Pencinta Kelab Buku (Akhir)

Short Story Completed 48

Beberapa minggu telah berlalu sejak perbualan Adrean dan Qaseh tempoh hari. Kini, suasana di kelab buku semakin hidup. Pengerusi kelab mengumumkan satu aktiviti menarik untuk minggu tersebut, iaitu menukar buku sesama ahli kelab.

"Baiklah semua," pengerusi kelab, Encik Zul, membuka pertemuan hari itu dengan penuh semangat. "Minggu ini, kita akan buat sesi tukar buku. Setiap ahli akan memberikan buku mereka kepada rakan kelab. Ini peluang untuk kita semua berkongsi karya yang kita suka dan mungkin menemui cerita baru yang menarik!"

Adrean, yang kini lebih tenang setiap kali Qaseh berada berdekatan, merasa sedikit teruja. Walaupun dia masih ada sedikit rasa gugup, tetapi perbualan mereka sebelum ini telah membuatnya lebih selesa.

Qaseh yang duduk di sebelah Adrean mengangkat buku di tangannya dan tersenyum. "Adrean, aku nak bagi kau buku ni," katanya sambil menyerahkan buku yang dibungkus rapi.

Adrean mengambil buku itu dengan senyuman.
"Terima kasih, Qaseh. Aku pun ada sesuatu untuk kau." Dia menyerahkan buku kegemarannya, The Journey of the Lost King, yang dibalut dengan penuh hati-hati.

Qaseh tersenyum gembira sambil memegang buku itu. "Wah, buku ni! Aku teruja nak baca. Kau dah ceritakan sikit haritu dan sekarang aku boleh baca semua."

Adrean hanya tersenyum kecil. "Aku harap kau suka. Buku ni sangat bermakna bagi aku."

Qaseh ketawa kecil. "Aku mesti suka, sebab kau yang pilih."

---------------------------------------------------------

Cuti hujung minggu tiba, Adrean hanya memerap dibiliknya sahaja. Dia tidak sabar untuk melihat buku apa yang telah Qaseh berikan padanya. Dia segera membuka balutan buku tersebut dan mendapati buku berjudul The Secret Garden.

Adrean duduk di tepi katilnya, memandang kulit buku itu dengan penuh minat. Dia tahu buku ini adalah karya klasik, tetapi dia tak pernah membacanya sebelum ini. “Qaseh memang tahu aku suka benda-benda macamni,” bisiknya perlahan, sambil menyelak halaman pertama.

Helai demi helai diselak dengan teliti, mata Adrean mula tenggelam dalam kisah tersebut. Namun, ketika dia sampai ke satu bahagian, dia mendapati sesuatu yang tidak dijangka,nota kecil terselit di antara helaian buku itu.

Jantung Adrean tiba-tiba berdegup kencang. Dengan penuh tanda tanya, dia menarik keluar nota itu dan membacanya.

-------------------------------------------------------------------

Nota daripada Qaseh:

“Adrean,

Aku ingin berkongsi sesuatu yang aku tak pernah berani cakap secara langsung. Sejak pertama kali aku menyertai kelab buku, aku sentiasa tertarik dengan cara kau berdiam diri tetapi pada masa yang sama, sentiasa fokus dan tenang. Ada sesuatu tentang sikap pendiam kau yang membuatkan aku ingin mengenali kau lebih dalam.

Buku yang kau pilih untuk bentangkan tempoh hari, The Journey of the Lost King, sangat bermakna bagi aku. Bukan sahaja kerana ceritanya, tetapi juga kerana cara kau menerangkannya. Aku rasa, kita punya banyak persamaan, dari cinta kita terhadap buku hingga minat kita terhadap fotografi. Aku tak pernah sangka aku akan bertemu seseorang yang begitu memahami keseronokan mencari keindahan dalam hal-hal kecil.

Sebenarnya, aku sudah lama suka pada kau, sejak kali pertama kita bertemu. Tapi aku tahu, kau seorang yang pendiam, jadi aku tak mahu memaksa. Harap kau boleh faham maksud sebenar di sebalik buku yang aku berikan pada kau hari ini.

Dengan harapan kau juga punya perasaan yang sama,

Qaseh”

----------------------------------------------------------------

Adrean terkaku. Dia membaca nota itu berulang kali, memastikan dia tidak salah faham. Perlahan-lahan, perasaan lega dan gembira menyelinap ke dalam hatinya. Selama ini, dia menyangka perasaannya terhadap Qaseh hanyalah angan-angan yang tidak mungkin terbalas, tetapi kini, segalanya berubah. Dia tidak bertepuk sebelah tangan.

“Qaseh…,” bisiknya, senyum terukir di bibirnya.

Adrean merasa seolah-olah beban besar telah diangkat dari bahunya. Rasa gugup yang selalu menghantui dirinya kini hilang. Kelegaan yang tak terhingga memenuhi jiwanya, seakan-akan dia menemui ketenangan yang selama ini dia cari.

Hari berikutnya, Adrean bertekad untuk berbual dengan Qaseh dan memberikan jawapan kepada nota itu.

“Qaseh,” panggil Adrean perlahan sambil menghampiri gadis itu yang sedang memegang kamera.

Qaseh berpaling dan tersenyum, seolah-olah dia sudah tahu apa yang akan dibincangkan. “Hey, Adrean. Dah habis baca buku tu?”

Adrean mengangguk perlahan, matanya tepat memandang wajah Qaseh. “Ya, dan... aku juga baca nota yang kau tinggalkan.”

Qaseh terdiam sejenak, wajahnya sedikit merah. “Oh, kau jumpa nota tu...”

Adrean tersenyum dan duduk di sebelah Qaseh. “Aku sangat terharu dengan apa yang kau tulis. Sebenarnya, aku pun rasa benda yang sama. Sejak pertama kali aku nampak kau di kelab buku, aku dah mula tertarik dengan kau, cuma aku terlalu gugup nak tunjukkan perasaan aku.”

Qaseh ketawa kecil, mungkin lega mendengar pengakuan Adrean. “Aku sangka aku yang lebih berani dalam hal ni. Tapi, aku gembira kita akhirnya boleh cakap benda ni.”

“Terima kasih sebab bagi aku peluang untuk kenal kau dengan lebih dalam, Qaseh,” kata Adrean dengan ikhlas. “Aku harap lepas ni, kita boleh habiskan masa bersama, bukan hanya dalam kelab buku."

"Sama-sama Ardean." Balas Qaseh dengan penuh senyuman.

------------------------------------------------------------

Adrean merasakan bahawa segala usaha dan kekeliruan yang dialaminya sebelum ini telah membawa kepada satu titik yang lebih baik. Akhirnya, dia boleh menikmati hubungan yang lebih erat dengan Qaseh, bukan hanya sebagai kawan sekadar berbual di kelab buku, tetapi sebagai seseorang yang istimewa dalam hidupnya.Adrean tak lagi merasa gugup. Sebaliknya, dia merasa lengkap.

TAMAT

• Kadang-kadang, hal seperti minat yang sama boleh menjadi titik awal bagi sesuatu yang indah. Keberanian untuk membuka diri, dapat membawa kita lebih dekat dengan orang lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience