Noah , Si Nakal ii

Short Story Completed 48

Hari itu, suasana kelas riuh seperti biasa. Pelajar-pelajar sedang menyiapkan tugasan. Noah, dengan lagaknya yang tidak pernah berubah, mula berjalan memasuki kelas gadis itu. Dia sudah merancang sesuatu untuk mengusik gadis itu, kali ini di hadapan rakan-rakan sekelas Nyla yang lain.

“Hei, Nyla!” panggil Noah dengan suara kuat sambil menghampiri meja Nyla. Semua mata di dalam kelas kini tertumpu pada mereka. Nyla yang sedang sibuk dengan tugasan cuba mengabaikan Noah, dia tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

Noah menyandar di tepi meja Nyla, sengaja melambatkan masa sambil memerhatikan gadis itu. “Kau ni rajin betul, ya. Tak bosan ke asyik buat kerja sekolah je?” Noah berkata sambil menjenguk ke dalam buku latihan Nyla.

Nyla diam, tidak mempedulikan Noah. Dia berharap Noah akan cepat bosan dan meninggalkannya sendirian, namun dia sudah cukup mengenali Noah bahawa si nakal itu tidak akan pernah berhenti selagi dia tidak mendapat reaksi daripadanya.

“Eh, kau ni tak pernah berborak ke? Semua orang tengah seronok, kau asyik tengok buku je,” Noah terus mengusik, kali ini sambil mengambil pensel dari tangan Nyla dan memutarnya di antara jari.

Nyla menarik nafas dalam-dalam, cuba menahan sabar. “Noah, tolong pulangkan pensel tu. Aku ada kerja nak buat,” katanya tegas, nadanya mengandungi amaran.

Namun, Noah tersengih dan sengaja mengangkat pensel itu lebih tinggi, di luar capaian Nyla. “Kalau kau senyum sikit, aku pulangkan,” dia berkata sambil ketawa kecil, matanya mengerling ke arah pelajar lain yang sedang memerhatikan mereka.

Nyla memandang Noah dengan pandangan penuh benci. “Noah, aku tak ada masa untuk permainan kau,” katanya lagi, nadanya semakin tegas.

Rakan-rakan sekelas Nyla mula berbisik-bisik, ada yang ketawa kecil melihat situasi itu. Bagi mereka, Noah sekadar bergurau seperti biasa, tetapi bagi Nyla, ini lebih daripada sekadar usikan. Dia benar-benar terganggu dengan sikap Noah yang tidak pernah tahu batas.

Akhirnya, Nyla merampas semula penselnya dengan kasar. “Kau memang menyusahkan!” Nyla berkata dengan suara yang sedikit kuat, membuatkan suasana di kelas itu menjadi sepi seketika. Noah terkedu melihat reaksi Nyla yang kali ini lebih marah daripada biasa.

Nyla terus bangun dari tempat duduknya dan melangkah keluar dari kelas. Dia perlu menjauhkan diri, atau dia akan meledak lebih daripada yang sepatutnya. Di luar kelas, Nyla menarik nafas panjang, berusaha menenangkan dirinya. Dia sudah tidak tahan lagi dengan gangguan Noah. Dia memutuskan bahawa mulai hari itu, dia akan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan dari Noah.

----------------------------------------------------------------

Beberapa hari selepas itu, Nyla benar-benar berjaya mengelakkan Noah. Setiap kali dia nampak Noah di koridor atau dewan sekolah, dia akan berjalan ke arah bertentangan. Jika dia terdengar suara Noah, dia akan segera mencari jalan lain. Nyla berasa sedikit lega kerana dia berjaya menjauhkan diri daripada Noah. Namun, di sebalik usaha ini, dia tidak dapat menafikan ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Kenapa Noah tidak berhenti? Apa sebenarnya niat Noah?

Langkah Nyla yang sedang laju ke tandas terhenti, dia terdengar akan suara Noah yang sedang berbual dengan rakan-rakannya di tangga sekolah. Dia segera berpaling dan berjalan ke arah lain, tetapi langkahnya terhenti apabila dia terdengar namanya disebut.

“Hei, Noah, kau suka kacau Nyla tu sebab kau suka kat dia, kan?” kata Azmir, salah seorang rakan Noah sambil ketawa kecil.

Nyla, yang berada di sebalik dinding, segera memasang telinga. Hatinya berdegup laju, tidak percaya bahawa nama dia disebut dalam perbualan itu.

“Apa ni, suka? Aku kacau dia sebab dia satu-satunya orang yang berani melawan aku,” jawab Noah sambil tersenyum. “Dia tak macam orang lain. Budak lain semua takut dengan aku, tapi Nyla… dia berani. Aku suka cara dia. Tapi entahlah, mungkin sebab tu aku suka buat dia marah. Reaksi dia… berbeza.”

Nyla yang mendengar dari jauh mula merasakan kebencian yang lebih mendalam. Dia tidak dapat mempercayai bahawa Noah sebenarnya menikmati melihat dia marah dan kesal. Baginya, kata-kata Noah itu seolah-olah dia mempermainkan perasaannya dan menggunakan perasaan benci itu untuk kepuasan sendiri.

“Jadi, kau memang suka dia ke, Noah?” soal Azmir lagi.

Noah tergelak kecil, “Aku tak pasti. Mungkin. Tapi aku tak tahu macam mana nak tunjukkan. Setiap kali aku cuba bercakap dengan dia, aku rasa macam… hilang akal. Jadi, aku kacau dia saja.”

Nyla terasa seperti hati dan mindanya hancur. Kata-kata Noah yang terakhir itu membuatkan dia salah faham. Dia fikir Noah hanya ingin mempermainkan dirinya selama ini dan menggunakan perasaan benci dan marahnya sebagai satu permainan yang menyeronokkan. Nyla tidak dapat menerima hakikat bahawa Noah benar-benar telah mempermainkannya selama ini, dan itu membuatkan kebenciannya semakin membara.

Dengan hati yang berkecamuk, Nyla segera berlari menjauhi kawasan itu, tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Bagi Nyla, ini adalah pengesahan bahawa Noah tidak akan pernah berubah. Dia tidak mahu lagi berada dekat dengan Noah. Kebencian yang selama ini terbuku di hatinya semakin mendalam, dan Nyla bertekad untuk tidak membiarkan Noah mengganggu hidupnya lagi.

---------------------------------------------------------------------------

Di sisi lain, Noah tidak menyedari bahawa Nyla telah mendengar perbualan mereka. Dia hanya berasa kecewa kerana walaupun dia sering cuba mendekati Nyla, usahanya seolah-olah selalu gagal. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan untuk menarik perhatian Nyla dengan cara yang betul. Setiap kali dia cuba bersikap serius, dia akhirnya kembali kepada tabiat lamanya mengusik dan membuat Nyla marah.

Di sudut hati Noah, dia mula merasakan perasaan yang lebih berat. Dia bukan hanya ingin mendekati Nyla, dia benar-benar menyukai gadis cantik itu. Tetapi, bagaimana dia boleh mengubah cara dirinya yang selama ini dikenali sebagai pembuli dan pelajar nakal?

Noah duduk termenung di sudut tangga, melihat rakan-rakannya yang masih berbual-bual tanpa peduli. Di sebalik wajah nakalnya, ada hati yang bimbang. Bimbang bahawa dia akan terus kehilangan peluang untuk benar-benar mendekati Nyla.

Tetapi dia masih tidak tahu, perasaan yang dirasakannya kini sudah terlambat untuk Nyla, kerana gadis itu sudah salah faham dengan niatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience