Seindah Seyumanmu (Akhir)

Short Story Completed 48

Setelah salah faham antara Liyana dan Haikal tempoh hari terlerai, hubungan mereka kembali seperti biasa, malah semakin akrab. Setiap kali bertemu, Liyana kini tidak lagi mengelak seperti dahulu. Kegembiraan semakin jelas terpancar pada wajah mereka setiap kali berbual atau terserempak di sekolah. Liyana berasa lebih tenang, dan senyuman Haikal yang pernah membuatkan hatinya berdebar kini telah menjadi satu pemandangan yang dia nanti-nantikan setiap hari.

Petang yang indah, langit kelihatan biru bersih tanpa awan, dan angin sepoi-sepoi bertiup lembut di taman sekolah. Haikal dan Liyana duduk di sebuah bangku kayu yang terletak di bawah pokok besar yang rendang, kawasan yang sering mereka kunjungi sejak kebelakangan ini. Daun-daun yang hijau melambai-lambai perlahan, seolah-olah mengiringi perbualan ringan mereka. Sinar matahari yang lembut menyinari wajah mereka, mencipta suasana yang damai dan romantik.

Haikal kelihatan sedikit gelisah petang itu. Dia sering kali membetulkan kedudukan duduknya, dan ada saat dia seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Liyana yang duduk di sebelahnya menyedari kegelisahan Haikal tetapi memilih untuk diam, menanti Haikal memulakan bicara.

Akhirnya, setelah beberapa saat yang terasa agak lama, Haikal menghela nafas panjang. Dia memandang ke arah langit seketika, kemudian menoleh memandang Liyana, wajahnya serius tetapi lembut.

"Liyana," kata Haikal perlahan, namun suaranya cukup jelas dalam keheningan petang itu.

"Ya, Haikal?" balas Liyana, cuba menenangkan debaran di hatinya.

Haikal menundukkan kepala sejenak, seolah-olah sedang mengumpul kekuatan untuk meluahkan sesuatu yang telah lama terpendam dalam hatinya. "Sebenarnya, ada sesuatu yang aku nak cakap...sejak lama, tapi... aku tak pernah ada keberanian."

Liyana tersenyum kecil, memandang Haikal dengan penuh perhatian. Dia merasakan bahawa saat yang ditunggu-tunggunya mungkin sudah hampir tiba.

"Apa yang kau nak cakap tu, Haikal? Kau boleh cakap je. Aku dengar," ujar Liyana lembut, cuba meyakinkan Haikal.

Haikal menelan liur, kemudian dia memberanikan diri untuk mengangkat pandangannya, mata mereka bertemu. "Sejak kali pertama kita bertemu... waktu kita terlanggar di koridor dulu, aku sebenarnya dah mula... menyukai.. suka.. kau."

Liyana terkejut sejenak. Jantungnya berdegup kencang, tetapi dia cuba untuk kekal tenang. "Betul ke, Haikal?"

Haikal tersenyum malu dan mengangguk. "Ya. Tapi waktu tu, aku tak tahu macam mana nak tunjukkan perasaan aku. Aku jenis yang tak pandai luahkan perasaan. Jadi aku buat keputusan untuk pendam je. Setiap kali kita berbual atau duduk bersama, perasaan tu makin kuat. Aku cuba banyak kali nak luah pada kau, tapi aku takut. Takut kau tak rasa benda yang sama macam aku rasa."

Liyana memandang Haikal dengan mata yang bersinar. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Selama ini, dia juga menyimpan perasaan yang sama, tetapi tidak pernah berani meluahkannya. Kini, Haikal, yang disangkanya dingin dan sukar didekati, sebenarnya juga menyimpan perasaan terhadapnya sejak awal.

“Haikal…” Liyana berkata perlahan, suara sedikit bergetar. “Aku pun rasa benda yang sama. Sejak kita mula rapat, aku mula suka pada kau. Tapi aku takut. Takut perasaan aku pada kau hanya bertepuk sebelah tangan.”

Haikal tersenyum, kali ini lebih lebar, dan ada sinar kebahagiaan yang jelas terpancar di wajahnya. "Aku tak sangka... kita sebenarnya ada perasaan yang sama."

Liyana tersipu-sipu malu, tetapi hatinya terasa ringan seolah-olah beban yang selama ini dia simpan telah hilang. Dia mengalihkan pandangannya sejenak, melihat pemandangan indah di sekitar mereka. Bunga-bunga di taman seolah-olah mekar lebih ceria, dan angin yang bertiup membawa bersama ketenangan yang sukar dijelaskan.

“Mungkin kita berdua ni terlalu takut,” ujar Liyana sambil tersenyum malu. “Kalau salah seorang dari kita berani sikit, mungkin kita dah cakap benda ni lebih awal.. kan?”

Haikal ketawa kecil. "Ya, mungkin. Tapi aku lega akhirnya kita boleh cakap terus terang. Aku tak nak ada lagi salah faham di antara kita macam haritu. Aku nak kita boleh terus berkongsi perasaan macam ni, tanpa rasa takut atau ragu-ragu."

Liyana mengangguk setuju. “Aku pun. Aku tak nak lagi simpan apa-apa dalam hati. Kalau ada apa-apa, aku akan terus cakap dengan kau.”

Mereka berdua tersenyum, dan untuk seketika, mereka hanya duduk diam menikmati suasana yang penuh ketenangan itu. Tanpa perlu banyak berkata-kata, kehadiran mereka di samping satu sama lain sudah cukup untuk mengisi kekosongan di hati masing-masing. Hubungan yang pada awalnya hanya satu perkenalan biasa kini telah berkembang menjadi sesuatu yang lebih bermakna iaitu cinta yang tulus dan ikhlas.

Haikal mengalihkan pandangannya ke arah Liyana dan berkata dengan nada manis, "Aku harap kita boleh terus macam ni. Aku nak sentiasa ada di sisi kau, sama ada waktu senang atau susah."

Liyana tersenyum manis, matanya bersinar dengan kebahagiaan yang sukar digambarkan. “Aku pun rasa yang sama. Kau penting bagi aku, Haikal.”

Saat itu, Liyana tahu bahawa apa yang mereka miliki bukan sekadar persahabatan biasa. Perasaan cinta yang selama ini dipendam akhirnya mekar, dan kedua-duanya kini yakin bahawa mereka ingin melangkah bersama-sama dalam kehidupan. Mereka tidak perlu lagi berteka-teki atau takut akan perasaan masing-masing.

TAMAT

• Kejujuran dan komunikasi adalah kunci untuk menghindari salah faham dalam hubungan, sama ada persahabatan atau percintaan.

Terima kasih dah luangkan masa baca cerpen ni ʕ⁠っ⁠•⁠ᴥ⁠•⁠ʔ⁠っ

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience