Chapter 5 – The Night Is Not So Silent Anymore

Fantasy Series 500

AKHIRNYA mereka bertiga sampai ke penghujung Bandar Ruinat. Di hadapan mereka adalah tempat yang sangat mengerikan.

Hutan Dyrys.

“Kita berehat di situ malam ini. Esok kita akan memulakan perjalanan melalui Hutan Dyrys.” Arah Miers sambil menunjuk ke arah sebuah pondok usang yang terletak betul-betul di pinggiran Hutan Dyrys.

Pondok usang itu seperti sudah lama ditinggalkan. Untuk berhati-hati, Miers terlebih dahulu memeriksa pondok tersebut kerana mungkin ada orang bersembunyi di dalamnya. Setelah memastikan pondok itu tidak berpenghuni, Miers memanggil Melino dan Umoya. Mereka bertiga masuk ke dalam pondok dan terus duduk untuk merehatkan badan mereka setelah kepenatan berjalan seharian. Miers menghidupkan unggun api untuk memasak air. Melino mengumpul kayu untuk unggun api. Umoya pula menyediakan tempat untuk mereka tidur.

“Makanan sudah siap. Mari cepat, Mel, Moya.” Panggil Miers.

“Moya?” Melino hairan kerana Miers memanggil Umoya dengan nama Moya.

“Umoya panjang sangat nak sebut. Panggil Moya lagi senang.” Balas Miers.

“Umoya cuma seorang budak, tapi Miers melayan Umoya seperti dia sebaya dengan kita tanpa kebenaran Umoya.” Ujar Melino.

“Emm. Sebenarnya Umoya bukan budak lagi. Tahun ini Umoya sudah berumur 15 tahun.” Jelas Umoya.

“Eh. APA?!” Melino dan Miers terkejut dengan kenyataan Umoya.

“Tapi kenapa badan Umoya seperti budak kecil?” Tanya Melino.

“Budak kecil? Tapi Melino kan sama tinggi dengan Umoya. Dan Umoya rasa Umoya yang sepatutnya memanggil Melino sebagai budak. Sebab rasanya Umoya lagi tua.” Jawab Umoya sedikit marah kerana dipanggil budak kecil.

“Umur kami pun 15 tahun juga.” Terang Melino menyangkal dakwaan Umoya.

Mereka semua terdiam seketika. Tidak sangka yang Melino dan Umoya berbadan seperti budak kecil ini sebenarnya adalah ramaja.

“Bagus. Satu Mel si pendek. Satu lagi Moya si budak kecil. Hahaha.” Usik Miers memecah kesunyian.

PANG!

Satu tapak tangan mengena betul-betul di pipi Miers. Miers terdiam. Tidak sangka pergerakan Umoya sangat pantas sehingga dia tidak dapat bertindak untuk mengelaknya.

“Aduh! Sakitlah budak kec…”

PANG!

Belum sempat lagi Miers menghabiskan ayatnya sebelah lagi pipi menjadi habuan tamparan wanita Umoya.

“Budak tak guna!” marah Miers dan mengejar Umoya ingin membalas pukulannya itu.

Tetapi ternyata Umoya lagi pantas berbanding Miers. Melino hanya kaget melihat gelagat mereka berdua. Dia tidak mahu menghentikan pergaduhan mereka, kerana dia dapat melihat mata Umoya dan Miers amat gembira, walaupun mereka tidak menunjukkannya. Melino juga turut gembira melihat mereka. Setelah penat berkejaran, barulah mereka bertiga duduk untuk menjamu selera.

“Huh. Penat. Moya betul-betul pantas seperti angin.” Keluh Miers.

“Memanglah. Moya setiap hari berlari tahu. Tidak ada siapa yang mampu mengejar kepantasan Moya.” Jawab Umoya bangga.

“Sudah. Sudah. Awak berdua memang kebudak-budakan. Mari makan.” Ajak Melino.

“Mel. Nak tanya boleh? Kenapa mata Mel berwara biru?” Tanya Umoya sambil meneguk air minuman dari botol.

“Mel tak kata ‘boleh’ lagi Moya sudah tanya. Budak kecil.” Sakat Miers.

“Diamlah! Moya tak tanya awak pun!” Marah Umoya.

“Sebenarnya mata Mel memang berwarna biru dari kecil lagi. Mel pun tak tahu kenapa.” Melino menjawab soalan Umoya tadi.

“Jadi kenapa mata si gila ni berwarna coklat? Bukankah Mel kata awak berdua ini kembar?” Tanya Umoya sambil mengerling ke arah Miers.

“Si gila awak kata?” Miers sedikit berang dengan kata-kata Umoya.

“Memang awak si gila pun.” Perli Umoya lagi.

“Hmm. Mel pun tak tahu mahu jawab macam mana. Maaflah” Jawab Mel sedikit sedih.

“Eh. Tak perlu minta maaf. Moya cuma hairan sebab kembar Moya, Haizea, mata kami berdua sama. Berwarna hijau.”

“Kembar Moya, Moya tahu di mana dia sekarang?” tanya Melino.

Umoya tidak menjawab pertanyaan Melino. Sebaliknya dia menunjuk ke langit.

“Langit?” Melino hairan dengan perbuatan Umoya.


Umoya hanya mengangguk.

“Beberapa tahun dahulu, semasa kami keluar mencari makanan, langit tiba-tiba menjadi sangat gelap. Moya tidak ingat sangat apa yang berlaku waktu itu. Apa yang Moya ingat, Haizea diangkat ke langit.” Cerita Umoya.

Seperti yang dia jangka, Miers dan Melino hanya terdiam mendengar ceritanya.

“Maaflah kalau cerita Moya seperti tidak masuk akal. Mungkin juga waktu itu Moya tidak dapat melihat dengan jelas. Ingatan Moya kabur. Awak berdua tak perlu percaya.” Tiba-tiba Umoya panik. Takut sekiranya Miers dan Melino tidak percaya dengan katanya dan menganggap yang dia sudah gila.

“Moya. Kita semua adalah keluarga sekarang. Keluarga patut saling mempercayai. Kami percaya dengan cerita Moya.” Kata Melino dengan serius.

Walaupun Miers tidak menunjukkan sebarang reaksi dengan cerita Umoya, tetapi Melino tahu bahawa abangnya juga percayakannya. Umoya tersenyum dengan jawapan Melino. Malam berlalu dengan cepat. Habis mengisi perut, mereka semua bersedia untuk melelapkan mata.

Suhu sangat sejuk ketika waktu malam. Tetapi mereka tidak boleh membiarkanapi menyala sepanjang malam. Takut ada orang lain yang ternampak api mereka dan menyelinap masuk tanpa disedari ketika mereka sedang tidur.

Selama 10 tahun, Miers dan Melino tidur berdua sahaja. Kini mereka sudah ada Umoya. Malam terasa lebih hangat berbanding hari-hari sebelumnya. Melino berasa gembira dengan kehadiran Umoya sehingga dia sukar untuk melelapkan mata.

“Miers.” Melino memanggil abangnya dengan suara perlahan.

“Hmm.” Dengus Miers.

“Miers nampak berbeza hari ini.”

“Hmm.” Dengus Miers lagi seperti mengiakan sahaja kata-kata Melino.

“Selalunya Miers akan takut sekiranya sekiranya ada musuh dan Mel lah yang terpaksa menenangkan Miers. Tetapi hari ini Miers sangat berani.”

“Hmm.”

“Mel… Selama ini Mel risau, bagaiamana jika Mel tiada di sisi Miers? Apa akan jadi pada Miers? Mel amat takut sebab Miers tu penakut. Bukannya salah untuk menjadi penakut. Mel tahu semua apa yang Miers buat adalah untuk keselamatan kita berdua. Sembunyi, keluar mencari makanan pada waktu malam sahaja. Tapi kalau Miers tidak melawan ketakutan Miers tu, Mel dapat rasakan sampai bila-bila pun kita tidak akan selamat.”

“Hmm.”

“Apa pun, hari ni Mel sangat bangga dengan keberanian Miers. Cuma Mel harap, Miers jangan bertindak melulu lagi.” Luah hati Mel.

“Hmm.” Walaupun Melino bercakap dengan panjang, Miers hanya mendengus sahaja.

“Miers dengar tak apa Mel cakap ni. Miers?”

“Kruhh… Kruuuhh…” Rupanya Miers sudah tertidur.

Melino geram dengan apa yang terjadi. Namun dia sedikit pun tidak marah. Dia tahu abangnya penat. Mereka semua penat. Umoya juga sudah melayan mimpinya. Melino memegang tangan abangnya dan tangan Umoya sebelum menutup mata. Malam ini Melino tidur dengan senyuman di wajahnya.

----------

“BAIK! Cepat bersiap. Hari ini kita akan masuk ke dalam Hutan Dyrys!” Jerit Miers dengan bersemangat sambil mengangkat kedua belah tangannya ke udara.

“Diamlah. Awal pagi lagi sudah bising.” Tengking Umoya.

“Iyalah Miers ni. Selalunya Miers yang suruh Mel senyap kalau Mel buat bunyi bising.” Tambah Melino pula.

Miers tidak menghiraukan mereka berdua, sebaliknya dia melakukan regangan dan senaman ringan. Dia dapat merasa tenaga yang banyak mengalir ke seluruh badannya. Tidak hairanlah dia nampak sangat bersemangat di awal pagi. Sementara Melino mengemaskan begnya, Umoya hanya memerhati. Buku yang pernah dicurinya secara tidak sengaja semalam dijaga rapi oleh Melino. Dia tahu buku itu amat penting baginya.

“Nah.” Tegur Miers kepada Umoya dengan tangannya menghulurkan sebilah pisau.

“Apa awak nak si gila?” marah Umoya.

“Ish. Budak kecil. Ambil pisau ni. Hutan Dyrys ada banyak haiwan liar.” Jelas Miers.

Umoya menjeling ke arah pisau yang di unjuk Miers. Dia kemudian mengambil pisau itu dan terus bergerak jauh dari Miers. Miers termangu dengan perangai Umoya terhadapnya. Namun dia tidak berkata apa-apa. Melino hanya melihat gelagat mereka sambil tersenyum.

Mereka bertiga kini bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Bandar Esperansza. Tetapi sebelum itu, mereka harus mengharungi Hutan Dyrys. Hutan yang penuh dengan tumbuhan berduri, beracun dan haiwan liar. Mampukah mereka menempuhinya dengan selamat?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience