Langit petang itu mendung. Angin bertiup perlahan, membawa bau tanah basah yang belum pun ditimpa hujan. Di hadapan pagar rumah kayu dua tingkat bercat hijau muda itu, seorang wanita terduduk di atas rumput. Jubahnya lusuh basah, air mata tumpah tak mampu dibendung lagi.
Azalea menangis.
Teresak-esak seperti anak kecil yang hilang arah. Tangannya menggigil ketika dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangan. Di skrin, aplikasi rakaman suara masih terbuka butang main ditekan semula.
"Ustazah, awak kena faham satu benda. Awak tu masa silam dia. Awak tak ada hak pun lagi atas hidup dia sekarang... Saya isteri dia, emak dia di kampung pun dia berani mempertahankan saya. Inikah awak? Jangan ganggu suami saya lagi faham!"
Rakaman suara Atiha bergema lagi. Dan kali ini, Azalea menangis lebih kuat.
Pintu rumah terbuka.
“Azalea?” suara lantang tapi lembut dari muka pintu mengejutkan dia. Seorang wanita berusia, bertubuh gempal dan berkain batik corak besar, bergegas keluar. Tudung bawal longgar terikat di dagu.
“Mak Jah…” Azalea hanya sempat sebut nama itu sebelum tubuhnya ditarik ke dalam pelukan.
“Ya Allah, kenapa menangis macam ni, nak? Masuk rumah dulu, jangan duduk bersimpuh kat tanah sejuk macam tu.” Mak Jah panik. Hati tuanya terusik melihat ‘anak menantu harapan’ dalam keadaan begitu.
Azalea dipimpin masuk ke ruang tamu rumah kampung itu. Sofa kain berbunga merah menjadi tempat Azalea menjatuhkan tubuh. Matanya bengkak. Suaranya tersekat-sekat.
Pak Rahim, suami Mak Jah, memandang dari kerusi malas. Dia tenang seperti biasa, tak cepat melatah.
“Kenapa ni?” soalnya perlahan.
Mak Jah duduk di sisi Azalea. “Ni ha... budak Azalea ni menangis macam kena dera. Kena marah dengan menantu kita tu.”
Azalea tunduk. Bahunya bergegar kecil. Dia angkat telefon dan dengan tangan menggeletar, membuka semula rakaman suara. Disuakan pada Mak Jah.
Suara Atiha bergema dalam rumah. Kuat. Tegas. Menikam.
"Saya isteri dia, emak dia di kampung pun dia berani pertahankan saya...”
Mak Jah terkedu. Dia genggam tangan Azalea.
“Macam ni ke cara dia cakap dengan orang?” soalnya separuh berbisik. “Dengan ustazah macam kamu pulak tu?”
Azalea menunduk. “Saya cuma nak penjelasan, mak cik. Saya tak pernah minta apa-apa pun. Tapi saya dimarah macam saya ni… hina sangat.”
Pak Rahim mengangkat kening sedikit. “Kamu pergi jumpa Azhar berdua ke?”
“Bertiga, pak cik. Dengan isteri dia,” jawab Azalea, lemah.
Mak Jah mengeluh panjang. “Mak pernah rasa Atiha tu baik, lemah lembut. Tapi mak tak sangka, garang mulutnya…”
Azalea menggeleng. “Saya tak pernah sangka benda ni jadi macam ni. Saya cuma… rindukan Azhar.”
Mak Jah mengusap belakang Azalea.
“Sabar ya, nak. Mak kenal Azhar… dia bukan jenis lupakan orang mudah-mudah. Atiha tu baru aje dalam hidup dia. Kamu… lama dah dalam hati dia. Mungkin dia pun tersepit.”
“Mak Jah...” suara Azalea mengendur.
“Saya tak nak orang tuduh saya datang niat tak baik. Tapi saya tahu apa saya rasa. Dan saya tahu Azhar tak bahagia.”
Pak Rahim bersuara perlahan, “Jangan kita nilai rumahtangga orang dari luar. Kadang-kadang senyap tu sebab bahagia. Kadang-kadang yang bising tu belum tentu salah.”
Mak Jah menjeling suaminya. “Bang… saya dengar sendiri suara Atiha. Macam tu nak kata menantu baik?”
“Suara orang marah memang lain,” balas Pak Rahim.
“Tapi kita jangan mudah dipengaruh dengan sebelah pihak. Azalea pun belum tentu datang niat suci. Jangan marah makcik, ya nak.”
Azalea tunduk. Tapi air matanya tidak berhenti. Ada sesuatu dalam senyumannya pilu, tapi penuh maksud.
“Mak Jah, saya balik dulu ya. Saya rasa saya dah cukup menyusahkan.”
Mak Jah pegang bahunya erat. “Esok pagi-pagi kita call Azhar, tanya dia elok-elok.”
“Jah…” suara Pak Rahim cuba halang, tapi Mak Jah sudah nekad.
“Dia anak mak. Dan kalau betul menantu mak tu kurang ajar, mak takkan duduk diam.”
Azalea angguk perlahan. Tapi di hujung bibirnya, senyuman tipis terukir. Senyuman wanita yang tahu dia kini punya sekutu baru.
Petang itu tenang, ayam kampung berkeliaran di halaman, burung berkicauan, dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tapi dalam rumah kayu dua tingkat itu, suasana tak setenang luarannya. Ada badai kecil yang sedang bersarang di dada Mak Jah.
Tangannya ligat melipat kain di ruang tamu sambil mulutnya menggumam. Telefon bimbit diletak di sisi, sesekali dia menjeling-jeling ke arah skrin yang menyala.
Tiba-tiba, telefon berbunyi.
Ting.
Mak Jah menjeling malas. Notifikasi WhatsApp masuk. Dia buka, dan mata bulat seketika.
“Assalamualaikum semua, saya Atiha menantu baru emak dan abah.”
Mak Jah mencebik bibir. “Budak ni pun ada.”
Pak Rahim yang sedang membaca surat khabar di kerusi malas menurunkan helaian surat khabar ke riba. “Kenapa pulak tu?”
“Azhar masukkan nombor telefon Atiha dalam grup WhatsApp keluarga,” jawab Mak Jah sambil menjeling telefon dengan perasaan tak puas hati.
Pak Rahim senyum kecil. “Baguslah tu, sekurang-kurangnya keluarga kita dah lengkap.”
“Lengkap abang kata?” Mak Jah mendengus.
“Perempuan tu entah dari mana. Kita tak tahu asal usul. Entah-entah tak ada mak ayah!”
Pak Rahim meletakkan surat khabar di pangkuan. “Astaghfirullah hal azim, Jah. Tak baik buruk sangka macam tu. Azhar tu anak kita, dah sayangkan Atiha. Kenapa kita nak pertikai lagi?”
Mak Jah mengeluh panjang. “Saya tak pernah restu tau. Kahwin senyap-senyap. Kalau tak kerana budak tu, kita dah jadi besan ketua kampung!”
Pak Rahim hanya menggeleng kepala. “Jodoh tu kerja Allah, Jah. Kita sebagai orang tua, doakan yang baik-baik sudah.”
Mak Jah tetap tak puas hati. Dia memeluk tubuh, pandangan tajam dilemparkan ke telefon yang masih menyala.
Ting.
Notifikasi baru masuk.
“Kenalkan ini isteri saya, Atiha Zainuddin…” tulis Azhar. Nama Atiha siap di-mention dalam mesej grup keluarga.
Mak Jah mengetap bibir. Air mukanya berubah.
Pak Rahim hanya tersenyum kelat.
Sekelip mata, adik-beradik Azhar mula membalas. Masing-masing menyapa mesra dan menyimpan nombor telefon Atiha. Stiker peluk hati, stiker ucap selamat datang, dan emoji love mula membanjiri ruangan mesej.
“Ni ha, tengok!” Mak Jah menunjuk ke skrin.
“Berani betul dia muncul tak malu!”
Pak Rahim senyum nipis. “Nak buat macam mana. Dia isteri Azhar yang sah. Lebih baik dia perkenalkan diri. Biar kita kenal juga.”
Mak Jah bangun berdiri. Langkahnya kasar menuju ke dapur. Kain yang dilipat tadi ditinggalkan terburai.
Ketukan kuali dan sudip mula kedengaran. Bunyi logam bertemu logam bergema bagai irama kemarahan seorang wanita.
Pak Rahim hanya menggeleng kepala. Telefon bimbit masih di tangan.
Ting.
Mesej baru masuk.
Kali ini panjang sedikit.
“Hujung minggu ni suami saya abang kepada korang nak bawa kita pergi air terjun. Bawa bekal ya. Nanti saya beli bahan untuk bakar ikan, ayam dan sebagainya. Okay ke semua?” tulis Atiha dengan penuh semangat.
Mak Jah dari dapur masih bersudu-kuali. Tapi telinganya tajam.
Ting.
Azhar menyambung mesej isterinya:
“Siapa setuju angkat tangan..”
Pak Rahim tergelak kecil. Jarinya hampir menekan emoji. Tapi bila terdengar ketukan kuali semakin kuat dan laju, dia segera undurkan tangan.
“Singa tengah menyirap,” bisik Pak Rahim sambil mengeluh.
Dari dapur, suara Mak Jah kedengaran lantang:
“Laaaaa… dia pulak yang pandai-pandai rancang aktiviti keluarga ya sekarang? Baru jadi menantu beberapa minggu, dah nak jadi organizer.”
Pak Rahim menjawab perlahan, “Bukannya salah pun kalau dia nak eratkan keluarga…”
“Dia tu bukan jenis mesra bang. Menyibuk lebih adalah,” balas Mak Jah sambil mengetuk sudip sekali lagi.
Pak Rahim bangkit perlahan dari kerusi malas. Dia bawa telefon masuk ke dapur, letak di atas rak pinggan.
“Jah,” dia panggil lembut.
“Orang tua macam kita ni, kalau keras sangat, nanti kita sendiri yang sunyi. Atiha tu bukan orang luar lagi. Takkan selamanya nak buat macam dia tak wujud?”
Mak Jah diam. Tangan masih ligat mengacau kuah. Bau kari kepala ikan mula harum memenuhi dapur.
“Bukan saya tak nak terima bang…” suaranya mengecil.
“Tapi hati saya masih belum boleh.”
Pak Rahim mendekat. “Sebab Azalea?”
Mak Jah pegang senduk kuat-kuat. Lama dia diam sebelum angguk sedikit.
“Dia baik. Lembut. Pandai ambil hati. Kalau dia menantu kita, sejuk hati saya.” Pak Rahim letakkan tangan di bahu isterinya.
“Kalau Azalea tu baik… dia takkan datang rumah kita menangis-nangis sambil rekod suara isteri orang.”
Mak Jah terkedu.
Dia menoleh.
“Bang tahu?”
“Abang bukan tuli, Jah. Abang dengar semuanya semalam. Abang tak buta nak nilai.”
Mak Jah tunduk. Senduk dalam tangan kini terasa berat.
Pak Rahim menambah lagi, “Atiha mungkin kasar sikit sebab dia terluka. Tapi dia tetap cuba masuk dalam keluarga kita. Dia mesej dengan hormat. Dia ajak kita berkumpul. Dia usaha.”
Mak Jah terdiam lama. Nafasnya berat. Tapi jauh di sudut hatinya… ada sekelumit rasa bersalah yang belum dia akui.
“Kalau Azalea tu baik… dia takkan datang rumah kita menangis-nangis sambil rekod suara isteri orang.”
Share this novel