Bab: Di Sebalik Kata Hati

Fantasy Series 1624

Malam itu langit pekat, hanya sesekali kilat menyuluh dari kejauhan. Di dalam bilik tidur sederhana yang dihias dengan warna lembut dan pencahayaan malap, suasana kelihatan tenang. Tapi dalam hati Atiha Najwa, badai sedang melanda.

Dia baring memandang siling, tangan diletakkan di atas perut. Berperang dengan suara hati sendiri. Tadi dia yang bersungguh mahu mendedahkan status perkahwinan mereka kepada pihak sekolah, mahu semua tahu bahawa dia adalah isteri sah kepada Tuan Azhar. Tapi kini, hatinya mengendur.

Kata-kata Azalea siang tadi masih terngiang. Senyuman lembut guru muda itu, dan pandangan matanya yang sedikit terlalu lama ketika memandang Azhar, mula mengusik ketenangannya.

“Abang yakin nak sayang bagitahu guru-guru lain tentang kita?” soal Atiha perlahan. Dia bangun dari baringnya, menarik selimut ke bahu.

Tuan Azhar yang masih bersandar di kepala katil menoleh, wajahnya tenang. “Bukan ke sayang cakap tadi nak bagitahu semuanya?”

Dia menarik isterinya perlahan-lahan, dan mendudukkan Atiha di antara kedua-dua pehanya, membiarkan kepala isterinya menyandar di dadanya yang bidang.

“Sayang nak ubah fikiran,” suara Atiha perlahan, nyaris berbisik.

“Kalau diorang tahu kita ni suami isteri pun sama saja macam tak ada fungsi apa-apa… Silap-silap, sayang yang sakit hati nanti bila tengok abang bermesra dengan cikgu atau… anak murid dewasa.”

Cemburu. Itu dia.

Tuan Azhar tergelak kecil. “Hahaha… ni dari dalam hati terus ke, sayang? Terus terang sangat malam ni. Hahaha…”

“Terus dari sini.” Atiha menarik tangan suaminya, lalu menekap ke dadanya yang berdegup kencang.

“Hahaha, faham, isteri abang ni memang suka berterus terang bila rasa terancam.”

“Itu sudah pasti!”

Tuan Azhar mengusap kepala isterinya lembut. “Sayang tahu tak… abang tahu siapa Azalea. Abang tahu siapa cikgu lain. Tapi sayang… yang abang bawa tidur malam-malam, yang abang cari tiap kali hilang fokus, yang abang rindu walaupun duduk sebelah, cuma sayang.”

Atiha senyum kecil tapi matanya berkaca. “Tapi abang baik sangat dengan dia. Sayang takut.”

Azhar mengangkat dagu isterinya supaya mereka bertentangan mata.

“Sayang takut abang berpaling?”

Atiha mengangguk perlahan. “Takut kalau sayang bukan cukup sempurna. Sayang tak cantik macam sesetengah orang, sayang cepat panik, cepat cemburu…”

“Dan sebab semua tu lah abang pilih sayang.” Tuan Azhar bersuara perlahan.

“Abang tak nak isteri yang buat abang lupa diri. Abang nak isteri yang ingatkan abang… siapa diri abang sebenar.”

Atiha menyandar kepalanya semula di dada suaminya.

“Lagipun, sayang tahu kan, abang ni bukan jenis yang senang-senang bagi hati pada orang lain.”

“Betul…”

Tuan Azhar mengusap belakang badan isterinya perlahan-lahan.

“Dan lagi satu, sayang tak perlu bersaing dengan siapa-siapa. Sebab abang dah pilih.”

Dan dia pun membaringkan Atiha perlahan-lahan ke atas katil, lalu menindih tubuh isterinya dengan cermat. Jarinya menyentuh pipi Atiha yang sedikit merona.

“Kalau hati sayang resah, abang tenangkan.”

“Macam mana?” soal Atiha separuh ketawa.

“Macam ni…” Tuan Azhar mencium pipi isterinya. Lalu dahi. Dan kemudian turun ke hidung.

“Abang…”

“Dan macam ni…” dia mencium bibir mungil Atiha yang sedikit bergetar. Tapi bukan kerana takut. Tapi kerana terlalu rindu untuk diyakini sepenuhnya.

“Sayang cemburu sebab sayang sayang abang. Tapi abang nak sayang tahu… dari semua yang abang pernah kenal, abang cuma nampak satu wanita yang abang nak bawa sampai ke akhir hayat.”

Atiha diam.

Dan akhirnya dia bersuara perlahan, dengan mata tertutup rapat.

“Kalau macam tu… jangan lepas tangan sayang. Sebab sayang dah terlalu jauh menyayangi abang.”

Tuan Azhar hanya diam. Tapi dari pelukannya, dari cara dia mengusap rambut isterinya, dari cara dia mencium perlahan-lahan dahi dan pipi Atiha, jawapan itu sudah jelas.

Malam itu bukan sekadar tentang cemburu. Ia tentang pengakuan yang dibalut rindu, tentang dua jiwa yang mula faham bahawa bukan semua kebenaran harus diumumkan untuk dirasai. Kadang-kadang… yang kita simpan lebih bermakna dari yang kita tunjukkan.

Dan walaupun rahsia mereka masih tersimpan kemas dari rakan-rakan di sekolah, atiha tahu satu perkara yang tidak akan berubah dia satu-satunya wanita yang benar-benar memiliki hati lelaki itu.

Bukan kerana dia sempurna.

Tetapi kerana dalam segala kelemahan dan kekurangan, dia adalah rumah paling selamat untuk hati Tuan Azhar.

Pagi itu suasana sekolah sedikit lengang selepas tamat perhimpunan. Pelajar-pelajar mula masuk ke kelas masing-masing. Cikgu-cikgu pula sibuk bersiap dengan bahan pengajaran. Tapi di satu sudut laluan koridor Blok C, ada satu pemandangan yang cukup mencuri perhatian.

Tuan Azhar sedang berdiri bersama Cikgu Azalea.

Mereka berbual dalam nada perlahan, dan sesekali tertawa kecil. Azalea menghulurkan sekeping kertas laporan disiplin untuk disemak, dan Tuan Azhar menunduk membacanya sambil menyandar sedikit ke dinding.

Dari jauh, Atiha dan Cikgu Salmah sedang berjalan sambil membawa timbunan buku latihan dan borang pemarkahan.

Langkah mereka terhenti seketika bila mata Atiha terpaku pada satu gerak tubuh yang kecil namun cukup menggigit hati wanita.

Jari Azalea hampir menyentuh jari Tuan Azhar. Walau tak bersentuhan langsung, cara Azalea membetulkan posisi fail di tangan, dan kedudukannya yang terlalu dekat membuat dada Atiha rasa seperti diketuk kuat dari dalam.

"Subhanallah… dia tu makin berani nampaknya," gumam Cikgu Salmah di sisi.

Atiha diam. Tapi riak wajahnya jelas menegang. Matanya mengekori gerak-geri halus wanita itu yang nampak sopan di mata orang lain, tapi bagi seorang isteri… ada isyarat yang hanya dia mampu baca.

Dia perlahankan langkah, memandang sekeliling. Dan tanpa banyak bicara, dia mempercepatkan langkah dan sengaja melanggar belakang Azalea dengan cukup kuat, hingga bahu mereka bertembung dan buku-buku yang dibawa terburai ke lantai.

Bunyi kertas jatuh bergema di koridor.

“Oh maafkan saya ustazah…” Atiha bersuara sambil cepat-cepat melutut, mengutip satu demi satu buku yang berselerak di lantai.

Azalea terperanjat, namun cepat menutup reaksi dengan deheman sopan.

“Tak apa…” katanya pendek, turut menunduk untuk mengutip beberapa helaian kertasnya yang turut jatuh.

Tuan Azhar sempat menoleh, jelas tergamam dengan insiden itu.

“Atiha…” panggilnya perlahan, namun belum sempat dia membantu, Cikgu Fahmi datang menghampiri.

“Awak kenapa ni, Atiha? Jatuh buku banyak sangat ni,” tegurnya sambil menunduk, membantu mengutip buku-buku di lantai.

“Tak… saya terlanggar orang tadi. Silap saya.” Atiha menjawab sambil menunduk juga, tapi dalam senyap dia menjeling tajam ke arah Tuan Azhar, kemudian tersenyum manja dengan lirikan yang penuh makna.

“Maaf ye, Cikgu Disiplin Azhar. Saya tak sengaja…” ucapnya dengan suara cukup lembut tapi sarat sindiran halus.

Tuan Azhar sempat mengangkat kening. Dia kenal benar dengan ‘nada’ isterinya itu. Nada jeling manja yang penuh dengan api.

“Atiha…” dia bersuara sedikit dalam. Tapi Atiha cepat-cepat berdiri setelah selesai mengutip buku, lalu mengatur semula fail-fail di pelukannya.

“Baiklah, saya naik ke kelas dulu ya. Terima kasih, cikgu Fahmi,” ucapnya sopan sebelum berlalu dengan langkah sedikit laju.

Cikgu Fahmi hanya mengangguk dan tersenyum mesra, masih tidak tahu kisah di sebalik drama kecil tadi.

Setibanya di bilik guru, Atiha meletakkan semua buku di mejanya dengan agak kuat. Wajahnya jelas masih mengawal marah. Bukan marah yang meletup-letup, tapi lebih kepada marah yang disimpan seperti api bawah sekam. Wajahnya merah padam, tapi masih tersenyum bila ditegur oleh cikgu lain.

Cikgu Salmah datang mendekat sambil menepuk bahu.

“Kuat sangat rempuh tadi. Nasib baik tak jatuh atas dia terus.”

Atiha mengeluh perlahan.

Hanya cikgu Salmah yang tahu dia sudah berkahwin dengan Tuan Azhar di Thailand sebelum ini, kerana sebelum ini mereka duduk serumah. Manakala Cikgu Salmah janda anak dua.

“Dia dah melampau, kak Salmah. Saya bukan jenis cemburu tak tentu pasal. Tapi saya isteri. Saya nampak dengan mata saya sendiri. Jari tu dah macam cari alasan nak bersentuh.”

“Azhar tu jenis diam. Tapi tak buta. Dia tahu mana sempadan,” pujuk Cikgu Salmah.

“Sayangnya, orang yang nak masuk sempadan tu tak faham-faham. Dia tu ustazah, kak. Tapi akhlak… boleh cuit suami orang macam tu?” gumam Atiha.

Waktu itu, telefon bimbit Atiha bergetar. Satu mesej WhatsApp masuk dari nama yang sudah biasa menghantar mesej ringkas padanya:

[Tuan Azhar] “Sayang… tak perlu rempuh orang macam tu sebab, sayang dah rempuh hati abang dari dulu lagi.”

Atiha hampir tergelak sendiri membaca mesej itu.

Dia balas:

[Atiha] “Kalau abang tak bagi signal, saya takkan rempuh.”

Beberapa saat kemudian, balasan masuk:

[Tuan Azhar] “Signal abang cuma untuk sayang. Tapi kadang-kadang… kereta orang lain main potong lorong.”

Atiha senyum, kali ini benar-benar dari hati.

Namun jauh di sudut hatinya, Atiha tahu… selagi hubungan mereka tidak diketahui umum, selagi dia masih 'cikgu biasa' di mata semua, akan selalu ada wanita yang fikir mereka ada peluang untuk mendekati suaminya.

Dan itu… lebih menyakitkan dari segala-galanya.

Dia tahu dia perlu buat keputusan terus menyembunyikan hubungan ini demi privasi, atau membongkarkannya walau apa pun yang terjadi.

Tapi buat masa ini, biarlah dia bermain sedikit dengan sindiran, sedikit dengan aksi.

Sekurang-kurangnya, dia tahu lelaki yang menjadi miliknya itu masih memilihnya, walau sejuta Azalea datang dan pergi.

Rempuh seorang Atiha, bukan main-main ye

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience