Chapter 1 - Soundless Night

Fantasy Series 500

“MAK!”

.

.

.

“MAK!!” Semakin kuat teriakan Miers, tetapi Maknya tidak menoleh.

“Mak! Miers…” Jantung Miers berdegup kencang menyebabkan dia sukar untuk meluahkan kata-kata.

Miers mengengam tangan adiknya dengan erat, mengumpulkan semua kekuatan. Pandangannya pudar dibasahi air mata. Badannya berpeluh, terasa panas dan sejuk pada masa yang sama menyebabkan dia berasa kurang selesa. Bunyi teriakan orang ramai serta hiruk-pikuk dentuman bom di sekelilingnya menenggelamkan suaranya yang halus.

“Miers akan jaga Melino! Mak jangan risau!”

“KAMI SAYANG MAAAK!!”

Walaupun Mak Miers berada agak jauh, tetapi Miers yakin, Maknya dapat mendengar suaranya. Kerana sekilas saat, Maknya memandang Miers sambil tersenyum.

----------

“Miers~” Suara lembut menyapa ke telinga Miers yang sedang nyenyak merehatkan badan. Miers cuba membuka mata tetapi kelat kerana badannya masih letih.

“Miers. Bangunlah~” Sekali lagi Miers terdengar suara lembut itu memanggilnya.

“Emm… Kacau la…” Gumam Miers geram.

BUK!

“Aduh!! Apa ni Mel!”

“Hehe~ Itu la. Mel suruh bangun taknak.” Jawab Mel sambil memeluk erat buku yang digunakan untuk menghemuk abangnya. Kononnya sebagai pelindung dari amarah abangnya.

“Kalau ya pun nak kejut janganlah hempuk abang guna buku tebal tu. Sakit tahu tak! Ingat tak sakit ke? Tengok ni. Bengkak, benjol! Hmphh!” Bebel Miers sambil menggosok-gosok bahagian yang dipukul oleh Melino tadi.

“Ala… Janganlah marah Miers. Mel dah panggil dari tadi, tapi Miers tak nak bangun. Cepatlah bangun. Mel laparlah.”

Melihatkan muka kasihan adiknya, perasaan marah Miers pudar serta merta. Miers bangkit lalu menggeliat untuk melegakan tulang-tulang dan otot-otot badannya setelah lama tidur di atas lantai konkrit yang sejuk hanya beralaskan kain bajunya.

Miers sekali lagi memandang muka Melino yang bermata bulat. Adiknya yang mengenekan pakaian lusuh, rambut yang panjang dan muka yang sedikit comot itu masih lagi memegang buku tebal di hadapan mukanya. Hanya sebelah mata Melino kelihatan di sebalik buku itu.

Rasa sedih dihatinya dibatasi oleh rasa tanggungjawabnya sebagai seorang abang. Dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya di hadapan Melino. Dia tidak boleh menunjukkan sifat lemahnya, kerana adiknya bergantung sepenuhnya kepada dia.

Miers melutut untuk mengemaskan tempat tidurnya. Kain alas tidur yang juga merupakan bajunya dimasukkan kedalam beg galas. Melino sedari tadi cuma diam memerhatikan setiap gerak-geri abangnya. Tak tahu apa yang bermain di fikirannya sekarang. Adakah tentang abangnya, atau makanan apa yang mereka akan dapat hari ini.

“Hah. Kenapa tercegat? Cepatlah kemas barang. Tadi cakap lapar.” Bentak suara Miers menyebabkan Melino tersentak dari angan kecilnya.

“Hehe~ Miers marah Mel lagi ke? Janganlah marah.” Pujuk Melino.

“Tak marah dah. Masukkan buku ke dalam beg cepat. Nanti matahari terbit.”

Cepat tangan Melino memasukkan bukunya ke dalam beg. Takut dimarahi abangnya lagi. Walaupun perbezaan umur mereka cuma bebera minit sahaja, tetapi Melino tetap menghormati Miers yang kini adalah satu-satunya keluargannya.

Selesai mengemas, Miers menggengam tangan Melino erat. Mereka berjalan seiringan. Perlahan-lahan menyusur keluar dari runtuhan bangunan yang telah menjadi tempat berlindung mereka semenjak beberapa hari yang lepas.

Malam yang gelap dengn cahaya bulan malap sedikit sebanyak membantu Miers untuk melihat sekelilingnya. Setiap inci penjuru diteliti dan diamatinya dengan berhati-hati, kerana tidak mahu ada tetamu yang tidak diundang mengetahui tempat persembunyian mereka. Keadaan sekarang amat sukar untuk mencari tempat yang selamat.

Setengah jam berjalanan, mereka tiba di sebuah terowong. Bekas laluan keratapi laju pada masa dahulu. Miers menghidupkan obor untuk melihat ke dalam terowong.

Cit! Citt! Cittt!

“Dapat!” Teriak kecil Melino.

“Shh! Jangan bising sangat.” Tegur Miers.

Cepat-cepat Melino menekup mulutnya sambil menjeling Miers. Miers melepaskan tangan Melino lalu memberikan obor api kepadanya dan mengisyaratkan supaya Melino jangan bergerak dari tempat itu. Melino hanya mengangguk faham dan membiarkan abangnya bergerak dekat menghala ke sebuah papan yang mengeluarkan bunyi itu tadi. Sebatang besi dipegang erat apabila Miers semakin menghampiri papan itu. Miers duduk mencangkung sambil cuba mengintai di bawah papan, tetapi ianya terlalu gelap. Dia kemudiannya mengangkat papan itu dan mengalihkannya ke tepi.

Cit! Citt!

Seekor tikus yang sederhana besar sudah termasuk ke dalam salah satu perangkap yang dibuat olehnya beberapa hari lepas. Miers menoleh ke arah Melino. Mata Melino yang membulat dengan sedikit air mata gembira kelihatan di hujung matanya. Mereka berdua senyum lebar, puas hati dengan hasil yang mereka dapat malam ini.

Tanpa membuang masa, Miers memukul kepala si tikus kemudian masukkannya ke dalam karung untuk dibawa pulang ke tempat persembunyian mereka. Sebelum balik, Miers dan Melino menuju ke salah satu lagi perangkap mereka. Manalah tahu tuah mereka malam ini perangkap yang satu lagi juga mengena. Miers memasangnya tidak jauh dari situ.

Sebaik sahaja kaki mereka melangkah keluar dari terowong, kaki Miers terpaku dengan satu jeritan yang kedengaran tidak beberapa jauh dari tempat mereka berada.

“Tolong! Ada sesiapa di sana!? Tolong kami.”

Suara seperti seorang perempuan tua.

Nafas Miers tersekat-sekat. Matanya tidak berkedip walau sedetik. Badannya menggeletar dan mengeluarkan peluh sejuk. Tangan Melino digenggamnya dengan erat sekali sehingga Melino merasa sakitnya. Melino membiarkan sahaja kerana dia tahu apa yang bermain difikiran kembarnya itu.

Ketakutan…

Apa yang ditakutkan bukanlah perempuan tua itu, tetapi ‘mereka’. ‘Mereka’ yang memulakan dan membiarkan dunia porak-peranda.

“Tolong saya. Anak saya tidak bernafas! Tolonglah!” Sekali lagi teriakan perempuan tua itu kedengaran.

Kaki Miers tidak dapat menampung bebanan lagi lalu dia rebah ke tanah. Melino menarik Miers dan bersandar di sebuah dinding. Melino melepaskan genggaman Miers lalu memeluknya sekuat hati sambil memejam mata dan berharap semua ini akan berlalu.

BANG!

Satu bunyi tembakan bergema ke seluruh kawasan. Sesaat kemudian semuanya sunyi. Tidak ada lagi terdengar teriakan dari perempuan tua tadi.

Melino masih lagi memeluk Miers yang menggeletar seluruh badan. Sehinggalah Melino merasa Miers sudah kembali tenang barulah dia mengajaknya untuk balik.

“Miers. Mari. Kita balik.” Melino berbisik mengajak Miers balik.

Miers tidak bersuara.

Perlahan-lahan dia berdiri dengan bantuan Melino sambil menundukkan dan menutup kepalanya dengan hud. Mereka kemudian bergerak semula untuk pulang sekaligus membatalkan niat mereka untuk memeriksa perangkap yang satu lagi.

Setibanya di tempat persembunyian, Miers mengidupkan unggun api kecil. Cukup-cukup untuk memasak hasil tangkapan mereka tadi. Malam yang sepatutnya membuatkan mereka gembira kerana dapat makan daging setelah sekian lama perut cuma dialas dengan serangga-serangga kecil dan tumbuhan hijau, bertukar menjadi malam yang sunyi tanpa bicara setelah apa yang berlaku tadi. Sepanjang malam, Miers hanya berdiam dan Melino membiarkan sahaja kembarnya itu. Dia tahu abangnya itu akan kembali tenang dengan sendiri.

Malam yang memenatkan bagi mereka berdua. Walaupun tidak membuat sebarang aktiviti lasak, tetapi kejadian tadi cukup membuatkan Miers dan Melino merasa letih dan lesu. Seperti tidak ada lagi tenaga untuk membuat apa-apa, Miers dan Melino lantas tertidur setelah selesai menjamah daging dan memadam api.

republish

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience