TOK! Tok! Tok!
Shring! Shring! Shring!
Tok! Tok! Tok!
“Emm… Bisingnya… Mel tak puas tidur lagi la.” Omel Melino yang tersedar dengan bunyi ketukan besi dan batu berlaga.
Miers tidak mendengar omelan Melino kerana terlalu focus dengan apa yang dilakukannya sekarang.
Tok! Tok! Tok!
Shring! Shring! Shring!
“Argh! Bisinglah! Miers buat ape tu!”
“Oh. Maaflah. Abang tengah buat sesuatu ni.” Jawab Miers sambil tangannya mengetuk-ngetuk besi yang juga senjatanya.
Melino bangun dari pembaringan dengan mata kuyu ingin melihat apa yang dikerjakan abangnya. Terkejut apabila dia melihat banyak besi-besi dan kayu-kayu tajam bertaburan di sekeliling abangnya. Semuanya sudah siap diasah bagaikan persiapan untuk perang.
“Mie…!”
Baru sahaja Melino ingin memarahinya, tetapi suaranya tertahan apabila ternampak kesan-kesan luka dan lebam pada tangan Miers. Dia menghabiskan masa tidurnya untuk membuat semua senjata ini. Mungkin dia ingin menebus perkara yang berlaku semalam. Menebus semula kelemahan dan ketakutan hatinya. Melino membiarkan sahaja Miers dengan kerjanya.
“Kenapa? Nak makan? Ada bawah kain tu. Ambillah. Abang dah makan sikit tadi. Air ada lagi dalam botol ni. Semalam abang ambil dari atas bumbung.”
Melino merangkak malas ke arah makanan yang ditunjuk Miers tadi. Daging semalam masih ada. Rasanya tidaklah sesedap mana. Sekurang-kurangnya dapat memberikan tenaga yang diperlukan untuk badan terus bergerak.
“Miers nak buat perangkap ke?” Soal Melino sambil mengunyah daging tikus.
“Tak.” Jawab Miers singkat.
“Jadi?” Soalnya Melino lagi sebab tidak puas hati dengan jawapan Miers.
Tangan Miers tidak henti-henti mengetuk besi membentuknya sehingga menjadi sebuah tombak. Dia dengar soalan yang diajukan oleh Melino, tetapi dia tidak terus menjawabnya. Bukan tidak mahu menjawab, Miers sendiri pun tidak tahu bagaimana untuk memberitahu Melino tentang keputusan yang dibuatnya. Dia takut Melino tidak bersetuju dengan cadangannya nanti.
“Miers?” Tegur Melino.
Miers menghentikan ketukan. Dia menyandarkan tubuhnya dan mengalihkan pandangan ke luar pintu sambil mengeluh berat. Tanpa melihat wajah Melino, Miers menjawab dengan soalan adiknya.
“Kita mesti pergi dari sini.” Jawab Miers dengan nada serius.
Mulut Melino yang dari tadi mengunyah makanan tiba-tiba terhenti, tidak percaya dengan apa yang abangnya katakan. Masakan tidak. Dia tahu yang Miers adalah seorang yang sangat mengambil berat tentang keselamatan mereka berdua. Dia tahu yang Miers selalu mengambil langkah berjaga-jaga dalam apa jua situasi. Dia juga tahu yang Miers amat takut dengan ‘mereka’. Itu yang menyebabkan mereka tidak pernah keluar dari bandar ini.
“Huh? Pergi? Kenapa? Bila?” Bertalu-talu soalan keluar dari mulut.
“Esok. Di sini tidak lagi selamat. Mel pun tahu kan, semalam ‘mereka’ di mana. Cukup dekat dengan kawasan kita. Lambat laun mereka akan jumpa tempat ini. Kita tidak boleh sembunyi di sini lagi. Kita mesti keluar cepat. Keluar dari kawasan ini. Keluar dari Bandar Ruinat. Abang tak akan biarkan ‘mereka’…” Terang Miers dengan sedikit marah dan perasaan geram.
“Apa-apa pun, di sini tidak lagi selamat. Kita mesti pergi.” Sambungnya lagi.
Melino hanya berdiam diri. Dia dapat lihat yang abangnya sudah tetap dengan keputusannya walaupun ianya adalah satu keputusan yang amat sukar.
“Baiklah. Tapi ke mana?” Akur dengan alasan Miers, Melino tidak ada pilihan selain daripada menurut sahaja niat abangnya.
“Abang…”
Miers tidak terus menjawab kerana dirinya sendiri pun tidak tahu kemana mereka harus pergi. Seluruh kawasan ini bagaikan tidak selamat baginya. Baik di Bandar Ruinat, Bandar Gertu atau Bandar Dampbad, semuanya dipenuhi oleh ‘tentera mereka’.
“Baiklah. Kita ke Bandar Esperanza.” Tanpa menunggu lama, Melino memberi jawapan kepada soalannya sendiri.
Miers menoleh kearah Melino dengan muka yang berkerut.
“Tapi kita tidak tahu apa yang ada di Bandar Esperanza. Mungkin ‘mereka’ banyak di sana. Lagipun kita terpaksa melalui Bandar Dampbad. Tempat itu sangat kotor dan penuh dengan perompak, penculik, penipu, penuh dengan orang yang tidak jujur. Abang takut nanti…”
“Hep! Mel tahu Miers tidak ada perancangan sebab selama ini Miers tidak pernah berfikir untuk keluar dari Bandar Ruinat. Kali ini Miers mesti dengar kata Mel. Suka atau tidak, keputusan Mel adalah kita pergi ke Bandar Esperanza. Muktamad!”
Miers membisu seribu bahasa. Tidak tahu apa dalam fikiran adiknya, namun dia terpaksa setuju kerana itu sahaja jalan penyelesaian yang ada sekarang. Mereka perlu keluar dari tempat ini secepat mungkin.
“Baiklah. Esok kita akan mulakan perjalanan ke Banda Esperanza. Ia mungkin akan mengambil masa beberapa hari untuk sampai. Jadi malam ini kita akan kumpulkan semua bekalan makanan dan air secukupnya.”
Melino tersenyum puas dengan jawapan abangnya.
Malam itu mereka berdua keluar untuk memeriksa perangkap-perangkap yang dipasang Miers. Sumber air didapati dari sebuah tangki yang terletak di tingkat atas bangunan tempat mereka bersembunyi. Esok, pengembaraan Miers dan Melino bermula. Adakah tindakan mereka berdua betul?
----------
MATAHARI belum pun terbit, tetapi Miers dan Melino sudah bersedia untuk memulakan perjalanan mereka. Senjata-senjata yang dibentuk oleh Miers semalam disimpannya di dalam karung. Makanan dan air dimasukkan ke dalam beg galasnya. Melino pula cuma membawa buku kegemarannya di dalam begnya.
“Sudah bersedia?” Soal Miers.
Wajah Miers nampak lebih tenang hari ini. Dia tidak boleh berpatah balik lagi. Tidak boleh mengalah dengan keputusannya. Dia berazam untuk mengubah kehidupannya, kehidupan adiknya. Miers ingin menunjukkan kepada adiknya yang dia sudah berubah. Berubah menjadi lebih berani.
Melino hanya senyum dan mengangguk dengan soalan abangnya.
“Mari.” Miers menghulurkan tangan kepada Melino.
Melino menggenggam tangannya erat. Bersama-sama mereka melangkah kehadapan, mencari dunia yang lebih baik. Menuju ke arah matahari terbit, Bandar Esperanza.
Share this novel