Sebaik saja Tuan Azhar memujuk hati Atiha sejak tadi, dia tahu... hati isterinya itu tak pernah keras. Atiha seorang wanita yang tenang, lembut, sabar, tapi bila dia diam dan menarik diri, pasti ada sesuatu yang mengganggu hatinya.
Tuan Azhar menjeling ke sebelah kiri. Isterinya masih membisu. Pandangan matanya menerawang jauh ke luar tingkap kereta, seolah-olah memikirkan sesuatu yang berat. Kadang-kadang dia nampak Atiha mengeluh kecil.
"Sayang…" panggilan lembut dari Tuan Azhar akhirnya memecah sunyi.
"Ya" jawab Atiha perlahan.
"Abang nak bawa sayang ke mana ni? Macam jauh jer." dia bertanya, sedikit hairan kerana kereta yang dipandu suaminya sudah melepasi kawasan biasa mereka beli barang dapur.
"Kita pergi beli makanan, shopping sikit. Kebetulan abang baru dapat gaji petang tadi," jawab Azhar dengan senyum nipis. Tangannya mengusap lembut tangan Atiha yang diletakkan atas ribanya.
Atiha membuka telefon bimbit, masuk ke aplikasi banknya. Matanya mengesahkan apa yang dikata suaminya. Benar. Gaji mereka sudah masuk.
Walaupun tak banyak, tapi cukup untuk keperluan sebulan, cukup untuk berkongsi rezeki dengan yang lain.
"Dah masuk kan?" tanya Tuan Azhar, masih mencuri pandang ke arah isterinya.
"Ye. Kejap. Sayang nak masukkan duit dalam akaun mak kejap."
Tuan Azhar diam. Tapi dalam hati, dia benar-benar tersentuh. Inilah yang buat dia jatuh cinta berkali-kali pada Atiha. Sesusah mana pun mereka, isteri itu tetap mendahulukan ibu dan keluarga. Tak pernah lupa, tak pernah berkira.
"Berapa sayang masukkan?"
"Tak banyak abang, seribu setengah saja. Adik-adik pun nak pakai duit beli barang sekolah. Adik An tu dah tingkatan dua, mesti banyak benda nak dibeli tu."
"Tak apa… abang pun dah masukkan ke akaun bank ayah seribu setengah. Harap-harap membantu lah sikit."
Atiha terdiam. Matanya membulat, wajahnya seakan terkejut.
"Abang masukkan?"
"Ya. Kenapa?"
"Abang tahu ke akaun bank ayah?"
Tuan Azhar senyum lebar.
"Sayang… abang tahu lah. Kan sebelum kita nikah dekat Siam dulu abang pernah minta. Ingat tak? Abang nak kirim sikit duit waktu tu… masa tu abang tak ada apa-apa, tapi abang janji nak jaga sayang dan keluarga sayang."
Atiha tergelak kecil, “Erk... lupa tak ingat lah abang. Banyak sangat benda berlaku masa tu.”
“Baru dua bulan nikah dah lupa ya…” suara Azhar mengusik.
“Nanti kalau kita dah ada ramai-ramai anak, silap-silap nama suami pun lupa.”
Atiha menjeling sambil terus mencubit lengan suaminya.
“Aduh! Hahaha, maaf sayangku Atiha…” Tuan Azhar tergelak besar.
“Ye, sayang maafkan,” balas Atiha dengan senyuman yang perlahan-lahan kembali mengembang di bibirnya.
Dan senyuman itu... senyuman itulah yang ditunggu-tunggu Tuan Azhar sejak tadi.
Senyuman yang menghidupkan hatinya. Senyuman yang menjadi penyeri rumah tangga mereka. Dia tahu, isterinya hanya perlukan ruang untuk diluah, masa untuk reda, dan bahu yang sedia menyandar.
“Sayang... boleh abang cakap sesuatu?” Tuan Azhar memandang sekilas lalu memandu perlahan.
“Cakaplah…”
“Kalau suatu hari nanti abang tak mampu bagi sayang semua benda yang sayang nak... abang harap sayang tak akan berhenti senyum macam tadi.”
Atiha terdiam.
“Abang tak minta sayang jadi isteri sempurna. Abang cuma nak jadi lelaki yang boleh bagi bahagia. Walaupun kita tak kaya, tak besar rumah, tak mewah kereta… abang nak kita bahagia dengan apa yang kita ada.”
Atiha mengangguk perlahan. Air matanya bergenang. Betapa dia tersentuh dengan setiap butir kata lelaki di sebelahnya. Lelaki yang tidak sempurna, tapi mencintainya dengan sempurna.
“Abang...” Atiha memegang tangan suaminya. “Kalau abang tak ada duit langsung pun... sayang tetap pilih abang.”
Tuan Azhar tersentak.
“Sayang tak kahwin dengan abang sebab harta. Sayang kahwin sebab hati abang yang buat sayang jatuh cinta… Hari-hari abang sabar dengan perangai sayang. Hari-hari abang pujuk bila sayang murung. Hari-hari abang tak pernah lelah cium dahi sayang walaupun sayang tak senyum pun…”
Tuan Azhar ketap bibir. Perlahan-lahan dia berhenti di tepi jalan. Enjin dibiarkan hidup, tetapi dia menoleh ke arah isterinya sepenuh hati.
“Terima kasih… sebab masih ada dengan abang walaupun abang belum mampu bagi dunia.”
Atiha senyum sambil mengesat air mata yang tumpah juga akhirnya.
Tuan Azhar mencium tangan isterinya lama-lama. Kemudian dia mengambil tisu dari kotak kecil atas dashboard dan menyapu perlahan air mata di pipi itu.
“Jangan nangis dah. Hari ni hari gaji. Kita patut happy. Nak beli kek tak?”
Atiha tersenyum sambil mengangguk kecil.
“Kalau kek tu abang potong sambil nyanyi lagu birthday, sayang setuju…”
“Walaupun bukan birthday siapa-siapa?” tanya Azhar dengan ketawa kecil.
“Birthday senyuman sayang balik hari ni,” jawab Atiha, wajahnya kini sudah ceria sepenuhnya.
Selepas itu, mereka terus ke pasaraya. Dalam kereta, lagu klasik cinta tahun 80-an dimainkan. Tuan Azhar bersiul perlahan, kadang-kadang menyanyi sumbang tapi dengan penuh perasaan.
Atiha hanya ketawa sambil memilih barangan dapur. Mereka membeli ayam, minyak masak, beras, dan beberapa barang keperluan rumah. Tidak lupa juga sepasang kasut baru untuk adik An dan satu set alat tulis untuk adik bongsu yang kini di darjah lima.
Selesai membeli, Tuan Azhar menarik tangan isterinya ke dalam sebuah kedai kek kecil di hujung lot. Mereka beli kek coklat moist saiz kecil. Tuan Azhar minta dibungkus cantik dengan lilin kecil.
Malam itu, di ruang makan rumah sewa mereka yang sederhana, Tuan Azhar menyalakan lilin atas kek, dan menyanyi perlahan.
“Happy birthday to you… happy birthday to you… happy birthday senyuman Atiha… happy birthday to you…”
Atiha ketawa sambil menampar manja bahu suaminya. “Abang ni over sangat!”
“Kalau tak over, bukan Azhar namanya,” jawab lelaki itu sambil menyuap isterinya sepotong kek dengan garfu kecil.
Dan malam itu, langit gelap yang biasanya sunyi, terasa terang dalam hati dua insan yang saling mencintai. Tanpa perlu kemewahan. Tanpa perlu kata-kata besar. Cukup dengan kasih yang ikhlas dan cinta yang tak berpura.
Malam kian larut, tapi kehangatan suasana di dalam kereta masih terasa mesra. Lampu-lampu jalan melintasi wajah Tuan Azhar dan Atiha, yang kini mula berbual rancak setelah seharian meluangkan masa bersama.
Di luar, angin malam meniup lembut, membawa suara tawa kanak-kanak yang masih bermain di taman permainan berdekatan.
Kereta perlahan-lahan berhenti di tepi taman. Kanak-kanak berlari, meluncur turun dari gelongsor, dan suara ibu bapa mengingatkan mereka agar berhati-hati menjadi latar yang menghidupkan malam itu.
Tuan Azhar keluar dari kereta terlebih dahulu. Dia berjalan ke sisi pintu penumpang, lalu membukanya perlahan sambil menunduk sedikit.
“Sayang… jom kita cakap kejap dekat sana,” ajaknya lembut, sambil menunjuk ke arah bangku simen yang terletak tidak jauh dari buaian taman.
Tanpa banyak soal, Atiha mengangguk. Mereka berjalan perlahan, tangan mereka bersatu seperti biasa. Namun, riak wajah suaminya yang sedikit tegang membuat Atiha diam memerhati.
Lampu tiang elektrik di situ memantulkan cahaya oren samar pada wajah Tuan Azhar. Wajah yang biasanya tenang itu malam ini kelihatan berlapis dengan sesuatu yang berat di dada.
“Kenapa ni, abang?” tanya Atiha perlahan, duduk di sisi lelaki itu sambil menggenggam erat tangan suaminya.
Tuan Azhar menarik nafas perlahan, memandang ke hadapan.
“Abang rasa… dah tiba masanya kita bagitahu keluarga sayang, yang kita dah berkahwin.”
Atiha tersentak.
Hatinya seperti disiat halus. Tubuhnya kaku. Pegangannya pada tangan Azhar terlerai tanpa sedar. Dia bangun serta-merta, berdiri dengan tubuh memeluk diri. Matanya memandang kosong ke arah taman permainan.
“Sayang,” panggil Tuan Azhar, turut bangun mendekati isterinya.
Atiha menggeleng perlahan, memalingkan wajahnya. Matanya berkaca.
“Kenapa? Sayang ada masalah dengan keluarga ke?” Tuan Azhar cuba mencari wajahnya.
“T-tidak.. Sebenarnya sayang takut…” Atiha menunduk, suaranya hampir tenggelam.
“Sayang, kalau sayang ada masalah, bagitahu abang. Mana tahu abang boleh tolong…”
Atiha menggeleng lagi, kali ini matanya menutup rapat-rapat. Dia cuba menahan air mata yang sudah lama bertakung sejak nama ‘ayah’ disebut.
Tanpa sedar, Tuan Azhar merangkul tubuh isterinya ke dalam pelukan. Dia tahu, kalau isteri itu sudah memeluk dirinya sendiri, itu tandanya dia sedang menahan luka yang dalam.
“Sayang ada masalah dengan ayah ke?” bisiknya perlahan sambil mengusap belakang tubuh isterinya berkali-kali.
Isk…
Suara tangis itu akhirnya pecah. Tuan Azhar terkedu. Pelukannya dieratkan lagi.
Isk… isk…
“Sayang takut… ayah tak terima abang jadi suami sayang, sayang takut Dato' Adnan ganggu abang kalau dia pun tahu hal ni dari ayah…”
Ayat itu terkeluar perlahan namun bagai kilat menyambar perasaan Tuan Azhar.
“Ayah…” Atiha menyambung dalam esak.
“Ayah dah terima pinangan keluarga Pakcik Husin. Ayah dengan Pakcik Husin nak jodohkan sayang dengan anak dia yang akan balik dari luar negara tahun depan, kalau sayang tak terima, ayah nak jodohkan sayang dengan Dato Adnan yang ganggu sayang malam tu abang…”
Tuan Azhar terdiam. Dunia terasa sepi walaupun taman itu masih riuh dengan suara kanak-kanak. Langit yang bertabur bintang seolah-olah membeku.
“Jadi sayang kahwin dengan abang…?” soalnya perlahan, seperti cuba menghadam kenyataan yang baru didengar.
Atiha mengangkat wajah. Dia menangis sepuas-puasnya. Bahunya terhinggut-hinggut dalam pelukan.
“Sayang bukan terpaksa nak berkahwin dengan abang… sumpah!” Dia menekankan suara. “Sayang dah jatuh cinta dengan abang sejak pertama kali kita jumpa… tapi masa tu… abang masih ada Azalea.”
Sekali lagi Tuan Azhar terkedu. Hatinya terkesima.
“Abang ingat lagi… masa tu, kali pertama kita jumpa, sayang tiba-tiba peluk abang dari belakang…” kata Tuan Azhar, cuba mengingati semula momen itu.
“Erm… sebenarnya sayang memang sengaja.” Atiha menunduk malu. “Sayang tak buat-buat jatuh pun…” Dia mengemam bibir, mengangguk kecil
Tuan Azhar menjegilkan mata. “Penjelasan apa ni, sayang? Macam buka aib sendiri je ni…”
Atiha ketawa kecil sambil menekup muka dengan tangan.
“Yelah, sayang tengah buka aib sendiri ni. Kalau tak buka, abang takkan tahu siapa punca yang bagi sarapan pagi buat abang tiap hari tu…”
“Eh, jangan kata masak lemak cili api ketam hari tu pun sayang sengaja bagi lebih cili sebab nak tengok abang meleleh air mata ke tak? Kan.” tanya Tuan Azhar lagi.
“Hah! Itu memang misi sayang berjaya! Sayang duduk depan abang masa tu pura-pura makan di kantin, tapi sebenarnya itu tujuan sayang.” Atiha tertawa, mengesat air matanya yang bersisa.
“Siap sayang doa dalam sujud, biar hati abang beralih dari Azalea dan datang pada sayang.”
“Ohh… sayang lah punya kerja semua ni! Hah sini!” Tuan Azhar terus memeluk wajah isterinya, menggenggam pipi kiri dan kanan lalu menggomolnya berkali-kali.
“Kena balas! Hah, ni balasan doakan abang macam-macam!”
“Abang ni! Alahh… tak romantik langsung! Hahaha..” Atiha tergelak dalam pelukan, wajahnya merah menahan malu.
Tawa mereka pecah di bawah cahaya lampu jalan. Orang tua yang duduk di bangku berdekatan tersenyum melihat pasangan muda itu tertawa bahagia.
“Sayang…” Tuan Azhar memandang dalam ke mata isterinya.
“Terima kasih sebab jujur malam ni. Abang tak kisah siapa pun yang pernah dijodohkan dengan sayang. Yang abang tahu, abang dah jadi suami sah sayang. Dan abang akan hadap siapa saja… demi pertahankan sayang.”
Atiha mengangguk, kali ini tanpa ragu.
“Kalau ayah marah nanti, abang janji jangan tinggalkan sayang?”
“Tak. Abang akan berdiri depan ayah, dan cakap: ‘Saya suami kepada anak ayah, dan saya akan jaga dia sampai akhir nyawa.’”
Atiha menangis lagi. Tapi kali ini, tangis bahagia. Dan malam itu, walaupun mereka hanya duduk di bangku konkrit taman yang tak seberapa, ia menjadi saksi kepada sebuah kejujuran, ketulusan dan cinta dua insan yang rela memperjuangkan hubungan mereka.
Bukan kerana terpaksa. Tapi kerana telah memilih dan terus memilih, setiap hari.
Share this novel