Pencinta Kelab Buku iv

Short Story Completed 48

Sinar matahari pagi menyelinap melalui celah-celah tingkap bilik kelab, memantulkan cahaya di sekeliling ruangan. Hari itu terasa tenang, seolah-olah memberi isyarat kepada Adrean bahawa inilah saat yang dinantinya. Seperti yang dijanjikan, Qaseh menghampirinya selepas perjumpaan kelab selesai.

“Adrean, boleh tak kau cerita pasal buku yang kau bentangkan hari tu? Aku betul-betul tertarik,” Qaseh memulakan perbualan dengan senyuman manisnya yang biasa.

Adrean menghela nafas, cuba menenangkan dirinya. Walaupun rasa gugupnya masih ada, kehadiran Qaseh yang ramah sedikit sebanyak membuatkan hatinya tenang. Dia membetulkan kedudukannya di kerusi sambil mengatur kata-kata di dalam kepala.

“Buku yang aku pilih tu, The Journey of the Lost King, kisah tentang seorang raja yang hilang ingatannya,” Adrean memulakan dengan nada yang lebih yakin daripada sebelum ini, namun masih sedikit bergetar.

“Oh, macam menarik! Jadi, dia lupa semua tentang dirinya?” Qaseh bertanya, matanya bersinar dengan minat yang tulus.

“Ya, dia lupa siapa dirinya, keluarganya, dan bahkan kerajaannya sendiri. Tetapi sepanjang perjalanan, dia mula bertemu dengan pelbagai watak yang mengingatkan dia tentang masa lalunya. Mereka tak tahu dia seorang raja, tapi semua interaksi mereka membantu dia mengingat kembali siapa dirinya sebenarnya,” terang Adrean, kini lebih lancar dalam bercakap.

Qaseh mengangguk sambil bersandar di kerusi, jelas sekali dia benar-benar berminat dengan cerita itu. “Aku suka cerita macam ni. Kadang-kadang, kita perlukan orang lain untuk ingatkan kita siapa diri kita sebenarnya. Mesti ada unsur emosi yang kuat dalam cerita tu, kan?”

Adrean tersenyum kecil. “Ha ah, betul. Itu salah satu sebab kenapa aku suka buku ni. Selain pengembaraan, ada banyak elemen emosi dan hubungan yang terjalin antara watak-watak dalam cerita tu. Ia bukan sekadar cerita tentang raja yang hilang ingatan, tapi juga tentang mencari semula siapa dirinya dan dibantu oleh orang di sekelilingnya.”

Qaseh merenung sejenak sebelum tersenyum lebih lebar. “Kau tahu, aku pun suka cerita yang ada pengembaraan, tapi yang lebih penting, cerita tu kena ada jiwa. Macam... ada makna di sebalik setiap perjalanan.”

Kali ini, Adrean merasa lebih lega. Perbualan mereka yang awalnya canggung kini berubah menjadi lebih lancar, mungkin kerana Qaseh sentiasa menunjukkan rasa minat yang tulus dalam setiap perbualan mereka. Rasa gugup yang sebelum ini menguasai Adrean semakin berkurang.

“Aku setuju. Sebab tu aku suka baca buku yang ada makna mendalam. Sesetengah buku fantasi cuma fokus pada pengembaraan, tapi aku lebih suka yang ada elemen emosi. Bila kau boleh rasa apa yang watak tu rasa,” kata Adrean, sambil menatap wajah Qaseh dengan lebih yakin.

Qaseh tersenyum dan mengangguk. " Kadang-kadang, aku rasa macam hidup kita sendiri ni satu pengembaraan, kan? Kita tak selalu tahu apa yang akan jadi esok, tapi kita tetap teruskan.”

Perlahan-lahan, mereka mula berbual dengan lebih selesa. Setiap kata yang keluar dari mulut Qaseh membuatkan Adrean semakin merasa yakin untuk terus bercakap. Mereka berbincang tentang pelbagai topik, dari buku yang mereka baca, sehingga ke pengalaman hidup masing-masing. Keperibadian Qaseh yang ramah dan mudah bergaul itu membuatkan Adrean semakin selesa.

“Adrean, kau ada suka benda-benda lain selain daripada membaca?” tanya Qaseh, cuba membuka topik lain.

Adrean tersenyum. “Aku suka fotografi... walaupun tak ramai yang tahu.”

“Serius?” Mata Qaseh membulat, kelihatan teruja. “Aku pun suka fotografi! Aku suka ambil gambar pemandangan, terutama bila matahari terbenam. Kau suka ambil gambar apa?”

Adrean terkejut mendengar kesamaan minat mereka. Dia tak menyangka bahawa Qaseh juga mempunyai hobi yang sama. “Aku suka ambil gambar benda-benda kecil... macam daun, titisan air, atau serangga. Aku suka detail dalam benda-benda kecil yang orang lain tak perasan.”

“Oh, menarik! Aku rasa gambar-gambar kecil macam tu boleh jadi sangat bermakna kalau kita tengok dengan teliti. Aku pernah ambil gambar sekuntum bunga kecil kat tepi jalan. Orang lalu lalang tak perasan, tapi aku rasa ia sangat cantik,” Qaseh berkongsi dengan penuh semangat.

Adrean tersenyum, hatinya kini benar-benar tenang. Dia mula sedar bahawa mereka berdua bukan sahaja berkongsi minat yang sama dalam membaca, tetapi juga dalam hal-hal lain. “Mungkin kita boleh ambil gambar sama-sama satu hari nanti,” ujar Adrean, tanpa rasa takut atau malu lagi.

Qaseh ketawa kecil. “Eh, boleh juga! kita ambil gambar pemandangan dan benda-benda kecil sekali. Aku nak tengok macam mana hasil fotografi kau.”

Mereka berdua ketawa, dan buat pertama kali, Adrean merasa benar-benar selesa berada di sisi Qaseh. Tiada lagi rasa gugup, tiada lagi rasa canggung. Hanya perbualan yang lancar dan menyenangkan.

“Aku tak sangka kita ada banyak persamaan,” kata Adrean sambil menghela nafas lega. “Aku fikir kau cuma suka benda-benda yang berbeza dari aku.”

Qaseh tersenyum sambil menggelengkan kepala. “Jangan nilai buku dari kulitnya, Adrean. Kau tak pernah tahu apa yang orang lain suka atau minat sampai kau betul-betul berbual dengan mereka.”

Adrean ketawa kecil. “Kau betul... aku rasa kadang-kadang aku terlalu takut nak berbual dengan orang. Tapi lepas ni, mungkin aku akan cuba lebih berani.”

Qaseh mengangguk, senyumnya masih tidak lekang dari wajahnya. “Baguslah. Kadang-kadang kita cuma perlu percubaan pertama untuk sedar yang sebenarnya tak ada apa-apa yang nak ditakutkan.”

-----------------------------------------------------------

Adrean pulang ke biliknya dengan perasaan yang penuh kebahagiaan. Bukan sahaja dia berjaya berbual dengan Qaseh tanpa rasa gugup, malah dia mendapati mereka mempunyai banyak persamaan. Pengalaman itu mengajarnya sesuatu yang sangat berharga bahawa, perasaan takut atau gugup itu hanya wujud dalam fikiran sendiri. Dengan keberanian dan sedikit keyakinan, apa sahaja boleh dicapai.

“Aku dah berjaya ka ?,” bisik Adrean perlahan, penuh rasa bangga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience