Chapter 9 – The Reason

Fantasy Series 500

“HAH… Haah…”

Miers tertunduk kepenatan. Tangan dan kakinya menggeletar. Peluh berjuraian membasahi seluruh badannya. Matanya mengecil keletihan. Tetapi riak wajahnya masih tidak mahu menunjukkan dia akan kalah.

“Miers! Jangan berhenti. Kalau tidak kita akan mati!” Umoya yang berada agak jauh di hadapan Miers menjerit dengan sekuat hati.

“Tahu lah!” Balas Miers.

Baru sahaja Miers mahu melangkah untuk berlari, tiga biji batu terbang tepat menuju ke arahnya. Miers membenamkan tombaknya ke dalam tanah dan menolaknya sekuat hati sambil melompat ke atas. Dengan bantuan tombaknya, Miers melompat dengan tinggi dan jauh kehadapan, sekaligus mengelak batu-batu yang di sasarkan ke arahnya tadi.

Pada masa yang sama Miers berjaya mengesan kedudukan musuhnya. Dia membuat isyarat tangan kepada Umoya menunjukkan kedudukan musuh dan mengangkat satu jari ke udara menunjukkan cuma seorang sahaja musuh. Umoya faham dengan isyarat Miers dengan pantas berlari ke arah musuh mereka dan melompat tinggi untuk menerkamnya. Musuhnya rebah ke tanah.

“Dah dapat!” Teriak Umoya.

Mata Umoya memandang tepat ke kepala musuhnya. Dia mengeluarkan belatinya cuba untuk menikam bebola kayu yang berada di atas musuhnya. Apabila belati hampir berjaya memecahkan bebola kayu tersebut, tiba-tiba tusukannya terhenti.

“Ohhh hoo hoo! Kamu ingat ianya semudah ini?” Bara melonjak dari tepi menangkap tangan Umoya. Rupanya ia adalah perangkap yang telah diatur oleh Bara. Menjadikan Melino sebagai umpan dengan membiarkan Miers mengesan kedudukannya. Dia dapat mengagak yang Umoya pasti akan mengalahkan Melino terlebih dahulu.

“Heh heh” Umoya tersengih. Rancangannya untuk mengalihkan perhatian Bara berjaya.

Bara merasakan kepalanya agak berat. Dia berpaling dan terkejut melihat Miers sudah berada di belakangnya sambil tersenyum.


ZUUPP!


Tombak Miers berjaya menikam bola kayu yang berada di atas kepala Bara. Semasa Bara mengikut gerak Umoya yang mahu menyerang Melino, Miers dengan pantas menyelinap ke belakang Bara dan menyerangnya.

“Hoo hoo… Hebat! Kamu berjaya menipu Bara. Miers berpura-pura kepenatan, menjadikan dirinya sasaran mudah. Bara sengaja menyuruh Melino melastik dengan lemah. Bara memang tahu Miers adalah umpan untuk mengenal pasti kedudukan Melino semasa dia melastik batu ke arahnya. Tapi tak sangka Moya adalah Umpan yang sebenar. Mengalihkan perhatian kami dari melihat pergerakan Miers. Hebat! Kamu berdua lulus! Malam ini kamu berdua boleh makan. Ohhh hoo hoo!” Bara menjelaskan tektik mereka dengan terperinci.

“Yeah! Akhirnya boleh makan!” Sorak Miers kegembiraan.

“Maaflah Mel. Moya agak kasar tadi.” Umoya meminta maaf kepada Melino kerana menjatuhkannya. Dia kemudian menghulurkan tangan membantu Melino bangun.

“Tak perlu minta maaf Moya. Gandingan Moya dan Miers sangat hebat. Memang serasi.” Puji Melino.

“Apa? Serasi? Dengan Si mata keranjang tu? Jangan harap!” Kata Umoya jengkel.

“Huh! Siapa mahu serasi dengan budak kecil macam Moya ni.” Ejek Miers.

“Apa!? Si lembab!” Umoya marah dan membalas ejekan Miers

“Si kenit!”

“Si gila!

“Si tikus!”

“Si gatal!”

“Si dada keci…”


PANG!


Satu tamparan kuat mengena pipi Miers menyebabkan dia pengsan tidak bermaya. Umoya tersenyum puas dengan tindakannya. Melino dan Bara cuma ketawa melihat tingkah mereka.

“Ohhh hoo hoo~ Baik. Mari kita balik ke pondok. Melino tolong Bara masak.”

“Baik~” Sahut Melino gembira.

Bara mengangkat Miers yang tidak sedarkan diri di bahunya. Mereka kemudian bergerak pulang ke pondok.

Semasa dalam perjalanan, Melino berjalan seiringan dengan Umoya. Dia memandang Umoya dengan mata melirik dan senyuman yang lebar. Umoya hairan dengan ekspresi wajah Melino.

“Kenapa Mel pandang Moya macam tu?” Tanya Umoya setelah merasa kurang enak dengan gelagat Melino.

“Moya… Sukakan Miers?” Soal Melino.

“A… Aa… Apa! M…. mm… mana ada! Mel jangan nak buat cerita! Siapa yang s… ss… ss.. ssukakan si gatal tu! Dia tu dah la gatal. Gila. Tak guna. Lembab!” Tergagap-gagap Umoya menjawab soalan Melino.

Melino hanya tersengih. Dia dapat melihat muka Umoya yang merah padam menjawab soalannya.

Tidak lama kemudian, mereka tiba di pondok. Bara menjatuhkan Miers ke lantai.

“Uff… Aduh! Sakitnya!” Miers tersedar dari pengsannya.

“Ohhh hoo hoo~ Bagus. Sakit itulah yang menjadikan kita lebih kuat.”

“Sakit membuatkan kita sakitlah. Mana ada kita sakit menjadikan kita kuat.” Marah Miers dengan falsafah yang tidak masuk akal Bara.

“Ohhh hoo hoo~ Betul juga ya. Baik. Miers, mari angkat kayu api. Umoya ambilkan air di sungai. Moya sediakan bahan masakan.” Bara memberikan tugas kepada mereka bertiga.

“Hah… Baru nak berehat.” Rungut Miers.

Tiga bulan mereka berlatih bersama Bara. Disebabkan oleh Kuasa Mata yang mereka ada, dengan mudah mereka dapat memahirkan diri dengan ajaran Bara.

Miers mampu menggunakan tombaknya bukan sahaja sebagai alat untuk menyerang, tetapi juga sebagai alat untuk menyelamatkan diri di waktu memerlukan. Dia dapat merasakan tombak kini sebagai sebahagian daripada anggota badannya. Dengan bantuan Bara, dia telah mencipta sebuah tombak yang boleh memanjang dan memendek mengikut kemahuannya.

Umoya pula semakin pantas, bukan sahaja lariannya, seluruh pergerakan tubuhnya juga amat lincah dan ringan. Umoya mampu bergerak selembut angin. Dengan senjata belatinya, dia mampu menumpaskan musuh dalam sekelip mata sebelum disedari sesiapa.

Melino juga tidak kurang hebat. Bara memberikan lastik sebagai senjata utamanya. Ianya kecil dan mudah disembunyikan. Orang tidak akan menganggapnya sebagai senjata yang berbahaya, tetapi dengan bantuan Kuasa Matanya, Melino mampu membelah sebatang kayu dari jarak yang jauh dengan tepat. Jarak yang jauh tidak sedikit pun mengurangkan kelajuan batu yang di lastik Melino.

“Baik~ Makanan sudah siap~” Melino memanggil mereka untuk makan.

Setiap hari beginilah rutin harian mereka sepanjang berada di pondok Bara. Berlatih di waktu siang, berehat di waktu malam. Ini semua untuk mempersiapkan mereka bertiga sebelum meneruskan perjalanan ke Bandar Esperanza.

“Hmmm…” Bara kelihatan gusar.

“Kenapa Abang Bara? Makanan Mel masak tak sedap?” Duga Melino.

“Ohhh hoo hoo~ Bukan Mel. Sebenarnya Bara nak tahu, apa tujuan kamu semua ke Bandar Esepranza?” Soal Bara.

“Betul lah. Moya cuma ikut Mel dan Miers sahaja tapi tidak pernah bertanya tentang hal ini.” Umoya juga ingin tahu tujuan mereka.

“Sebenarnya… Kami berdua ingin lari dari Bandar Ruinat. Bandar itu sekarang penuh dengan Tentera Mugsi. Sangat berbahaya jika ingin terus tinggal di sana. Jadi, Mel mencadangkan untuk pergi ke Bandar Esperanza.” Terang Miers

“Kenapa Mel pilih Bandar Esperanza?” Tanya Umoya lagi.

“Itu… Miers pun tidak pernah tanya Melino tentang itu.” Mereka semua memandang ke arah Melino, menanti jawapannya.

Melino kaget, tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Dia meletakkan makanan ke bawah lalu menundukkan kepalanya.

“Sebab…” Dia diam seketika.

“Sebab Mak yang suruh.” Jawab Melino perlahan.

“Apa?!” Miers terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Melino.

Mak Melino dan Miers yang ditangkap 10 tahun dahulu menyuruh mereka ke Bandar Esperanza?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience