Bandar Esperanza. Dahulunya pernah diberi jolokan sebagai ‘Bandar Harapan’ kerana satu-satunya bandar yang mampu menahan serangan besar-besaran Tentera Mugsi ketika peperangan tercetus 10 tahun dahulu. Ini kerana bandar ini dikelilingi oleh tembok yang sangat besar dan kukuh. Sehingga sekarang, belum pernah lagi sesiapa melihat tembok itu atau sebahagian daripadanya runtuh atau musnah apabila diserang.
Bandar ini juga merupakan markas Tentera Gidae, angkatan tentera yang kuat menentang pencerobohan Tentera Mugsi. Dengan kekuatan Tentera Gidae dibantu oleh tembok yang kukuh, Bandar Esperanza masih belum pernah diceroboh oleh Tentera Mugsi sehingga hari ini.
“Kalau Tentera Gidae sama kuat dengan Tentera Mugsi, mengapa mereka tidak hapuskan sahaja mereka?” Tanya Umoya sambil tangannya memusing-musing belati pemberian Bara.
“Ohhh hoo hoo~ Tidak semudah itu. Sewaktu pembinaan tembok yang melindungi Bandar Esperanza, mereka telah menggunakan banyak bahan dan tenaga manusia untuk menyiapkannya dalam masa yang singkat.” Jawab Bara.
“Jadi mereka tidak mempunyai senjata dan tentera yang cukup untuk menyerang balas Tentera Mugsi.” Ulas Melino pula.
“Ohhh hoo hoo~ Betul! Untuk mendapatkan bahan mentah seperti besi dan batu, mereka perlu keluar dari bandar. Tetapi ianya bukan mudah kerana Tentera Mugsi berada di merata tempat.” Tambah Bara lagi.
“Kalau macam tu, macam mana kami mahu masuk ke dalam Bandar Esperanza? Saya pasti pengawal bandar atau Tentera Gidae tidak akan membenarkan sesiapa masuk dengan mudah.” Tanya Miers.
“Hmm… Betul juga.” Jawab Bara selepas memikirkannya.
“Bandar Esperanza memang dikawal ketat dan semestinya susah untuk melepasi pengawal bandar. Tetapi seperti yang Bara kata tadi, Bandar Esperanza sekarang kurang bahan mentah. Selain daripada keluar untuk mencari bahan baru, salah satu cara mudah adalah dengan menyeludup bahan mentah tersebut dari bandar lain.” Tambah Bara setelah berfikir sejenak.
“Seludup?” Tanya Miers sambil menunjukkan muka hairan.
“Ohhh hoo hoo~ Bukan Bandar Esperanza sahaja yang mempunyai kekurangan bahan mentah. Malah bandar lain juga memerlukannya untuk melindungi bandar mereka sendiri dari pencerobohan Tentera Mugsi. Untuk mendapatkan wang yang banyak, penyeludup akan bertindak menjual bahan-bahan yang diperlukan oleh bandar lain dengan harga yang sangat tinggi.” Jelas Bara lagi.
“Oh! Jadi kalau kita berjaya mencari penyeludup yang menyeludup barang ke dalam Bandar Esperanza. Mungkin kita boleh mengupahnya untuk menyeludup kita masuk ke dalam.” Sampuk Melino.
“Ohhh hoo hoo~ Betul. Ianya tidak mustahil untuk masuk ke Bandar Esperanza dengan cara ini, tetapi Baramahu kamu semua sentiasa berhati-hati. Pencuri, perompak atau penyeludup tetap adalah orang jahat. Walaupun dia sanggup membantu kami.” Nasihat Bara kepada mereka bertiga.
Melino hanya boleh menangguk faham dengan kata-kata Bara. Mungkin cara yang disuarakannya adalah jalan yang terbaik untuk mereka masuk ke dalam Bandar Esperanza. Tetapi dunia kini sudah tenat. Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kekayaan dengan cepat dan mudah. Tidak kira apa pertolongan yang mereka berikan, mereka tetap harus berwaspada.
Setelah mendengar cerita panjang daripada Bara tentang Bandar Esperanza, mereka bertiga perlu bersiap sedia untuk meneruskan perjalan ke destinasi seterusnya. Bandar Dampbad. Tidak pasti apakah nasib mereka apabila tiba di sana.
----------
Tiba masa untuk mereka berangkat. Setelah membuat pemeriksaan terakhir dan memastikan kelengkapan dan makanan mereka mencukup, Miers mengangkat begnya dan berjalan ke hadapan rumah Bara dimana mereka yang lain sedang menunggunya.
“Cepatlah sikit si lembab!” Marah Umoya setelah melihat kelibat Miers keluar dari rumah.
“Diamlah budak kecik!” Balas Miers memarahi Umoya semula.
“Terima kasih kerana membantu kami selama ini Abang Bara. Kami amat terhutang budi dengan abang.” Ucap Melino sambil tunduk tanda terima kasih. Miers dan Umoya juga tunduk sambil mengucapkan terima kasih kepada Bara.
Bara hanya tersenyum. Walaupun agak bimbang melepaskan ketiga-tiga anak muridnya untuk menempuh perjalanan yang berbahaya, Bara yakin mereka bertiga mampu mengharunginya.
“Baik. Mari kita jalan!” kata Miers bersemangat semula.
Setelah menunjukkan arah Bandar Dampbad, Bara melihat mereka bertiga berjalan masuk melalui Hutan Dyrys dengan penuh keyakinan. Dengan perasaan yang sedikit terharu, Bara berpaling ingin masuk kedalam rumahnya.
ZUUPP~
Belum sempat Bara masuk melalui pintu rumahnya, langkahnya terhenti setelah terdengar desiran angin di belakangnya. Tanpa menoleh kebelakang, Bara tenang seperti menduga akan perkara ini.
“Namkpaknya mereka sudah menjumpai dia?” Kata Bara seorang diri.
“Sudah tuan.” Tiba-tiba seorang yang berseragam putih muncul di belakang Bara lalu menjawab soalannya.
“Bagus. Mari kita menjemputnya. Di mana dia?” Air muka Bara tiba-tiba bertukar menjadi serius.
“Bandar Esperanza.” Jawab orang itu tadi.
Bara terdiam sebentar, kemudian ketawa kecil.
“Hoo hoo~ Nampaknya takdir betul-betul ingin bermain dengan kita. Kan, Fa’e?”
----------
Setelah tiga bulan berlatih dibawah ajaran Bara, perjalanan mereka bertiga mengharungi Hutan Dyrys kini menjadi semakin mudah. Pergerakan mereka lebih pantas dan lancar. Bara memberikan mereka pakaian tebal yang dibuatnya dari kulit Yinewt untuk menghalang duri-duri tajam dari pokok-pokok Hutan Dyrys daripada melukai mereka. Baju dari kulit Yinewt itu juga melindungi mereka daripada diburu oleh Yinewt liar kerana Yinewt bergantung kepada deria bau untuk mencari mangsanya di hutan yang gelap ini, dan baju kulit Yinewt ini membuatkan badan mereka juga berbau seperti Yinewt.
“Agaknya kenapa Abang Bara mahu tinggal di hutan ini sendirian? Hutan ini sangat menakutkan dan berbahaya.” Tiba-tiba Umoya menanyakan soalan setelah melihat sekelilingnya.
“Dia kata sebabnya sangat rumit dan lebih baik kita tidak perlu ambil tahu tentangnya.” Jawab Miers.
“Hmm… “ Keluh Umoya umpama setuju tetapi tidak berpuas hati dengan jawapan yang dia dengar.
“Miers, betul ke arah yang kita jalan ni?” Tanya Umoya lagi.
“Betul.” Kata Miers ringkas.
“Macam mana Miers tahu?” Sekali lagi Umoya menyoal.
“Tahulah.” Sekali lagi Miers membalas pendek.
“Iyalah. Tapi macamana Miers tahu sini adalah arah yang betul?” Tanya Umoya lagi geram.
“Bisinglah budak kecik. Tahulah. Diam dan jalan saja tak boleh kah?” Marah Miers.
Umoya mengeluh geram. Mukanya berkerut, marah dengan sikap yang ditunjukkan Miers. Enggan melayan Miers lagi Umoya berjalan merapati Melino. Melino menepuk belakang Umoya lalu tersenyum.
“Hehe~ Jangan marah dia Moya. Rasanya Miers sekarang dalam keadaan berjaga-jaga. Jadi dia perlu menumpukkan perhatian mencari jalan keluar sambil melihat sekeliling jika ada bahaya.” Pujuk Melino. Umoya cuma diam sahaja.
Hari sudah hampir gelap. Mereka bertiga berhenti dan mencari tempat untuk tidur. Tidur di lantai Hutan Dyrys amat bahaya. Terdapat banyak serangga berbisa dan binatang liar seperti Yinewt. Jadi mereka perlu mencai tempat yang tinggi untuk lebih selamat.
Miers mencari beberapa pokok yang agak tinggi tumbuh berdekatan. Setelah menemui pokok yang sesuai, Miers memanjat salah satu pokok tersebut dan mengikat tali berserta kain di atasnya. Kemudian dia membuat perkara yang sama di pokok satu lagi. Miers menyambungkan ikatan tali dan kain di antara kedua pokok tersebut lalu membuat buaian untuk mereka tidur.
Melino dan Umoya pula mula menggali parit di sekeliling pokok-pokok yang diikat tersebut. Setelah cukup dalam, Melino meletakkan kulit Yinewt sebagai lapik lalu menuang air yang mereka bawa di atasnya. Ini sedikit sebanyak dapat menghalang serangga kecil seperti semut api di tanah daripada memanjat ke atas pokok tempat mereka sedang tidur. Setelah menyiapkan tiga buaian, Miers mula membuat api untuk mereka panaskan badan di malam hari.
Sebelum mereka masuk ke dalam buai masing-masing untuk melelapkan mata, mereka berehat sebentar di unggun api sambil menjamah makanan yang ada. Walaupun sudah berjalan sepanjang hari tanpa henti, mereka sudah biasa dengan keadaan ini kerana latihan yang mereka lakukan dibawah ajaran Bara lebih teruk daripada ini.
Cahaya matahari sudah semakin suram. Untuk memendekkan masa menunggu, mereka bertiga perlu tidur biarpun matahari belum hilang sepenuhnya.
“Miers.” Melino berkata sebelum sempat Miers melelapkan mata di dalam buainya.
“Kalau kita berjumpa dengan Mak nanti, apa yang akan Miers kata dengan Mak?” Soal Melino berat.
“Abang pun sedang fikirkan perkara yang sama. Abang tidak tahu lagi.” Jawab Miers tenang.
“Miers marah dengan Mak?” Tanya Melino lagi.
“Entah.” Jawab Miers.
“Mungkin. Sebab dia tinggalkan kita.” Sambungnya lagi.
“Tetapi mungkin juga abang tak marah sebab… sebab dia Mak kita.” Katanya lagi menghabiskan jawapannya.
“Mel… pun tak tahu nak kata apa jika kita berjumpa dengan Mak nanti.” Kata Mel sedikit sedih.
“Moya. Maaflah Mel tanya. Siapa nama Mak Moya?”
“Bayu.” Balas Umoya.
“Dulu Moya selalu tidak mendengar kat Mak. Semua yang Mak larang, Moya tetap buat. Tetapi Mak tak pernah marah. Mak hanya senyum apabila melihat Moya membuat sesuatu perkara yang dia larang. Tidak lama kemudian baru Moya sedar. Mak… Semakin lama semakin tidak dapat… melihat… Kemudian, matanya…” Cerita Umoya sambil tersedu teringatkan Maknya.
Miers dan Melino membiarkan Umoya seketika.
“Sebab itu Mak tidak pernah Marah. Dia… tahu dia tidak akan dapat melihat nanti. Jadi dia ingin melihat semua apa yang… Moya lakukan… Apa yang kami lakukan…” Umoya mula menangis tersesak-esak.
Melino juga tidak dapat menahan air matanya. Dia turut sedih dengan kisah Umoya dan Maknya. Miers tidak bersuara. Dia hanya membiarkan Umoya menenangkan dirinya seketika. Mungkin mereka kurang mendapat kasih sayang dari Mak mereka. Tetapi hati mereka tetap lembut apabila memikirkan bahawa mereka pernah disayangi… oleh seorang wanita… bergelar Mak.
Setelah menenagkan diri, Umoya menghela nafas panjang untuk menghentikan air matanya. Walaupun masih sedih, Umoya tetap menguatkan dirinya untuk bertanya.
“Emm… Siapa nama Mak Mel.”
…
…
“Fa’e.”
Share this novel