SUDAH berjalan agak lama. Matahari tegak di atas kepala mereka. Miers seperti mahu meneruskan perjalanan tetapi Melino kelihatan sudah kepenatan. Dia tidak menunjukkan riak wajah penat tetapi Miers tahu apabila melihat kaki adiknya yang berpeluh dan menggeletar.
“Kita berehat di sini.” Ajak Miers.
Melino melepaskan genggaman tangannya sambil mengeluh panjang. Miers mengeluarkan makanan dan air dari beg galas lalu diberikannya kepada Melino. Melino mencapai air dari tangan Miers kemudian meminumnya dengan pantas untuk menghilangkan dahaga. Segelas air lagi dituangnya di atas kepala bagi menyejukkan dirinya dari terik matahari.
“Jangan habiskan air. Kita tidak tahu samada kita boleh jumpa air lagi atau tidak nanti.” Pesan Miers. Melino hanya mengangguk faham.
“Kita sudah hampir ke penghujung bandar. Sebentar lagi kita akan masuk ke Hutan Dyrys. Tempat itu penuh dengan tumbuhan berduri dan binatang liar. Ingat. Berhati-hati ketika melanggah supaya tidak terpijak duri-duri tumbuhan nanti.” Nasihat Miers.
“Baik. Tapi kenapa kita perlu masuk ke Hutan Dyrys? Bukankah lebih mudah jika kita ikut jalan besar. Lagipun lebih dekat untuk sampai ke Bandar Dampbad.” Soal Melino kerana ragu dengan jalan yang mereka ambil.
“Jalan besar terlalu terbuka. Tidak ada tempat untuk sembunyi dari ‘mereka’. Abang yakin ‘mereka’ tidak akan masuk ke dalam Hutan Dyrys. Tidak ada orang yang berani masuk ke sini. Kita akan terus menuju ke arah matahari terbit sehingga sampai ke Bandar Dampbad kemudian Bandar Esperanza.” Jelas Miers.
“Hmm. Tapi Hutan Dyrys sangat gelap dan menakutkan.” Keluh Melino.
“Sudah. Jangan merungut. Ini sahaja jalan yang kita ada. Jangan lupa ikat rambut Mel sebelum kita masuk ke sana. Pokok-pokok di situ rendah dan berduri. Nanti rambut Mel tersangkut pada ranting…” Pesan Miers. Tetapi dia terdiam sebentar selepas melihat adiknya.
“… Eh, tak perlu. Mel terlalu pendek untuk kepala Mel terkena ranting pokok. Jadi masuk ke Hutan Dyrys tidak ada masalah bagi Mel.” Perli Miers.
Walaupun mereka berdua adik-beradik kembar, tetapi perbezaan ketinggian mereka berdua amat ketara. Miers lebih tinggi berbanding adiknya dan dia selalu mengusik Melino.
“Diamlah! Mel tau la Mel pendek. Tapi Mel comel!” Rajuk Mel sambil meletakkan kedua-dua tapak tangannya ke pipi, membuat gaya comel.
“Comellah sangat. Kalau dah pendek tu pen…”
PRAKK!!
Dengan pantas Miers mencapai senjatanya lalu bangun. Jantungnya terhenti sebentar apabila mendengar bunyi kayu patah seperti ada orang memijaknya. Matanya tajam meliar mencari dari mana bunyi itu datang.
Satu bayang muncul dari sudut bangunan. Nafas Miers turun naik dengan laju. Walaupun tangannya dibasahi peluh sejuk, Miers menggenggam erat senjata tombaknya, bersedia melakukan serangan bila-bila masa. Otaknya ligat memikirkan strategi jika berhadapan dengan musuh serta mencari jalan untuk keluar dengan selamat. Otot badannya tegang, berpeluh deras, takut dan berani pada masa yang sama. Melino hanya diam, berdiri di belakang Miers sambil melihat tingkah abangnya.
Bayang kelihatan semakin menghampiri. Bunyi tapak kaki memijak bumi semakin kedengaran. Mata Miers langsung tidak berkedip walau sedetik. Tidak menghiraukan peluh yang masuk kedalam matanya. Bayang yang semakin lama semakin besar menambahkan kerisauan mereka kerana mereka tahu musuh sudah menjumpai mereka.
Tiba-tiba bayang itu berhenti.
Tidak ada pergerakan untuk seketika. Miers sempat menjeling Melino dengan dahi berkerut, seperti bahasa isyarat yang mengatakan dia pun tidak faham dengan apa yang berlaku.
Miers berganjak sedikit untuk mengintai ke penjuru bangunan di mana bayang itu berhenti. Terkejut apabila terpandang sepasang kaki berdiri di sebaliknya, Miers spontan mengangkat tombak sehingga paras bahu sambil menarik nafas sedalamnya, bersedia untuk merejam.
Miers berlari pantas ingin membuat serangan awal sebelum musuhnya mula bertindak. Apabila sudah pasti di mana musuhnya, Miers melemparkan tombak dari tangannya.
“Miers, Jangan!” Teriakan Melino mengejutkan abangnya.
Akan tetapi tombak sudah pun terlepas tangannya. Sedetik itu juga Miers melihat yang berada di penjuru bangunan itu adalah seorang budak perempuan comot berkaki ayam. Pada waktu ini tidak ada apa lagi yang mampu Miers lakukan. Tombak semakin menghampiri jasad budak perempuan itu. Mereka hanya mampu menutup mata.
TANGG!
Tombak besi Miers menusuk, betul-betul di sebelah budak perempuan itu berdiri. Mujur teriakan Melino yang mengejutkan Miers membuatkan rejamannya tersasar. Mereka berdua menarik nafas lega.
‘Miers dah berubah.’ Bisik Melino sendirian. Melino senyum, kerana ini kali pertama dia melihat abangnya bertindak berani, tidak lagi takut sepeti sebelumnya.
Miers bergerak merapati budak perempuan itu tadi.
“Apa kau nak budak!?” Marah Miers.
Budak perempuan itu tidak berkata apa. Sebaliknya dia menunjuk ke arah beg Miers dan Melinio.
“Tidak ada makanan disini untuk kau. Pergi!” Marahnya lagi.
“Miers, tak baik macam tu. Dia budak lagi.” Tegur Mel.
Budak perempuan itu hanya menundukkan kepalanya sambil tangannya memegang perutnya. Dia kelihatan amat kurus dan comot. Rambutnya yang panjang tampak tidak terurus.
“Mel, jangan cepat percayakan orang lain. Dia memang budak, tapi mungkin ada orang lain yang menyuruhnya mengekori kita dan ingin mencuri makanan kita. Kita harus berhati-hati. Dunia ini tidak ada lagi orang yang jujur.” Miers memberi amaran kepada Melino.
“Jangan risau. Mel yakin budak ini bukan orang jahat. Lihat matanya, bulat macam Mel. Orang yang bermata bulat adalah orang yang baik.” Balas Melino.
“Siapa yang cakap macam tu?” Soal Miers harian.
“Mel la. Siapa lagi. Hehe~”
“Hmph. Ikut suka Mel lah. Tapi abang tidak akan melepaskan pandangan dari budak ini. Kau dengan tu budak!?” Miers betul-betul tidak percayakan budak perempuan itu.
“Sudah. Sudah. Awak. Nah ambil ni.” Melino menghulurkan seketul daging yang sudah dimasak kepada budak perempuan itu.
Perlahan-lahan budak itu berjalan ke arah Melino dan mencapai daging yang diberinya. Dia merenung sebentar daging tersebut lalu memakannya dengan sekali suap. Belum pun mengunyah lama, budak itu terus menelan daging tadi menyebabkan dia tersedak. Cepat-cepat Melino mengulurkan air kepadanya. Setelah meneguk air barulah Melino nampak wajah budak itu tersenyum puas.
“Terima kasih.” Budak perempuan itu bersuara.
“Sama-sama.” Sambut Melino dengan senyuman terikir di bibirnya..
“Saya Melino. Yang sedang duduk marah-marah tu kembar saya, Miers. Jangan takut dengan dia. Mungkin dia Nampak garang, tetapi dia baik.” Melino membuka bicara. Miers hanya menjeling dari jauh.
“Kembar? Saya Umoya. Saya pun ada kembar, tapi… dia dah hilang.” Cerita Umoya dengan nada sedih.
“Maaf. Mel tak bermaksud membuat Umoya sedih.” Melino cuba memujuk namun tidak ada apa yang dapat dikatanya.
“Mel. Kita tidak kenal pun siapa dia. Tak perlulah panggil namanya seperti sudah lama kenal. Budak. Kalau dah makan pergi dari sini cepat.” Tengking Miers tiba-tiba.
“Kenapa dengan Miers ni? Umoya cuma seorang budak. Janganlah marah dia macam tu.” Tengking Melino sambal memeluk melindungi Umoya dari amarah abangnya.
“Abang tahu dia budak, tapi…” Miers tidak mampu membalas kata adiknya.
“Tidak apa. Saya akan pergi dari sini. Terima kasih kerana memberi saya makanan.” Umoya bangun dan bersedia untuk beredar.
“Tunggu Umoya. Umoya ambillah sedikit lagi makanan. Miers, jangan bermasam muka lagi, cepat ambilkan makanan dalam beg Miers tu.”
Sebaik sahaja mata Melino dan Miers beralih ke beg makanan mereka, Umoya berlari dengan pantas sambil membawa beg Melino. Melino dan Miers terkejut dengan tindakan Umoya tidak mampu berbuat apa-apa.
“Ah, Beg Mel! Miers, Buku Mel!” Melino panik.
“Tak guna. Abang sudah kata! Jangan percayakan budak tu!” Marah Miers.
“Mungkin Umoya ingat ada makanan dalam beg Mel.” Duga Melino.
Miers segera menarik tangan Melino. Mereka berlari untuk mengejar Umoya. Umoya berlari dengan sangat pantas bagaikan angin. Sekejap sahaja dia sudah hilang dari pandangan mereka berdua.
“Budak tak guna!” Marah Miers lagi.
Mereka kehilangan jejak Umoya. Namun Miers tidak risau. Pengalamannya hidup berdikari di jalanan setelah ditinggalkan Maknya selama 10 tahun telah banyak mengajarnya pelbagai ikhtiar hidup seperti cara untuk membaca jejak, arah dan kedudukan seseorang. Kelebihan yang di gunakan untuk mereka bersembunyi dari musuh ini tidak kurang bezanya jika Miers gunakannya untuk menjejak orang lain.
Tidak menjadi masalah untuk Miers mencari Umoya, tetapi adakah Umoya membiarkan sahaja dirinya ditangkap? Apakah identiti Umoya yang sebenar?
Share this novel