Bab: Dingin Yang Membakar

Fantasy Series 1624

Hari itu suasana sekolah agak sibuk. Ada latihan perbarisan rumah sukan dan beberapa guru diarahkan untuk memantau pelajar di kawasan terbuka. Namun, dalam kesibukan itu, Tuan Azhar perasan satu perkara yang luar biasa berlaku.

Atiha tidak langsung menegurnya sejak pagi.

Bukan seperti selalu.

Tiada senyuman dari jauh, tiada anggukan kecil, bahkan tiada mesej ringkas bertanya sama ada dia sudah sarapan atau belum. Kosong. Sunyi. Seolah-olah dia tidak wujud di mata isterinya.

Dan itu cukup untuk membuat jiwanya tidak tenang.

Kini, mereka berada di dalam bilik komputer yang sunyi, hanya ada beberapa guru sedang menyemak e-mel atau membuat laporan digital. Tuan Azhar masuk dengan langkah tenang dan meletakkan failnya di meja komputer paling hujung.

Dia tidak terus duduk.

Matanya terus mengecam tubuh kecil isterinya di meja tengah. Atiha khusyuk menaip, tidak sekalipun menoleh atau memberi isyarat bahawa dia menyedari kehadiran suaminya.

Tuan Azhar bersandar ke dinding, bercekak pinggang sambil merenung belakang tubuh isterinya. Sekilas pandang dari belakang pun dia tahu itu bukan marah biasa. Itu adalah perang dingin.

Dan yang paling menakutkan, perang dingin dari Atiha bukan datang dengan suara tinggi atau amukan... tapi dengan diam yang menggigit.

“Cikgu Atiha…” tegurnya perlahan.

Atiha terus menaip.

“Awak tak nak jawab?”

Masih tiada reaksi.

Salah seorang guru lain di dalam bilik itu menoleh seketika sebelum kembali fokus ke skrin komputer masing-masing. Tuan Azhar menghela nafas dan menghampiri isterinya dengan perlahan.

Dia berdiri di sisi kanan, tetapi Atiha tidak langsung berpaling. Malah, dia menggenggam tetikus lebih erat dan mengalihkan pandangan ke skrin tanpa niat berbual.

“Awak buat macam ni sebab hal semalam, kan?”

Masih tiada balasan. Tapi dia tahu Atiha dengar.

Tuan Azhar menyandarkan kedua-dua tangannya ke atas meja, merendahkan tubuh agar sejajar dengan wajah isterinya.

“Sampai bila awak nak perang dingin macam ni?”

Atiha menoleh sedikit tapi hanya seketika, kemudian kembali ke skrin.

“Tak ada apa yang nak dibincangkan, cikgu disiplin,” katanya pendek.

Kata-kata itu seperti tikaman perlahan.

Biasanya Atiha akan panggilnya 'abang' walaupun dalam situasi formal. Tapi sekarang, dia menyebut "cikgu disiplin" seperti seseorang yang asing dan jauh.

“Awak marah sebab Azalea lagi?”

“Bukan saya marah. Cuma saya penat.”

“Penat?”

“Saya penat jadi isteri yang tak boleh jadi isteri di depan semua orang. Saya penat tengok cikgu-cikgu perempuan lain selamba berbual mesra dengan awak sedangkan saya nak bercakap pun tak berani.” Suaranya mula bergetar, tapi masih dikawal.

Tuan Azhar tunduk. Dia tahu ini akan terjadi. Tapi dia tak sangka kesannya seteruk ini. Dan pada saat itu juga, pintu bilik komputer dikuak sedikit.

“Cikgu Atiha, dah gerak ke dewan? Latihan nak mula dah ni,” suara Cikgu Fahmi kedengaran.

Dengan pantas, Atiha bangun dan menjinjing fail serta beg galasnya. Dia melangkah pantas ke arah pintu tanpa menoleh sedikit pun ke arah Azhar.

“Cikgu Fahmi tunggu…”

Langkahnya semakin laju.

Tuan Azhar masih terpaku di tempatnya. Dia tidak menyangka isterinya mampu mencipta ‘tamparan’ yang sebegitu tenang tetapi menyakitkan.

Bukan dengan tangisan, bukan dengan marah-marah… tetapi dengan pengabaian yang disengajakan.

Dia tunduk dan menarik kerusi, duduk diam tanpa menyentuh komputer. Fikirannya kusut, hatinya kacau.

Wajah ceria Atiha, suara manja setiap kali menyambutnya di rumah, kini hilang dalam angin sekolah yang penuh dengan suara pelajar dan bebelan guru.

Petang itu, selepas semua pelajar pulang dan suasana mula reda, Tuan Azhar menunggu di dalam kereta. Tangannya mengetuk stereng perlahan-lahan.

Atiha masih belum muncul. Biasanya dia akan keluar bersama, walaupun tidak masuk kereta serentak, mereka akan bertemu di tempat letak kereta.

Hari ini, kerusi penumpang kosong terlalu sunyi.

Beberapa minit kemudian, pintu dibuka dari luar. Atiha masuk tanpa berkata sepatah, hanya meletakkan beg di riba dan memasang tali pinggang keselamatan.

Tuan Azhar memandu dalam diam. Beberapa minit berlalu sebelum dia akhirnya berkata.

“Sayang…”

Atiha masih pandang ke luar.

“Abang tak pandai pujuk cara drama, atau hadiahkan teddy bear besar. Tapi abang nak cakap satu je…”

Atiha hanya diam.

“Abang pilih sayang sebab abang tak nak drama. Abang nak tenang. Tapi kalau sekarang sayang rasa abang dah beri ruang pada orang lain, abang nak tanya betul-betul…” Dia pandang isterinya dengan serius.

“Sayang dah tak percaya abang ke?”

Kali ini, Atiha menoleh, tapi wajahnya masih tegas.

“Sayang percaya. Tapi percaya tu bukan bermakna sayang tak boleh terluka.”

Tuan Azhar menghela nafas. Tangannya mengenggam stereng, lalu meletakkan tangan kirinya ke atas tangan isterinya.

“Sayang tak pernah hilang tempat di hati abang. Tapi kalau abang salah… marah abang, jerit pun tak apa. Jangan diam. Jangan biar abang cari-cari sayang walaupun duduk sebelah.”

Akhirnya, bibir Atiha terbitkan senyum kecil.

“Kalau macam tu… abang jangan bagi hati ni sejuk sampai beku.”

“Kalau beku pun… abang panaskan balik malam ni.” Senyuman nakal Tuan Azhar muncul akhirnya.

Atiha tergelak kecil. Tapi cukup untuk memecahkan beku yang terbina sejak pagi tadi.

Petang itu, awan mula membiru, bayu lembut menyapa kulit sambil aroma makanan jalanan memenuhi udara. Atiha keluar dari kereta dengan semangat, matanya meliar mencari sesuatu makanan kegemarannya yang sudah lama tak dijamah.

Tuan Azhar ikut keluar dan berjalan di sisi isterinya. Tanpa diminta, tangannya menggenggam tangan Atiha, erat, seperti tak mahu dilepaskan. Atiha hanya tersenyum manja.

“Abang ikut sebab takut sayang hilang dalam dunia makanan ya?” usik Atiha.

Tuan Azhar tertawa perlahan. “Sayang je yang boleh sesat dekat gerai makan.”

Mereka melangkah ke salah satu gerai tepi jalan, berpayung biru lusuh tapi dipenuhi bau menggoda. Ada ayam goreng madu, sate daging, keropok lekor panjang dan bergulung.

Tuan Azhar menunjuk beberapa menu. “Sayang nak yang mana?”

“Semua pun nampak sedap. Tapi ayam goreng madu tu nampak menyelerakan.” Atiha menuding jari kecilnya ke arah tray aluminium.

Tuan Azhar mengangguk dan memesan sambil meminta dibungkus. Sementara itu, Atiha berjalan ke gerai sebelah, matanya tertarik dengan laksa utara dan gorengan panas.

Tuan Azhar yang masih membayar makanan tadi menyusul, dan kini tangannya tidak lagi di tangan isterinya, tetapi melingkar santai ke pinggang.

“Suka sangat pilih menu macam tengah buat audit harga.” Azhar membisik di telinga.

Atiha ketawa kecil. “Memang pun. Harga sekarang ni macam tengah terbang tak turun-turun.”

Seorang penjual wanita separuh umur menyambut mereka.

“Nak beli apa, puan?”

“Nak tanya dulu. Ayam goreng satu ni berapa?” soal Atiha sambil menunjuk ke satu dulang.

“RM8.80 seketul, puan. Harga dah naik dua kali dah sekarang. Barang mentah mahal.”

“RM8.80?” dahi Atiha berkerut.

“Maaf, sekarang harga dah naik puan. Kami terpaksa naikkan harga barang seperti minyak, telur, ayam dan sebagainya,” balas penjual dengan wajah penuh harapan agar difahami.

“Tapi bukan ke sekarang barang dah banyak turun? Ini sampai dua kali ganda, orang pun dah tak ramai.” Atiha menjawab petah, tanpa nada kasar tapi cukup bernas. Pandangan matanya lurus, tidak tunduk.

Penjual itu kelihatan sedikit tidak selesa, dan Tuan Azhar cepat-cepat menyampuk.

“Sayang…” Nada suaranya sedikit naik, penuh peringatan lembut.

Tapi Atiha tetap meneruskan.

“Betul lah. Berniaga di tepi jalan, bukan restoran. Dah tentu orang datang sebab harga berpatutan. Kalau sampai RM8.80 seketul ayam kecik, baik beli di restoran siap ada air dan tempat duduk berhawa dingin.”

Tuan Azhar menggaru kepala yang tidak gatal. Dia tahu isterinya tidak salah. Tapi dia juga tahu, tidak semua orang mampu menerima teguran secara terus di khalayak. Dia mahu elakkan suasana tegang.

“Sayang… sudah lah. Kita beli tempat lain ya?”

“Tak jadi lah nak beli. Sayang nak beli di seberang sana. Nampak sedap, murah pula tu. Jom abang.” Atiha menarik tangan suaminya tanpa menunggu jawapan.

“Maaf cancel ya,” ucap Atiha pada penjual itu sebelum melangkah pergi dengan senyuman sopan tapi tegas.

Mereka kembali ke arah kereta. Tuan Azhar mengeluh kecil.

“Sayang… abang dah order tadi. Mahal sikit tak apalah, kira sedekah.”

Atiha menjeling suaminya. “Mahal dua kali ganda abang. Padahal ayam dekat seberang sana tu tetap RM4.90 seketul. Sini seketul sampai RM8.80, kecik pula tu.”

Tuan Azhar tak mampu menahan ketawa. “Sayang… sayang tahu tak, abang rasa macam kahwin dengan pegawai penguatkuasa harga.”

“Lebih baik kahwin dengan orang yang tahu nilai duit, dari orang yang main bayar je.”

“Betul juga.” Azhar ketawa sambil mengangkat tangan, menyerah kalah.

Mereka menyeberang ke gerai seberang jalan. Gerainya jauh lebih ringkas, hanya dua dulang ayam goreng besar dan pelbagai sambal dalam bekas kecil. Tapi aroma lebih menggoda, dan harganya terpampang jelas RM4.90 seketul.

“Ha, tengok!” Atiha menunjuk.

Tuan Azhar ketawa sambil memesan dua ketul ayam dan nasi lemak bungkus.

“Kalau macam ni… abang setuju. Sedap, murah, dan tak perlu dengar ceramah dari isteri comel abang.”

Atiha mencebik kecil. “Nak makan nasi lemak, jangan gurau lebih-lebih.”

“Baik puan.” Mereka duduk di bangku plastik kecil sementara menunggu makanan dibungkus.

Angin petang bertiup tenang. Orang ramai lalu-lalang, tapi dalam dunia kecil mereka, semuanya terasa cukup lengkap.

“Sayang…” Tuan Azhar bersuara perlahan.

“Ya?”

“Terima kasih sebab selalu ingatkan abang tentang benda-benda kecil.”

Atiha menoleh. “Macam harga ayam?”

“Macam harga ayam. Dan macam harga kasih sayang.”

Atiha tertawa kecil.

“Tak sangka abang boleh jadi puitis.”

“Bila duduk sebelah isteri yang cerdik ni… abang pun rasa nak jadi orang bijak.”

Atiha memandang suaminya lama-lama. Dalam banyak perkara, Azhar memang jenis tenang dan sabar. Tapi di sebalik kesabaran itu, dia tahu, lelaki itu sentiasa belajar menghargai walaupun dengan cara diamnya.

Makanan sampai, dan mereka kembali ke kereta.

“Sayang nak makan dalam kereta ke, atau kita bawa balik?”

“Kita makan depan rumah, bawah pokok besar tu.”

Tuan Azhar tersenyum. “Romantik juga idea isteri abang ni.”

“Of course. Kena romantik sikit, baru harga cinta tak jatuh.”

Baru harga cinta tak jatuh

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience