Mak Jah mendail nombor Tuan Azhar. Hatinya tak tenteram sejak Azalea pulang ke rumah sebentar tadi dengan mata merah dan wajah penuh kecewa. Dia perlu tahu kebenaran adakah benar Atiha, menantunya, telah memarahi Azalea pagi tadi di kafe?
Di rumah, Tuan Azhar sedang makan seorang diri di dapur. Suasana rumah lengang, hanya bunyi air mengalir dari bilik air menandakan Atiha masih mandi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering nyaring. Nama 'Mak' tertera di skrin. Tanpa berlengah, dia menjawab.
"Hello, assalamualaikum mak."
"Waalaikumussalam," balas suara di hujung talian. Namun suara Mak Jah kedengaran berat, seperti menyimpan sesuatu.
"Ni mak nak tanya sikit..."
Tuan Azhar menghela nafas. Dia sudah dapat agak pasti ada yang tak kena.
"Tanya apa, mak?"
"Betul ke si Atiha tu marah-marah Azalea kat kafe pagi tadi sebab Azalea rapat dengan kamu?"
Tuan Azhar menutup mata, mengeluh perlahan.
"Mak... semua ni salah faham saja."
"Salah faham?" Suara Mak Jah sedikit meninggi.
"Azalea balik rumah menangis, mata merah macam baru kena tampar. Dia siap tunjuk bukti mesej suara Atiha marah-marah dia. Mak ni nak letak muka kat mana, Azhar?"
Tuan Azhar menyandarkan badan ke kerusi, menepuk wajahnya perlahan. Selera makan yang tinggal pun sudah hilang entah ke mana.
"Mak, sebenarnya... mak tak tahu cerita sebenar. Kami dah jumpa sekejap sebelum tu. Azalea tak cakap banyak pun masa tu. Tapi bila dia dah balik, baru dia mesej dan hubungi Azhar. Masa tu... isteri saya ada dekat sebelah."
Mak Jah terdiam sebentar. Tapi dia masih belum puas hati.
"Jadi?"
"Jadi... Atiha naik anginlah, mak. Sebab dia nampak Azalea masih ganggu saya, masih buka cerita lama. Masa jumpa tak nak cakap. Tapi bila dah balik, baru nak mesej?"
"Hey hey, sekarang ni mak nak tanya kau satu benda." Nada suara Mak Jah berubah jadi lebih serius.
"Kau kahwin dengan Atiha tu sebab nak lari dari perkahwinan yang keluarga aturkan, kan?"
Tuan Azhar diam. Dia tahu pertanyaan itu bukan untuk dijawab, tapi sebagai teguran.
"Kau tahu tak perempuan yang duduk serumah dengan kau sekarang tu ada kekasih ke belum? Silap-silap, dia masih berhubung dengan kekasih lama dia! Dan kau ni pula sanggup nak pertahankan dia. Kau fikir ni Azhar, apa sebenarnya yang kau sedang pertahankan?"
Tuan Azhar hanya mampu tunduk. Nafasnya panjang. Dia benar-benar terlupa tentang masa silam Atiha kisah yang disimpan rapat dan tak pernah dibincangkan sejak mereka berkahwin.
"Kau masih belum kenal Atiha sepenuhnya, bukan?" tambah Mak Jah lagi, sinis.
"Mak... tolonglah jangan mula."
"Mak cuma nak ingatkan satu benda, Azhar. Perempuan... walaupun dia dah bersuami, tapi kalau dalam hati dia masih ada nama lelaki lain, dia takkan mampu jujur sepenuhnya. Fikir-fikirkan. Assalamualaikum."
Talian dimatikan. Namun telinga Tuan Azhar sempat menangkap tawa kecil Mak Jah yang terasa pahit di hujung kata-kata terakhir.
Dia tunduk. Lama. Hatinya keliru, kepalanya mula berserabut.
"Mak call?" tegur satu suara perlahan dari belakang.
Tuan Azhar terkejut. Cepat-cepat dia berpaling.
"Sayang! Ya Allah, abang terkejut!" Dia terus bangun, menekup dada.
Atiha berdiri tegak, rambutnya masih basah, wajahnya kosong. Tapi matanya tajam menembus jantung Tuan Azhar.
"Mak cakap apa tadi?" soalnya, nadanya tenang tapi jelas menyimpan sesuatu.
Tuan Azhar. Dia cuba senyum, namun bibirnya kaku.
"Ah… tak ada apa. Mak cuma tanya, betul ke minggu depan kita nak balik kampung... mandi air terjun."
Atiha hanya mengangguk. Wajahnya masih tenang. Dia terus melangkah ke meja makan, duduk perlahan dan mula menyenduk nasi ke pinggan.
Sejak tadi dia belum menjamah apa-apa. Tapi sekarang, dia hanya makan untuk mengisi perut, bukan hati.
Tuan Azhar memandang isterinya dari sisi, sambil mengelap peluh di dahi. Hatinya meronta untuk berkata yang sebenar. Tapi lidahnya masih memilih untuk menipu.
Suasana di dapur sepi. Hanya bunyi sudu menyentuh pinggan memecah keheningan. Setiap kali senduk menyentuh nasi, hati Tuan Azhar terasa seperti disiat perlahan.
Dia memandang wajah isterinya. Wajah yang saban hari menjadi peneman setia, kini terasa asing. Wajah itu tenang terlalu tenang. Dan ketenangan itu lebih menakutkan dari seribu pertanyaan.
"Sayang..." Dia bersuara perlahan.
"Hmm?" Atiha tidak mengangkat wajah.
"Ada apa-apa yang Atiha nak cakap ke?"
Atiha berhenti makan. Senduk diletakkan perlahan. Dia menyandar ke kerusi, mengangkat wajah, memandang tepat ke mata suaminya.
"Abang rasa saya patut cakap sesuatu ke?" Pertanyaan itu tajam, namun disampaikan dengan senyum nipis yang menyakitkan. Senyum yang tidak pernah muncul sebelum ini.
Tuan Azhar bungkam. Dia cuba mencari ayat untuk mempertahankan diri, tapi hatinya tahu pertahanan sudah lama roboh.
"Atiha..." Dia cuba memegang tangan isterinya, namun Atiha mengelak, lembut tapi jelas.
"Azhar, saya tahu mak abang call pasal Azalea."
Tuan Azhar terkedu.
"Saya tak pekak. Saya dengar semuanya tadi. Dari nada suara abang pun, saya tahu... abang cuba lindungi seseorang, tapi bukan saya."
"Tak, bukan macam tu..." Tuan Azhar tergagap.
Atiha senyum lagi. Kali ini lebih pahit.
"Abang lupa ke, saya yang duduk sebelah abang waktu Azalea call. Saya dengar semuanya. Suara manja dia, suara lembut dia... abang tak padam pun mesej-mesej lama tu, Azhar. Saya tahu dia masih hadir... dalam hidup abang. Dan saya tahu saya cuma bayang-bayang dalam rumah ni."
"Atiha, jangan cakap macam tu. Sumpah, abang sayang Atiha..."
"Sayang?" Atiha ketawa kecil. "Sayang tapi hati abang masih buka ruang untuk dia?"
Tuan Azhar tunduk. Tangannya mengepal di atas paha. Wajahnya sudah tak sanggup dipandang isterinya.
"Mak abang... dia betul," sambung Atiha perlahan.
"Abang kahwin dengan saya bukan sebab cinta. Tapi sebab terpaksa lari dari perkahwinan yang keluarga rancang. Saya tahu semua tu, Azhar. Tapi saya diam sebab saya fikir... mungkin ada peluang kita bina sesuatu. Saya bukan perempuan sempurna. Saya ada kisah silam. Tapi saya tak pernah berdiri di depan abang dan menipu diri."
"Mak cakap Atiha mungkin masih ada kekasih lama..." suara Tuan Azhar bergetar.
"Ada?" Atiha senyum kelat.
"Kalau betul saya masih hubungi kekasih lama, abang rasa saya akan serahkan seluruh hidup saya dalam rumah ni? Setiap hari saya masak, saya tunggu abang balik, saya cuba faham jiwa abang walau abang jarang nak buka ruang..."
Tuan Azhar mula menitiskan air mata. Dia benar-benar terkepung oleh rasa bersalah yang selama ini dia nafikan.
"Saya tak sempurna, Azhar. Tapi saya tak main dua hati. Saya tahu siapa saya, dan saya tahu siapa abang. Tapi sekarang... saya tertanya-tanya abang tahu tak siapa Atiha dalam hidup abang sebenarnya?"
Suasana makin sunyi. Bunyi jam dinding berdetik-detik, seakan mengira waktu yang makin genting.
Atiha bangun dari kerusi. Dia melangkah perlahan ke sinki, mencuci tangan. Wajahnya tenang, namun hatinya berkocak hebat.
Tuan Azhar masih diam. Dia cuba bersuara, namun hanya helaan nafas panjang yang keluar.
"Apa yang abang nak buat lepas ni?" soal Atiha, tidak memandang suaminya.
Tuan Azhar menelan liur. "Abang akan betulkan semua ni. Abang akan bercakap dengan mak... dengan Azalea. Abang akan tutup semua ruang yang pernah abang buka untuk masa lalu."
Atiha angguk perlahan. "Kalau abang tak tutup, saya yang akan pergi."
Tuan Azhar tersentak. Dia segera berdiri, ingin mendekati.
"Tapi saya takkan keluar sebagai wanita lemah, Azhar," sambung Atiha.
"Saya keluar sebagai wanita yang tahu maruah diri, tahu bila perlu mempertahankan cinta dan bila perlu melepaskan."
Dia melangkah keluar dari dapur, meninggalkan Tuan Azhar yang masih berdiri terpaku. Bahunya jatuh, tubuhnya terasa ringan bukan kerana lega, tapi kerana kosong.
Sunyi yang tinggal hanya diselaputi rasa kehilangan yang belum berlaku tapi sudah mula terasa.
"Saya tak sempurna, Azhar. Tapi saya tak main dua hati. Saya tahu siapa saya, dan saya tahu siapa abang. Tapi sekarang... saya tertanya-tanya abang tahu tak siapa Atiha dalam hidup abang sebenarnya?"
Share this novel