“MATA manusia sangat unik. Ia boleh sembuh dengan lebih pantas berbanding bahagian tubuh yang lain. Ini kerana mata merupakan otot yang paling aktif dan paling pantas bergerak dalam tubuh manusia, sentiasa bekerja tanpa rehat. Oleh itu, setengah daripada fungsi otak diperlukan untuk mengekalkan mata supaya sentiasa aktif.”
Melino terkebil-kebil, mulut Umoya melopong, manakala Miers menggaru-garu kepalanya tidak faham dengan apa yang dibebelkan oleh Bara kepada mereka. Bara yang melihat gelagat mereka kemudiannya mengeluh.
“Haahhh… Apa yang Abang Bara cuba cakapkan ni?” Tanya Miers
Bara hanya senyum, seperti sudah menjangkakan reaksi sebegitu dari mereka bertiga. Dia kemudiannya bangun dan mengambil sebatang kayu besar, lebih besar daripada lengannya yang berotot itu.
“Miers, cuba angkat kayu ini.” Arah Bara.
Miers melangkah ke hadapan.
“Dengan satu jari.” Tambahnya lagi.
“Apa? Mustahil. Kayu itu terlalu berat.” Bantah Miers.
“Ya. Tidak salah. Memang mustahil untuk tubuh manusia melakukan tugas yang melebihi tahap kekuatannya. Tetapi, jika mereka menggunakan Kuasa Mata…”
Bara menggenggam kayu yang di pegangnya tadi dengan sekuat hati. Kayu yang keras itu mula mengeluarkan bunyi seperti retak. Semakin lama semakin kuat.
KRAK!!
Akhirnya kayu itu pecah, hancur berkecai oleh Bara hanya dengan menggenggamnya dengan sebelah tangan. Miers, Melino dan Umoya kagum dengan kekuatannya.
“Adakah itu… Kuasa Mata?” Tanya Miers.
“Ohhh hoo hoo~~ …Tidak.” Jawab Bara dengan bersahaja.
“Itu memang kekuatan Bara. Saja nak tunjuk. Kuatkan? Kuatkan? Ohhh hoo hoo~” Sambungnya lagi sambil ketawa dengan riak.
Muka Miers berkerut geram dengan apa yang dilakukan oleh Bara. Melino dan Umoya cuma diam.
“Jadi? Apa kena mengena semua ini dengan Kuasa Mata?” Tanya Miers marah tidak puas hati.
“Ohhh hoo hoo~ Jangan marah kawan, nanti cepat tua. Macam yang Bara katakan tadi, jika seseorang itu mempunyai Kuasa Mata yang sesuai, dia mampu untuk menghancurkan sebatang kayu dengan mudah.” Jelas Bara sambil tertunduk mengambil batu pula.
“Kuasa Mata yang sesuai?” Tanya Miers lagi.
“Contohnya…”
ZUUPP!
Bara melemparkan batu yang dikutipnya tadi tepat ke arah kepala Melino.
“Hati-hati Mel!” Miers menjerit.
Tangan Umoya cuba mencapai Melino tetapi mustahil sempat sampai sebelum batu yang pantas itu mengena kepalanya. Miers cuba berlari ke arah haluan batu untuk menghadang, tiba-tiba Bara menarik bajunya dari belakang.
TAP!
“Ohh hoo hoo~ Memang hebat. Seperti yang Bara jangka.”
Batu yang dilempar Bara tadi berjaya ditangkap oleh Melino. Mata Melino cuma membulat melihat batu itu di tangannya.
“Fuhh.” Umoya menarik nafas lega.
“Hoi! Apa yang awak cuba buat!” Miers menjerit ke arah Bara. Dua penumbuknya sudah bersedia untuk berlawan dan menangkis sebarang serangan yang mendatang.
“Ohhh hoo hoo~ Kan Bara dah kata kalau marah nanti cepat tua. Cuba lihat betul-betul.” Bara menunjukkan ke arah Melino.
Miers dan Umoya melihat ke arah tangan Melino yang menggenggam batu tadi. Melino memandang mereka berdua. Tangannya dibuka perlahan. Rupanya bukan sebiji, tetapi ada dua biji batu terdapat dalam tangan Melino. Sebiji batu besar dan sebiji lagi batu kecil.
“Apa maksud semua ni?” Tanya Miers lagi.
“Ohhh hoo hoo~ Masih tidak faham budak? Bara bukan melemparkan satu batu sahaja, tetapi dua batu pada masa yang sama. Satu batu yang besar ke arah kepala dan satu lagi batu yang kecil ke arah badan Melino. Orang biasa tidak mampu untuk mengesan batu kecil yang Bara lontar. Tetapi Mel bukan orang biasa. Seperti yang kamu semua lihat, Mel berjaya menangkap kedua-dua batu itu sekaligus.” Bara menjelaskan apa yang telah berlaku.
“Mel, Macam mana awak buat?” Tanya Umoya yang hairan dengan apa yang berlaku.
“Mel pun tidak tahu. Tangan Mel seperti bertindak sendiri.” Jawab Mel yang juga turut bingung bagaimana dia boleh menangkap dua batu pada masa
“Itulah kuasa Mata.” Kata Bara lagi.
“Moya masih tidak faham.Bagaimana Kuasa Mata boleh buat semua ni?” Tanya Umoya lagi.
“Ohhh hoo hoo~ Seperti yang Bara katakan tadi, mata manusia sangat unik. Ia adalah satu otot yang paling aktif dalam badan manusia. Ia juga memerlukan setengah daripada fungsi otak untuk menjadikannya sentiasa aktif. Tetapi, orang yang mempunyai mata berwarna seperti Mel dan Umoya mampu menjadikan bahagian tertentu pada tubuh badan mereka lebih aktif dan orang biasa. Seperti Mel, dia mampu melihat dengan lebih fokus dan jelas dan menjadikan reaksi tangannya lebih cepat dari biasa. “
“Tapi, macamana…?” Umoya ingin bertanya lagi.
“Sabar. Bara belum habis jelaskan lagi.” Sampuk oleh Bara.
“Mata orang biasa menggunakan setengah dari fungsi otak untuk aktif. Tetapi orang yang mempunyai Kuasa Mata memberikan kelebihan ini pada bahagian tertentu di tubuh manusia. Contohnya, semalam Bara lihat Umoya mampu berlari dengan pantas. Kelajuannya mungkin boleh mengalahkan kelajuan seekor Yinewt. Ini bermakna Kuasa Mata memberikan kelebihan pada bahagian kaki Umoya dengan ‘menipu’ otak dengan mengatakan bahawa kaki Umoya adalah ‘Mata’. Jadi, otak menggunakan setengah daripada fungsinya untuk menggerakkan kaki Umoya.” Jelas bara lagi dengan panjang lebar.
“Emm… Moya masih tidak faham. Pendek kata, orang yang mempunyai mata berwarna adalah orang yang mempunyai kelebihan Kuasa Mata? Moya ingatkan ada ramai lagi manusia yang mempunyai mata berwarna di dunia ini seperti Moya dan Melino.”
“Ohhh hoo hoo~ Dahulu memang banyak. Tetapi semenjak peperangan yang dimulakan olah Tentera Mugsi berlaku di seluruh dunia, hanya sepuluh peratus sahaja manusia mempunyai Kuasa Mata Biru. Kuasa Mata Hijau lebih sedikit, cuma dua peratus sahaja… Ah… Kamu semua faham tak maksud Bara?” Bara tiba-tiba bertanya kerana melihat mereka bertiga kebingungan.
“Peratus tu …… apa?” Tanya Miers.
“Ohhh hoo hoo~ Maksudnya cuma sedikit sahaja manusia mempunyai Kuasa Mata di dunia ini. Dan bilangan manusia yang mempunyai Kuasa Mata Hijau paling sedikit.”
“Kenapa macam tu?” Tanya Umoya pula.
“Hmmm. Entah. Mungkin sebab Kuasa Mata Hijau lebih kuat berbanding Kuasa Mata Biru.”
“Lebih kuat?” Tanya Umoya lagi.
“Ya.” Jawab Bara ringkas.
“Adakah Kuasa Mata hanya memilih bahagian tubuh tertentu sahaja untuk menjadi lebih kuat daripada orang biasa?” Kini giliran Melino pula bertanya.
“Betul. Ada orang mempunyai kekuatan luar biasa. Ada yang mempunyai kelajuan luar biasa seperti Umoya. Ada juga yang boleh mendengar lebih kuat sehingga boleh mendengar setiap gerakan otot dalam tubuh dari jauh. Ada yang boleh melihat dengan jauh tanpa memerlukan bantuan alat. Pendek kata, Kuasa Mata akan memilih secara rawak bahagian mana yang dia ingin kuatkan. Sehingga kini tiada siapa yang tahu batasan untuk Kuasa Mata yang sebenar”
“Tunggu dulu. Kenapa Kuasa Mata Hijau lebih kuat dari Kuasa Mata Biru? Dan kenapa hanya Melino sahaja yang ada Kuasa Mata sedangkan kami adik beradik kembar? Moya juga ada abang kembar dan matanya hijau, sama seperti Moya?” Soalan bertalu-talu diajukan oleh Miers.
“Ohhh hoo hoo~ Banyaknya soalan. Baiklah. Kita berehat dahulu. Habiskan makan dan pergi bersihkan badan kamu. Di belakang sana ada sebatang sungai. Bara nak kamu semua bersedia.”
“Apa? Jawab dulu soalan Miers. Dan, bersedia untuk apa?” Tanya Miers hairan.
“Ohhh hoo hoo~ Kamu semua ingin ke Banda Esperanza bukan. Bandar Esperanza mungkin tidak jauh, tetapi ada banyak musuh yang lebih kuat, makhluk yang lebih kuat seperti Yinewt di hutan ini. Jika kamu ingin ke Bandar Esperanza dengan selamat, kamu perlukan latihan bertarung.” Bara menjelaskan tindakannya.
“Tiga Bulan! Bara nak kamu tinggal di sini selama tiga bulan dan Bara akan melatih kamu dan menjawab semua soalan kamu tentang Kuasa Mata.” Kata Bara dengan bersemangat.
Miers terdiam dia kemudian menoleh ke arah Melino dan Umoya. Melino dan Umoya tidak membuat sebarang reaksi melainkan hanya memandang tepat ke arah mata kanan Miers.
“Miers, mata kanan Miers berwarna biru.” Melino memberitahunya.
Miers terkedu seketika. Umoya menghulurkan pisaunya supaya Miers dapat melihat mata kanannya melalui refleksi dari pisau Umoya. Miers terkejut melihat matanya yang berubah warna menjadi warna biru. Lama dia meneliti mata kanannya itu. Beberapa ketika kemudian matanya kembali kepada warnanya yang asal. Warna biru tidak lagi kelihatan. Mier menundukkan kepalanya, berfikir sejenak berkenaan ajakan Bara itu tadi.
“Baik. Tiga bulan. Kita akan tinggal di sini selama tiga bulan. Setuju?” Miers bertanya kepada Melino dan Umoya.
Mereka berdua hanya angguk mengiyakan keputusan yang dibuat.
“Ohhh hoo hoo hoo hoo!! Sekarang, bersedialah. Latihan ini tidak semudah yang kamu semua sangkakan. Bara akan pastikan kamu menjadi lebih kuat dalam masa tiga bulan dari sekarang. Ohhh hoo hoo hoo hoo! Ohhh hoo hoo hoo!!”
Share this novel