Pecinta Kelab Buku ii

Short Story Completed 48

Hari-hari berlalu, setiap kali Adrean cuba berbual dengan Qaseh, hatinya berdegup kencang dan dia masih gugup. Walaupun mereka sudah berkawan dan sering berbual di Kelab Buku, dia masih belum dapat mengawal perasaannya apabila berhadapan dengan gadis itu. Setiap kali dia bercadang untuk berkata sesuatu yang bijak atau menarik, dia akhirnya gagap atau tersalah kata.

"Eh, Adrean, kau rasa watak utama dalam buku ni patut buat apa masa tu?" tanya Qaseh pada Adrean, merujuk kepada buku pengembaraan yang sedang mereka baca bersama.

Adrean terdiam sejenak. Dia mempunyai pandangan yang kuat tentang keputusan watak tersebut, tetapi entah bagaimana lidahnya tiba-tiba menjadi kelu. "Err... mungkin... dia sepatutnya...," Adrean terhenti, suara yang keluar terasa kaku.

Qaseh tersenyum manis, menunggu jawapan. Namun, Adrean hanya dapat mengeluarkan bunyi-bunyi yang tidak jelas. Akhirnya, dia hanya tersenyum malu, sambil menyembunyikan kekecewaan yang kian menyelimuti hatinya.

Qaseh masih lagi tersenyum tapi berlalu pergi, Adrean menyandar di kerusi, menarik nafas dalam-dalam. Setiap kali situasi seperti itu berlaku, dia merasa semakin frust dengan dirinya sendiri. Kenapa setiap kali dia ingin bercakap dengan Qaseh, lidahnya terasa berat? Kenapa dia tidak boleh berinteraksi seperti yang diinginkannya?

Dalam hati kecilnya, Adrean tahu bahawa dia mempunyai peluang untuk mendekati Qaseh. Namun, setiap kali peluang itu tiba, dia gagal. Selalu terfikir-fikir selepas itu, dia akan membayangkan seribu satu cara yang lebih baik untuk menjawab soalan atau berbual dengan lebih yakin, tetapi masa itu sudah pun berlalu.

Cuti semester yang akan datang menjadi satu lagi tekanan bagi Adrean. Di satu sisi, dia bersyukur kerana tidak perlu menghadapi perasaannya setiap hari. Namun, di sisi lain, dia tahu bahawa masa semakin suntuk. Selepas cuti, Kelab Buku akan mengadakan perjumpaan besar di mana setiap ahli perlu berkongsi tentang buku kegemaran mereka.

Bagi Adrean, ini adalah peluang besar untuk menarik perhatian Qaseh. Dia tahu dia mampu berbicara dengan bijak tentang buku-buku yang disukainya, tetapi masalahnya tetap sama iaitu apabila tiba masa untuk bercakap di hadapan Qaseh, lidahnya seolah-olah terkunci.

---------------------------------------------

Sepanjang cuti semester, Adrean berulang kali memikirkan tentang perjumpaan itu. Dia sering terbayang dirinya berdiri di hadapan semua ahli kelab, termasuk Qaseh, dengan penuh keyakinan, berkongsi pandangannya tentang buku kegemarannya. Qaseh akan mendengar dengan penuh minat, mungkin tersenyum seperti biasa. Adrean berharap, selepas itu, dia dapat berbual dengan Qaseh dengan lebih yakin dan akhirnya memberitahu gadis itu tentang perasaannya.

Namun, setiap kali Adrean cuba mengulangi perbualan itu dalam fikirannya, keraguan mula merayap masuk. "Kalau aku tergagap lagi? Kalau aku nampak bodoh di depan semua orang, terutama sekali di hadapan Qaseh?" fikirnya sambil mengerutkan dahi.

--------------------------------------------------

Adrean duduk di meja belajarnya, memegang buku kegemarannya yang akan dibincangkan dalam perjumpaan kelab nanti. Dia sudah menghafal beberapa petikan penting, tetapi fikiran tentang Qaseh terus mengganggu fokusnya.

"Apa yang aku patut buat?" Adrean mengeluh perlahan sambil meletakkan buku di sebelahnya. Fikiran tentang Qaseh semakin berat di benaknya. Walaupun dia cuba untuk menumpukan perhatian kepada bukunya, wajah ceria Qaseh tetap muncul di fikirannya.

"Hmm... mungkin aku tak patut fikirkan sangat tentang perasaan ni," bisik Adrean kepada dirinya sendiri. "Aku patut fokus pada kelab buku dan perbincangan nanti."

Tetapi hakikatnya, dia tidak boleh lari daripada perasaannya. Setiap kali dia cuba menumpukan perhatian kepada buku atau hobi lain, bayangan Qaseh terus mengganggu. Ia bukan sekadar kerana gadis itu cantik, tetapi kerana keperibadiannya yang mempesonakan. Keceriaan Qaseh, cara dia bercakap dan ketawanya yang sentiasa membawa keriangan. Semuanya menawan hati Adrean dengan cara yang dia tidak pernah alami sebelum ini.

Adrean masih duduk di meja belajarnya sambil memegang pen. Dia menulis di atas sehelai kertas beberapa isi penting tentang buku yang akan dibincangkan dalam perjumpaan kelab. Tangannya laju menulis, tetapi fikirannya terus berkecamuk.

"Apa yang aku patut cakap kalau Qaseh tanya aku tentang buku ni? Macam mana aku nak jawab supaya tak nampak canggung?" Adrean menggumam sendiri. Dia menulis beberapa cadangan jawapan di tepi kertasnya, tetapi semuanya kelihatan terlalu formal dan tidak semulajadi.

Adrean mula berasa tertekan. “Kenapa aku macam ni? Aku boleh bercakap dengan orang lain, kenapa dengan Qaseh aku tak boleh jadi diri sendiri?” Adrean memandang cermin di tepi meja belajarnya, melihat bayangan dirinya yang kelihatan resah.

"Aku tak boleh terus macam ni," dia berkata dengan tegas pada dirinya sendiri. “Aku kena beranikan diri. Ini peluang aku.”

Namun, semakin dia berusaha meyakinkan dirinya, semakin kuat perasaan gugup itu muncul. Setiap malam sepanjang cuti semester, Adrean bergelut dengan fikirannya sendiri, cuba mencari cara untuk berhadapan dengan Qaseh tanpa berasa canggung.

-----------------------------------------------------------

Menjelang hari terakhir cuti semester, Adrean membuat keputusan. Dia akan mempersiapkan dirinya sebaik mungkin untuk perbincangan kelab buku nanti. Dia tahu bahawa ini adalah peluang terbaiknya untuk menarik perhatian Qaseh, bukan hanya dengan pengetahuan buku tetapi juga dengan keperibadiannya.

"Tak kira apa yang berlaku, aku akan pastikan aku buat yang terbaik dalam perbincangan tu," katanya dengan penuh tekad.

Tetapi di sebalik azam yang kuat itu, Adrean masih tidak dapat menyingkirkan perasaan takut yang menghantuinya. Bagaimana jika, sekali lagi, dia tidak mampu mengawal perasaannya di hadapan Qaseh? Bagaimana jika semua persediaannya sia-sia kerana kegugupannya sendiri?

Hari-hari cuti semester berlalu, dan walaupun Adrean sudah bersedia secara intelektual, hatinya masih diselubungi keraguan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience