Bab: Selimut Malam, Hangatnya Cinta

Fantasy Series 1624

Bilik sederhana itu mula dipenuhi kehangatan yang bukan sekadar datang dari penghawa dingin lama yang masih berdengung perlahan. Tetapi dari sentuhan-sentuhan halus, dari jelingan mata yang mengundang, dari debar jantung dua insan yang kini telah sah menjadi suami isteri.

Selimut tebal yang membaluti tubuh Atiha terangkat sedikit. Dia meringkuk di bawahnya, hanya kelihatan wajah dan hujung rambutnya yang terurai di atas bantal.

Wajahnya merah, bukan kerana kesejukan lagi, tapi kerana rasa malu yang menari di wajah manis itu.

Tuan Azhar duduk di tepi katil, memerhati gelagat isterinya. Tangannya mengusap lembut rambut panjang Atiha yang terjatuh ke pipi.

"Sejuk lagi ke sayang?" soalnya perlahan.

Atiha hanya mengangguk kecil, bibirnya muncung manja. Dia seperti anak kecil yang tidak tahu mahu melarikan diri ke mana bila dimanja.

Azhar menarik selimut dan menyelitkan dirinya ke sisi isterinya. Udara di antara mereka terasa lebih hangat kini, kerana tubuh Azhar yang tegap itu menjadi pelindung kepada tubuh kecil isterinya.

"Abang..." rengek Atiha perlahan, suaranya seakan hanya untuk telinga Azhar.

"Ya, sayang..." jawab Azhar sambil menggosok-gosok belakang isterinya yang dingin.

"Kalau next round katil ni runtuh macam mana?" tanyanya dengan nada serius tetapi disusuli senyuman nakal di hujung bibirnya.

Azhar tergelak kecil, hampir saja meletus tawa besarnya kalau bukan kerana mulutnya yang sudah segera ditekap oleh tangan halus Atiha.

“Shhh… nanti orang sebelah dengar!” bisik Atiha dengan mata membulat.

Azhar menyeringai.

“Kalau runtuh, kita pindah bilik lain. Tapi... itu pun kalau sayang masih larat nak bangun lagi lah...” bisiknya dengan nada menggoda sambil menggenggam bahu polos Atiha yang terdedah sedikit dari baju tidurnya.

Atiha menoleh, menatap wajah suaminya yang kini begitu dekat. Nafasnya hangat, matanya bersinar. Tanpa secalit solekan pun, wajah itu tetap memukau Azhar. Wajah yang bersih, polos, dan tulus. Wajah seorang isteri yang kini sepenuhnya miliknya.

“Sayang…” Azhar memanggil perlahan, jari-jarinya menyentuh lembut dagu isterinya, mengangkat wajah itu agar bertentang mata dengannya.

“Hm?” Atiha membalas, matanya sedikit redup, jantungnya berdegup kencang.

“Abang tak pernah sangka... abang akan jumpa perempuan seistimewa sayang.”

Atiha mengelip perlahan.

“Sayang ni biasa je...”

Azhar menggeleng perlahan.

“Sayang luar biasa. Abang tengok sayang tadi, sanggup jalan kaki, sanggup tahan sakit pakai heel, sanggup bawa barang. Tak merungut pun, melainkan bila dah betul-betul penat.”

Atiha tersenyum, malu-malu.

“Sebab sayang percaya abang akan jaga sayang.”

Azhar tidak membalas kata-kata itu dengan ucapan. Sebaliknya, dia memeluk isterinya perlahan. Tubuh itu terasa ringan dalam pelukannya, seperti sebuah janji yang baru dibina.

"Peluk abang kuat-kuat boleh?" pinta Azhar.

Atiha mengangguk perlahan dan menyisipkan tubuhnya lebih rapat. Mereka berbaring bersama, hanya dibalut keheningan malam dan selimut yang menjadi saksi kasih mereka. Azhar menarik tangan isterinya dan menggenggamnya erat.

"Sayang tahu tak, abang selalu rasa sunyi sebelum ni. Rumah besar tapi kosong. Sekarang ni… abang rasa lengkap. Sebab sayang.”

Atiha membalas genggaman itu.

“Sayang pun… selalu rasa macam tak ada tempat yang betul-betul rasa selamat. Tapi malam ni, sayang tahu... pelukan abang ni tempat paling selamat atas dunia.”

Azhar tersenyum. Dia menunduk dan mencium ubun-ubun isterinya. Wajah mereka hampir, nafas bersatu, hati berpadu.

“Abang suka tengok wajah sayang tanpa makeup. Natural. Lembut. Bersih. Wajah ni... buat abang jatuh cinta setiap kali abang pandang,” puji Azhar jujur.

Atiha menggigit bibir.

“Sayang seganlah abang cakap macam tu…”

“Jangan segan. Sayang milik abang sekarang. Setiap inci diri sayang, dari hujung rambut sampai hujung kaki, semua bawah tanggungjawab abang. Sayang cantik bukan sebab solekan, tapi sebab hati sayang. Abang nampak tu…”

Suasana bilik mula dipenuhi dengan gelak tawa kecil mereka berdua. Mereka berbual seperti sudah lama bersama, walhal baru beberapa jam menjadi suami isteri.

Namun keikhlasan di mata masing-masing cukup untuk menggantikan tahun-tahun yang belum dilalui.

Malam itu mereka saling memanaskan tubuh, bukan sekadar dengan sentuhan, tetapi dengan kasih sayang. Azhar menyelimuti Atiha dengan pelukan, mengusap belakang tubuhnya perlahan sambil bercerita tentang impian mereka tentang rumah impian, tempat bulan madu seterusnya, tentang anak-anak yang mereka mahu miliki.

“Sayang nak anak perempuan dulu ke lelaki dulu?” tanya Azhar sambil bermain dengan rambut isterinya.

Atiha ketawa kecil.

“Kalau boleh… anak lelaki. Abang ada geng main bola.”

“Kalau perempuan pun abang suka. Nanti dia ikut muka mama dia yang cantik ni.”

Atiha tersenyum malu dan menyembunyikan wajahnya ke dada Azhar.

“Sayang…” panggil Azhar sekali lagi.

“Hm?” balas Atiha sambil memejam mata, nyaman dalam pelukan suaminya.

“Terima kasih… sebab terima abang seadanya.”

Malam itu, tiada bulan yang penuh di langit. Tetapi di dalam bilik kecil yang sunyi, cinta mereka bersinar lebih terang dari bintang mana-mana. Dalam pelukan dan ciuman yang penuh kasih, mereka menyatu sebagai suami isteri bukan hanya pada nama, tetapi juga pada jiwa.

Dan dalam lena yang akhirnya tiba, mereka tahu apa pun yang berlaku esok, mereka telah memulakan kisah yang akan mereka kenang sampai bila-bila.

Pagi di pinggir bandar kecil Thailand itu sunyi dan nyaman. Cahaya matahari yang masuk menerusi langsir lusuh memancar perlahan ke atas tilam, menyinari wajah seorang lelaki yang sedang bangun perlahan dari katil.

Tuan Azhar duduk sejenak di birai katil. Rambutnya sedikit kusut, namun wajahnya masih segar.

Dia menghela nafas panjang sebelum tangannya mencapai tuala yang tersangkut di bucu almari kayu. Dia ingin membersihkan diri sebelum memulakan hari baharu bersama isterinya yang masih lena di bawah selimut tebal.

Wajah Atiha kelihatan sangat damai. Rambut panjangnya terjuntai ke sisi bantal. Nafasnya turun naik dengan tenang, membuatkan Azhar tersenyum sendiri.

Pandangan itu isterinya tidur dengan tenang dalam peluk selimut memberi rasa hangat dalam dadanya yang sukar digambarkan.

“Cantiknya isteri aku…” gumamnya perlahan.

Namun detik tenang itu tidak lama.

Krak.

Satu bunyi berderit kuat dan mendadak.

Azhar terdiam. Jantungnya terasa berhenti berdegup seketika.

KRAKKKK.

Bunyi itu disusuli dengan bunyi kayu patah dari bawah katil. Dalam sekelip mata, bahagian kaki katil di hujung sebelah kiri menjunam ke bawah seret membawa keseluruhan tilam senget ke arah itu.

Azhar hilang keseimbangan dan hampir tergelincir ke sisi. Wajahnya merah padam.

“Ya Allah… kaki katil patah?” bisiknya tidak percaya.

Dia ternganga. Ini bukan mimpi. Ini realiti.

Sebaik katil senget, Atiha yang masih lena tadi terus terkejut.

Matanya terbeliak, dan dalam keadaan separuh sedar, dia menjerit dengan panik sambil duduk mendadak.

“GEMPA BUMI!!! GEMPA BUMI!!! ABANG LARI CEPAT!!”

Azhar menepuk dahi dengan kuat. Hampir tersedak ketawa tetapi ditahan sekuat hati.

“Sayang! Sayang! Itu bukan gempa bumi! Katil yang patah! Astaghfirullahalazim…” katanya sambil menggeleng.

Atiha yang masih terkejut, memegang bantal sambil matanya melilau ke seluruh bilik.

“Apa?! Bukan gempa?! Tapi tadi macam rasa bergoyang kuat sangat…” katanya sambil perlahan-lahan menyedari dirinya masih duduk di atas katil yang kini senget ke kiri.

Azhar sudah ketawa kecil.

“Sayang bangun-bangun terus nak evakuasi. Subhanallah, kelakar betul!”

Atiha menekup wajah dengan bantal, malu bukan kepalang.

“Abang jahat... sayang panik betul tadi!”

“Abang tak sangka kaki katil ni boleh patah. Tapi kalau kita imbas balik kejadian malam tadi… mungkin abang patut tahu…” Azhar menyeringai nakal.

Atiha melempar bantal ke arah Azhar.

“Ish, abang ni! Jangan buat lawak. Ni bukan sebab siapa, tau! Katil ni dah lama, kayu reput!”

Azhar mengangkat tangan tanda menyerah.

“Baik, baik. Katil yang salah, abang tak salah.” Mereka berdua ketawa kecil.

Suasana bilik yang senget sedikit tidak memadamkan mood romantik mereka. Malah, suasana jadi semakin mesra dengan insiden pagi itu.

Azhar turun ke lantai dan memeriksa bahagian kaki katil yang patah.

“Kayu ni memang rapuh. Abang rasa memang tak layak untuk… aktiviti semalam.”

Atiha menahan tawa, pipinya merona merah. Dia menyorok balik dalam selimut.

“Abang jangan ulang ‘aktiviti’ tu banyak kali, boleh tak?” katanya dari bawah selimut.

“Baiklah. Abang panggil ‘senaman malam’.”

“Abang!!”

Azhar tertawa kuat kali ini. Dia bangun dan menoleh ke arah Atiha yang mula menggulung dirinya dalam selimut seperti kepompong.

"Sayang, keluar jom. Abang nak mandi. Lepas tu kita turun sarapan, dan… mungkin cari hotel lain kalau perlu."

Atiha mengintai dari celahan selimut, matanya bersinar.

“Kenapa? Malu kat staff hotel ke?”

Azhar menjungkit kening.

“Tak… abang risau kalau kita tidur lagi semalam, nanti katil tu terus rebah sampai ke lantai bawah.”

Atiha terus ketawa.

“Kalau jatuh atas orang bawah, lagi kesian.”

Selesai mandi dan bersiap, mereka berdua mengemaskan barang-barang dan bersiap untuk mendaftar keluar. Sebelum meninggalkan bilik, Azhar sempat mengambil gambar bahagian kaki katil yang patah.

“Nak buat kenangan.” katanya bangga.

“Kenangan apa bang? Malu je!”

“Kenangan malam pertama kita. Katil pertama yang tewas.”

Atiha hanya mampu menggeleng kepala, tapi jauh di sudut hatinya dia tahu, momen ini akan terus terpahat dalam memorinya. Momen yang tak akan dilupakan sampai bila-bila.

Dan ketika mereka keluar dari bilik hotel murah itu, sambil menarik bagasi dan tertawa kecil bersama, orang sekeliling mungkin melihat mereka seperti pasangan biasa.

Tapi mereka tahu, cinta yang mereka bawa pagi itu bukan cinta biasa. Ia lahir dari tawa, dari kepenatan berjalan kaki semalam, dari katil yang patah, dan dari hati yang memilih untuk tetap bahagia walau dalam situasi yang tak sempurna.

Hangatnya cinta menyebabkan kaki katil patah

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience