Bab: Bukan Sekadar Murid Yang Nakal

Fantasy Series 1624

Mesyuarat guru tengah hari itu berjalan dalam suasana yang agak tegang. Lokasi di bilik mesyuarat sekolah menengah itu cukup sederhana dinding berwarna krim pucat, kipas siling berpusing perlahan, dan meja panjang kayu tempat duduk utama diapit kerusi-kerusi plastik biru.

Tuan Azhar duduk di bahagian hadapan, bersama tiga orang guru lelaki lain yang juga memegang jawatan pengurusan disiplin sekolah. Di hujung meja pula, dua guru perempuan turut serta Cikgu Salmah dan Cikgu Diana. Kesemua mereka kelihatan serius dengan fail masing-masing terbuka di hadapan.

Topik hari ini bukan perkara kecil. Aktiviti liar yang kian menjadi-jadi dalam kalangan pelajar Tingkatan 2 bukan lagi sekadar kenakalan remaja. Kini sudah sampai ke tahap membimbangkan mencuri telefon bimbit, ponteng kelas berkumpulan, malah terdapat laporan pelajar cuba membawa masuk vape ke kawasan sekolah.

“Benda ni makin menjadi, cikgu,” suara Cikgu Halim, salah seorang guru disiplin, bergema.

“Budak kelas 2 Daya, minggu lepas kita dah rampas dua batang vape. Hari ni, kantin sekolah pula kecoh sebab ada budak cuba jual air nikotin campur cordial dalam botol air.”

Cikgu Salmah mengangguk.

“Saya juga dapat laporan dari pelajar perempuan. Katanya mereka takut ke tandas blok belakang sebab ada budak lelaki melepak dan merokok waktu rehat.”

Tuan Azhar menghela nafas perlahan, matanya merenung kertas catatan di depan.

“Ini bukan benda kecil. Kita bukan nak hukum semata, tapi kalau kita biar… pelajar lain yang betul-betul nak belajar akan terpengaruh,” katanya dengan nada tenang tapi tegas.

Belum sempat perbincangan berlarutan, pintu bilik mesyuarat dikuak dari luar. Seorang guru perempuan masuk, rambutnya disanggul kemas, wajah sedikit berpeluh kerana baru selesai kelas terakhir hari itu.

Atiha.

Cikgu Diana segera berdiri dan menarik tangan Atiha ke arah kerusi kosong berdekatan dengannya.

“Atiha, sini duduk. Kau dah habis kelas, tapi bincang ni penting,” bisik Diana perlahan sambil senyum mesra.

Atiha menurut.

Duduk tenang dengan beg tangan kecil diselitkan ke tepi kerusi. Dia mengangguk sopan ke arah semua yang hadir sebelum mengeluarkan telefon bimbit dari beg.

Tuan Azhar yang berada di hadapan meja memerhati secara senyap. Dari luar, tiada apa-apa yang pelik. Tapi entah kenapa… di matanya, tingkah laku isterinya itu terasa asing.

Dia bukan datang sambil merengek manja seperti di rumah. Tiada gurauan ‘sayang lapar’ atau pandangan mata penuh cinta. Atiha kelihatan seperti guru biasa, profesional, fokus, dan... dia sedang sibuk menaip di telefon.

Azhar mengetap bibir perlahan. Bukannya dia mahu isterinya bermanja atau menunjukkan rasa cinta di hadapan guru-guru lain. Tapi melihat sikap dingin itu, tanpa sekelumit pun isyarat bahawa mereka berkongsi rumah dan hati… sedikit sebanyak membuatkan hatinya terguris.

Telefon Atiha tidak berhenti berbunyi perlahan dengan notifikasi. Walaupun disenyapkan, dia masih asyik membalas mesej dengan pantas. Sekilas, Azhar sempat menangkap pandangan skrin itu.

“Group WhatsApp: Cikgu-Cikgu Wanita SMK Tunas Bakti”

Rupanya bukan mesej peribadi. Tapi tentang isu pelajar perempuan Tingkatan 2 yang kononnya menjadi punca pelajar lelaki suka melepak berhampiran tandas.

“Cikgu-cikgu,” kata Cikgu Kamal memecah perhatian.

“Kita perlu strategi. Bukan semua boleh selesai dengan rotan dan marah. Kita kena masuk cara psikologi juga. Mungkin kena wujudkan sesi motivasi mingguan.”

Tuan Azhar angkat tangan sedikit.

“Saya setuju. Tapi bukan motivasi biasa. Kita kena buat secara berasingan.pelajar lelaki dan perempuan. Fokuskan pada kesan jangka panjang. Saya boleh uruskan pelajar lelaki. Tapi kita perlukan cikgu perempuan untuk bantu pelajar perempuan.”

Semua mata memandang ke arah guru-guru perempuan yang hadir.

Termasuk Atiha.

“Atiha,” sapa Cikgu Salmah.

“Awak guru muda, dekat dengan jiwa budak-budak perempuan. Boleh bantu uruskan satu sesi bimbingan khas tak?”

Atiha mengangguk tanpa ragu.

“Saya boleh. Cuma kita perlu pendekatan baru. Kadang-kadang pelajar ni cuma nak perhatian. Mereka tiru dari media sosial, tapi tak ada siapa bimbing.”

Azhar terkedu.

Suara Atiha tegas, jelas, dan penuh keyakinan. Ini bukan Atiha yang dia lihat di rumah manja, ceria, suka menggoda waktu pagi. Ini adalah Cikgu Atiha Najwa yang berdiri dengan peranan dan maruah sebagai pendidik.

Dan dia sedar… dia jatuh cinta sekali lagi. Tapi kali ini, dengan sisi isterinya yang jauh lebih dalam.

Selepas mesyuarat selesai, guru-guru mula bersurai. Ada yang menuju ke bilik guru, ada yang terus pulang. Atiha mengemaskan failnya dan bersiap keluar dari bilik mesyuarat. Namun sebelum sempat dia melepasi pintu, tangan kuat menariknya perlahan dari sisi.

“Sayang…” bisik Tuan Azhar.

Atiha terhenti dan memandang.

“Ya?”

Azhar senyum kecil.

“Abang kagum tadi. Sayang lain sangat masa mesyuarat tadi. Tegas… yakin… cikgu sangat.”

Atiha tergelak kecil.

“Lah, abang baru tahu ke? Sayang memang dua watak satu kat rumah, satu kat sekolah.”

“Tak, abang baru sedar yang dua-dua pun buat abang jatuh cinta.”

Wajah Atiha merah sedikit, walaupun kawasan sekitar tiada orang. Dia mencubit lengan suaminya manja.

“Ish, jangan la gatal kat sekolah. Nanti abang juga kena denda disiplin.”

Azhar ketawa perlahan.

“Kalau cikgu tu sendiri isteri abang, kena denda pun abang rela.”

Dan mereka berdua melangkah keluar dari bilik mesyuarat dengan hati yang sedikit lebih ringan, walaupun hari itu dipenuhi isu-isu berat tentang murid.

Cinta dan tugas… keduanya berjalan seiring. Kerana mereka bukan sekadar pasangan, tapi juga pejuang pendidikan di medan yang sama, berjuang dengan hati yang satu.

Ruang kelas 2 Daya hari itu tidak lagi dipenuhi gelak tawa atau suara bising murid-murid seperti kebiasaannya. Sebaliknya, suasana sunyi seolah-olah semua murid menahan nafas. Kerusi disusun dalam barisan lurus, semua murid duduk tegak dan menunduk.

Di hadapan mereka berdiri seorang wanita bertudung senada dengan baju kurung biru lautnya, wajah tenang namun matanya tajam memandang ke seluruh kelas.

Cikgu Atiha Najwa.

Dia berdiri dengan tangan kiri memegang sebatang pen merah dan tangan kanan menyandar ke meja guru. Suaranya lembut, tapi cukup jelas untuk didengari ke seluruh kelas.

“Cikgu tahu ramai antara kamu takut dengan cikgu Azhar. Tapi ketakutan tu takkan ubah apa-apa kalau kamu tak mula hormat diri kamu sendiri.”

Beberapa murid mengangkat kepala, memandang wajah cikgu mereka yang jarang sekali berlembut dalam peringatan.

Atiha menyambung.

“Kamu rasa cikgu bangga bila kamu kena marah di depan perhimpunan? Rasa macam nak sorok muka, tahu tak?”

Nada suaranya bergetar sedikit, bukan kerana marah, tapi kecewa.

Dia mengeluh perlahan.

“Kalau kamu curi, kamu tak tahu betapa cikgu perempuan lain terpaksa tahan malu, kena soal macam-macam. Kalau kamu hisap vape, kamu ingat itu ‘cool’? Kamu baru 14 tahun. Hati kamu masih suci. Tapi kamu biar diri kamu dikotorkan oleh benda yang tak beri apa-apa nilai.”

Suasana kelas senyap. Ada yang mula mengelap mata, ada yang mencengkam hujung baju sendiri.

Tiba-tiba bunyi ketukan perlahan di daun pintu mencuri perhatian mereka semua.

Tuan Azhar.

Bersandar di tepi pintu dengan tangan bersilang ke dada, wajah serius. Di belakangnya berdiri tiga orang lagi guru lelaki semuanya rakan seperjuangannya dalam pasukan disiplin.

Pandangan murid-murid kembali menunduk.

“Dengar baik-baik,” suara Azhar bergema dari pintu, sedikit lantang.

“Cikgu Atiha ni bukan biasa-biasa tau. Kalau kamu semua tak nak dengar cakap dia, kamu semua boleh dengar cakap saya. Dan percayalah, kamu takkan suka kalau saya yang masuk mengajar sini.”

Beberapa murid terkejut, dan ada yang terus menunduk lebih dalam. Tapi tidak lama kemudian, kelas kembali senyap.

Mata Tuan Azhar kemudian beralih ke arah Atiha.

Pandangan mereka bertaut.

Wajah Azhar keras, tapi matanya tidak. Di sebalik ketegasan itu, ada isyarat yang hanya mereka berdua faham Abang tahu perasaan sayang… abang cuma nak bantu.

Namun, Atiha mengalih pandangan perlahan. Dia berpura-pura menyemak buku di atas meja, membuka helaian pertama sambil mencoret-coret kecil di margin.

Jatuh air mukanya.

Bukan kerana dia marah suaminya masuk campur. Tapi kerana suaminya, di hadapan muridnya sendiri, perlu mempertahankan kuasanya sebagai guru.

Dia cikgu juga, bukan hanya isteri seseorang. Dia mahu dihormati atas ilmu dan usaha, bukan kerana ‘dia isteri cikgu Azhar’.

Azhar perasan. Tapi dia juga tahu kadang kala, untuk mengukuhkan peraturan, dia perlu jadi ‘yang ditakuti’.

Namun, hatinya tetap berat.

Selepas hampir lima belas minit berdiri di belakang kelas, Azhar dan rakan-rakan gurunya berundur dari pintu. Mereka kembali ke bilik guru untuk menyambung perbincangan seterusnya. Suasana kelas kembali kepada Atiha, yang kini duduk di kerusinya, memandang pelajar-pelajar di hadapannya.

Dia mengetap bibir. Dada masih rasa sesak.

Dia berdiri semula, memandang seluruh kelas.

“Tapi cikgu juga bukan akan biar kamu semua rosakkan diri tanpa cuba diselamatkan. Kecuali kamu sendiri tolak peluang tu.”

Seorang pelajar perempuan di barisan depan mengangkat tangan perlahan.

“Cikgu… saya… saya nak minta maaf sebab hari tu saya tahu siapa yang curi beg cikgu Salmah… tapi saya diam.”

Atiha menoleh perlahan, memandang pelajar itu.

“Kenapa kamu diam?”

“Saya takut…”

Atiha mengangguk. Dia menghampiri pelajar itu, duduk mencangkung di sebelah.

“Menjadi berani bukan bermakna kamu tak takut. Tapi kamu tetap bercakap walaupun takut. Dan hari ni, kamu dah mula jadi berani.”

Pelajar itu menangis kecil, dan pelajar lain turut mula menunduk dengan rasa bersalah yang sama.

Tamat waktu sekolah, semua guru bersiap untuk pulang. Cuaca mula redup, langit mendung seperti memantulkan rasa dalam hati Atiha. Dia menyimpan buku dan alat tulisnya ke dalam beg sebelum melangkah keluar dari kelas.

Tuan Azhar menunggunya di koridor. Berpakaian lengkap, tali leher sudah dilonggarkan, rambut sedikit kusut kerana sehari suntuk bergelumang dengan pelbagai isu pelajar.

“Sayang...” sapa Azhar perlahan, tidak lagi garang seperti pagi tadi.

Atiha berhenti. “Hm?”

“Abang… minta maaf kalau tadi abang campur tangan.”

Atiha menunduk. “Tak apa…”

“Tapi abang tak tahan bila murid pandang remeh pada cikgu yang abang sayang. Abang tahu sayang boleh uruskan, tapi kadang-kadang abang ni…”

“Abang, cikgu disiplin,” potong Atiha lembut.

“Sayang faham. Cuma... kalau boleh, biar sayang handle dulu. Sayang nak mereka tahu yang cikgu Atiha pun boleh garang bila perlu. Bukan sebab dia isteri cikgu Azhar.”

Azhar mengangguk perlahan. Dia menggenggam tangan isterinya.

“Mulai sekarang abang janji... abang akan biar sayang berdiri sendiri dulu. Tapi kalau sayang perlukan bala bantuan… abang sentiasa kat pintu kelas.”

Atiha senyum kecil.

“Deal.”

Dan mereka melangkah pulang bersama. Bukan sebagai cikgu dan guru disiplin. Tapi sebagai dua hati yang sedang belajar memahami peranan masing-masing dalam kelas, dan dalam hidup.

Kerana cinta juga perlu disiplin.

“Tapi cikgu juga bukan akan biar kamu semua rosakkan diri tanpa cuba diselamatkan. Kecuali kamu sendiri tolak peluang tu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience