Pencinta Kelab Buku i

Short Story Completed 48

Adrean Mikail menjejakkan kaki ke pekarangan Kolej Seri Iskandar, sebuah kolej yang terletak di kawasan hijau yang tenang, jauh dari bandar dan rumahnya. Kolej ini menjadi tempat Adrean menimba ilmu dan menghabiskan masanya sebagai seorang pelajar.
Adrean seorang yang agak pendiam dan tidak ramai yang mengenali Adrean dengan lebih rapat kerana dia lebih suka menghabiskan waktu bersendirian, tenggelam dalam dunia buku-buku yang dibacanya.

Adrean merupakan ahli Kelab Buku di kolej tersebut. Kelab Buku merupakan tempat dimana dia boleh melupakan segala kerunsingan dunia luar dan dia sepenuhnya tenggelam dalam pelbagai kisah menarik. Walaupun dia tidak banyak bercakap dengan ahli kelab lain, dia sentiasa seronok berada di situ. Kelab itu menjadi tempat dia merasa damai dan bebas untuk menjadi dirinya sendiri.

Namun, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, hatinya mula berdebar-debar setiap kali dia melangkah masuk ke kelab. Semuanya kerana seorang gadis bernama Qaseh Adriana. Qaseh adalah seorang gadis yang sangat ceria dan periang, selalu tersenyum kepada semua orang di sekelilingnya. Dia terkenal dengan sikapnya yang mesra dan mudah bergaul. Setiap kali Qaseh melangkah masuk ke bilik kelab, suasana seakan-akan berubah menjadi lebih hidup. Gelak tawanya yang manis membuatkan sesiapa saja rasa selesa berada dekat dengannya.

Adrean selalu memerhati Qaseh dari jauh, tidak berani untuk mendekati gadis tersebut. Dia seringkali terfikir bagaimana seorang gadis seceria Qaseh boleh wujud, dan lebih menghairankan lagi, bagaimana hatinya kini berdegup kencang setiap kali gadis itu ada berhampirannya.

Suatu petang, seperti biasa Adrean berada di sudut kelab dengan sebuah buku di tangannya. Dia sedang asyik menelaah bab terakhir sebuah novel fantasi apabila satu suara riang tiba-tiba mengejutkannya.

"Eh, Adrean!" Suara itu milik Qaseh.

Adrean tersentak, terkejut dengan teguran itu. Dia cepat-cepat menutup bukunya dan cuba berlagak tenang, walaupun jantungnya berdegup kencang. "H-hi, Qaseh," balasnya dengan sedikit tergagap.

Qaseh tersenyum lebar. “Baca buku apa tu? Nampak menarik.”

Adrean menelan liur, merasa gugup. Dia mahu menjawab dengan lancar, namun lidahnya terasa kelu. “Er... ni, buku fantasi...” katanya perlahan sambil menunjukkan kulit buku itu kepada Qaseh.

“Oh, aku suka cerita fantasi! Kau ada tak cadangan buku-buku fantasi yang best? Aku tengah cari bahan bacaan yang baru,” kata Qaseh dengan mata yang bersinar penuh minat.

Adrean teragak-agak seketika. Dia memang sering mencadangkan buku kepada ahli kelab lain, tetapi kali ini, situasinya berbeza. Perasaannya kepada Qaseh membuatkan dia serba tak kena. Namun, dia berusaha memberanikan diri. “B-boleh... Kalau kau suka cerita tentang pengembaraan dan sihir, aku cadangkan buku ni,” katanya sambil menyerahkan buku yang sedang dibacanya kepada Qaseh.

Qaseh mengambil buku itu dan membelek-beleknya dengan penuh minat. "Nampak best! Terima kasih, Adrean. Kau mesti ada banyak cadangan buku yang bagus kan? Aku kagum dengan cara kau boleh baca banyak buku dalam satu masa."

Adrean tersipu-sipu, malu dengan pujian yang dilontarkan oleh Qaseh. “Bu-bukan apa... Aku memang suka membaca.” Balas Adrean.

Sejak hari itu, perbualan antara Adrean dan Qaseh menjadi lebih kerap. Qaseh sering menghampirinya di kelab, bertanyakan cadangan buku atau sekadar berbual tentang kisah-kisah yang telah mereka baca. Setiap kali Qaseh mendekati Adrean, hati lelaki itu berdebar-debar, tetapi dia cuba menyembunyikan perasaannya.

Hari demi hari, Adrean semakin tertarik dengan Qaseh. Bukan hanya kerana kecantikan fizikalnya, tetapi juga kerana semangatnya yang sentiasa positif dan ceria. Qaseh adalah cahaya dalam hidup Adrean yang sepi dan sunyi. Walaupun begitu, Adrean masih belum berani untuk mendekati gadis itu dengan lebih lagi biarlah hanya sekadar kawan kelab. Dia tidak mahu merosakkan hubungan mereka yang kini semakin rapat dengan perasaanya yang tersimpan.

-------------------------------------------------

Pejumpaan kelab buku diadakan, Qaseh tiba-tiba bertanya, “Adrean, kau pernah tak rasa macam terperangkap dalam dunia yang kau baca?”

Adrean terdiam sejenak, merenung wajah Qaseh yang kelihatan serius. “Kadang-kadang,” jawabnya perlahan, “Tapi dalam dunia buku, aku rasa lebih bebas. Aku boleh jadi sesiapa sahaja yang aku nak, tak terikat dengan realiti.”

Qaseh mengangguk tanda setuju. “Betul tu. Mungkin sebab tu kita suka baca buku, kan? Sebab kita boleh lari sekejap dari dunia yang nyata dan dari segala tekanan yang ada.”

Adrean tersenyum kecil. Saat itu, dia ingin sekali memberitahu Qaseh betapa dia tertarik dengan gadis itu, betapa hatinya semakin berdebar setiap kali mereka berbual. Tetapi mulutnya terkunci. Dia tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan perasaannya tanpa kelihatan canggung atau takut ditolak.

-------------------------------------------------

Malam itu, Adrean pulang ke asrama dengan perasaan bercampur-baur. Dia teringat setiap detik yang dihabiskan bersama Qaseh di kelab buku. Dia ingin sekali meluahkan perasaannya, tetapi rasa takut lebih menguasai dirinya. Adrean takut kehilangan hubungan yang sedia ada, dan lebih-lebih lagi, takut jika Qaseh tidak merasakan perkara yang sama.

Adrean berdiri di hadapan tingkap bilik asramanya, menatap langit malam yang penuh dengan bintang-bintang. Angin malam berhembus lembut, namun fikirannya masih kusut dan melayang.

"Hmm... macam mana aku nak buat ni?" Adrean mengeluh perlahan sambil mengusap rambutnya yang sedikit kusut. “Aku kena cari cara... tapi bagaimana?”

Perasaannya terhadap Qaseh semakin kuat, tetapi keberaniannya untuk meluahkan kata-kata itu masih belum ada. Hari-hari seterusnya akan menjadi cabaran buat Adrean.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience