Bab: Gosip Pagi & Bekal Yang Tertinggal

Fantasy Series 1624

Kini Tuan Azhar keluar dari kereta, pintu ditutup perlahan. Angin pagi menyapa wajahnya, menyegarkan sedikit fikirannya yang masih berserabut. Dia menarik nafas dalam, cuba mengusir tekanan yang bersarang sejak dua hari lalu. Matanya melilau memandang ke arah kawasan sekolah.

Pelajar-pelajar mula menapak masuk ke perkarangan sekolah, ada yang menyapa, ada yang hanya melintasi dengan tunduk sopan. Tapi yang menyapa itu tetap mengukir senyum di wajahnya, walau sedikit.

"Assalamualaikum, cikgu disiplin!" tegur seorang pelajar lelaki Tahun Enam yang sudah biasa melihat Tuan Azhar berlegar di kawasan perhimpunan.

"Waalaikumussalam, dah sarapan belum?" balasnya ringkas sambil menatap wajah pelajar itu.

"Belum, cikgu. Mak terlupa masak," jawab pelajar itu jujur.

Tuan Azhar hanya mengangguk, bibirnya menguntum senyum nipis. Dia tahu bukan semua murid datang dari rumah yang sempurna. Ada yang tiada ibu, ada yang jaga adik sendiri, dan ada juga yang makan sisa semalam sebelum ke sekolah.

Langkahnya diteruskan menuju ke bangunan utama sekolah. Tangan kanannya masih menggenggam beg kertas dan beberapa fail yang perlu disusun. Bahunya sedikit sengal, tetapi itu perkara biasa.

"Selamat pagi cikgu disiplin," sapa beberapa pelajar yang berada di tapak perhimpunan sambil berdiri dalam barisan.

"Pagi," jawabnya sambil mengangguk.

"Selamat pagi, Azhar. Macam mana cuti dua hari? Semua okay?" sapa Cikgu Sarimah yang sedang menanda kedatangan pelajar.

"Pagi juga, cikgu. Alhamdulillah... okay saja," balasnya, menyembunyikan keletihan di balik senyuman. Hakikatnya, dua hari itu bukan cuti. Dua hari itu adalah medan pertempuran senyap antara dia dan Atiha – isterinya yang kini dingin, diam, dan menjauh.

Dia terus melangkah ke lif. Tekan butang ke tingkat tiga aras pentadbiran dan pejabat guru.

Ting!

Sementara menunggu pintu lif terbuka, dia meraba poket seluar untuk memastikan telefon masih ada. Skrin menyala satu mesej WhatsApp dari Atiha.

"Abang lupa bekal… nanti bising nasi di kantin habis."

Tuan Azhar menepuk dahinya ringan.

“Allah…” bisiknya. Patutlah terasa ringan sangat tangan hari ni. Bekal makanan tak ada rupanya.

Dia tarik nafas perlahan. Dalam hati, dia akui... walau Atiha marah, walau wajahnya mencuka, tangannya tetap menyediakan makanan. Hati seorang isteri memang aneh marah pun tetap beri kasih.

"Semarah-marah isteri aku pun dia tetap masak. Kalau aku marah, silap haribulan seminggu aku merajuk." Tuan Azhar menggeleng kecil.

Ting! Pintu lif terbuka.

Dia melangkah keluar dan menuju ke pintu pejabat yang tak jauh dari situ. Belum sempat dia membuka tombol pintu pejabat guru, suara-suara dari dalam sudah mencuri perhatiannya.

“Eh kau tengok tak dekat Fac semalam? Perempuan tu gila ke apa? Sanggup simbah asid kat isteri baru suami dia,” suara Cikgu Nora jelas memecah suasana pagi.

“Ish, kejamnya. Apa la dia fikir masa tu?” balas Cikgu Yani.

“Perempuan tu cakap isteri baru tu mengandung anak luar nikah. Sebab tu suami dia kahwin cepat-cepat. Tapi katanya anak tu bukan anak suami dia pun,” sambung Cikgu Hana pula, nadanya penuh emosi.

“Ya Allah, dunia sekarang. Tak tahu mana betul mana salah,” ujar Cikgu Munirah pula, sambil menggoyang kaki.

“Hah? Biar betul. Gila betul orang sekarang. Sampai sanggup rosakkan muka orang?” suara Cikgu Laila paling tinggi ketika itu.

Tuan Azhar mengerutkan dahi. Gosip. Dia memang tak suka menyampuk dalam perbualan seperti ini. Tapi telinganya tetap menangkap setiap butir cerita yang keluar.

Perempuan dan gosip memang sukar dipisahkan. Tambahan pula, gosip yang melibatkan isu rumah tangga, anak luar nikah, asid dan media sosial itu semua bahan bakar utama untuk pagi yang penuh ‘perisa’.

Dia melangkah masuk perlahan. Meletakkan beg di atas meja dan menarik kerusinya. Beberapa guru menoleh dan menyapanya.

“Pagi, cikgu Azhar,” ujar Cikgu Nora sambil tersenyum.

“Pagi,” jawabnya ringkas. Dia tak mahu terlibat.

Tuan Azhar menarik keluar buku disiplin, cuba fokus. Tapi di fikiran, wajah Atiha kembali muncul. Mesej itu masih belum dibalas. Mungkin dia patut hubungi isterinya selepas waktu rehat nanti.

Dia menyandar seketika. Mata memandang siling. Letih. Mental dan fizikal. Telefon sekali lagi bergetar. Kali ini mesej dari Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

"Cikgu Azhar, pelajar Tahun 4 Harapan bergaduh di kantin. Mohon cikgu turun sekejap."

Tuan Azhar berdiri, menghela nafas. Tanggungjawab menanti, masalah murid pula bersilih ganti.

Tuan Azhar menyeluk poket dan menyimpan telefon bimbitnya. Langkahnya segera dibawa ke arah kantin. Dalam perjalanan, dia terserempak dengan beberapa pelajar yang sedang membeli makanan ringan. Beberapa orang guru masih kelihatan bersarapan di sudut meja guru kantin.

Kakinya menapak laju ke meja belakang di mana pembantu pengurusan murid sedang berdiri, sambil menahan dua pelajar lelaki yang kelihatan sedang bertikam lidah.

“Dua-dua diam!” arah Tuan Azhar tegas.

Kedua-duanya terus menunduk. Seorang berbadan gempal, memakai kaca mata, wajahnya merah padam. Seorang lagi bertubuh kecil, nampak lebih tenang tetapi memegang lengan yang sedikit lebam.

“Siapa yang mula dulu?” tanya Tuan Azhar, tangannya bersilang ke dada.

“Dia sepak makanan saya, cikgu,” ujar si kecil.

“Dia kutuk mak saya gemuk dan macam gajah, cikgu!” balas si gempal, suara tersekat-sekat menahan marah.

Tuan Azhar menarik nafas panjang.

“Kamu tahu tak, kata-kata kamu tu boleh bawa kepada buli emosi? Dan sepak makanan orang tu, itu perbuatan biadab. Tak kiralah siapa mula dulu, dua-dua salah!”

Mereka tunduk, menyesal.

“Nama penuh?” soal Tuan Azhar.

“Amirul Hakim bin Nasarudin.”

“Aiman Harraz bin Zulkifli.”

“Sekarang ikut saya ke bilik disiplin. Saya tak mahu tengok kamu sentuh atau pandang satu sama lain sepanjang jalan. Faham?”

“Faham cikgu…”

Langkah mereka bertiga menyusuri blok akademik. Tuan Azhar berjalan di tengah-tengah seperti seorang pegawai polis mengiring banduan. Beberapa pelajar yang lalu-lalang mula berbisik, tetapi tiada siapa berani mendekat.

Setibanya di bilik disiplin, Tuan Azhar menyuruh kedua-duanya duduk di kerusi bertentangan. Dia mencapai buku catatan dan mula menulis.

“Saya nak kamu fikir tentang apa yang berlaku. Nanti kamu tulis surat maaf kepada satu sama lain, dan satu kepada ibu bapa kamu. Ini bukan setakat laporan, ini latihan tanggungjawab,” katanya sambil menulis butiran kejadian.

Mereka mengangguk perlahan. Dia keluar sebentar, memberi ruang untuk mereka menulis. Ketika itu, telefon bimbitnya bergetar sekali lagi.

Atiha

"Kalau abang nak makan, beli dekat kantin. Jangan merungut sebab abang yang lupa bawa bekal. Saya tak nak mesej panjang-panjang. Saya letih."

Ayat itu membuatkan dadanya terasa berat. Tiada emoji. Tiada nada manja seperti selalu. Ini bukan marah biasa. Ini kekecewaan. Letih, kata Atiha. Dan dia tahu, letih itu bukan hanya fizikal.

Letih seorang isteri adalah letih yang paling bahaya bila sabarnya sudah menipis, dan hatinya mula tawar.

Dia taip balasan ringkas.

"Saya minta maaf. Nanti kita bincang di rumah. Jangan simpan dalam hati, sayang."

Tapi sekali lagi, dia tak hantar mesej itu. Jari-jarinya teragak-agak. Lalu dia tekan ‘back’, dan simpan dalam draf. Lelaki kadang ego, tapi dia tahu, hubungan ini tak boleh dibiar beku terlalu lama.

Selepas loceng rehat dibunyikan, dia kembali ke bilik guru. Pelajar tadi sudah dihantar semula ke kelas masing-masing dengan surat amaran berganda dan harapan baru.

Namun, setibanya di pejabat guru, suasana yang tadi agak tenang kini kembali riuh.

“Korang dengar tak? Anak saudara kepada Cikgu Rashidah kena tangkap khalwat!” jerit perlahan Cikgu Yani sambil menekup mulut.

“Apa? Ish budak tu baru umur 19 kan?” balas Cikgu Lina terkejut.

“Dah umur, tapi perangai tak mencerminkan umur. Kesian mak ayah dia,” sambung Cikgu Hana.

Tuan Azhar hanya duduk di kerusinya. Kepala mulai sakit. Dia tidak mahu menyertai perbualan. Di dalam hatinya, dia tertanya bagaimana sekolah yang sepatutnya menjadi tempat mendidik anak bangsa kini dipenuhi dengan cerita gosip murahan?

Seorang guru lelaki, Cikgu Helmi, menyapa perlahan.

“Azhar kamu okay?”

Tuan Azhar menoleh. “Okay je. Kepala saya pening sikit.”

“Yalah, biasalah cikgu disiplin. Semua benda nak kena pantau,” kata Cikgu Helmi bersahaja.

“Tapi Azhar… aku tengok kau macam ada hal berat. Hal rumah tangga ke?”

Soalan itu buat dia terdiam. Dia tak menjawab, hanya angguk perlahan.

“Kalau kau nak ajak lepak malam ni minum kopi, aku on je. Lelaki dengan lelaki ni kadang perlu dengar, tak perlu komen,” kata Helmi lagi sambil tepuk bahu.

Tuan Azhar senyum kecil.

“Nantilah aku fikir. Terima kasih.”

Petang itu, selepas waktu tamat persekolahan, Tuan Azhar duduk sekejap di dalam keretanya. Dia tak terus hidupkan enjin. Telefon bimbitnya di tangan, tapi dia belum berani buka mesej. Fikirannya masih jauh.

Di luar kereta, kelihatan pelajar-pelajar berjalan ke pintu pagar. Ada ibu bapa yang sudah menunggu di luar. Ada juga yang menunggang basikal sambil menjerit pada rakan. Sebelum dia hidupkan enjin, satu lagi mesej masuk.

Atiha.

"Kalau abang balik lambat, saya keluar. Saya tak nak tengok muka abang hari ni."

Ayat itu tajam. Dada Tuan Azhar berombak. Dia terus menaip dan kali ini dia tekan hantar.

Tuan Azhar:

"Sayang... abang tak sempurna. Tapi abang tak pernah nak biar kita jadi macam ni. Abang rindukan kita. Rindukan gelak kita. Abang tahu abang selalu salah waktu dan salah cara. Tapi abang nak betulkan, selagi ada ruang."

Beberapa minit tiada balasan.

Dia hela nafas. Ditarik dalam-dalam. Kemudian dihembus perlahan.

Awan di langit mula mendung. Hujan seperti mahu turun. Sama seperti hatinya penuh gumpalan yang tak terbendung.

Di rumah – jam 7.30 malam

Tuan Azhar pulang seperti biasa. Rumah sunyi. Kasut Atiha tiada di rak. Dia tahu isterinya keluar. Mungkin benar-benar mahu elak dia.

Dia melangkah masuk. Meletakkan beg kerja. Bau masakan masih ada di dapur. Bekas lauk berpenutup tersusun di atas meja. Ada nasi. Ada lauk ayam masak merah. Ada sayur goreng.

Hatinya kembali sayu.

Dalam diam, dia panaskan lauk dan duduk makan sendiri. Tidak lama kemudian, bunyi kereta masuk ke garaj. Pintu dibuka. Atiha masuk tanpa menoleh ke arah meja makan. Dia terus menuju ke bilik.

“Sayang...” Tuan Azhar bersuara.

Atiha berpaling, wajahnya kosong.

“Saya letih. Saya nak mandi,” jawabnya pendek.

“Boleh abang cakap kejap?” Tuan Azhar bangun, mendekati.

“Cakaplah.”

“Apa pun yang jadi... abang tetap nak betulkan. Abang tahu ego abang tinggi, tapi abang tak nak kita hidup macam ni. Dingin, jauh, dan saling salah sangka. Kalau abang kena minta maaf hari-hari pun, abang sanggup.”

Atiha tunduk. Lama. Kemudian air matanya jatuh tanpa suara.

“Eh kau tengok tak dekat Facebook semalam? Perempuan tu gila ke apa? Sanggup simbah asid kat isteri baru suami dia,” suara Cikgu Nora jelas memecah suasana pagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience