“Apa yang Mel cakapkan ni? Bila masa Mak suruh? Abang tak tahu pun” Miers tiba-tiba naik angin. Geram kerana Melino tidak pernah berkata apa-apa kepadanya tentang ini.
“Maafkan Mel, Miers. Mel pun sebenarnya tak pasti.” Melino menjawab dengan kurang yakin.
“Kalau macam tu? Macam mana Mel boleh kata Mak yang suruh?” Bentak Miers lagi.
Melino berdiam diri.
“10 Tahun dahulu, semasa Mak… meninggalkan kita, semasa Mak dibawa pergi oleh Tentera Mugsi, Mak berada agak jauh. Mungkin Miers tidak perasan tetapi Mel nampak mulut Mak seperti mengatakan sesuatu.” Cerita Mel perlahan.
“Apa yang Mak kata?” Tanya Miers lagi tidak sabar.
“Esperanza…” Jawab Melino.
“Mel pun tidak faham apa maksud Mak masa tu.” Sambungnya lagi.
“Kenapa Mel tak pernah beritahu Abang? Kenapa baru sekarang Mel cakap? Kita boleh cari Mak kalau tahu dia di Bandar Esperanza!” Marah Miers.
“M… Mel pun tak tahu. Mel pun tak tahu kenapa. Miers, maafkan Mel. Mel tak tahu nak cakap macam mana lagi.” Pinta Melino. Kelihatan butiran air mata di matanya. Namun dia menahannya daripada jatuh. Melino menundukkan wajahnya. Takut melihat muka marah Miers.
Walaupun Miers sangat marah dengan tindakan adiknya, namun dia seperti tidak sanggup untuk bertanya lagi kerana dia tahu Melino selama ini terbeban dengan arahan Maknya 10 tahun dahulu.
Miers diam sebentar seperti memikirkan sesuatu. Dia kemudian berjalan perlahan menuju ke arah beg Melino. Miers memasukkan tangannya ke dalam beg, lalu menarik keluar sebuah buku. Buku yang agak tebal dengan kulit yang sudah pudar. Miers membuka setiap helaian mukasurat pada buku tersebut dengan berhati-hati. Tidak mahu menambah kerosakan yang sedia ada.
“Jadi sebab itulah Mel setuju dengan cadangan abang untuk keluar dari Bandar Ruinat, dan cadangkan kita ke Bandar Esperanza?” Duga Miers.
Melino hanya mengangguk mengiyakan agakan abangnya itu.
“Baiklah. Abang tidak akan bertanya lagi. Kita akan ikut rancangan asal. Ke Bandar Esperanza.” Kata Miers sambil mengukir senyuman ke arah Melino
“Ohhh hoo hoo~ Menarik! Sangat menarik sekali. Perjalanlanan kamu memang sudah ditentukan!”Riang hati Bara mendengar cerita mereka.
“Ditentukan? Oleh siapa?” Soal Miers.
“Takdir.” Jawab Bara ringkas.
Miers, Melino dan Umoya memandang tepat ke arah Bara. Muka Bara yang selalunya lembut tiba-tiba bertukar serius. Menambahkan keyakinan di dalam jawapan yang diberikannya tadi.
“Ohhh hoo hoo~ Baiklah. Memandangkan ini adalah hari yang terakhir kamu berada di sini. Saya ada hadiah untuk kamu bertiga.” Bara berpusing dan mengambil sebuah peti kayu di belakangnya lalu meletaknya di tengah.
“Nah. Cuba buka. Ohhh hoo hoo~” Arah Bara.
Mereka bertiga duduk rapat dengan peti yang diberikan oleh Bara. Miers membuka penutup peti tersebut.
“Waa~” Melino tidak dapat menahan suara hatinya. Kagum dengan isi peti tersebut.
“Semua ini, untuk kami?” Tanya Umoya seperti tidak percaya.
“Ohhh hoo hoo~ Sudah semestinya. Bara buat semua senjata ini dengan penuh kasih sayang tahu.” Jawab Bara.
Peti kayu yang diberikan Bara berisi senjata khas untuk mereka bertiga. Ditempa dengan menggunakan besi waja supaya lebih kuat dan tahan lebih lama.
Tombak boleh laras untuk Miers. Cukup ringan untuk dibawa tetapi cukup berat untuk menikam musuhnya. Pisau belati dengan mata bergerigi. Cukup kecil untuk menjadi senjata tersembunyi, tetapi cukup berbahaya sehingga boleh mendatangkan parah. Lastik serbaguna untuk Melino. Sangat lasak dengan getah istimewa yang tidak boleh putus dan mempunyai keupayaan yang tinggi untuk melontar batu dengan sangat jauh. Ketiga-tiga senjata mempunyai ukiran huruf ‘A’ yang merupakan tanda nama untuk Alagbara.
Miers, Melino dan Umoya masing-masing mencuba senjata baru mereka. Kagum dengan ciptaan Bara. Tiba-tiba Melino ternampak sekeping kertas yang juga terletak di dalam peti tersebut.
“Hmm? Yang ini apa Abang Bara?” Tanya Melino.
“Ohhh hoo hoo~ Itu adalah peta yang menunjukkan kedudukan bandar-bandar di seluruh kawasan sekitar sini. Mungkin Bandar Esperanza tidak terlalu jauh dari Bandar Dampbad, tetapi kamu perlu mengetahui tempat-tempat di sekitarnya untuk mencari makanan dan tempat perlindungan.” Jelas Bara.
Melino meneliti peta tersebut dengan mata bulatnya. Seperti tidak percaya rupanya banyak lagi tempat-tempat yang belum pernah mereka pergi.
“Terima kasih Abang Bara.” Ucap Melino.
“Ya. Terim kasih kerana membantu kami.” Sambung Umoya lagi.
“Terima kasih. Kami tidak akan melupakan jasa Abang Bara selamanya.” Kata Miers.
“Ohhh hoo hoo~ Tak apa. Ini memang sudah menjadi tanggungjawab Bara untuk melatih kamu.”
“Tanggungjawab?” Soal Miers hairan dengan ayat Bara.
“Oh?! Ohhh hoo hoo~ Semestinya. Orang dewasa patut memastikan anak-anak muda mampu berdikari. Kerana dunia ini penuh dengan kesulitan dan musuh. Jadi Bara cuma mahu kamu bersedia untuk menghadapi segalanya. Ya, ya… Macam tu lah. Ohhh hoo hoo~.” Bara menjawab dengan sedikit kelang-kabut.
“Ohhh hoo hoo~ Baik. Mari kita sambung makan. Malam ini tidak ada latihan. Kamu bertiga boleh berehat.” Sambung Bara pantas.
“Yeah!” Sorak mereka bertiga serentak.
Hari terakhir di rumah Bara. Hari yang penuh dengan kisah suka dan duka. Sudah tiga bulan Miers, Melino dan Umoya berlatih di bawah bimbingan Bara. Hari ini adalah latihan terakhir mereka. Esok, mereka akan menyambung perjalanan menuju ke Bandar Dampbad, kemudian ke Bandar Esperanza. Tetapi kali ini berbeza. Kali ini mereka mempunyai tujuan untuk ke sana.
Share this novel