, yang duduk di sebelahnya.

“Ah, aku… okay kot,” jawab Adrean perlahan, cuba menyembunyikan debaran di hatinya.

“Jangan risau. Kau mesti boleh buat.” Faris memberi semangat.

Adrean tersenyum tipis. "Mungkin..."

Satu demi satu ahli kelab mula berkongsi pandangan mereka tentang buku kegemaran masing-masing. Ada yang berbicara dengan penuh semangat, ada yang lebih tenang tetapi masih jelas. Adrean mendengar setiap pembentangan dengan teliti, tetapi fikirannya terus melayang kepada gilirannya nanti. Dan, sudah tentu, kepada Qaseh.

Akhirnya, tiba giliran Adrean. Jantungnya semakin kuat berdegup ketika namanya dipanggil. Dengan tangan yang sedikit menggigil, dia berdiri dan melangkah ke depan. Di hadapannya, semua ahli kelab memandang dengan penuh minat. Termasuk Qaseh, yang duduk di tengah-tengah, tersenyum lembut seperti biasa.

Adrean menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. "Aku boleh buat ni. Aku dah bersedia," bisiknya dalam hati.

Dia membuka mulut untuk memulakan pembentangan. “B-buku yang aku pilih ialah...,” kata Adrean, suaranya tersekat-sekat. Dia cuba menahan kegugupan, tetapi suara yang keluar terlalu perlahan. Hanya beberapa orang terdekat sahaja yang dapat mendengarnya.

Faris tersengih, cuba memberi isyarat kepada Adrean supaya bercakap lebih kuat. "Adrean, kau kena kuat sikit!".

Adrean cuba menguatkan suaranya, tetapi setiap kali dia cuba, lidahnya terasa kaku. Kata-katanya tidak teratur, dan apa yang keluar dari mulutnya hanyalah ayat yang tidak jelas dan sukar difahami. Dia berasa semakin gugup, dan kekecewaan mula menguasai dirinya.

Qaseh, yang duduk tidak jauh darinya, memandang dengan dahi sedikit berkerut. Dia kelihatan cuba mendengar, tetapi jelas suaranya tidak sampai ke telinga gadis itu.

Selepas beberapa minit yang terasa seperti seabad, Adrean akhirnya mengakhiri pembentangannya. Tiada tepukan gemuruh, hanya senyap seketika, dan Adrean merasa sangat malu. Dia menundukkan kepala, kemudian kembali ke tempat duduknya dengan rasa rendah diri yang amat kuat.

Ketika dia duduk kembali di kerusinya, Faris menepuk bahunya dengan lembut. “Tak apa, bro. Kau dah cuba,” kata Faris dengan nada simpati.

Adrean hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa. Hatinya berkecamuk, dan dia mula berasa sangat marah pada dirinya sendiri. Semua usaha yang dilakukannya sepanjang cuti semester seolah-olah tidak bermakna. Perasaan kecewa itu sangat menyesakkan dadanya.

Namun, ketika Adrean sedang menunduk malu, Qaseh tiba-tiba menghampirinya. Dia berdiri di depan Adrean, tersenyum manis seperti biasa.

“Adrean, aku suka buku yang kau bentangkan tadi,” kata Qaseh sambil memegang bahu Adrean dengan lembut.

Adrean terkejut, mendongak dan menatap Qaseh dengan pandangan tidak percaya. “T-tapi... kau hampir tak dapat dengar apa yang aku cakap tadi,” balasnya, masih teragak-agak.

Qaseh ketawa kecil. “Betul, aku tak dapat dengar semua. Tapi, dari apa yang aku dengar, buku tu nampak macam menarik. Boleh tak kau ceritakan dekat aku nanti? Aku serius nak tahu.”

Adrean tergamam. Dia tidak menyangka Qaseh akan memberi perhatian sebanyak itu, walaupun dia merasa pembentangannya tadi adalah kegagalan besar. Satu senyuman kecil mula terukir di wajahnya, dan buat pertama kali dalam perbualan dengan Qaseh, dia merasakan rasa gugupnya sedikit berkurangan.

-------------------------------------------------------------

Haris, salah seorang ahli kelab sedang berjalan membawa beberapa buku yang tebal. Namun, ketika dia cuba melangkah keluar dari bilik, dia tersadung pada sebuah kerusi dan buku-buku itu berterabur ke lantai.

Semua ahli kelab termasuk Adrean dan Qaseh tersentak. Tanpa berfikir panjang, Qaseh cepat-cepat bangun dan menolong Haris mengutip buku-buku tersebut. Melihatkan tindakan pantas Qaseh, Adrean dengan spontan turut bangun dan membantu. Dalam situasi itu, dia tidak berasa canggung atau tertekan. Dia tidak memikirkan perasaannya terhadap Qaseh atau bagaimana dia akan kelihatan di depan gadis itu. Yang ada hanyalah niatnya untuk menolong Haris.

Ketika mereka sama-sama mengutip buku, tangan Adrean dan Qaseh tersentuh seketika. Adrean terdiam, tetapi kali ini dia tidak merasa segugup seperti sebelumnya. Qaseh tersenyum kepadanya, dan bukannya rasa kekok malah Adrean merasakan sesuatu yang berbeza.

“Terima kasih, Adrean,” ucap Qaseh sambil memegang beberapa buku di tangannya.

Adrean tersenyum kembali, dengan lebih yakin kali ini. “Sama-sama. Aku tak sangka Haris boleh terjatuh macam tu,” jawabnya dengan nada gurauan.

Qaseh ketawa kecil. “Aku pun tak sangka. Tapi, tak apalah, benda kecil je.”

Mereka berdua berjalan kembali ke tempat duduk masing-masing selepas membantu Haris, dan Adrean mula merasakan sesuatu yang berubah. Rasa gugup yang selama ini menghantuinya seakan-akan hilang sedikit demi sedikit. Dia mula sedar bahawa Qaseh adalah seorang yang sangat mudah didekati dan mesra.

-----------------------------------------------------------

Adrean pulang ke biliknya. Walaupun, pembentangannya tidak seperti yang diharapkannya, tetapi interaksi spontan dengan Qaseh tadi telah mengubah cara dia melihat dirinya sendiri. Mungkin, selama ini, kegugupannya hanyalah bayangan yang diciptanya sendiri.

Malam itu, sambil berbaring di atas katilnya, Adrean tersenyum sendirian. "Mungkin aku tak perlu terlalu risau tentang semua ni," bisiknya perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience