Bab: Sehelai Telekung, Seribu Bicara

Fantasy Series 1624

Tuan Azhar meraup wajahnya berkali-kali. Sunyi malam menyelubungi kamar tidur mereka, hanya bunyi penghawa dingin yang menemaninya dalam kedinginan yang tidak mampu menenangkan hatinya yang semakin kacau.

Dia menoleh ke sisi, memerhatikan tubuh isterinya yang sedang tidur membelakangi dirinya. Wajah itu tampak tenang, polos dan damai, tidak tahu betapa hati suaminya sedang berperang dengan pelbagai rasa bersalah dan keliru.

Dia menghela nafas berat, jari-jarinya menggenggam hujung selimut. Hatinya bergolak. Dia bukan mahu lari dari tanggungjawab, bukan juga tidak bersyukur dengan apa yang ada kini.

Cuma... dia buntu.

"Aku bukan lari dari masalah, tapi aku juga tak mahu ditarik semula ke dalam perangkap lama," bisiknya perlahan.

Dia tidak pernah benar-benar bersedia untuk perkahwinan ini. Dia akui, Atiha bukan cinta pertamanya. Malah keputusannya untuk menikahi Atiha berlaku dalam keadaan terdesak, saat tekanan keluarga memaksanya untuk menyunting Wanis gadis pilihan orang tuanya yang tinggal di Ipoh. Wanis terlalu sempurna di mata keluarganya, terlalu ideal, terlalu ‘layak’ untuk digandingkan dengannya.

Tetapi bagi Tuan Azhar, hidup bukan hanya tentang kesempurnaan di atas kertas. Hatinya penat dipaksa.

Dia tidak mahu hidup dalam hipokrasi hanya untuk memuaskan nafsu keluarga terhadap gelaran dan pangkat. Dan di saat itulah Atiha hadir sebagai jalan keluar. Gadis yang sederhana, tidak banyak soal, dan sanggup menerima dirinya dalam keadaan apa pun.

Namun, dia tidak pernah menjangka… Azalea akan kembali.

Azalea. Nama itu masih berbekas dalam hatinya, dalam benaknya. Wanita pertama yang benar-benar dia cinta, yang dia simpan rapi dalam setiap doa dan kenangan.

Tetapi cinta mereka terhenti separuh jalan kerana Azalea sendiri yang memilih untuk pergi. Dia tidak mampu menahan tekanan, terutamanya sikap ibunya yang terlalu mendesak dan suka mengambil kesempatan.

Masih segar di ingatannya bagaimana Azalea pernah mengadu:

"Lya tolong bayar untuk mak ye, kamukan bakal menantu mak juga.”

Pada awalnya, Azalea akur. Dia fikir tidak salah membantu bakal mertua. Tetapi permintaan itu bukan berhenti di situ. Hari demi hari, permintaan itu berubah menjadi beban. Kad bank Azalea makin susut isinya, bukan kerana keperluan sendiri tetapi kerana ‘permintaan’ yang semakin tidak masuk akal.

Emaknya membeli emas—tetapi menggunakan nama Azalea untuk berhutang. Azhar sendiri pernah terdengar Azalea merungut melalui telefon bersama temannya.

"Aku rasa mak dia guna nama aku beli rantai. Aku tak sign pun, tapi nama aku ada dalam resit.”

Dari situlah hubungan mereka mula renggang. Azhar cuba menjadi orang tengah, tetapi cinta mereka tidak cukup kuat untuk menampung semua tekanan yang datang dari luar. Akhirnya, Azalea memilih untuk pergi. Dia menghilangkan diri dan menghapus semua jejak.

Namun kini, selepas bertahun, wanita itu kembali bukan sebagai kekasih, tapi sebagai seorang ‘Ustazah’ yang dihormati ramai. Namanya disebut-sebut dalam kuliah dan program keagamaan.

Dia berubah.

Azhar kagum.

Tapi dalam masa yang sama, dia takut. Takut akan perasaan lama yang mula menyelinap kembali.

Dan kini, di sisinya terbaring seorang wanita yang sah menjadi isterinya Atiha. Tidak ada salahnya wanita itu. Dia baik, setia, dan menyayanginya tanpa syarat. Tapi hatinya?

Tuan Azhar membaringkan tubuhnya semula. Perlahan, dia menghampiri tubuh kecil isterinya lalu memeluknya dari belakang.

Dagu lelaki itu diletakkan perlahan di bahu isterinya. Wajahnya hampir dengan tengkuk Atiha. Kehangatan tubuh isterinya memberi ketenangan yang dia sendiri tidak sangka dia perlukan.

Atiha tersedar sedikit dengan pelukan itu, namun dia tidak membuka mata. Cuma tubuhnya bergerak sedikit ke belakang, merapat pada tubuh suaminya, lalu tangannya melingkar ke lengan Tuan Azhar, memeluknya perlahan.

Rasa selamat dan tenang menyusup dalam jiwa wanita itu, walaupun masih di ambang lena.

“Sayang…” suara Tuan Azhar perlahan, penuh kerinduan.

“Hm…” Atiha membalas dalam dengkuran kecil, tapi dia masih sedar.

“Nanti kita minta cuti ya. Kita pergi honeymoon.”

Atiha membuka mata perlahan, tidak menjangka kata-kata itu keluar dari mulut suaminya. Dia memalingkan tubuhnya untuk menghadap lelaki itu, lalu melingkar peluk di pinggang Tuan Azhar.

“Kenapa ni tiba-tiba je?” tanyanya perlahan, suara serak mengantuk.

Tuan Azhar tidak terus menjawab. Dia hanya tersenyum, matanya redup memandang wajah isterinya. Wajah polos dan penuh kejujuran itu mengingatkannya bahawa cinta tidak semestinya bermula dengan degupan jantung yang laju kadangkala ia lahir dari rasa tenang dan damai.

Dia tunduk sedikit, bibirnya mendarat lembut pada bibir mungil isterinya. Ciuman itu pendek, tetapi penuh makna.

“Abang rindu…. kaki katil patah lagi.” bisik Tuan Azhar sambil mengenyit mata.

Atiha tergelak dalam tidur. Dia menekup mulut dengan belakang tapak tangan. Walaupun malu, dia tetap ketawa kecil.

“Gatal nya tuan Azhar ni, nasib cuma sayang je tahu perangai dan aib abang ni tau...” balasnya bersahaja. Dan dia mengangguk, tanda bersetuju.

Malam itu, buat pertama kali setelah sekian lama, Tuan Azhar rasa seakan beban dalam dadanya sedikit ringan. Mungkin cinta bukan tentang siapa yang kita inginkan dahulu. Mungkin cinta sebenar adalah tentang siapa yang tidak pernah melepaskan kita walaupun tanpa janji indah.

Namun dalam hatinya, nama Azalea tetap bermain-main. Bukan kerana cinta yang belum padam, tapi kerana persoalan yang belum ada jawapan.

Dan dia tahu… tak lama lagi dia akan berdepan dengan kenyataan itu.

Subuh itu sepi, namun sejuk dan tenang. Di atas sejadah yang masih lembap dengan linangan doa dan pengharapan, mereka mengangkat tangan dan melafazkan salam. Tuan Azhar dan Atiha bersalaman, seperti biasa, selepas menunaikan solat bersama. Namun pagi ini, ada yang berbeza.

Sebaik tangan isterinya digenggam erat, Tuan Azhar tidak bangkit berdiri seperti biasa. Sebaliknya, dia membaringkan tubuh perlahan-lahan dan meletakkan kepalanya di atas riba Atiha.

Kedua-dua tangannya memeluk pinggang wanita itu, seolah-olah ingin mencari nafas tenang dalam kekacauan jiwa yang tidak dapat diungkapkan dengan kata.

Atiha terpaku sejenak. Tangannya yang masih bersarung telekung terangkat, dan jari-jarinya mengusap lembut rambut suaminya. Perasaan tenang mula meresap ke dalam dadanya, walaupun jauh di dasar hati, dia tahu... pasti ada sesuatu yang sedang bergelora.

“Selesanya, nyaman macam duduk di taman syurga...” Tuan Azhar berbisik perlahan.

Atiha tunduk sedikit, melihat wajah suaminya yang tampak lesu dan resah. Dahi yang selalu berkerut itu kini berlapik di ribanya, seperti seorang lelaki yang telah letih bergelut dengan hidup.

“Abang ada masalah ke?” soalnya perlahan.

Lelaki itu tidak menjawab serta-merta. Dia mengeluh panjang sebelum membuka mulut,

“Tak. Tapi abang masih rasa bersalah dengan sisi silam abang… dengan Azalea.”

Atiha tidak terkejut. Nama itu bukan asing buatnya. Dia tahu, walau perkahwinan ini sah dan nyata, tetapi sejarah Azalea dan Tuan Azhar bukan sesuatu yang mudah dipadam seperti kesan tapak kaki di pasir.

Dia diam sejenak, menahan rasa. Kemudian, dia mengangguk kecil.

“Sayang tahu. Sayang tahu kenapa abang tiba-tiba ajak sayang kahwin dulu… Ada dua sebab saja. Wanis… dan masa silam abang dengan Azalea.”

Kata-kata itu membuatkan Tuan Azhar terdiam. Dia tidak menafikan. Atiha memang bukan wanita bodoh. Dia mungkin bukan pilihan pertama, tetapi dia tidak pernah meminta untuk menjadi pilihan terakhir juga. Dia cuma mahu kejujuran.

“Abang kena berterus-terang dengan Ustazah Azalea tu,” sambung Atiha, kali ini nadanya lebih tegas tapi masih lembut.

“Dia memang tak tahu yang kita dah nikah. Dan sayang tahu… dia datang balik sebab dia nak abang kembali padanya.”

Tuan Azhar mengangkat kepala sedikit, memandang wajah isterinya. Dalam cahaya malap dari lampu tidur, wajah Atiha tampak berseri tenang, tapi ada kekuatan dalam lirikan matanya.

“Sayang…” suara Azhar bergetar, seolah-olah ingin mematahkan kata-kata itu, tapi Atiha mengangkat tangan, menyuruhnya diam dan mendengar.

“Abang kena cakap dengan dia yang kita dah nikah. Kalau dia tahu tapi masih ganggu abang, itu maksudnya dia datang dengan rancangan, bukan dengan takdir.”

Tuan Azhar mengangguk perlahan seperti anak kecil yang ditegur kerana berbuat salah. Tangannya mencari jemari isterinya dan menggenggamnya erat.

“Abang takut kalau hubungan kita jadi retak sebab dia, sayang. Abang masih belum mampu nak tanggung semua ni.” Dia memandang Atiha, cuba menyampaikan isi hati yang paling dalam.

“Abang bersedia untuk terus terang dengan dia. Abang kena cakap yang kita ni dah nikah… supaya dia tak ganggu abang lagi.”

Atiha hanya mengangguk, tapi wajahnya tidak selapang biasa. Ada resah yang cuba disembunyikan di balik senyuman tipis.

“Tapi macam mana, sayang?” soal Azhar.

“Abang!” suara Atiha naik sedikit nada.

“Itu bekas kekasih abang. Takkan abang tak pernah cakap on point dengan dia?”

Tuan Azhar memuncungkan mulut seperti anak kecil kena marah.

“Pernah, sayang… tapi itu dulu. Bukan sekarang.” Rengekan itu membuatkan Atiha mengetap bibir menahan senyum. Dalam tegasnya, masih ada lembut.

“Baiklah. Nanti sayang atur cara untuk kita berjumpa dengan dia ya. Mungkin lebih baik kalau abang cakap depan-depan. Supaya dia tahu, abang dah ada isteri dan takkan kembali lagi.”

Azhar menghela nafas lega, seperti beban besar telah dialihkan dari bahunya. “Terima kasih, sayang…”

Kemudian, dia tersengih. “Jadi… tak jadi ke kita pergi honeymoon ni?”

Atiha menjeling geram, tapi bibirnya terukir senyum. Dia geleng kepala perlahan.

“Masalah rumah tangga bertimbun, abang masih boleh tanya pasal honeymoon? Ish!” Namun dia tetap mengangguk akhirnya.

Bukan kerana dia mahu bercuti semata, tapi kerana dia juga perlukan masa bersama lelaki itu tanpa gangguan, tanpa bayang masa silam, tanpa ragu-ragu.

Pagi itu, matahari mula memancar malu-malu dari celah langsir. Bunyi burung berkicauan mengiringi aroma harum dari dapur rumah kecil mereka.

Atiha sudah bangun lebih awal. Tangannya lincah di dapur, menyiapkan sarapan dan bekal untuk dirinya dan Tuan Azhar. Nasi goreng kampung, telur mata, sambal bilis, dan potongan timun sebagai penyejuk tekak. Bukanlah mewah, tapi cukup untuk mengisi hari yang mungkin panjang dan penuh persoalan.

Tuan Azhar melangkah ke dapur dengan rambut sedikit kusut dan mata masih berat.

“Sayang…” Dia menghampiri dari belakang dan memeluk pinggang Atiha. Wajahnya dilabuhkan ke bahu isterinya yang masih bersarung apron biru.

“Hmm?” Atiha menjawab sambil mengacau nasi goreng dalam kuali.

“Ada masa lagi tak untuk kita lari dari dunia?”

Atiha tergelak kecil. “Lari ke mana? Ke kampung abang di Gua Musang tu?”

“Taklah. Lari berdua. Honeymoon, macam abang cakap malam tadi.”

Atiha berpaling dan mencuit hidung suaminya dengan sudip. “Kalau abang berani sangat, petang ni kita jumpa Azalea dulu. Lepas tu baru fikir pasal lari ke mana-mana.”

Tuan Azhar ketawa kecil sambil tunduk mencium tangan isterinya.

“Baik, tuan pengarah. Abang ikut saja skrip sayang.”

Sebaik semuanya siap, mereka melangkah keluar dari rumah. Atiha membawa beg makanan, sementara Tuan Azhar menekan alat kunci kereta. Mereka masuk ke dalam kereta, dan enjin dihidupkan.

Dalam perjalanan itu, walaupun tiada kata-kata yang diucapkan, suasana terasa selesa. Tangan Azhar sesekali menyentuh tangan Atiha, dan senyuman mereka saling dibalas dalam diam.

Tapi di sebalik ketenangan itu, masing-masing tahu pertemuan yang bakal berlaku petang nanti mungkin akan menentukan arah sebenar rumahtangga mereka.

Dan buat pertama kali, Tuan Azhar berdoa dalam hati agar keputusannya kali ini bukan satu lagi bentuk pelarian.

Tapi sebuah permulaan yang jujur… bersama wanita yang dia sedang cuba untuk cintai dengan seluruh hatinya.

abang rindu kaki katil patah...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience