HUTAN Dyrys. Gelap. Cahaya matahari amat sukar untuk sampai ke lantai hutan dek kerana pokok tumbuh dengan agak rapat serta dipenuhi oleh daun-daun yang lebat. Ketinggian pokok yang sederhana tinggi ini tidak pernah dijumpai di tempat lain selain hutan ini. Bukan sahaja dahannya penuh dengan duri, malahan daunnya juga sangat tajam dan mampu untuk melukakan kulit manusia. Hutan ini juga menjadi kediaman haiwan-haiwan liar dan serangga-serangga yang berbahaya seperti ular, kala jengking, labah-labah dan sejenis binatang reptilia berupa biawak tetapi leboh besar daripada buaya yang diberi nama…
“Yinewt?”
“Ya. Yinewt juga merupakan pemangsa terkenal dengan sifatnya yang tamak, dimana ia akan memakan apa sahaja binatang yang dilihatnya. Ia mempunyai gigi yang keras dan tajam, ekor yang kuat bertenaga, serta kelajuan yang lebih pantas berbanding manusia biasa.” Jelas Miers lagi.
“Jadi, ada sesiapa boleh jelaskan kenapa kita perlu meredah hutan ni? Dah tahu kan hutan ini amat berbahaya.” Rungut Umoya.
Mereka bertiga meredah Hutan Dyrys dengan menyelimuti badan dan kepala mereka dengan kain tebal bagi mengelak terkena duri serta daun yang tajam. Miers juga terpaksa tidak memegang tangan Melino kerana takut sekiranya dia terjatuh lalu menarik adiknya sekali dalam bahaya. Mereka bertiga bergerak dengan perlahan dan berhati-hati di mana Miers di hadapan sambil membuat laluan untuk mereka dengan menggunakan tombak.
“Miers kata jalan melalui Hutan Dyrys lebih cepat untuk sampai ke Bandar Dampbad, dan ‘mereka’ juga tidak akan pergi ke hutan ini.” Jawab Melino.
“’Mereka’? Oh. Maksud Mel Tentera Mugsi?” Teka Umoya.
“Ya.” Jawab Melino pendek.
“Tapi, dalam hutan ni ada banyak haiwan liar yang berbahaya. Tidak lupa juga ada Yinewt. Binatang yang amat menggelikan. Bagaimana kita mahu lari jika terjumpa Yinewt itu nanti?” Umoya menyuarakan kerisauannya.
“Jangan risau, Miers sangat hebat dalam menjejak binatang. Mel pasti dia ada penyelesaian.” Jawab Mel dengan tenang mempercayai abangnya.
“Binatang tidak seperti manusia yang mempunyai akal fikiran. Mereka hanya bertindak dengan menggunakan naluri. Jadi, mudah untuk kita mengagak serangan dan pergerakan mereka.” Tambah Miers.
“Begitu juga Tentera Mugsi. Mereka hanya bertindak mengikut arahan daripada ketua mereka. Kan sama dengan sifat binatang.” Ujar Umoya.
“Bertindak mengikut arahan dengan mengikut naluri adalah dua benda yang berbeza. Tentera-Tentera Mugsi hanyalah boneka. Orang yang memberi arahan kepada mereka adalah orang yang mempunyai akal fikiran.” Balas Miers.
Umoya hanya mengangguk faham. Misteri Tentera Mugsi tiada siapa yang tahu dari mana mereka datang dan apa tujuan mereka yang sebenar. Apa yang mereka tahu adalah Tentera Mugsi seperti mayat hidup. Mereka sanggup melakukan apa sahaja yang diarahkan oleh ketua mereka, termasuk membunuh diri. Seperti minda mereka sudah dibasuh dan diganti baru.
Mereka muncul 10 tahun yang lepas secara tiba-tiba di seluruh pelosok dunia dan mula melakukan serangan ke seluruh negara dan melaksanakan penculikan untuk dijadikan sebagai tentera. Tentera Mugsi juga dikenali sebagai Tentera Hitam, kerana mata mereka semua berwarna hitam keseluruhannya. Ada yang mengatakan mata mereka yang mengikuti Tentera Mugsi bertukar menjadi hitam disebabkan oleh sumpahan dan kutukan dewa kerana mereka melakukan banyak kerosakan dan pembunuhan.
Miers, Melino dan Umoya bergerak lebih jauh ke dalam Hutan Dyrys. Semakin dalam, pokok-pokok kelihatan semakin padat dan cahaya matahari semakin kurang. Walaupun hari masih siang, tetapi di dalam Hutan Dyrys amat sukar untuk menentukan waktu dengan tepat tanpa melihat matahari.
“Hoi si gila. Berapa jauh lagi kita perlu berjalan? Miers tahu ke mana kita harus pergi? Atau Miers jalan hanya mengikut naluri Miers?” Soal Umoya.
“Tahulah. Kita cuma perlu ikut arah matahari terbit.” Jawab Miers.
“Tapi sekarang matahari pun kita tak tahu berada di mana. Hutan ini sangat tebal. Mana kita tahu ini adalah jalan yang betul. Jangan-jangan kita sudah sesat.” Kata Umoya lagi.
“Moya ni banyak cakaplah, budak kecil. Saya tahulah arah—“
KEEHHHRRR...
Miers tiba-tiba terdiam.
“Kenapa Miers?” Tanya Melino.
“Diam!” Bisik Miers sambil kedua belah tangannya diletakkan di belakang cuping telinga.
Sayup-sayup kedengaran bunyi desiran angin melagakan daun. Tetapi Hutan Dyrys sangat tebal sehingga angin pun tidak dapat masuk ke dalam hutan. Miers dan Umoya bersedia dengan senjata mereka. Miers menyuruh Melino berlindung di belakangnya. Bunyi desiran semakin kuat, semakin lama semakin laju mendekati mereka bertiga. Miers melihat di kejauhan dan ternampak satu lembaga sedang berlari pantas ke arah mereka bertiga. Miers melepaskan begnya dan bersedia untuk menyerang. Lembaga tadi semakin rapat dan tidak lama kemudian melompat, menerpa ke arah Miers. Seekor anjing yang besar dan sangat dan bermuka bengis. Miers mengangkat tombaknya bagi menangkis serangan dari anjing liar tersebut. Belum sempat terkaman anjing tadi singgah ke tombak Miers tiba-tiba ia berhenti di udara dan terjatuh ke tanah.
Alangkah terkejutnya Miers apabila melihat badan anjing itu sudah terputus dua! Mereka bertiga menggeletar melihat keadaan bangkai anjing yang penuh dengan darah itu. Terasa seperti ingin menjerit tetapi keinginan itu tertahan tatkala satu lagi lembaga yang lebih besar berada di belakang anjing tersebut.
“Yinewt!!” Jerit Melino terkejut.
Rupanya anjing tadi melarikan diri daripada Yinewt yang mengejarnya. Walaupun anjing berlari dengan pantas, tetapi di Hutan Dyrys, Yinewt adalah haiwan yang paling pantas. Miers tanpa membuang masa menarik tangan Melino dan Umoya dan berlari sejauh yang boleh sebelum Yinewt habis memakan anjing yang ditangkapnya.
“Kita tidak akan berjaya melarikan diri dari Yinewt. Ia lebih pantas dari manusia!” Jerit Umoya.
Miers tahu yang mereka tidak mungkin dapat melepaskan diri dari Yinewt. Apabila jarak diantara mereka dan Yinewt semakin jauh, Miers menyuruh mereka berhenti.
“Kenapa? Kita mesti pergi dari sini cepat! Kalau tidak Yinewt akan mengesan kita” Marah Umoya.
“Awak berdua sembunyi di belakang pokok!” Arah Miers.
“Miers nak buat apa? Jangan jadi gila!” Marah Umoya lagi.
Miers tidak menjawab pertanyaan Umoya. Melino pula segera mengikut arahan abangnya dan menarik Umoya untuk bersembunyi di belakang pokok. Tinggal beberapa saat lagi sebelum Yinewt itu tadi selesai menjamah makanannya. Miers pasti yang ia akan datang mengejar mereka kemudian. Tidak ada cara untuk melepaskan diri dari Yinewt. Jadi Miers terpaksa berhadapan dengannya. Apabila Yinewt sudah habus memakan habuannya, ia segera menoleh ke arah Miers.
KEEEHRR!!
“Marilah!” Miers menjerit memanggil Yinewt itu tadi.
Yinewt itu mula mengangkat kaki dan berlari dengan pantas untuk membaham Miers pula. Miers mengangkat tombaknya kemudian mencucuknya ke dalam tanah.
“Miers! Kenapa tercegat! Yinewt semakin hampir!” Jerit Umoya lagi bingung dengan kelakuan Miers.
Tubuh Miers menggeletar. Jantungnya mula berdegup kencang. Otaknya ligat berfikir akan tindakan yang perlu dilakukannya. Mungkin otaknya sudah pun memikirkan cara dan simulasi apabila berhadapan dengan raksasa ini. Namun perasaannya berlainan apabila berhadapan dengan situsai sebenar. Yinewt semakin dekat kepadanya. Kini badannya pula tidak mahu bergerak, seperti tidak mahu mendengar arahan dari otaknya.
“Bergerak! Bergerak!” Miers menjerit.
Beberapa kali juga dia memberi arahan kepada badannya untuk bergerak, tetapi tidak berguna. Badannya kaku. Dia melihat Yinewt yang sangat menakutkan itu semakin mendekatinya. Sepertinya Miers sudah pasti yang disini adalah penamatnya. Dia mula rebah ke bumi.
“MIERS!”
Tanpa sedar tangan Miers menekan tombaknya untuk menahan dirinya daripada rebah. Dia berpaling ke arah Melino yang menjerit namanya. Mata Melino membulat melihat Miers memberikan makna bahawa dia percaya dengan kebolehan abangnya. Seperti mendapat tenaga baru, Miers bangkit dan bersedia semula. Dia merenung tajam ke mata Yinewt.
“ARGGH!”
Miers berteriak untuk menghilangkan ketakutannya. Dia melangkah ke hadapan dan mula berlari ke arah haiwan bengis itu dengan tombaknya menggesel tanah. Matanya tidak berkedip sedikit pun. Terus merenung tajam ke arah musuhnya.
Ketika haiwan itu sudah hampir, Miers mengais tombaknya, melontarkan tanah dan batu-batu kecil ke mata Yinewt. Pergerakan Yinewt itu terhenti sebentar. Sedetik masa itu digunakan oleh Miersmeluru ke arah Yinewt itu lalu melompat ke belakangnye dengan pantas. Miers mengangkat tombaknya setinggi yang mungkin dan menusuknya ke tubuh Yinewt sedalamnya. Yinewt itu meronta-ronta kesakitan, memusingkan badanya ke kiri ke kanan dan melompat-lompat ingin menjatuhkan Miers yang berada di belakangnya.
Umoya yang bersembunyi bersama Melino kagum dengan tindakan Miers.
“Mel! Yinewt itu masih bertenaga. Dia tidak akan mati dengan hanya satu tusukan. Kita mesti tolong Miers!” Kata Umoya.
Melino mengangguk faham dengan kata Umoya. Umoya berlari ke arah Yinewt. Yinewt yang tadinya sedang cuba menjatuhkan Miers terlihat kelibat Umoya yang ingin menerpanya. Ia kemudian menukar arah ingin menerkam Umoya pula. Baru sahaja ia membuka mulut untuk menangkap Umoya, sebiji batu dibaling Melino tepat mengena matanya. Umoya melompat tinggi, menghalakan pisaunya betul-betul di atas kepala Yinewt lalu menekannya menembusi tengkorak dan menusuk ke dalam otak binatang buas itu, serta merta ia tidak bergerak. Tidak lama kemudian, ia rebah menyembah bumi.
Miers dan Umoya menarik nafas lega. Tidak percaya yang mereka mampu menundukkan binatang buas itu.
“Kita berjaya…” Kata Miers lemah.
“…mengalahkannya.” Sambung Umoya.
Mereka berdua berpandangan kemudia dengan nafas yang tercungap-cungap. Masih terasa kengerian binatang buas itu tadi.
“Miers memang gila.” Kata Umoya kepada Miers.
“Heh. Miers pun baru tahu.” Jawab Miers setuju dengan Umoya.
“Kita tidak boleh lama di sini. Mungkin bunyi bising tadi akan menarik lebih banyak haiwan liar lain. Mel. Jom.” Panggil Miers.
Senyap. Melino tidak menyahut. Miers menoleh ke arah pokok di mana Melino bersembunyi tadi tetapi Melino tidak kelihatan.
“Mel!”
Miers menjerit memanggil adiknya. Masih tidak ada sahutan. Mereka berdua berlari mencari Melino di belakang pokok. Kelihatan Melino terbaring kaku di kaki pokok.
“MEL!”
Miers mendakap Melino lalu memeriksa nafasnya. Nafasnya lemah. Miers memeriksa tubuh Melino mungkin ada sesuatu yang telah menyengat atau mematuknya. Ternyata telahan Miers tepat. Satu lubang kecil yang masih berdarah ada di kaki kiri Melino, petanda di sengat oleh kala jengking. Miers segera bertindak untuk mengeluarkan racun dari tubuh Melino dengan menghisap pada bahagian lubang berdarah itu tadi. Umoya mengoyak kain dan mengikatnya pada kaki Melino agar dapat menyekat lebih banyak racun terus merebak. Walaupun Miers terus menerus mengeluarkan darah beracun melalui kaki Melino, tetapi Melino kelihatan semakin lemah.
“Miers! Kita mesti keluar dari sini cepat. Melino tidak dapat bertahan lama jika dibiarkan. Kita perlu dapatkan bantuan di Bandar Dampbad.” Umoya menyatakan cadangannya.
“Baik. Mari---”
KEEHHHRRR!! KEEHHHRRR!!
Belum sempat pun Miers bertindak, Miers dan Umoya kerana ternampak DUA lagi Yinewt datang mendekati mereka.
“Tak guna!” Miers bangkit lalu mengambil tombaknya.
Tidak ada pilihan lagi. Miers dan Umoya perlu bertarung dengan dua binatang buas itu sekaligus dan mereka perlu cepat. Melino mungkin tidak dapat bertahan lama.
Mampukah Miers dan Umoya mengalahkan dua Yinewt sekaligus?
Share this novel