Seindah Seyumanmu i

Short Story Completed 48

Hari pertama di sekolah baru memang mendebarkan buat Liyana. Dia merasakan jantungnya berdegup kencang ketika memasuki pagar sekolah. Dengan bangunan yang besar dan kawasan yang luas, sekolah itu kelihatan sangat berbeza daripada sekolah lamanya. Liyana menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya. Hatinya berbisik bahawa segala-galanya akan berjalan lancar, tetapi sedikit sebanyak, perasaan gusar tetap menyelinap di dalam dirinya.

Ketika dia melangkah masuk ke dalam bangunan sekolah, loceng amaran untuk kelas pertama berbunyi. Liyana, yang ketika itu memegang beberapa buah buku, mula tergesa-gesa menuju ke bilik darjah. Dia tidak mahu lewat pada hari pertamanya. Langkahnya dipercepatkan, sehingga tanpa disedari, dia terlanggar seseorang yang datang dari arah bertentangan. Dentuman kuat kedengaran apabila kedua-duanya terjatuh ke lantai bersama-sama buku yang bertaburan.

"Maafkan saya!” Liyana segera memohon maaf, berasa sangat malu.

Dia memandang ke arah lelaki yang dilanggarnya. Pelajar lelaki itu kelihatan tinggi dengan rambut hitam yang sedikit berantakan. Wajahnya yang tajam dan serius membuatkan hati Liyana tiba-tiba terasa kecut. Pelajar lelaki itu memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk ditafsirkan bukan marah, tetapi juga bukan mesra.

“Tak mengapa,” kata lelaki itu, suaranya tenang tetapi dingin.

Liyana terdiam sejenak. Dia tidak menyangka reaksi yang sebegitu. Dia menyangka lelaki itu akan memarahinya kerana kelalaian tadi. Cepat-cepat dia mengutip buku-bukunya yang bersepah di lantai. Lelaki itu turut membantunya, walaupun dia kelihatan tidak begitu mesra. Sepanjang mereka mengutip buku, tiada kata-kata yang terucap antara mereka. Liyana cuba mencuri pandang wajahnya pelajar lelaki tersebut namun, lelaki itu kelihatan sangat dingin dan tidak peduli pada apa-apa selain daripada mengutip buku.

“Haikal,” ujar lelaki itu tiba-tiba sambil menghulurkan buku terakhir kepada Liyana.

“Hah?” Liyana terpinga-pinga, tidak memahami maksudnya.

“Haikal. Nama aku Haikal,” ulangnya, kali ini dengan sedikit nada tegas.

“Oh... saya Liyana,” balasnya dengan senyum yang sedikit kaku.

Haikal tidak memberikan reaksi balas kepada senyumannya, sebaliknya hanya mengangguk perlahan sebelum dia bangun dan terus berlalu pergi. Liyana sempat melihat sekilas, lelaki itu kelihatan seperti berada di dalam dunianya sendiri, diam dan terpencil. Namun, dia tetap membantu Liyana tadi. Itulah yang membuatkan Liyana berasa sedikit hairan.

Sejak pertemuan itu, Liyana kerap terserempak dengan Haikal. Setiap kali dia melihatnya, Haikal selalu kelihatan bersendirian, tidak seperti pelajar-pelajar lain yang sibuk berkawan dan berbual. Ada sesuatu yang misteri tentang Haikal yang membuatkan Liyana semakin tertarik untuk mengenalinya. Namun, setiap kali mereka bertemu, Haikal tetap dengan sikap dinginnya, hanya sekadar menyapa dengan anggukan atau sekadar memandang tanpa berkata apa-apa.

--------------------------------------------------

Pada suatu petang selepas tamat waktu sekolah, Liyana sedang duduk di bawah pokok besar di tepi padang sekolah. Suasana yang tenang membuatkan dia rasa selesa untuk membaca buku. Sedang dia asyik membaca, dia terdengar bunyi tapak kaki menghampirinya. Liyana mengangkat kepala dan melihat Haikal berdiri di hadapannya, dengan wajah yang seperti biasa, serius dan sedikit sukar didekati.

“Kau selalu duduk sini?” tanya Haikal suaranya masih sama dingin dan tenang.

“Kadang-kadang,” jawab Liyana pendek. “Aku suka suasana di sini. Tenang dan tak ramai orang.”

Haikal mengangguk, matanya memandang ke arah langit yang membiru. “Sama. Aku pun suka tempat-tempat yang tenang. Tak suka ramai orang.”

Liyana tersenyum sedikit. “Nampak macam tu.”

Haikal tersenyum kecil, tetapi senyumannya cepat hilang. Dia duduk di bangku yang sama, tidak jauh dari Liyana tetapi masih menjaga jarak. Mereka berdua diam untuk beberapa ketika, hanya mendengar bunyi angin dan daun-daun yang bergeseran.

“Kau memang selalu menyendiri, ehh ?” tanya Liyana, akhirnya memecahkan kesunyian. Dia sudah lama ingin tahu perkara itu.

Haikal mengangkat bahu. “Bukan menyendiri. Aku cuma... tak suka dan malas bergaul. Lagipun, aku tak rasa aku perlukan ramai kawan.”

“Tapi tak rasa sunyi?” Liyana bertanya lagi, kali ini lebih berhati-hati. Dia bimbang jika soalan itu menyinggung perasaan Haikal.

Haikal menghela nafas perlahan sebelum menjawab, “Kadang-kadang, ya. Tapi saya dah biasa. Sejak kecil lagi, aku dah terbiasa dengan keadaan macam ni.”

Liyana memandang wajah Haikal dengan lebih teliti. Wajahnya memang sentiasa serius, tetapi ada sesuatu di sebalik mata lelaki itu. Sesuatu yang mungkin hanya difahami oleh mereka yang pernah merasai kesunyian yang mendalam.

“Aku rasa, kau sebenarnya tak sunyi. Kau cuma tak jumpa orang yang betul-betul memahami kau,” kata Liyana sambil tersenyum. “Tapi tak apa. Semua orang ada masa masing-masing untuk jumpa orang yang sesuai.”

Haikal memandang Liyana dengan pandangan yang agak berbeza kali ini. Mungkin dia tidak menyangka Liyana akan berkata begitu, atau mungkin dia terkejut kerana ada orang yang faham apa yang dia rasakan. Lama dia merenung wajah Liyana sebelum dia tersenyum kecil, kali ini senyuman itu terasa lebih ikhlas.

“Mungkin kau betul,” kata Haikal perlahan.

-----------------------------------------------

Sejak perbualan itu, hubungan mereka mula berubah. Haikal mula lebih terbuka dengan Liyana, walaupun dia masih kekal sebagai seorang yang tidak banyak bercakap dan dingin. Setiap kali mereka berjumpa, Liyana akan cuba mengajak Haikal berbual, dan sedikit demi sedikit, Haikal kelihatan lebih selesa untuk meluahkan pendapatnya.

Namun, dalam persahabatan yang semakin berkembang itu, ada sesuatu yang terus bermain di fikiran Liyana. Apakah rahsia di sebalik sikap Haikal yang dingin? Adakah sesuatu yang telah berlaku dalam hidupnya yang membuatkan dia lebih memilih untuk bersendiri?

Hari demi hari berlalu, Liyana semakin ingin mengetahui kisah di sebalik kehidupan Haikal yang penuh misteri. Namun, dia tahu bahawa dia perlu bersabar. Setiap orang ada kisahnya sendiri, dan Haikal mungkin sedang menunggu masa yang sesuai untuk membuka hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience