Noah, Si Nakal i

Short Story Completed 48

“Noah! Apa yang kau nak buat ni?” jerit seorang pelajar lelaki, ketakutan melihat Noah menarik beg sekolahnya.

“Hei, apa masalah kau? Aku cuma nak tengok apa yang kau bawa dalam beg ni. Jangan takutlah,” Noah ketawa sinis sambil mengangkat beg pelajar itu lebih tinggi, jauh dari capaian tangan mangsanya. Pelajar itu cuba meraih begnya kembali tetapi gagal, beberapa pelajar lain hanya mampu melihat tanpa berani mencampuri urusan Noah.

Noah sentiasa begini. Nakal, kasar, dan terkenal dengan kelakuan buruknya di sekolah. Setiap hari ada sahaja pelajar yang menjadi mangsa buli atau ejekannya. Noah, dengan wajah sinis dan tingkah laku biadab, suka menggunakan kekuatannya untuk menakut-nakutkan pelajar lain. Dia menikmati rasa kuasa yang dia miliki apabila pelajar lain ketakutan di hadapannya.

“Aku bosanlah. Mana semua orang? Kenapa semua tak nak ‘bermain’ dengan aku?” Noah berkata dengan nada mengejek, matanya melirik ke arah pelajar yang masih berdiri kaku di hadapannya. Kemudian, dia dengan malas melepaskan beg itu, membuatkan pelajar tersebut hampir rebah ke lantai untuk menangkap begnya semula.

“Lain kali, jaga beg kau baik-baik. Kalau tak, mungkin aku akan ambil semuanya,” tambah Noah dengan ketawa yang penuh dengan ejekan. Pelajar itu tergesa-gesa mengambil begnya dan berlari pergi, takut Noah akan berbuat sesuatu yang lebih buruk.

Nyla, seorang gadis yang cemerlang dalam akademik dan aktif dalam kegiatan sekolah, hanya mampu menggeleng kepala melihat kejadian tadi. Dia tidak suka melihat perlakuan Noah. Bagi Nyla, Noah hanyalah perosak ketenteraman. Setiap hari, Noah seolah-olah tidak tahu letih melakukan perkara yang sama iaitu mengganggu, membuli, dan menyusahkan orang lain.

Nyla selalu berfikir, bagaimana pelajar seperti Noah boleh wujud di sekolah yang dikenali dengan reputasi cemerlang ini?

------------------------------------------------------------------------------

Nyla sedang berjalan di koridor sekolah, menuju ke perpustakaan. Dia baru sahaja selesai mengulang kaji pelajaran dan gadis itu ingin menghabiskan sedikit masanya lagi di perpustakaan sebelum pulang ke rumah.

Tiba-tiba, Noah ternampak Nyla melintas di hadapan kelasnya. Ketika itulah pandangan Noah berubah. Nyla, dengan rambut hitamnya yang lurus dan senyumannya yang menawan, berjaya menarik perhatiannya tanpa dia sedari. Noah, yang sebelum ini tidak pernah peduli dengan perasaan sendiri, tiba-tiba merasakan sesuatu yang berbeza di dalam hatinya.

Dia tidak dapat menafikan bahawa Nyla cantik. Meskipun, dia gadis yang pandai dan bersikap dingin. Bagi Noah, Nayla mempunyai daya tarikan yang membuatkan Noah tidak boleh mengalihkan pandangan.

“Eh, kau. Nyla kan , budak kelas sebelah.” panggil Noah dengan lantang, cuba menarik perhatian gadis itu. Nyla yang mendengar namanya dipanggil, terus mempercepatkan langkahnya tanpa menoleh.

Namun, Noah yang terkenal dengan sikap tidak mudah menyerah, segera menghampirinya. “Hei, kenapa jalan laju sangat ni hmm..? Takkan kau takut dengan aku?” katanya sambil tersenyum sinis, melangkah ke hadapan Nyla dan menghalang laluannya.

Nyla memandang Noah dengan tajam, namun dia tidak berkata apa-apa. Dia cuba melangkah ke kiri untuk mengelak Noah, tetapi Noah juga bergerak ke arah yang sama, menghalangnya lagi.

“Boleh tak kau biarkan aku lalu?” Nyla akhirnya berkata, nadanya tegas tetapi tenang.

“Boleh… kalau kau senyum dulu. Tak pernah pula aku nampak kau senyum kat aku,” balas Noah dengan nada main-main.

Nyla semakin berang. Baginya, Noah benar-benar menjengkelkan. Dia tidak faham mengapa Noah sering menyusahkan hidup orang lain. “Kenapa kau tak pergi kacau orang lain, Noah? Aku tak ada masa untuk semua benda mengarut kau ni,” Nyla berkata dengan nada yang sedikit sinis.

Namun, bukannya berundur, Noah tersenyum lebih lebar. “Sebab kau istimewa, Nyla. Kau je yang pandai layan aku macam ni. Orang lain takut, tapi kau… kau berani.”

“Aku bukan berani, aku cuma tak suka kau!” balas Nyla, marah. Tanpa menunggu reaksi Noah, Nyla menolak bahunya dan berjalan pergi dengan pantas. Kali ini, Noah membiarkannya pergi, tetapi hatinya tetap berdegup laju. Bagi Noah, cara Nyla melawannya adalah sesuatu yang baru dan menarik.

--------------------------------------------------------------------

Hari-hari berikutnya, Noah terus mengusik Nyla sekiranya dia mempunyai peluang. Setiap kali dia melihat Nyla, dia akan berkata sesuatu yang mengusik hati gadis itu. Dia akan menyindir, mengejek, malah kadang-kadang cuba menyentuh bahu Nyla secara bergurau. Bagi Noah, ini adalah caranya untuk mendekati gadis yang dia mula sukai, walaupun dia tahu caranya itu salah.

“Apa yang kau nak dari aku, Noah?” tanya Nyla pada Noah setelah tidak tahan dengan gangguan yang berterusan. Dia berdepan dengan Noah di luar kelas, matanya yang biasanya tenang kini berkilau dengan kemarahan.

Noah, yang selalunya pandai menjawab, tiba-tiba terdiam. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu. Apa yang dia mahu? Dia hanya mahu mendekati Nyla, tetapi dia tidak tahu cara lain selain cara nakalnya itu.

“Aku… aku cuma suka tengok kau marah. Kau nampak comel bila marah,” Noah akhirnya berkata, walaupun nadanya kurang yakin. Nyla mendengus, tidak percaya dengan jawapan Noah.

“Kalau kau fikir dengan cara macam ni boleh buat aku suka kat kau, kau silap besar, Noah,” balas Nyla tegas, kemudian berjalan pergi.

Noah hanya mampu melihat dari jauh, masih tersenyum kecil walaupun Nyla telah jauh meninggalkannya. Dia masih tidak tahu bagaimana cara untuk menunjukkan perasaannya selain daripada mengusik dan mengganggu gadis tersebut.

Dalam hati Nyla pula, kebenciannya terhadap Noah semakin menebal. Bagi Nyla, Noah hanyalah pembuli yang tidak tahu hormat kepada orang lain. Dia langsung tidak dapat melihat kebaikan dalam diri Noah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience