Langit mendung seakan memahami suasana yang bakal terjadi di dalam kafe kecil berhadapan masjid bandar itu. Sebuah meja di hujung penjuru, jauh dari pandangan ramai, menjadi tempat pertemuan tiga hati yang berkait.dalam garis takdir yang tidak pernah mereka pinta.
Azalea datang paling awal. Duduk bersendiri, wajahnya tenang, tudung labuh kelabu asap terletak kemas di bahu.
Air latte yang dipesannya langsung tak terusik. Matanya ligat memandang ke arah pintu. Menanti. Hatinya bagai drum perang, berdentum perlahan tapi pasti.
Dan akhirnya pintu kaca itu ditolak.
Tuan Azhar muncul dahulu berbaju kemeja biru lembut, jaket hitam disangkut pada tangan. Di belakangnya, langkah penuh tenang dan yakin Atiha.
Sopan bertudung lilit, berbaju kurung moden warna maroon, wajah tanpa mekap tapi ada sinar keyakinan yang bukan semua wanita mampu miliki.
Azalea terkejut seketika, matanya tertancap pada tangan mereka yang berpaut erat. Hatinya berdenyut… aneh.
Azhar menarik kerusi, membiarkan Atiha duduk dahulu sebelum dia mengambil tempat di antara kedua-dua wanita itu.
“Saya minta maaf sebab ganggu waktu kamu berdua,” Azalea memulakan bicara, suaranya lembut tapi ada getar halus.
“Tak apa, ustazah. Kami pun dah lama nak jumpa sebenarnya,” balas Atiha, senyuman tidak lekang di bibir, tapi renungannya tajam meneliti setiap riak wajah di depannya.
Tuan Azhar hanya tunduk. Kata-kata tak mahu keluar dari kerongkongnya, seolah-olah tekaknya disumbat oleh ribuan kekesalan.
“Azhar…” Azalea memandang lelaki itu.
“Saya… saya tak tahu kamu dah bernikah. Saya dapat tahu pun dari media sosial pejabat kamu bukan dari kamu sendiri. Awak patut… beritahu saya sendiri.”
Atiha senyum. Senyum yang menyimpan ribut.
“Ustazah,” dia mencelah sebelum Azhar sempat bersuara, “bukan awak yang patut tahu dahulu. Tapi saya.”
Azalea terdiam. Matanya berpaling ke arah Atiha yang kini menegakkan duduknya sedikit.
“Sebab saya isteri dia. Saya bukan masa lalu. Saya masa depan dia.” Nadanya lembut, tapi tajamnya seperti kaca disalut baldu.
Azhar terasa kerongkongnya kering. Dia cuba untuk menyampuk, tapi Atiha mengangkat tangan sedikit, tanpa berpaling.
“Abang tak perlu kata apa-apa dulu,” katanya, tenang tapi penuh maksud.
Azalea mengetap bibir. Cuba untuk tidak tersinggung, walau hatinya bagai ditoreh halus. Tapi dia masih cuba untuk berpegang pada alasan mungkin Azhar hanya terpaksa. Mungkin… perkahwinan mereka tidak benar-benar dibina atas cinta.
“Azhar, saya tahu awak. Saya tahu kenangan yang kita ada, bukan benda yang mudah untuk dilupakan. Awak ingat tak waktu kita sama-sama jaga ayah saya sakit? Waktu kita..”
“Stop.” Suara Atiha mencelah. Tangannya diangkat sedikit, tapak tangan terbuka seolah menahan lalu lintas.
“Maaf, ustazah pilihan. Saya tak mahu dengar kisah lama dari mulut awak.” Atiha kini memandang tepat ke dalam mata Azalea. Wajahnya tenang. Tapi matanya menyala dengan maruah dan keberanian.
“Dia masa silam awak. Dan sekarang dia masa depan saya. Stop. Saya bukan duduk di sini untuk dengar cerita nostalgia. Saya duduk di sini untuk pastikan masa depan rumah tangga saya tak diganggu oleh bayang yang awak sendiri pilih untuk tinggalkan dulu.”
Tuan Azhar terpaku. Nafasnya tersekat. Dia tidak pernah lihat sisi itu dari Atiha. Lembut isterinya tidak bermaksud lemah. Dan kata-katanya hari ini buat dia rasa lebih hina dari apa yang Azalea mampu ucapkan.
Azalea juga senyap. Kepalanya sedikit tertunduk. Air matanya bergenang tapi disembunyikan.
Dia tidak datang untuk mencari gaduh. Tapi dia juga tidak menyangka, wanita yang ‘dikatakan kahwin sebab terpaksa’ ini begitu tegas mempertahankan hak.
“Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk kamu berdua…” suara Azalea perlahan.
Atiha mengangguk. “Doa tu kami terima, ustazah. Tapi tolong doakan dari jauh. Sebab dekat sini, saya dah cukup ramai musuh dalam senyap.”
Azhar tersentak. Pandangan Atiha singgah padanya. Kali ini, ia mengandungi sindiran yang tidak diselindungkan.
“Abang,” panggilnya perlahan.
“Saya hairan satu benda je. Kenapa awak tak berani cakap benda sebenar kat Azalea sebelum ni? Awak kan dulu ‘sayang’ dia sangat?”
Azhar terdiam. Malu. Terkedu.
Azalea juga memandangnya, seolah menunggu jawapan yang mungkin tidak akan keluar hari itu.
“Saya tak berani sebab saya tak nak sakiti sesiapa,” jawabnya akhirnya. “Tapi saya tahu… saya tetap silap.”
Atiha hanya tersenyum nipis.
“Kadang-kadang orang yang takut nak sakiti orang lain, dia lupa dia sedang bunuh orang yang depan mata dia perlahan-lahan.”
Diam.
Azalea akhirnya bangkit. Dia tunduk hormat sedikit kepada Atiha, kemudian kepada Tuan Azhar.
“Saya minta diri dulu.“ Tiada siapa menghalang. Hanya suara azan Zuhur dari masjid berhampiran menjadi latar suasana yang sepi. Azalea melangkah keluar dengan langkah perlahan, tapi hati yang lebih terbuka.
Tinggal Atiha dan Azhar. Suasana menjadi senyap. Suaminya tidak bersuara. Malu. Terkesan. Terluka, mungkin.
Atiha menarik nafas, menghirup sisa teh di dalam cawan.
“Saya bukan nak permalukan siapa-siapa abang. Tapi saya bukan jenis yang senyum dan biar diri diinjak. Abang kena ingat satu benda bila saya dipilih, saya akan jadi pelindung, bukan perhiasan.”
Azhar mengangguk, mata masih tertunduk.
“Dan kalau abang nak teruskan hidup dengan saya,” sambung Atiha perlahan, “abang kena belajar jadi lelaki yang berhenti pandang belakang.”
“Insya-Allah…” bisik Azhar. Suaranya tenggelam. Tapi dalam hatinya, dia tahu perempuan yang duduk di hadapannya ini bukan sekadar isteri. Dia adalah tembok terakhir yang akan melindunginya daripada kehancuran yang dia cipta sendiri.
Kereta meluncur di atas jalan raya yang mula sibuk dengan kenderaan. Enjin berdengung perlahan, pendingin hawa menderu sejuk, tapi suasana dalam kereta itupanas.
Tuan Azhar mencuri pandang ke sebelah, di mana Atiha duduk dengan wajah kaku. Pandangannya ke hadapan, tangan di riba, diam seperti patung lilin. Tapi dada naik turun, nafasnya dalam… sangat dalam. Itu tanda isteri dia sedang mengawal amarah.
Tuan Azhar menggenggam stereng. “Sayang...”
“Diam,” balas Atiha, suara mendatar tapi keras.
“Jangan panggil saya ‘sayang’ kalau awak sendiri tak tahu siapa yang awak pertahankan dalam hidup awak.”
Tuan Azhar terdiam. Dia faham maksud itu. Saat pertemuan dengan Azalea tadi, dia terlalu kaku, terlalu pasif. Dan itu membunuh keyakinan Atiha perlahan-lahan.
Telefon bimbit Tuan Azhar tiba-tiba bergetar di tempat letak cawan. Skrin menyala. Nama pengirim muncul Azalea.
Atiha tak tunggu. Dia terus capai telefon itu, buka tanpa minta izin. Dia tahu password suaminya. Azhar hanya sempat menjeling, tapi tak sempat menahan.
Mesej panjang itu dibaca dalam diam.
“Maaf sebab saya terlalu lemah untuk bercakap jujur depan awak tadi, Atiha. Saya takut. Saya tak mahu rosakkan rumah tangga kamu, tapi saya tak boleh tipu diri sendiri. Saya masih sayangkan Azhar. Itu saja.”
Atiha menelan air liur. Matanya tak berkelip. Jari-jarinya menggenggam telefon itu erat.
Dia berpaling, matanya membara. Tanpa kata, dia membuka tali pinggang keledar, duduk tegak, dan bercekak pinggang.
“Baru tadi kita bertiga duduk depan-depan, kenapa awak tak cakap terus terang yang awak masih sayangkan suami saya, ustazah pilihan!?” Suara Atiha melantun dalam ruang kereta.
Tuan Azhar terkejut, tergamam. Tangannya terlepas sedikit dari stereng, tapi cepat dikawal semula.
Talian suara disambungkan automatik Atiha sudah menekan butang panggil semula dan meletakkan telefon itu ke mod speaker.
Nada dering berbunyi. Sekali. Dua kali. Dan akhirnya…
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam ustazah. Jangan pura-pura sopan sangat dalam telefon,” kata Atiha, tanpa salam kembali.
“Tadi depan muka saya awak takut sangat nak bercakap. Tapi bila dah balik awak boleh pula taip panjang-panjang mengaku masih sayang suami saya?”
Sunyi. Azalea tak menjawab.
“Takut?” suara Atiha tajam.
“Awak takut? Takut atau awak memang sengaja nak saya marah awak dalam telefon ni? Biar suami saya dengar dan rasa saya ni isteri yang kejam dan cemburu tak tentu hala, hah!?”
“Atiha…” suara Tuan Azhar cuba memujuk.
“Tutup mulut abang.” Atiha tepis tangannya dari bahu. Matanya tak lepas dari telefon.
“Ustazah, awak kena faham satu benda. Awak tu masa silam dia. Awak tak ada hak pun lagi atas hidup dia sekarang. Jangan fikir sebab awak pernah ada kenangan dengan dia, awak boleh datang balik dan ambil semula macam hak milik tertinggal!”
Azalea masih senyap. Suara Atiha semakin lantang.
“Emak dia kat kampung pun dia pertahankan saya. Awak fikir siapa awak sampai boleh ganggu suami saya macam ni? Saya isteri dia, faham? Jangan datang bawa skrip air mata dan nostalgia, saya tak layan.”
Tuan Azhar mengesat peluh di dahi. Pegang stereng pun dah tak betul, kereta terhuyung sedikit ke kiri tapi cepat dibetulkan.
“Atiha, sayang... jangan cakap macam tu, kita boleh bincang elok-elok..”
“Abang! Bila ustazah pilihan abang tu mesej, abang senyum. Tapi bila saya tanya kenapa tak beritahu dia dari awal kita dah nikah, abang kelu. Kenapa? Sebab abang pun masih tak pasti dengan saya?!”
“Bukan macam tu…”
“Kalau bukan, kenapa abang tak jawab dia tadi? Saya je yang cakap semua! Dia bekas kekasih abang, tapi saya pula kena pertahankan perkahwinan ni seorang diri?”
Tuan Azhar diam. Bersalah. Lelaki itu tahu, diamnya itu pun satu bentuk pengkhianatan.
Dengan tangan yang menggigil menahan geram, Atiha mematikan talian dan menghempas telefon suaminya ke dashboard. Bunyi ‘thud!’ cukup untuk membuatkan suasana menjadi lebih tegang.
Tuan Azhar terkebil. Tak berani buka mulut.
Atiha bersandar semula, tangannya bersilang di dada.
“Lain kali kalau ada lagi wanita lepas yang tak puas hati, abang bagitahu awal. Biar saya siapkan skrip siap-siap.”
“Sayang… abang minta maaf.”
“Abang, saya bukan tunggul. Saya bukan kain buruk. Saya tak perlu jadi perempuan yang lemah lembut semata-mata nak tahan perasaan bila suami saya sendiri tak berani bersuara.” Suara Atiha perlahan kali ini, tapi menikam lebih dalam.
“Abang kata abang tak nak lukakan sesiapa. Tapi dalam tak lukakan dia, abang siksa saya.”
Tuan Azhar menoleh. Matanya bergenang.
“Abang tak sangka benda ni jadi macam ni. Abang fikir… abang boleh hadap sorang-sorang…”
“Dan itu silap abang. Sebab bila abang pilih untuk kahwin dengan saya, semua benda kita patut hadap sama-sama. Bukan sembunyikan.”
Sunyi.
Kereta mula masuk ke jalan perumahan. Hanya bunyi deru enjin dan denyut jantung masing-masing yang terdengar.
Sampai di depan rumah, kereta diberhentikan. Atiha terus buka pintu, melangkah keluar tanpa menoleh.
Tuan Azhar mematikan enjin. Duduk diam. Lama.
Dia pegang telefon yang hampir retak di bucu. Di skrin, mesej terakhir Azalea masih terbuka. Tapi pandangannya bukan lagi ke situ.
Pandangannya ke arah pintu rumah mereka… tempat di mana seorang wanita sedang mempertahankan cinta mereka dengan segenap jiwa walaupun disakiti. Dan dalam hatinya, Tuan Azhar tahu…
Cinta tak akan cukup kalau keberanian untuk memilih dan melindungi itu masih lemah.
Cinta tak akan cukup kalau keberanian untuk memilih dan melindungi itu masih lemah
Share this novel