Suasana malam itu tenang dan sederhana. Bunyi cucian mesin basuh, dentingan sudu di dalam sinki, dan kipas angin berdengung lembut menambah irama rumah kecil dua tingkat mereka.
Atiha sedang melipat pakaian yang sudah kering di balkoni kecil belakang dapur, manakala Tuan Azhar pula baru sahaja menerima satu panggilan telefon yang membuatkan wajahnya serta-merta berubah suram.
"Assalamualaikum, cikgu Azhar?" suara itu lembut, mendayu seperti petikan piano di malam sepi. Lirih, tersusun dan... sangat berbeza dari nada seorang guru biasa.
"Ya, saya, waalaikumussalam." Tuan Azhar menjawab ringkas.
"Ustazah Azalea di sini. Saya nak tanya... cikgu datang ke esok petang sebab ada sesi tambahan untuk pelajar tingkatan lima? Cikgu Zaini minta saya sampaikan."
"Esok?" Keningnya berkerut.
Esok dia sudah berjanji mahu membawa Atiha pulang ke Ipoh, memperkenalkan isterinya kepada ibu ayah yang belum tahu status sebenar mereka.
"Ya... sesi petang. Tak lama pun. Tapi kehadiran cikgu sangat dialu-alukan."
Tuan Azhar menarik nafas. "Esok saya ada hal… mungkin tak.." Namun belum sempat dia menghabiskan ayatnya, suara di hujung talian menyambung dengan manja.
"Kita jumpa esok ya. Assalamualaikum."
Talian terus diputuskan.
Dengusan berat keluar dari mulut Tuan Azhar. Dia berdiri seketika di ruang tamu, memandang telefon bimbitnya seolah-olah mahu melemparnya ke dinding.
Dari dapur, Atiha menjeling ke arah suaminya. Dia tidak mendengar jelas siapa yang menelefon, tetapi nada suara Tuan Azhar dan helaan nafas panjangnya cukup membangkitkan rasa curiga.
Namun dia tetap meneruskan kerja-kerjanya. Mesin basuh sudah berhenti, dan dia mula menyidai baju-baju kecil di ampaian dalam rumah.
Beberapa minit kemudian, Tuan Azhar datang ke dapur, dengan mop di tangan dan peluh yang menitik dari dahi.
"Aik, rajin abang hari ni." Atiha menyapa, lalu tersenyum ketika Tuan Azhar menyeka peluh dengan belakang tangan.
Tuan Azhar hanya mengangguk, terus menyambung mop lantai dengan perlahan. Tapi jelas dari wajahnya, fikirannya di tempat lain.
Selepas selesai, Atiha menuangkan segelas air sirap ais dan meletakkannya di meja makan. Warna merah jambu sirap itu bagaikan memanggil suaminya yang kehausan.
"Abang, minum dulu." Atiha menyerahkan gelas itu.
Tuan Azhar mengambil dan meneguk separuh, sebelum akhirnya duduk di bangku, melepaskan keluhan kecil.
"Siapa tadi abang?" soal Atiha sambil berdiri di sisi, mula mengelap peluh di pipi suaminya dengan tuala kecil.
"Azalea..." jawabnya perlahan.
Atiha mengangkat kening.
"Dia minta abang datang ke sekolah sesi petang esok. Tapi abang dah janji nak bawa sayang balik Ipoh kan?"
"Abang setuju?" soal Atiha sambil menyilangkan tangan.
"Abang tak sempat cakap apa-apa. Dia dah potong talian."
"Hmm..." Tuan Azhar memandang isterinya lama-lama, seolah-olah sedang memikirkan langkah seterusnya.
"Rasanya sayang kena guna kuasa Vito untuk takutkan dia."
Atiha menjeling sambil tersenyum sinis. "Abang ni, tak baiklah... main-main guna kuasa isteri."
"Tapi hari tu sayang dah 'on' kuasa untuk rempuh dia. Kali ni abang rasa, sayang kena buat lagi kuat… sampai dia sedar yang dia tu ustazah. Bukan perampas bersarung jubah."
Atiha tergelak kecil. Namun di sebalik tawa itu, ada bara yang mula menyala.
"Abang… kalau dia boleh senang-senang call dan suruh abang datang, tak takut ke nanti dia makin melampau?"
"Abang tahu… tapi abang pun tak suka cara dia. Cuma abang tak nak buat kecoh kat sekolah. Nanti sayang juga yang sedih."
Atiha duduk di sebelah, meraih tangan suaminya yang sedang menggenggam gelas.
"Sayang tak kisah kalau abang tegas, sebab lelaki yang baik kena tahu letak batas. Tapi sayang kisah kalau abang diamkan perkara yang boleh rosakkan rumah tangga kita."
Tuan Azhar diam.
"Abang tahu sayang ni tak suka gaduh. Tapi sayang pun ada maruah. Jangan biar orang fikir sayang ni tak ada hak pegang tangan abang, cuma sebab sayang bukan ‘ustazah popular’ macam dia."
Kata-kata itu membuatkan dada Azhar berombak perlahan. Dia angkat tangan isterinya dan menciumnya perlahan.
"Abang minta maaf, sayang. Esok kita tetap ke Ipoh. Hal Azalea tu… abang akan selesaikan. Abang akan pastikan dia tahu batas."
Atiha hanya mengangguk. "Janji?"
"Janji. Dan kalau dia masih berani... sayang boleh 'rempuh' lagi sekali. Tapi kali ni abang sediakan helmet."
Atiha tergelak besar.
"Helmet pink okay, dengan stiker unicorn."
"Unicorn kita satu je. Dan dia tengah duduk depan abang sekarang ni."
Malam itu, mereka duduk di beranda rumah sambil menikmati angin malam yang perlahan. Walau sederhana, tapi hubungan mereka kaya dengan komunikasi dan kasih sayang.
Di dalam rumah kecil itu, dua hati yang sudah halal saling menjaga. Satu dengan diam yang tegas, satu lagi dengan bual yang lantang tapi penuh cinta.
Dan esok, Azhar tahu dia bukan sahaja akan bawa isterinya ke Ipoh, tapi juga akan bawa ketenangan bahawa dia sudah sedia menjadi pelindung sebenar, bukan sekadar gelaran ‘cikgu disiplin’.
Langit mendung perlahan-lahan berarak, membayangi jalan yang mereka tempuhi. Jalan ke Ipoh penuh dengan nostalgia buat Tuan Azhar, tapi untuk Atiha, perjalanan ini seperti satu langkah ke dunia yang penuh teka-teki dan mungkin penghakiman.
Di dalam kereta, mereka bergurau seperti biasa. Suasana di dalam kabin kecil itu hangat dengan cinta dan senyuman.
Tapi hati Atiha sedikit gementar. Bukan kerana dia takut keluarga mertua tidak menerima, tetapi kerana ramai yang belum tahu dia isteri sah kepada guru disiplin paling garang di sekolah.
“Abang, sayang nak beli buah dulu,” ujar Atiha tiba-tiba, matanya tertumpu ke deretan gerai buah-buahan di bahu jalan.
“Buah?” Tuan Azhar bertanya ringkas.
“Ha’ah. Dengan makanan sikit. Sayang lapar.”
Tuan Azhar membelok perlahan dan berhenti berhampiran satu gerai berwarna oren pudar. Atiha, dengan senyum kecil penuh makna, meletakkan tangannya di peha Azhar.
“Abang berhenti sini. Sayang turun kejap.”
“Ye ye… sabar sayang, peha abang ni sensitif.” Azhar ketawa kecil, pipinya merona merah.
“Hihihi... abang duduk saja dalam kereta, kejap je sayang turun.”
Azhar sempat mengeluarkan sehelai wang kertas RM100 dan menyelitkan di tangan isterinya. “Belanja sekali dengan air kelapa okay, dah macam panas ni.”
Atiha mengangguk. Senyuman yang terukir di bibirnya tidak setenang seperti biasa. Dia tahu setiap langkahnya di luar kereta mungkin menjadi titik mula kepada soalan yang dia belum bersedia jawab.
Di gerai buah itu, angin bertiup sedikit garang.
Atiha sedang meneliti potongan buah mangga muda dan jambu batu, ketika satu suara yang dikenali menyapa dari arah belakang.
“Cikgu??”
Langkah Atiha terhenti. Jantungnya seperti disiat.
Dia menoleh. Puan Hasnah. Seorang ibu kepada pelajar tingkatan lima dan juga antara ahli PIBG yang paling aktif dan… paling suka bertanya.
“P-puan Hasnah… dari mana ni?” Atiha cuba tersenyum tapi suaranya jelas tergagap.
Puan Hasnah menghampiri, berselendang biru cair dan berkaca mata hitam tersangkut di atas kepala.
“Saya datang dengan anak saya. Dia nak beli buah katanya, panas-panas ni memang sedap makan buah.”
“Betul tu…” balas Atiha lemah sambil melangkah sedikit ke tepi, berpura-pura fokus pada potongan nanas di dalam bekas plastik.
Tapi Puan Hasnah tidak melepaskan pandangannya. Matanya menikam penuh makna.
“Kamu datang dengan siapa ni? Sorang ke?”
“Err… saya datang dengan… ehem, dengan… cikgu disiplin.” Atiha menjawab sehabis tenang, namun jelas peluh di dahinya menitis walaupun cuaca tidak begitu terik.
“Cikgu Azhar?” soal Puan Hasnah, kali ini dengan senyuman kecil yang kelihatan penuh makna. “Saya cam kereta dia. Warna tu, memang tak ramai pakai.”
Atiha tergelak kecil, kaku dan membetulkan tudungnya yang tidak senget pun.
“Ha’ah… saya nak ke rumah keluarga dia… err… lawatan lah. Hahaha…”
Lawatan? Suara dalam hati Atiha menjerit. Alasan paling lemah dalam sejarah pembohongan.
Puan Hasnah melangkah sedikit mendekat.
“Saya dengar kamu rempuh ustazah Azalea sebelum ni. Betul ke?”
Jantung Atiha terus berhenti seketika. Dia kaku, bibirnya terketap. Soalan itu terlalu direct, terlalu rawak dan… terlalu tepat.
“Saya… err… saya… taklah. Biasa-biasa je. Saya tergelincir kot…”
“Tergelincir sampai jatuh buku semua?” Puan Hasnah tidak menuduh, tapi nada suaranya seperti seorang ibu yang sedang menggali cerita dari anaknya yang menyembunyikan sesuatu.
Atiha ingin menapak pergi. Tapi kakinya terasa seperti dipasung ke tanah. Tangannya menggenggam plastik buah mangga dengan kuat.
“Berapa dik buah ni…” Puan Hasnah menoleh pada peniaga, memecahkan situasi yang tegang. Suaranya kembali normal, namun matanya tetap memerhati Atiha dari ekor mata.
Atiha mengambil nafas panjang, membayar buah-buahan dan air kelapa lalu berpaling semula.
Puan Hasnah masih di sana, menunggu giliran membeli buah lain.
“Jumpa di sekolah, cikgu…” katanya sambil mengangkat sebelah kening.
Atiha hanya tersenyum kelat dan berjalan laju ke arah kereta.
Di dalam kereta, Tuan Azhar sedang menukar siaran radio. Dia menoleh sebaik Atiha masuk dan meletakkan plastik di tempat duduk belakang.
“Sayang kenapa ni, okay tak?” soal Azhar, dahi sedikit berkerut melihat isterinya yang kelihatan pucat.
“Tak okay…”
“Kenapa? Ada apa?”
“Puan Hasnah…”
Azhar mengangkat kening. “Jumpa dia?”
“Dia tanya kita datang berdua. Dia cam kereta abang. Lepas tu… dia tanya pasal kejadian rempuh Azalea hari tu.”
Azhar menyandarkan kepala ke kusyen tempat duduk. Tangannya mengusap wajahnya.
“Dah agak dah…”
Atiha menggenggam jari jemarinya sendiri.
“Abang… kita tak boleh sorok lama-lama. Orang dah mula syak.”
Azhar menoleh, memegang tangan isterinya.
“Sayang… kalau sayang setuju… minggu depan abang akan panggil guru besar. Kita beritahu dia dulu.”
Atiha mengangguk perlahan.
“Baik… dan kalau Puan Hasnah soal lagi…”
“Kita jawab dengan senyuman. Dan cincin nikah kat jari manis ni.”
Tuan Azhar tersenyum kecil. “Dan kalau dia tanya lagi… abang cium sayang depan dia.”
“Abang!!”
“Mana tahu lepas tu dia terus lupa semua soalan tadi.”
Mereka tergelak bersama. Walaupun hati masih resah, sekurang-kurangnya mereka ada satu sama lain.
Dalam dunia penuh mata yang memerhati dan mulut yang berselindung di balik ‘salam hormat’, mereka tetap memilih cinta yang jujur walaupun dalam senyap.
abang cium sayang depan dia...
Share this novel